PAUTAN TAMBAHAN

Rabu, 28 Jun 2017

BAGAIMANA QADA SOLAT YANG TIDAK DIKETAHUI BILANGANNYA?


1. Solat fardu yang tidak dilakukan dalam waktunya, wajib diqada sama ada solat itu ditinggalkan dengan sengaja atau tidak sengaja. Solat yang ditinggalkan dengan sengaja, wajib diqada segera, manakala solat yang ditinggalkan secara tidak sengaja tidak wajib diqada segera tetapi menyegerakan qadanya adalah sunat.

2. Ada beberapa perbezaan antara melakukan solat secara tunai (dalam waktu) dan melakukannya secara qada. Antara perbezaannya seperti berikut :

a.  Solat tunai dilakukan dalam waktunya sedangkan solat qada tidak semestinya dilakukan dalam waktunya. Maksudnya solat Zuhur tidak wajib diqada dalam waktu Zuhur, bahkan boleh diqada dalam waktu Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh.

b.  Solat tunai dibaca nyaring pada solat Maghrib, Isyak dan Subuh manakala solat Zuhur dan Asar dibaca secara sir (perlahan). Solat qada pula dibaca sir pada waktu sir dan dibaca jahar (nyaring) pada waktu nyaring. Maksudnya solat Maghrib, Isyak dan Subuh dibaca perlahan jika diqada pada waktu Zuhur atau Asar walaupun ia jenis solat yang dibaca nyaring. Begitu juga solat Zuhur dan Asar dibaca nyaring jika diqada pada waktu Maghrib, Isyak dan Subuh walaupun ia jenis solat yang dibaca sir atau perlahan.

c.  Solat tunai dilakukan secara tamam dalam keadaan bermukim dan secara qasar dalam keadaan musafir. Solat qada wajib dilakukan secara tamam jika dilakukan semasa bermukim walaupun solat yang diqada itu ditinggalkan semasa musafir. Jika diqada solat semasa musafir, ia boleh dilakukan secara tamam atau qasar walaupun solat yang diqada itu ditinggalkan semasa bermukim.

3. Jika tidak diketahui bilangan solat yang ditinggalkan, bagaimana cara mengqadanya. Caranya mudah sahaja. Seseorang yang tidak mengetahui bilangan solat yang ditinggalkan, maka dia hendaklah mengqada setiap fardu solat berulang-ulang kali sehingga dia yakin dia telah mengqadakan sepenuhnya. Sekiranya dia masih tidak yakin, maka dia terus mengqadanya sehingga sampai tahap yakin. Dengan cara itu semua solat yang ditinggalkan dikira telah diqada sepenuhnya.

(Catatan Syeikh Ahmad Faisol Hj Omar)