Selasa, 2 Mei 2017

Jangan kita hanyut dengan politik moden yang meminggirkan panduan al-Quran dan as-Sunnah

Seluruh umat Islam di negara ini dinasihatkan agar jangan ghairah sangat dengan politik sampai meminggirkan panduan yang diberikan dalam Al-Quran dan Sunnah sehingga umat boleh dipergunakan untuk bertelagah sesama sendiri.

Itu mesej Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya sempena Muktamar Tahunan PAS Pusat 2017 kali ke-63 di Kota Sarang Semut, Alor Setar.

“Apa yang pentingnya ialah kita tidak tidur dan hanyut dengan politik moden yang meminggirkan panduan al-Quran dan as-Sunnah, atau yang hanya mengambil sekerat-sekerat dari ajaran Islam sehingga menjadi alat mainan kepada pihak yang terang dan nyata menjadi musuh kepada Islam dengan agenda pecah perintah dan penyelewengan ilmu yang dirancangkan terhadap umat Islam,” tegas Tuan Guru Haji Abdul Hadi.

Katanya, suasana politik di Malaysia ini menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 telah mewujudkan rasa ghairah yang melampau kerana tumpuan banyak diberikan kepada parti mana yang bakal memperolehi kuasa jika menang nanti.

“Ada pula di kalangan umat Islam yang terlalu teruja, sehingga tidak sedar menjadi bidak di papan catur yang dipergunakan oleh kalangan yang mempunyai agenda tidak baik terhadap umat Islam, sedangkan umat Islam ingin kembali pada kehidupan beragama sebagai satu cara hidup,” katanya.

Nasihat Tuan Guru Haji Abdul Hadi itu dilihat menjurus kepada ahli PAS yang curang dan beralih arah kepada menjadi ahli PAN sehingga memusuhi PAS sehingga orang Melayu sesama Melayu bertelagah sesama sendiri. Dalangnya ialah DAP yang melaga-lagakan dan mempergunakan orang-orang berkenaan yang amat ghairah berpolitik sehingga mencipta musuh sesama sendiri.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng sudah diketahui sebagai dalang menghasut beberapa bekas pemimpin PAS untuk bersama-sama menyokong mereka dan meninggalkan dasar Islam yang diperjuangkan parti PAS seterusnya menubuhkan parti PAN.

Kemudian, dalam ucapannya juga, Tuan Guru Haji Abdul Hadi menyeru kepada orang Islam di negara ini untuk terus kekal istiqamah beriman kepada hari Akhirat, serta mengambil perhatian dalam hal dosa dan pahala dalam setiap tindak tanduk mereka.

“Adapun aqidah beriman kepada Hari Akhirat menjadikan semua tindak tanduk manusia tanpa mengira sesiapa, tetap ada perhitungan dosa dan pahala, yang menentukannya mengikut hisab amalannya” ujar beliau.

Kemudian, beliau menyatakan bahawa sesiapa yang berjaya lepas dari hukuman di dunia kerana kedudukannya yang pandai menipu atau boleh melepas pengkuatkuasaan undang-undang kerana berkuasa, pasti tidak akan terlepas dari hukuman ketika hari Akhirat nanti.

Iltizam pemimpin PAS pada muktamar kali ini benar-benar memperlihatkan keinginan PAS untuk menghalang parti-parti dalam Pakatan Harapan iaitu DAP, PKR, PPBM dan PAN untuk berjaya menang pada PRU ke-14 nanti selepas sudah dibuli dan dikenakan berkali-kali ketika mereka bersama-sama dalam Pakatan Rakyat.

Menjelang suasana pilihan raya, sudah pasti para pemimpin PAS akan menjelaskan kepada orang ramai di peringkat akar umbi akan kejahatan mereka yang ada dalam DAP serta menasihati mereka supaya tidak memberikan undi lagi kepada parti-parti itu demi kelangsungan kuasa politik di tangan orang Melayu berterusan.