PAUTAN TAMBAHAN

Isnin, 13 Februari 2017

POLITIK DAN AGAMA TIDAK DAPAT DIPISAHKAN



Dalam kehidupan seharian, setiap benda yang bernyawa mahupun yang tidak bernyawa mempunyai saling kaitan antara satu sama lain. Hal-hal seperti agama dan politik tidak terkecuali dalam hal ini. Politik merangkumi makna yang cukup luas. Bukan sahaja tertumpu kepada aspek pentadbiran dan kenegaraan semata-mata, malahan hubungan sesama manusia dan juga kehidupan seharian juga dikatakan sebagai politik. Pendek kata , apa sahaja yang kita lakukan adalah politik. Kita mungkin keliru memikirkan apa yang dimaksudkan sebagai politik itu. Akan tetapi inilah hakikat yang sebenarnya . Agama sebagai satu kepercayaan dan pegangan merupakan tunjang kepada semua aspek kehidupan termasuklah aspek politik . Apa sahaja yang kita lakukan perlulah mengikuti jalan-jalan yang disyorkan oleh agama. Jika ianya bertentangan , sudah pasti akan terdapat masalah dan kerumitan yang bakal timbul.

Sebagai lanjutan, politik bertolak daripada aqidah dan juga berasaskan tasawur yang tetap dan syumul. Dari sinilah, Islam tidak terpisah daripada politik dan politik tidak tersisih daripada agama . Hakikat inilah yang melahirkan suatu ungkapan yang menggambarkan suatu rumusan yang diakui oleh umat Islam secara ijma’ : Islam din wa Dawlah. Apa yang ada dalam agama sehingga menyebabkan politik tidak tersisih daripadanya? Hal yang demikian mungkin menyebabkan kita tertanya-tanya . Di dalam agama terdapat aqidah yang mendukungnya. Aqidah merupakan asas dalam agama . Jika aqidah itu pincang , maka pincanglah agama itu.

Ciri-ciri dalam aqidah Islam yang menyebabkan politik tidak tersisih daripada agama:-

1. Aqidah Islam adalah aqidah yang menyeluruh ( syumul )

Aqidah Islam yang menyeluruh membawa pengertian bagi semua aspek. Baik daripada aspek rohaniah mahupun jasmaniah. Gabungan daripada kedua-dua aspek ini memangkinkan kepada keutuhan politik dalam agama. Di sini tidak akan timbul politik yang tersisih daripada agama.

2. Aqidah Islam adalah aqidah yang kekal

Aqidah Islam merupakan aqidah yang kekal kerana ia berteraskan kepada asas-asas yang kekal . Ini berlainan sama sekali dengan sesetengah agama ataupun ideologi yang berdasarkan kepada materialisme semata-mata. Yang selainnya pula mengasaskan kepercayaan atau pegangannya kepada asas-asas yang bersifat sementara seperti kenegerian , kebangsaan atau perkauman . Pegangan yang teguh dan erat menyebabkan politik tidak akan tergelincir daripada landasan agama buat selama-lamanya

3. Aqidah Islam adalah aqidah yang sesuai sepanjang masa

Sememangnya kita mahukan politik itu bersesuaian dengan masa . Dalam hal ini , Islam dalam pecahannya iaitu aqidah merupakan ajaran yang bersesuaian sama ada pada tempat atau masa . Kita tidak mahu aspek politik yang kita uruskan itu hanya sesuai untuk masa-masa yang tertentu sahaja. Pastinya keributan ataupun kelam kabut tidak berlaku pada aspek politik jika aqidah yang didukung itu sesuai sepanjang masa .Inilah arah dan hala yang sedang dicari dan dituju oleh manusia masa kini setelah menyedari akan ketidaksesuaian pelbagai teori, ideologi dan kepercayaan yang direka dan dicipta oleh manusia yang bercanggahan dengan tabiat semulajadi insan dan kehidupan.

4. Aqidah Islam penyelamat ummat

Aqidah Islam dapat menyelamatkan manusia daripada segala macam bentuk penindasan termasuklah penindasan politik. Ini adalah kerana dalam Islam itu sendiri, semua manusia adalah sama tidak mengira keturunan ataupun darjat. Ini bersesuaian dengan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:-

" Manusia adalah sedarjat laksana gigi sikat; tidak ada kelebihan orang Arab atau orang Ajam kecuali dengan takwa."

Adalah menjadi kewajipan untuk menegur dan memperbetulkan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang menyebabkan penindasan dan kezaliman ke atas masyarakat dan rakyat. Al-Quran telah merakamkan banyak contoh yang waqi’i atau yang benar-benar telah berlaku sehingga menjadikan kita benar-benar merasakan betapa jauh kesan aqidah Islam ini dalam ketinggian dan kemuliaan hidup manusia.

5. Aqidah Islam penyusun nilai hidup

Dalam aqidah Islam, penyusunan dan pengaturan nilai-nilai hidup berlaku. Berlainan dengan ideologi-ideologi yang lain, ada yang meletakkan kekuatan dan kekuasaan sebagai nilai utama. Ada juga yang meletakkan materialistik sebagai matlamat dalam kehidupan. Jika ini berlaku, sudah pasti aspek politik dalam Islam akan tercemar. Walaubagaimanapun, aqidah Islam tidaklah sedemikian rupa. Aqidah Islam memusatkan alam semesta dan kehidupan manusia di atas asas nilai-nilai yang mutlak, umum dan tetap hak serta hakiki, iaitu nilai keimanan kepada Allah. Islam tidak menolak kekuatan tetapi meletakkannya di tempat yang sesuai . Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:-

" Dan siapkanlah kekuatan untuk menghadapi mereka menurut kesanggupan kamu dan pasukan berkuda di perbatasan untuk menggentarkan musuh Allah dan musuh kamu dan yang lain di samping mereka yang tidak kamu ketahui , tetapi Allah mengetahuinya . Dan apa-apa yang kamu nafkahkan di jalan Allah , nescaya akan dibalas cukup kepada kamu dan kamu tidak akan dirugikan".

(Surah Al Anfal, ayat 60)

Islam juga tidak menafikan nilai harta dan wang tetapi meletakkannya pada tempat yang layak dalam kehidupannya dengan panduan dan syaratnya yang menjamin keutuhan tamadun manusia itu sendiri. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:-

"Wahai orang-orang yang beriman ,janganlah kamu jadikan terlarang barang yang baik-baik ,yang dihalalkan oleh Allah kepada kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tiada menyukai orang-orang yang melampaui batas.

( Surah Al Maidah, ayat 87)

Masalah Yang Mungkin Akan Timbul Akibat Pemisahan Antara Politik Dan Agama.

Pemisahan sesuatu perkara daripada induknya akan mendatangkan masalah dan kerumitan. Hal ini sememangnya akan berlaku jika politik itu tidak berada di bawah dasar agama . Pastinya arah dan haluan politik itu sendiri akan terumbang ambing. Rintangan dan halangan yang tertentu akan menjadikan politik itu hanyut ditelan masa. Kemelut ini akan terus berpanjangan jika ianya tidak di ambil tindakan yang segera. Adapun masalah-masalah yang bakal timbul adalah:-

1. Wujud ketidakadilan dalam politik

Setiap insan di bumi ini termasuklah yang sempurna ataupun yang tidak sempurna mempunyai hak masing-masing. Hak mereka ini tidak boleh dicerobohi mahupun dicemari. Jika politik itu tidak berpandukan kepada agama, yang kuat akan menindas yang lemah. Hal yang sedemikian tidak sepatutnya terjadi . Apa yang sepatutnya adalah yang kuat membela yag lemah . Perkara sedemikian berlaku disebabkan oleh ketidakadilan yang menunjangi kehidupan . Natijahnya, tiada kesudahan bagi perkara ini. Mana yang hak dan yang batil tidak akan dapat ditentukan perbezaannya. Pendek kata, keburukan yang timbul adalah daripada keserakahan mencapai kemajuan duniawi dan kerana revolusi oknum-oknum dan golongan yang tidak sabar akan hukum moral dan ketertiban.

2. Wujud penyelewengan dalam politik

Dalam politik, amanah memainkan peranan yang penting . Jika sifat ini tiada dalam diri setiap individu , maka akan wujudlah penyelewengan. Hak seseorang individu itu pastinya akan dipergunakan oleh individu yang lain untuk kepentingan mereka sendiri. Mungkin hak kita sendiri yang akan digunakan tanpa kita sedari. Secara tidak langsung, kehidupan ini dikatakan sebagai kehidupan yang bukan hakiki tetapi kehidupan yang batil dan sesat , khayalan dan sangkaan yang tidak menghasilkan nilai-nilai yang hakiki tetapi menghasilkan kepalsuan, kehampaan dan sia-sia.

3. Wujud keributan dalam politik

Sesuatu perkara yang tidak ditunjangi oleh agama pastinya mendatangkan keributan ataupun kucar kacir dalam kehidupan manusia . Kehidupan manusia bukan sahaja akan kucar kacir , bahkan yang lebih dahsyat lagi adalah bakal menghancurkan. Manusia akan mula mencari arah dan hala tujuan mereka. Pada ketika ini, keadaan mungkin menjadi genting di mana masing-masing menuding jari menunjukkan kesalahan antara satu sama lain. Nilai-nilai murni yang selama ini terbina atas dasar ukhuwah akan menjadi pudar dan mungkin akan hilang.

Penutup

Telah jelas bahawa agama dan politik memang tidak boleh dipisahkan. Malahan apa-apa pun perbuatan yang dilakukan oleh manusia tidak boleh lari dari agama. Apalah gunanya nikmat agama yang telah diberikan oleh tuhan jika kita tidak dapat melaksanakannya dalan kehidupan. Sejarah telah membuktikan bahawa banyak kehancuran telah berlaku ke atas umat yang tidak menjadikan agama sebagai sandaran terutamanya dalam bidang politik. Cukuplah apa yang berlaku dan haruslah kita ambil tauladan supaya tidak berulang lagi. Adalah wajib bagi kita untuk memperjuangkan yang hak dan batil serta melaksanakannya.

Bibliografi :

H. Zainal Abidin Ahmad, Konsepsi Politik dan Ideologi Islam, N.V. Bulan Bintang. 1977; Jakarta.

H. Mahmud Yunus, Prof. Dr., Tafsir Quranul Qarim, PT. Hidakarya Agung, 186; Jakarta.

Kassim Thukiman, Malaysia: Perspektif Sejarah dan Politik, Cetakan Awal, UTM, 1996; Skudai.

Mohd. Sulaiman Yassin, Pengantar Akidah, Dewan Bahasa dan Pustaka. 1988; Kuala Lumpur.

Muhammad Al. Al-Burney, Islam Landasan Alternatif Administrasi Pembangunan, C.V Rajawali. 1985; Jakarta.

Ramli Awang et. al, Pengantar Falsafah Sains Cetakan Awal, Bahagian Falsafah Sains PPTS UTM, 1995; Skudai.

Syed Ameer Ali, Sejarah Evolusi dan Keunggulan Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka 1992; Kuala Lumpur.