Isnin, 23 Januari 2017

PAS Tidak Pernah Berganjak Dari Dasar Dan Prinsip


Oleh : Nasrudin bin Hassan

Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi, pemimpin PAS dan seluruh ahli PAS telah mempunyai komitmen yang tinggi terhadap dasar dan prinsip perjuangan PAS iaitu berjuang untuk menegakkan sebuah negara yang sejahtera dan selamat berasaskan keadilan yang sirna dari perlaksanaan Syariat Islam.

PAS tidak pernah berganjak dari dasar dan prinsip ini. Berjuang untuk membina negara yang bebas penyelewengan, korupsi, penindasan dan penyalahgunaan kuasa. YB Dato Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi selaku Presiden PAS tidak pernah mengheret PAS dan ahlinya lari dari landasan perjuangan suci ini.

Malah kerana mempertahankan dasar dan prinsip perjuangan inilah DAP lari meninggalkan PAS, DAP memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, DAP menyerang PAS tanpa henti dengan semangat anti Islam yang tebal dan melampau.

Inilah fokus perjuangan PAS, Iaitu melakukan perubahan secara total dan menyeluruh. Bukan memimpin agenda individu tertentu yang mabuk kuasa. Bukan sekadar ingin melampiaskan dendam kepada individu tertentu untuk dijatuhkan.

Fokus perjuangan PAS ialah memimpin gerakan perubahan secara total. Meruntuhkan jahiliah dan membina kesejahteraan, keadilan dan kedamaian dibawah pedoman dan petunjuk wahyu Allah swt Tuhan Yang Maha Mencipta manusia dan alam semesta ini.

PAS senantiasa berlapang dada dan membuka pintu untuk bekerjasama dengan semua pihak, selama mana mereka menghormati dan tidak menentang dasar dan prinsip perjuangannya.

Justeru itulah, PAS pernah menjalinkan kerjasama dengan DAP dalam Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR). Malangnya, sikap tidak jujur dan tidak sabar DAP membuatkan dua kali mereka meninggalkan PAS malah menikam dan menyerang PAS. (Sekali semasa bersama BA dan kali kedua ketika bersama PR)

Kali ini, sekali lagi DAP mahu menghulurkan salam kerjasama ? Kenapa ? Apakah DAP benar-benar terdesak ?

PAS tidak akan teruja dengan wayang opera bernilai murah yang sedang dipersembahkan oleh DAP hari ini. Cukuplah pengalaman dua kali diperlakukan DAP sedemikian rupa.

PAS telah siap berjuang mencapai cita-cita perjuangan tanpa DAP yang dikenali hari ini. PAS telah merangka roadmap menuju gerbang jaya PRU 14 tanpa DAP yang telah mengkhianati PAS.

PAS punya harga diri dan maruah yang tidak mungkin sesiapa lagi boleh memperdaya dan memperkotak-katikkannya.

Namun dalam masa yang sama, sekali lagi saya tegaskan bahawa PAS senantiasa bersedia membina kerjasama dengan pelbagai pihak yang sedia memahami, menghormati dan tidak menentang dasar serta prinsip perjuangan Islam yang diperjuangkan oleh PAS.

Sampaikan salam perjuangan kami buat YB Lim Kit Siang bahawa prinsip dan dasar perjuangan PAS bukan kostum untuk diperagakan di pentas opera DAP.