Rabu, 28 Disember 2016

ORANG - ORANG MUNAFIQ : MUSUH TERBESAR ISLAM, PEMECAH BELAH UMMAT



Bahaya Kemunafikan

Dalam surat al-Baqarah dikisahkan tentang tiga golongan manusia. Pertama, suatu golongan yang menerima ajaran Allah secara kaffah yang disebut sebagai orang-orang yang bertakwa.

Kedua, golongan yang menolak ajaran Allah secara mutlak yang dikenal sebagai orang-orang kafir. Golongan ini tidak saja menolak tapi juga memusuhi Islam, baik dengan perkataan maupun perbuatan.

Ketiga ialah golongan yang memiliki dua kepribadian, yakni berkepribadian Islam jika berada di tengah-tengah kaum muslimin, dan berkepribadian ingkar ketika sedang di antara orang-orang yang memusuhi Islam. Kelompok ini dinyatakan sebagai golongan orang-orang munafik.

Meskipun ketiga jenis golongan tersebut selalu ada dalam setiap perkembangan sejarah kehidupan manusia, namun Al-Qur'an lebih banyak menceritakan golongan orang-orang munafik karena keberadaan mereka di dunia dianggap sangat berbahaya.

KENALI GOLONGAN MUNAFIK . . .

Gerakan munafik bermula di Madinah di bawah pimpinan Abdullah bin Ubai. Sebelum kedatangan Rasulullah SAW ke Madinah, beliau merupakan seorang yang sangat berpengaruh di sana sebagaimana kedudukan Abu Sufyan di Makkah. Selepas Peperangan Bu’as, penduduk Madinah sudah bersepakat untuk melantik Abdullah bin Ubai sebagai ketua di Madinah, malah mahkotanya pun sudah siap dibuat. Masyarakat Madinah bersetuju melantik Abdullah bin Ubai menjadi raja menunjukkan dia memiliki sifat-sifat yang menyebabkan dia dihormati dan dimuliakan.

Sebelum Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah, kaum Yahudi sudah lama bertapak di sana. Kaum Yahudi dikenali sebagai ahli Kitab, orang beragama yang memiliki peradaban yang mulia berbanding orang-orang Arab Madinah. Kaum Yahudi juga menguasai bidang ekonomi dan mempunyai kekuatan dalam bidang ketenteraan. Kaum Yahudi yang dikenali sebagai ahli agama, ahli ilmu, ahli ekonomi dan ahli ketenteraan menyebabkan mereka dipandang tinggi oleh orang Arab Madinah. Lantaran itu, orang Arab Madinah suka meniru peradaban Yahudi tetapi mereka tidak memeluk agama Yahudi. Bagi orang Arab agama Yahudi dilihat sebagai khusus untuk orang Yahudi sahaja. Walaupun tidak menerima agama Yahudi, banyak nilai-nilai moral Yahudi diterima pakai oleh orang Arab Madinah.

Golongan Arab Madinah yang berilmu merupakan orang yang paling banyak mencedok peradaban Yahudi dan meng’Arab’kan peradaban tersebut, termasuklah Abdullah bin Ubai. Kumpulan Abdullah bin Ubai mempraktikkan nilai-nilai moral yang lebih tinggi daripada orang Arab Madinah yang lain. Oleh kerana itu, mereka dipandang tinggi dan dihormati.

Ketika Perang Bu’as hampir berlaku di antara dua golongan terbesar di Madinah, kumpulan Abdullah bin Ubai menentang suku-suku mereka yang mahu berperang itu. Bila peperangan berlaku, Abdullah bin Ubai juga tidak ikut serta dalam peperangan tersebut. Sikap berkecualinya menyebabkan dia dicadangkan untuk menjadi raja setelah kedua-dua pihak yang berperang itu berdamai.

Walaupun menimba dari telaga Yahudi, namun ahli fikir Arab Madinah mempertahankan ke-Araban mereka. Sikap yang demikian menyebabkan terbentuk aliran pemikiran yang kabur. Ia bukan Yahudi dan bukan juga Arab. Mereka menganggap diri mereka setaraf dengan orang Yahudi yang berilmu dan mereka lebih mulia daripada umat Arab yang jahil. Oleh kerana apa yang terbentuk dalam aliran pemikiran mereka tidak jelas, maka tidak ada satu bentuk kepercayaan atau akidah yang mereka pertahankan. Mereka mempertahankan satu perkara sahaja, iaitu merekalah golongan Arab yang paling pintar dan orang-orang Arab yang lain tidak sama dengan mereka.

Apabila agama Islam datang ke Madinah dibawa oleh orang Arab Makkah, kumpulan Abdullah bin Ubai sejak awal-awal lagi telah menolaknya. Mereka menganggap apa yang baru datang itu lebih rendah daripada apa yang ada dengan mereka. Mereka menjadi golongan yang tidak mempertahankan sebarang kepercayaan dan juga tidak ada satu kepercayaan yang mereka terima. Sebagaimana golongan Yahudi yang menganggap semua bangsa di dunia lebih rendah daripada mereka, begitu juga kumpulan Abdullah bin Ubai yang meminum air daripada telaga Yahudi, menganggap semua orang Arab lebih rendah daripada mereka. Mereka adalah golongan yang sudah ada keputusan untuk mengunci mata, telinga dan hati mereka daripada segala agama yang datang kepada mereka.

Arus perkembangan Islam melanda Madinah dengan pantas dan menyeluruh. Dalam tempoh kurang dari satu tahun, hampir keseluruhan penduduk Madinah sudah memeluk agama Islam. Segala aktiviti tertumpu kepada Nabi Muhammad SAW dan agama Islam. Kumpulan Abdullah bin Ubai yang memandang diri mereka sebagai lebih mulia itu tidak ada pilihan lain, melainkan ikut serta di dalam rentak perkembangan Madinah supaya tidak tersisih. Namun, penyertaan mereka sebenarnya bertujuan mencari jalan merampas semula kekuasaan di Madinah sebagaimana sebelum kedatangan agama Islam dan Nabi Muhammad SAW. Mereka mahu orang-orang Makkah meninggalkan Madinah.

Oleh kerana mereka tidak mempunyai satu bentuk kepercayaan yang jelas dan tidak ada satu agama dipertahankan, mereka boleh bergerak cergas dalam apa juga medan kepercayaan atau agama. Istilah dosa, pahala, syurga, neraka, hari kiamat, halal dan haram tidak ada pada mereka. Akhirat tidak ada dalam pandangan mereka. Apabila tidak ada agama yang diperjuangkan dan tidak ada kepercayaan kepada perkara ghaib, kumpulan tersebut menyertai kegiatan agama orang lain dalam keadaan yang dipanggil ‘MUNAFIK’. Mereka memakai baju agama padahal mereka tidak ikhlas berbuat demikian dan tidak merelakannya.

Munafik berbeza daripada kafir. Orang kafir tidak meyakini agama Islam kerana mereka mempunyai kepercayaan sendiri dan mereka pertahankan kepercayaan tersebut. Penentangan mereka terhadap Islam adalah jelas. Orang munafik pula di samping tidak beriman kepada agama Islam, mereka tidak mendatangkan kepercayaan yang menjadi alternatif dan mereka tidak menyebarkan sebarang bentuk kepercayaan. Oleh yang demikian mereka boleh menyertai kegiatan Islam seolah-olah mereka adalah orang Islam sejati dan mereka boleh menentang Islam seolah-olah mereka adalah orang kafir tulen. Mereka menganggap Islam laksana baju yang boleh dipakai dan ditanggalkan hanya apabila ianya mendatangkan keuntungan kepada mereka.

Allah SWT berfirman tentang keadaan golongan munafik: “Dan sebahagian daripada manusia ada yang berkata: “Kami telah beriman kepada Allah dan Hari Kemudian”. Padahal mereka bukan orang-orang yang beriman. Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang yang beriman, padahal mereka tidak perdayakan melainkan diri mereka sendiri sedangkan mereka tidak sedar. Di hati mereka ada penyakit, lalu Allah tambahkan penyakit kepada mereka dan adalah bagi mereka seksaan yang pedih sebab mereka telah berdusta. Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Janganlah kamu membuat kerosakan di bumi”, mereka menjawab: “Kami tidak lain melainkan orang yang membuat kebaikan”. Ketahuilah bahawa mereka itu adalah orang yang membuat kerosakan tetapi mereka tidak sedar. Dan apabila dikatakan kepada mereka, “Berimanlah sebagaimana orang yang telah beriman”. Mereka berkata, “Apakah harus kami beriman seperti orang-orang bodoh itu beriman?” Ketahuilah mereka itulah orang-orang yang bodoh tetapi mereka tidak ketahui. Dan apabila mereka bertemu dengan orang yang beriman mereka berkata, “Kami telah beriman”. Apabila bersendirian dengan syaitan-syaitan mereka, mereka berkata, “Kami beserta kamu. Kami tidak lain melainkan memperolok-olokkan (orang yang beriman).” (QS Al-Baqarah: 8~14)

Orang munafik sangat berbeza daripada orang kafir. Orang kafir dengan tegas menyatakan tidak beriman baik secara terang-terangan atau pun secara bersembunyi. Ancaman azab neraka dan pujukan nikmat syurga tidak menarik orang kafir kepada iman. Orang munafik pula mengucap dua Kalimah Syahadah dengan lidah mereka dan tidak keberatan menyertai amalan ibadat bersama-sama orang Islam yang lain, tetapi ucapan dan ibadat yang dilakukan itu tidak berbekas pada hati mereka. Mulut mereka mengatakan beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat tetapi hati mereka kufur. Mereka adalah orang yang Islam pada zahir tetapi kafir pada hati. Perbuatan zahir mereka sesuai dengan perbuatan orang yang beriman kerana mereka mahu menyembunyikan apa yang ada dalam hati mereka. Ada kepentingan diri yang mahu dijaga.

Golongan munafik tidak mengakui kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad SAW. Bagi mereka, Nabi Muhammad SAW hanyalah seorang lelaki Arab yang sama dengan lelaki Arab yang lain, yang dipandang lebih rendah daripada mereka. Mereka menolak kepimpinan Nabi Muhammad SAW. Mereka mahu agar Baginda SAW mengikuti kepimpinan mereka. Mereka juga tidak mempunyai perasaan hormat kepada Nabi Muhammad SAW. Oleh kerana itu, mereka tidak menerima kedudukan wahyu sebagai Kalam Allah SWT. Mereka menganggap wahyu hanyalah perkataan Nabi Muhammad SAW yang sama dengan perkataan orang lain yang boleh dihujah dan ditolak. Golongan munafik, dengan kerjasama kaum Yahudi, sangat aktif di dalam mempertikaikan wahyu dan hadis Nabi Muhammad SAW.

Allah SWT memperingatkan Rasulullah SAW supaya sentiasa berwaspada terhadap golongan munafik yang akan mencuba untuk membawa baginda SAW tunduk kepada pemimpin mereka. Rasulullah SAW juga diperingatkan bahawa golongan munafik itu tidak suka kepada Baginda SAW: “Wahai Nabi! Patuhlah kepada Allah dan jangan engkau turuti orang-orang kafir dan munafik, sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui dan Bijaksana.” (QS al-Ahzab: 1)

“Dan jangan engkau tunduk kepada orang-orang kafir dan orang-orang munafik, dan biarkanlah gangguan mereka. Dan berserah dirilah kepada Allah kerana cukuplah Allah sebagai Pemelihara.” (QS Al-Ahzab: 48)

“Apabila dikatakan kepada mereka: "Marilah kamu kepada hukum yang Allah telah diturunkan dan kepada hukum Rasul", niscaya kamu lihat orang-orang munafik menghalangi (manusia) dengan sekuat-kuatnya dari (mendekati) kamu.” (QS An-Nisa’: 61)

“Di antara mereka (orang-orang munafik) ada yang menyakiti Nabi dan mengatakan: "Nabi mempercayai semua apa yang didengarnya". Katakanlah: "Ia mempercayai semua yang baik bagi kamu, ia beriman kepada Allah, mempercayai orang-orang mukmin, dan menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu". Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab yang pedih.” (QS At-Taubah: 61)

Jadi, amat sukar untuk menangani golongan munafik kerana secara terang-terangan mereka mengaku beriman walaupun hati mereka menolak. Mereka juga sanggup bersumpah bagi menegakkan benang yang basah. Firman Allah SWT: “Mereka akan bersumpah dengan nama Allah kepada kamu untuk menyenangkan kamu, padahal Allah dan Rasul-Nya yang lebih patut mereka sukakan jika adalah mereka orang yang beriman.” (QS At-Taubah: 62)

Oleh kerana golongan munafik hidup dalam kepura-puraan, mereka sangat takut jika rahsia mereka diketahui oleh orang lain. FirmanNya: “Orang-orang yang munafik itu takut akan diturunkan terhadap mereka sesuatu surat yang menerangkan apa yang tersembunyi dalam hati mereka. Katakanlah kepada mereka: "Teruskanlah ejekan-ejekanmu (terhadap Allah dan Rasul-Nya)". Sesungguhnya Allah akan menyatakan apa yang kamu takuti itu.” (QS At-Taubah: 64)

Apabila rahsia mereka terbongkar, golongan munafik akan berdolak-dalih. Bila bertembung dengan kebenaran yang tidak dapat dielakkan golongan munafik tidak akan mempertahankan kesesatan dan kebohongan yang mereka telah lakukan. Firman Allah SWT: “Dan jika engkau tanyakan kepada mereka tentu mereka akan berkata, “Kami ini hanya bergurau senda dan bermain-main”. Katakanlah: “Apakah dengan Allah dan ayat-ayat-Nya dan Rasul-Nya kamu hendak berolok-olok?” (QS At-Taubah: 65)

Golongan munafik menyebarkan ajaran yang menyalahi syariat Islam. Apabila syariat meletakkan peraturan amal makruf dan mencegah kemungkaran, mereka akan menilai yang makruf sebagai keuntungan duniawi dan yang mungkar pula sebagai kerugiannya. Mereka menganggap zakat dan sedekah bukan sebagai amal makruf kerana ia merugikan dari segi keduniaan. FirmanNya: “Orang-orang munafik laki-laki dan perempuan, sebahagian dengan sebahagian yang lain adalah sama, mereka menyuruh membuat yang mungkar dan melarang berbuat yang makruf dan mereka menggenggamkan tangannya. Mereka telah lupa kepada Allah, maka Allah melupakan mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik, itulah orang-orang yang fasik.” (QS At-Taubah: 67)

Golongan juga berani menggunakan nama Allah bagi menutup kesesatan dan kekufuran mereka. Allah SWT memerintahkan agar Nabi SAW berjihad memerangi orang munafik kerana mereka adalah orang-orang yang kufur. Firman Allah SWT: “Wahai Nabi! Berjihadlah terhadap kaum kafir dan munafik dan berlaku keraslah terhadap mereka. Tempat kembali mereka adalah jahanam dan itulah yang seburuk-buruk kesudahan. Mereka akan bersumpah dengan nama Allah bahawa mereka tidak pernah berkata, padahal mereka pernah mengatakan kalimat kufur dan mereka telah kafir sesudah Islam dan mereka sangat mengingini apa yang tidak dapat mereka capai. Dan tidaklah kebencian mereka itu melainkan kerana Allah dan Rasul-Nya telah memperkayakan orang yang beriman dengan kurnia-Nya. Tetapi jika mereka bertaubat adalah baik bagi mereka dan jika mereka berpaling, Allah akan azabkan mereka dengan satu azab yang pedih di dunia dan di akhirat; dan tidak ada bagi mereka pembantu di bumi dan tidak ada penolong.” (QS At-Taubah: 73~74)

Al-Quran memberi peringatan tentang ancaman golongan munafik terhadap keselamatan dan kepercayaan orang yang beriman. Allah SWT telah menamakan satu surah al-Quran dengan surah ‘Al-Munafiqun’, bagi mengingatkan kaum Muslimin betapa bahayanya kehadiran golongan munafik di dalam masyarakat kaum Muslimin. Allah SWT menggesa Nabi Muhammad SAW dan kaum Muslimin pada semua zaman agar sentiasa berwaspada terhadap tipu daya dan fitnah yang datang daripada golongan munafik.

FirmanNya: “Apabila orang munafik datang kepada kamu mereka akan berkata, “Kami mengakui bahawasanya kamu Rasul Allah,” padahal Allah mengetahui bahawasanya engkau pesuruh-Nya dan Allah menyaksikan bahawasanya kaum munafik itu adalah orang yang berdusta. Mereka jadikan sumpah-sumpah mereka sebagai perlindungan, lalu mereka halangi manusia dari jalan Allah. Sesungguhnya jelek apa yang telah mereka kerjakan. Yang demikian lantaran beriman kemudian mereka kufur, lalu dimeterai atas hati mereka; oleh itu mereka tidak dapat memahami. Dan apabila engkau lihat mereka, menghairankan kamu tubuh-tubuh mereka; dan jika mereka berkata-kata, engkau dengarkan perkataan mereka. Mereka seolah-olah kayu yang disandarkan. Tiap-tiap teriakan mereka sangka buat membahayakan mereka. Mereka adalah musuh; maka hendaklah engkau awasi mereka. Allah laknati mereka! Ke manakah mereka dipalingkan?" (QS Al-Munafiqun: 1~4)

Allah SWT telah memperingatkan kepada Nabi SAW dan kaum Muslimin pada setiap masa supaya jangan membiarkan racun yang ditabur oleh golongan munafik memusnahkan umat. Sekali lagi Tuhan memberi peringatan dengan firmanNya: “Wahai Nabi! Berjihadlah menentang kaum kafir dan munafik dan berlaku keraslah terhadap mereka dan tempat kembali mereka itu adalah jahanam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali." (QS At-Tahrim: 9)

Allah SWT telah memberi peringatan kepada kaum Muslimin, sekiranya kegiatan golongan munafik yang mencampur adukkan kesesatan dan kekufuran ke dalam akidah Islam tidak dibendung, nescaya umat Islam akan menemui kehancuran. Umat Islam mestilah berwaspada terhadap orang munafik yang berada di tengah-tengah mereka. Tanda munafik mudah dikenal melalui keengganan mereka berjuang pada jalan Allah SWT.

Firman Allah SWT: “Dan supaya Allah mengetahui siapa orang yang munafik. Kepada mereka dikatakan: "Marilah berperang di jalan Allah atau pertahankanlah (dirimu) ". Mereka berkata: "Sekiranya kami mengetahui akan terjadi peperangan, tentulah kami mengikuti kamu". Mereka pada hari itu lebih dekat kepada kekafiran dari pada keimanan. Mereka mengatakan dengan mulutnya apa yang tidak ada terkandung dalam hatinya. Dan Allah lebih mengetahui apa yang mereka sembunyikan. Orang-orang yang mengatakan kepada saudara-saudaranya dan mereka tidak turut pergi berperang: "Sekiranya mereka mengikuti kita, tentulah mereka tidak terbunuh ". Katakanlah:" Tolaklah kematian itu dari dirimu, jika kamu orang-orang yang benar.” (QS Ali Imran: 167~168)

Kemunafikan jelas lebih ketara melalui ibadat yang mereka lakukan sambil lewa sahaja, semata-mata untuk tontonan. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk bersolat, mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riya’ di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sedikit sekali. Mereka dalam keadaan ragu-ragu antara yang demikian: Tidak masuk kepada golongan ini (orang-orang beriman) dan tidak (pula) kepada golongan itu (orang-orang kafir). Barangsiapa yang disesatkan Allah, maka kamu sekali-kali tidak akan mendapat jalan baginya.” (QS An-Nisa’: 142~143)

Allah SWT telah memberi amaran yang yang keras kepada orang-orang munafik melalui firmanNya: “Sesungguhnya jika tidak berhenti orang-orang munafik, orang-orang yang berpenyakit dalam hatinya dan orang-orang yang menyebarkan khabar bohong di Madinah (dari menyakitimu), niscaya Kami perintahkan kamu (untuk memerangi) mereka, kemudian mereka tidak menjadi tetanggamu melainkan dalam waktu yang sebentar, dalam keadaan terlaknat. Di mana saja mereka dijumpai, mereka ditangkap dan dibunuh dengan sehebat-hebatnya. Sebagai sunnah Allah yang berlaku atas orang-orang yang telah terdahulu sebelum (mu), dan kamu sekali-kali tiada akan mendapati perubahan pada sunnah Allah.” (QS Al-Ahzab: 60~62)

Dari as-Syaikhan dari Ibn.'Amr, Rasulullah SAW bersabda: "Empat sifat, siapa yang bersifat dengannya bererti ia seorang munafik yang nyata, dan siapa yang mempunyai salah satu dari sifat−sifat itu bererti ia mempunyai satu sifat munafik sehingga ia meninggalkan sifat itu iaitu : Apabila bercakap ia dusta, apabila berjanji ia mungkiri, apabila ia mematerikan perjanjian ia cabuli perjanjian itu dan apabila berbalah (bertengkar) ia sentiasa ingin menang." (HR Bukhari dan Muslim)

Kesimpulannya, Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW telah memberi gambaran yang jelas tentang orang munafik. Rasulullah SAW dan kaum Muslimin mengenali golongan munafik yang ada di dalam masyarakat mereka. Mereka dapat menunjukkan dengan jelas bahawa Abdullah bin Ubai adalah pemimpin golongan munafik. Keterangan yang telah diberikan oleh al-Quran memberi manfaat bagi kaum Muslimin dalam mengawasi pergerakan golongan munafik agar perpaduan, keselamatan dan kesejahteraan kaum Muslimin dapat dipelihara. Umat Islam yang datang kemudian mestilah memerhatikan petunjuk daripada al-Quran bagi mengenali musuh-musuh mereka.

Abdullah bin Ubai telah pun mati. Markas golongan munafik, sebuah masjid yang dibina di Zu Awan, sudah pun dibakar oleh kaum Muslimin pada zaman Rasulullah SAW. Tetapi kaum Muslimin perlu sentiasa berwaspada kerana racun munafik sentiasa berjalan hingga ke hari ini.

Golongan munafik terdiri daripada orang-orang yang sangat licik. Mereka hidup bersama-sama orang Islam, mengaku sebagai orang Islam dan melibatkan diri dalam kegiatan kaum Muslimin, malah mereka merasakan yang mereka lebih Islam daripada orang-orang Islam yang lain.

Memang sukar untuk mengenali hati yang munafik kerana mulutnya mengucapkan Dua Kalimah Syahadah dan anggotanya melakukan ibadat bersama-sama kaum Muslimin yang lain. Orang munafik bergerak di dalam masyarakat orang Islam, sebagai orang Islam dan menggunakan ajaran Islam. Orang munafik melakukan apa yang sudah dibuat oleh kaum Yahudi dan Nasrani, iaitu mengubah maksud kitab Allah dan meminda syariat Islam. Mereka mengadakan tafsiran al-Quran menurut cara mereka sendiri. Golongan munafik adalah ilmuan yang mengeluarkan al-Quran tiruan dan Hadis palsu, terutamanya dalam soal yang bersangkutan dengan akidah dan kebatinan. Daripada golongan yang demikianlah muncul istilah kebudayaan Islam yang ditampalkan kepada kegiatan maksiat yang berlawanan dengan syariat Tuhan.

Lahir pula persatuan Islam pada nama tetapi bergiat memecah-belahkan perpaduan umat Islam. Ada pula istilah seni bina Islam diletakkan pada bangunan yang digunakan sebagai sarang perjudian dan pelacuran. Lebih buruk lagi timbul akidah syirik yang dikatakan sebagai akidah Islam yang sebenarnya. Racun yang dikeluarkan oleh Abdullah bin Ubai dan teman-temannya sudah meresap ke dalam darah daging umat Islam di seluruh dunia pada hari ini. Hanya bimbingan daripada Allah SWT yang dapat menyelamatkan umat Islam daripada fitnah golongan munafik itu.

Orang munafik tidak mempunyai kepercayaan dan pegangan yang jelas. Mereka sendiri tidak pasti apakah yang mereka pegang dan imankan. Mereka bergerak berlandaskan kepercayaan dan pegangan orang lain dengan mengadakan perubahan kepada yang asli, tetapi mereka tetap menggunakan label yang asli, seperti lembu yang mati di tepi jalan diletakkan label halal. Orang munafik bergerak di dalam masyarakat orang Islam, bercakap pasal Islam, tetapi apa yang mereka bawa adalah perkara yang sudah diselewengkan. Orang yang berilmu dapat melihat penyelewengan tersebut tetapi orang jahil akan keliru kerana si munafik bercakap tentang Allah SWT dan agama Islam. Lebih-lebih lagi si munafik itu pandai menggunakan hujah keagamaan, terutamanya secara usul yang tidak ada kesudahan.

Mereka bijak menggunakan cara berteka teki yang sukar difahami. Lebih mengelirukan lagi apabila mereka berhujah dengan menyandarkan kepada Hadis Rasulullah SAW, perkataan sahabat dan wali-wali yang mereka gubah sendiri, yang tidak diketahui oleh orang jahil. Orang munafik sanggup bersumpah bohong dengan menggunakan nama Allah bagi memerangkap orang yang jahil.

Orang Islam yang jahil mudah terperangkap dengan ajaran sesat orang munafik. Kegiatan orang munafik menjadi lebih mudah setelah berlaku proses asimilasi unsur-unsur agama-agama lain seperti Buddha, Hindu dan Kristian ke dalam agama Islam.