Khamis, 9 Jun 2016

POLITIK DAN AGAMA & CADANGAN PINDAAN AKTA 355 MAHKAMAH SYARIAH



Dalam hal beragama, adalah tidak adil bagi mana-mana pihak meletakkan had kepada cara penganutnya mengamalkan ajaran agama masing-masing. Malah sebenarnya tiada apa yang perlu dimalukan dengan amalan agama masing-masing.

Contohnya, tiada sesiapa yang harus menggunakan undang-undang pencemaran alam sebagai alasan untuk menghalang dan mengugut orang bukan Islam daripada melakukan kewajibannya membakar bahan-bahan yang disembahkan ketika melakukan sembahyang kubur atau di tempat beribadat mereka.

Orang agama lain tidak perlu sibuk berhujah mengambil contoh daripada agama mereka untuk memujuk orang bukan Islam meninggalkan upacara membakar bahan-bahan yang disembahkan hanya kerana agama mereka tidak mengamalkannya. Bayangkan sekiranya ada perkara sedemikian berlaku, susah tentu keharmonian antara kaum dan agama akan terjejas teruk.

Perkara yang sama juga dengan orang Islam dan agama Islam. Di dalam agama Islam, ada larangan-larangannya terhadap penganut. Dan di dalam agama Islam, sudah ada ketentuan hukuman bagi penganut yang menyalahi larangan-larangan tersebut. Tidak perlulah ada suara-suara mempertikaikan mengapa agama Islam menetapkan ketentuan sebegini dan mengapa umat Islam mahukan perkara ini dilaksanakan. Ia adalah sebahagian daripada tuntutan agama sebagaimana seorang Muslim akan cuba menunaikan haji apabila peluang tiba dan dia sudah mampu melakukannya.

Adalah lebih elok kalau masing-masing dapat mengikut ajaran agama masing-masing dan mengiktiraf kewajipan agama lain asalkan ia dapat membawa kebaikan daripada keburukan dan mengukuhkan keharmonian dan hubungan antara kaum dan agama.

Hari ini, had hukuman Akta Mahkamah Syariah (Akta 355) terhadap pesalah beragama Islam sahaja dalam 4 perkara iaitu minum arak, qazaf (tuduh zina), murtad dan berzina adalah seperti berikut: denda tidak melebihi RM5,000, penjara tidak melebihi 3 tahun dan sebatan tidak melebihi 6 sebatan atau mana-mana kombinasi.

PAS hanya mencadangkan agar pesalah beragama Islam dihukum lebih berat dengan menaiktaraf Mahkamah Syariah agar had hukuman (RM5000 denda, 3 tahun penjara dan 6 sebatan) dapat dipinda kepada satu angka yang memenuhi tuntutan Islam agar pesalahlaku beragama Islam akan menghindari perbuatan jahat seperti zina, qazaf, arak dan murtad.

Orang bukan Islam tidak mungkin dibicara di Mahkamah Syariah dalam 4 kesalahan ini.

Akta 355, juga tidak berkaitan dengan kesalahan awam seperti kecurian atau rompakan kerana di bawah kuasa kerajaan persekutuan. Oleh itu, tiada hukuman potong tangan seperti yang diwar-warkan. Akta 355 juga tidak melibatkan hukuman bunuh dan tidak boleh digunakan dalam kes-kes rogol, kerana itu melibatkan kuasa undang-undang perseketuan di bawah Akta Jenayah.

Itulah ringkasnya cadangan bagi menaiktaraf kuasa Mahkamah Syariah ini. Ia sebuah inisiatif dari orang Islam kepada orang Islam agar mereka sentiasa berkelakuan baik dan jangan sesekali berbuat jahat demi memelihara keharmonian dan keamanan dalam masyarakat.

Teruk sangatkah, dan gerun sangatkah cadangan pindaan yang sedikit ini terhadap Akta 355 melalui RUU persendirian Presiden PAS? Apakah reaksi berlebihan parti-parti politik bukan Islam setimpal dengan apa yang dicadangkan? Apakah hak orang Islam untuk melaksanakan ajaran Islam perlu dinafikan hanya kerana mereka sengaja mempolitikkan perkara yang tidak melibatkan mereka?

Bayangkan kalau ada parti yang hendakkan kerjasama meletakkan syarat di mana penganut agama lain tidak lagi boleh melakukan pembakaran, termasuk pembakaran mayat kerana kekangan undang-undang alam sekitar, apakah kerjasama itu masih akan wujud? Oleh itu, adalah mustahil kerjasama politik dilakukan dengan mana-mana pihak yang sanggup menghalang kewajipan bagi umat Islam mengamalkan ajaran agamanya, terutamanya apabila perkara sekecil seperti mengusulkan pindaan Akta 355 untuk menaiktaraf Mahkamah Syariah menjadi titik pertikaian. Dan itulah yang berlaku antara DAP dan PAS.

Orang Islam mempunyai kewajipan terhadap agamanya, sebagaimana penganut agama lain melaksanakan kewajipan mereka. Kewajipan orang Islam ini tidak pernah pun mencampuri urusan agama lain.

PAS tidak mengambil jalan pendek untuk melaksanakan tuntutan agama dalam pindaan Akta 355. Presiden PAS mengemukakan cadangan Pindaan RUU 355 melalui Parlimen untuk dibahas dan diterima. Ia memenuhi semua prosiding dalam sistem demokrasi yang diamalkan dalam negara ini.

Di manakah alasan bahawa ia bercanggah dengan perlembagaan negara?

Punca rakyat, nama negara dan nilai Ringgit merana hari ini ialah kerajaan Umno-BN. Berlakunya pelbagai gejala sosial, rasuah, salahguna kuasa sehingga muncul pelbagai isu yang membebankan masyarakat di Malaysia hari ini seperti isu 1MDB, GST, isu dana RM2.6 bilion dan lain-lain menunjukkan satu penyelesaian menyeluruh diperlukan, terutamanya untuk mencabut akar budaya rasuah yang menyubur hari ini.

Menumbangkan kerajaan Umno-BN memang menjadi agenda perjuangan politik PAS sejak mula ditubuhkan. PAS tidak pernah berubah dasar dan perjuangan bahkan sejarah pertembungan politik negara ini adalah pertembungan antara PAS dan Umno. Ahli-ahli PAS ditekan dengan pelbagai bentuk bahkan kerajaan Kelantan terus dianaktirikan dan sistem federalism tidak berjalan sebagaimana sepatutnya.

Semua ini ditanggung oleh ahli PAS.

Adalah aneh ada pihak yang bertubi-tubi menuduh PAS hendak bekerjasama dengan Umno. Apa lagi bukti PAS ialah musuh politik Umno yang lebih jelas daripada tindakan PAS melawan Umno di semua PRU dan PRK?

Kerjasama politik blok pembangkang memang menjadi hasrat rakyat negara ini, bahkan PAS juga melihat keperluan yang sama. Namun, bagi PAS, parti tidak boleh bersetuju dengan kerjasama politik yang menyekat PAS daripada melaksanakan kewajipan sebagaimana yang dituntut ajaran Islam sebagaimana PAS juga tidak akan bersetuju mengadakan kerjasama politik bagi menyekat pengamalan bagi agama lain.

PAS berjuang di atas prinsip Islam sebagaimana kami diasaskan. PAS sejak dahulu tidak bersama Umno. Semua ini adalah berpaksi kepada pertembungan dasar antara PAS dengan Umno.

PAS menyambut baik apabila pihak kerajaan memberi ruang bagi Presiden PAS membentang RUU di Parlimen, kerana ini membuka ruang bagi untuk orang Islam mengamalkan ajaran agama mereka. Ini melibatkan agama, sebagaimana kelulusan diberikan kerajaan Umno untuk membina kuil mahupun tokong di kawasan pembangkang. Tapi dalam isu TPPA, GST dan 1MDB, PAS tidak akan berganjak daripada posisi membantah kerajaan.

PAS akan terus berjuang memastikan orang bukan Islam bebas untuk mengamalkan agama mereka. Pada masa yang sama, PAS akan terus berjuang agar orang Islam juga diberi kebebasan yang mengamalkan ajaran agama secara penuh dalam keadaan perlembagaan negara mengiktiraf Islam sebagai agama persekutuan. Hormatilah kewajipan dan tuntutan agama masing-masing demi keharmonian bersama. Tolaklah pihak yang menyemai kebencian.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
7 Jun 2016