Selasa, 13 Mei 2014

Krisis Politik Terengganu - Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

Apa Yang Rakyat Mahu?

1. Selepas beberapa jam Datuk Razif bin Abd Rahman mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar baru Terengganu berlaku krisis politik apabila Datuk Ahmad Said selaku Adun Kijal dan Ghazali Taib selaku Adun Ajil mengisytiharkan keluar daripada UMNO dan menjadi Adun bebas menjadikan BN mempunyai bilangan adun yang sama dengan pembangkang iaitu 15 - 15. Kekuatan kerajaan BN ada pada 1 undi penentu pada Speaker. Khabar angin bertiup akan ada lagi 4 adun bersedia menjadi adun bebas bersama Ahmad Said dan Ghazali. Ini merisikokan kejatuhan kerajaan BN di Terengganu.

2. Ahmad Said yang meletakkan jawatan sebagai MB petang semalam untuk memberi laluan kepada Razif menjadi MB bertindak sebagai seorang ahli politik yang bijak kerana tindakannya itu bakal menjadikan Razif sebagai Menteri Besar Terengganu yang paling pendek tempoh pentadbirannya yang mungkin tidak menjangkau satu hari. Sejarah pahit ini tentu sahaja bakal memalukan Razif dan itulah satu cara Ahmad Said melepaskan amarahnya kepada BN yang mengarahkannya meletakkan jawatan.

3. Apakah tindakan terbaik PAS dalam suasana sebegini? Di hadapan terbentang 3 pilihan. Pertama, jika Ahmad Said dan Ghazali bersedia menjadi adun bebas yang menyokong PAS dan PKR maka penubuhan kerajaan baru boleh diusahakan. Namun, keadaan ini akan menjadikan kerajaan negeri tidak stabil. Kedua-dua adun bebas boleh pula menarik sokongan dan ia akan merisikokan kerajaan baru pula. Pelbagai polisi pentadbiran negeri boleh terencat. Ketidakstabilan ini bukan pilihan terbaik rakyat Terengganu.

4. Kedua, boleh diusahakan kerajaan campuran BN, PAS PKR. Kalau 13 Mei 1969 menyaksikan kerjasama politik 2 parti politik melayu Islam UMNO dan Islam Melayu PAS diusahakan sehinga akhirnya terbentuk Barisan Nasional, maka 13 mei 2014 boleh menyaksikan sejarah baru kerajaan campuran 2 parti tersebut di peringkat negeri. Namun, pilihan ini juga tidak mudah kerana melibatkan banyak pihak dan dasar parti. Ia boleh menjadi sejarah cubaan terkini penyatuan umat Islam, tetapi ia tidak membawa kepada kestabilan kepada kerajaan negeri juga.

5. Pilihan ketiga ialah pembubaran Dewan Undangan Negeri Terengganu. Berikan mandat kepada rakyat untuk membuat keputusan. Pilihanraya peringkat negeri akan menjadi pungutan suara rakyat Terengganu terhadap pelbagai agenda perubahan yang dicanangkan oleh Dato Seri Najib Tun Razak. Malah perubahan MB Terengganu adalah salah satu agenda perubahan yang dihasratkan oleh Najib selepas berjaya menukar Ketua Menteri Sarawak. Najib mengharapkan projek di Terengganu berjalan lancar untuk digerakkan pula selepas ini perubahan Menteri Besar Pahang sebagaimana khabar angin tersebar. Jadikan PRK sebagai kayu ukur penerimaan rakyat terhadap perubahan ini.

6. Di pihak PAS dan PKR pula, PRK juga menjadi kayu ukur sejauhmana kejayaan menguasai 15 dun dimanfaatkan sebaiknya untuk menggambarkan kepada rakyat kesediaan PAS menjadi kerajaan menanti. Tahap penerimaan rakyat terhadap pelbagai isu kegagalan pentadbiran BN di Terengganu yang dibangkitkan sebelum ini boleh diukur. Isu pengambilan tanah Banggol Donas yang tidak mengikut lunas undang-undang, LPT II yang masih belum siap, status zon bebas cukai Empangan Kenyir, pembelian bas dwiguna darat dan air yang dilihat membazir, pembinaan jambatan drawbridge sungai Terengganu, projek mendalamkan sungai Terengganu yang tidak mengikut peraturan, isu perobohan Pasar Kedai Payang, pelombongan bijih besi Dungun dan terkini cadangan kenaikan kadar cukai pintu. Justeru, pilihan ini dilihat lebih releven.

7. Namun begitu rakyat juga tidak boleh terlalu berharap. Dalam politik apa pun boleh berlaku. 2 adun tadi mungkin sahaja kembali kepangkuan UMNO jika kena gaya pujukan berbisa oleh Najib. Lagipun dalam satu kenyataan Datuk Ahmad Said menyatakan kekecewaannya kerana pertukaran MB di buat di saat perkahwinan anak beliau akan berlangsung pada 17hb mei 2014. Kekecewaan itu mendorongnya bertindak dengan apa yang berlaku sekarang. Orang yang kecewa boleh dipujuk!!!

8. Apa pun rakyat Terengganu tentu mengharapkan yang terbaik dari pemerintah terbaik. Berikan mandat kembali kepada rakyat walau apa pun terjadi!

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
13 hb Mei 2014 jam 8.20 pagi; Jengka.

AHMAH SAID LETAK JAWATAN