Konsep Kemenangan Hakiki
Suatu ketika dahulu, dalam usrah dan pengajian ilmu, kita sering
dibekalkan oleh suatu konsep kemenangan yang sangat jelas, yang gagal dihayati
oleh ahli dunia samada mereka yang memperjuangkan Sekularisme mahupun Pluralisme.
Kefahaman ini adalah kefahaman elit para aktivis Islam yang memperjuangkan
Islam.
Kita hayati firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada
jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi
darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum
orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah
orang-orang yang berjaya.
(At-Taubah:20)
Kita fahami melalui ayat ini, keimanan sebagai teras, hijrah sebagai
langkah awal seterusnya jihad di jalan Allah s.w.t. sebagai kemuncak
perjuangan, sudah merupakan kejayaan bagi kita, walaupun tidak membawa kepada
natijah memperolehi sebarang kedudukan di muka bumi ini. Bahkan, menang atau
kalah jihad bukan syarat untuk berjaya, kerana seseorang yang telah melakukan
jihad dengan keimanan dan keikhlasan bererti dia telahpun berjaya.
Bahkan, kita juga diajar konsep kejayaan teragung,iaitu, bukan di sini,
tetapi di akhirat sana. Kita diajarkan oleh Allah s.w.t. dalam firman-Nya yang
bermaksud:
“Tidaklah sama ahli neraka dan ahli Syurga; ahli
Syurgalah orang-orang yang beroleh kemenangan (mendapat segala yang diingini).” (Al-Hasyr:20)
Justeru, ketika keluarga Yasir disiksa untuk memperjuangkan keimanan
mereka, Rasulullah SAW menjelaskan didikan yang sama dengan menyebut (yang
bermaksud): “Bersabarlah wahai keluarga Yasir, kerana sesungguhnya tempat
kamu adalah di syurga.”
Rasulullah SAW telah menolak tawaran jawatan di Makkah, atas dasar ingin
meneruskan perjuangan tersebut dan tidak semestinya perlu dimulakan dengan
kekuasaan. Ketika Rasulullah SAW dipujuk oleh bapa saudaranya untuk
meninggalkan perjuangan dakwah Baginda SAW, secara jelas Rasulullah SAW
menjawab:
“Jika mereka meletakkan matahari di tangan kananku, dan bulan di tangan
kiriku, agar aku meninggalkan urusan (dakwah) ini, nescaya aku tidak akan
meninggalkannya, sehinggalahAllah s.w.t. menzahirkannya (memberi kemenangan)
ataupun aku binasa pada urusan ini.” [Al-Riqqah wa al-Buqa’ oleh
Imam Ibn Qudamah dan sebagainya]
Jelas bagi kita di mana natijah daripada usaha kita bukan sesuatu ukuran
perjuangan kita. Ada juga para rasul yang ditentang dan dibunuh oleh bangsa
Yahudi, namun di sisi Allah s.w.t., mereka adalah orang-orang yang telah
berjaya. Usaha kita dalam melakukan usaha dakwah dan islah juga menyebabkan
kita sudah dinilai sebagai seorang yang berjaya di sisi Allah s.w.t..
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada
kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik,
serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang
bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (Ali-Imran: 104)
Kita dididik dengan gambaran yang jelas tentang kemenangan yang hakiki.
Kita dididik dengan kefahaman yang jelas tentang erti kehidupan dan kehambaan,
lalu kita berusaha untuk mencapai sebuah target yang lebih utama. Soal
kemenangan untuk mendapatkan apa yang diusahakan, itu adalah daripada Allah
s.w.t.. Kita hayati makna firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku
tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang
tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta
kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri
kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.
(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke
dalam taman-taman ( syurga) yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta
ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam syurga “Adn”. Itulah
kemenangan yang besar.
[As-Saf ayat
10-12]
Bantuan Allah s.w.t. Sangat Dekat
Kita memahami bahawasanya, hidup ini adalah sebuah perjuangan. Keinginan
yang mendalam untuk mendaulatkan agama Islam adalah keinginan yang murni. Allah
s.w.t. justeru menjanjikan kemenangan bagi mereka yang membantu agama Islam
yang mulia ini. Dalam perjuangan tersebut, sudah tentu tidak dijanjikan dengan
hamparan permaidani merah, melainkan merahnya darah. Mereka yang mengharapkan
kesenangan dalam perjuangan adalah mereka yang sejak dari awal tidak tahu apa
itu perjuangan dan tidak bersedia untuk melakukannya.
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
“Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang
kepadamu (cobaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka
ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta diguncangkan (dengan
bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman
bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah,
sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” (Surah al-Baqarah: 214)
Kejayaan yang sebenar adalah pada keyakinan kita bahawasanya, apabila
sampai waktunya, kejayaan pasti akan tiba, sedang bantuan Allah s.w.t. itu
sangat dekat. Andai sirah nabawiyyah menjadi pedoman perjuangan kita, kita
pasti tidak merasa lambatnya pertolongan Allah s.w.t., kerana ujian dan cabaran
yang kita hadapi dalam perjalanan mendaulatkan Islam tidak sedahsyat apa yang
dihadapi oleh generasi awal, iaitu pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat
r.a..
Pun begitu, ketika ditanya mengenai pertolongan Allah s.w.t, Allah s.w.t.
mengingatkan betapa ianya dekat, kerana setiap yang pasti tiba itu adalah
dekat. Jika kita lihat keadaan umat Islam menerima kejayaan, bagaimana adabnya
Rasulullah SAW dan para sahabat r.a. memasuki kota Makkah pada peristiwa Fath
Makkah, dengan penuh rendah diri di hadapan Allah s.w.t., dengan penuh
kasih sayang kepada mereka yang pernah memusuhi, dengan sifat kemaafan dan
rahmat yang tersebar dalam meraih kejayaan tersebut, dan sebagainya, maka
adakah itu telah menjadi ciri-ciri kita dalam masa ini, untuk melayakkan kita
mendapat kejayaan tersebut.
Kita boleh lihat gambaran kemenangan umat Islam pada ketika itu dalam
firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai
Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata, Kemenangan yang dengan
sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang
terkemudian dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu, serta menambahkanmu hidayat
ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan
hukum-hukumnya). Dan dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan
(untuk mencapai kejayaan) dengan sepenuh-penuh dan sehandal-handal pertolongan
(yang tidak ada bandingannya). (Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu)
Dialah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang
beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah
iman dan yakin berserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada
hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka) dan Allah
adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
(Surah
al-Fath: 1-4)
Salah satu sifat mereka yang mendapat kejayaan pada ketika itu adalah
sebagaimana disebutkan di akhir ayat surah Al-Fath yang bermaksud:
“(Allah yang menyatakan itu) Dialah yang telah mengutus
RasulNya (Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayat petunjuk dan agama yang benar
(agama Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala
bawaan agama yang lain; dan cukuplah Allah menjadi Saksi (tentang kebenaran apa
yang dibawa oleh RasulNya itu). Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul
Allah dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap
orang-orang kafir yang (memusuhi Islam) dan sebaiknya bersikap kasih sayang
serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap
beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari
Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka
(sebagai orang-orang yang soleh) terdapat pada muka mereka dari kesan sujud (dan
ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam
Kitab Taurat dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (Bahawa mereka
diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu
anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap
berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan
orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad
s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu)
kerana Dia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan
hasad dengki dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah
telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan
dan pahala yang besar.” (Surah al-Fath: 28-29)
Ayat ini menjelaskan antara pra-syarat kemenangan tiba dan bantuan
daripada Allah s.w.t. hadir adalah pada dasar perjuangan yang meletakkan Islam
sebagai dasar perjuangan yang tertinggi dan tidak berkompromi dengan mereka
yang memperjuangkan persamaan agama dan sebagainya, perjuangan ke arah
mengiktiraf hanya Islam sebagai agama yang benar, sedangkan agama-agama lain
adalah kebatilan, kekuatan ukhuwwah Islamiyyah yang telah terjalin, kehambaan
yang tinggi kepada Allah s.w.t., kemurnian hubungan hati kepada Allah s.w.t.
sehingga anggota tubuh mereka menunjukkan tanda kebaikan dalaman mereka.
Perkembangan yang positif dalam umat Islam inilah yang menjadi antara syarat
kemenangan Islam sebenar.
Persiapkan dirimu menuju huru-hara Akhir Zaman