PAUTAN TAMBAHAN

Rabu, 18 September 2013

Permohonan penangguhan hukuman yang dijatuhkan terhadap 13 peserta demonstrasi di Bukit Chandan



TAIPING: Mahkamah Tinggi Taiping hari ini menetapkan 19 September ini (Khamis) untuk pendengaran permohonan penangguhan hukuman yang dijatuhkan terhadap 13 peserta demonstrasi di Bukit Chandan ketika krisis politik Perak tahun 2009 lalu.

Hakim, Datuk Ahmad Nashfi telah menerima permohonan tersebut untuk didengarkan selepas bertemu dan berbincang dengan pihak peguam tertuduh ketika prosiding.

Peguam tertuduh, Aminuddin Zulkipli turut memfailkan perakuan segera bagi mempercepatkan pendengaran kes tersebut.

"Setelah berbincang, berjumpa dengan hakim, Yang Arif telah menerima untuk pendengaran penangguhan hukuman tersebut pada Khamis ini.

"Dan kita akan serahkan DPP (Timbalan Pendakwa Raya) sama ada mereka akan membantah atau tidak membantah permohonan itu dan kita akan tengok keputusannya," katanya.

Kesemua 13 tahanan tersebut akan turut dibawa ke mahkamah untuk pendengaran tersebut pada Khamis ini.



Ketika ditanya tentang peluang permohonan tersebut, Aminuddin yang juga Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia PAS Perak menyeru seluruh rakyat khususnya penyokong Pakatan Rakyat serta pencinta demokrasi dapat bersama-sama berdoa agar ada sinar kegembiraan dalam proses pendengaran itu nanti.

"Kalau tanya saya, sudah semesti saya kata ada peluang cerah, tanya peguam mana pun mereka akan jawab begitu," jelasnya dalam nada spontan.

Antara pimpinan yang hadir ialah Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss, Penolong Setiausaha Dewan Pemuda PAS Perak, Safarizal Saleh, Yang Dipertua PAS Taiping, Ustaz Fakhruddin dan Adun Kuala Sepetang, Chua Yee Ling.

Hadir sama ialah ahli keluarga tahanan dan aktivis masyarakat serta penyokong Pakatan Rakyat.~Ucu~