PAUTAN TAMBAHAN

Khamis, 7 Februari 2013

Merubah Kemungkaran Politik Suatu Kewajipan



Perbincangan al-Quran dan al-Sunnah tentang sikap berdiam diri dari kemungkaran dan bersikap negatif terhadap mereka yang melakukannya sama ada pemerintah ataupun rakyat adalah suatu perbincangan yang menggoncangkan perasaan mereka yang memiliki sebesar biji sawi iman di dalam hatinya.
Firman Allah bermaksud:
"Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di Dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh." (78)
"Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), Yang mereka lakukan. Demi Sesungguhnya amatlah buruknya apa Yang mereka telah lakukan." (79)
(Surah al-Ma’idah: 78-79)

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia merubahnya dengan tangan, sekiranya dia tidak mampu maka dengan lidah, sekiranya tidak mampu maka dengan hatinya dan itu adalah selemah-lemah iman.”

Adalah suatu sangkaan yang silap bahawa kemungkaran terhad pada zina, meminum arak dan apa yang ada pada makna keduanya.


Menghina kehormatan rakyat adalah suatu kemungkaran yang besar. Menipu dalam pilihanraya adalah kemungkaran yang besar. Tidak memberikan kesaksian dalam pilihanraya adalah kemungkaran yang besar kerana ia menyembunyikan kesaksian. Menyerahkan pemerintahan kepada bukan ahlinya adalah kemungkaran yang besar. Mencuri harta awam adalah kemungkaran yang besar. Memonopoli barangan yang diperlukan oleh orang ramai untuk kepentingan individu ataupun kumpulan adalah kemungkaran yang besar. Menahan manusia tanpa jenayah yang diputuskan oleh mahkamah yang adil adalah kemungkaran yang besar. Menyiksa manusia di dalam penjara dan pusat tahanan adalah kemungkaran yang besar. Memberi, menerima dan menjadi orang tengah bagi rasuah adalah kemungkaran yang besar. Mengambil hati dan memuji-muji pemerintah yang batil adalah kemungkaran yang besar. Menjadikan musuh Allah dan musuh umat sebagai pemimpin dengan mengenepikan orang yang beriman adalah kemungkaran yang besar.

Begitulah kita mendapati ruang bagi kemungkaran semakin meluas hinggakan ia mencakupi kebanyakan perkara yang dianggap oleh manusia sebagai urusan asasi bagi politik. Apakah seorang Muslim yang cintakan agamanya dan sentiasa berusaha memperolehi keredhaan Tuhannya akan berdiam diri? Ataupun lari berundur daripada medan apabila berhadapan dengan kemungkaran dan sebagainya kerana takut ataupun mahu menyelamatkan diri?
Perasaan seperti ini sekiranya tersebar di kalangan umat, maka telah berakhirlah risalahnya dan mereka akan terhapus kerana mereka telah menjadi umat lain bukannya suatu umat yang telah disifatkan oleh Allah dengan firmannya bermaksud:
"Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana Yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada Yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang Yang fasik." (Surah ali-‘Imran: 110)
Tidak hairan sekiranya kita mendengar amaran Nabi s.a.w. kepada umat dalam masalah seperti ini, baginda telah bersabda:

“Apabila kamu melihat umatku takut untuk berkata kepada orang zalim: Wahai orang zalim, maka telah diucapkan selamat tinggal untuk mereka.”

Ertinya, mereka sudah tidak layak untuk hidup.
Seorang muslim dengan kedudukan imannya dituntut agar tidak menjadi penonton terhadap kemungkaran walau apapun jenisnya. Sama ada ia berbentuk politik, ekonomi, kemasyarakatan ataupun thaqafah. Bahkan dia hendaklah menentangnya dan berusaha merubah dengan tangannya sekiranya dia mampu. Kalau tidak mampu, maka menggunakan lidah dan penjelasan. Sekiranya dia tidak mampu merubah dengan lidah, maka dia berpindah ke peringkat lain yang paling rendah iaitu berubah dengan hati yang telah dijadikan oleh hadith sebagai: “Selemah-lemah iman.”

Ia dinamakan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai mengubah dengan hati kerana ia adalah tanggungan jiwa dan perasaan menentang kemungkaran, mendokong dan membela penentangan ini.
Tanggungan ini bukanlah perkara negatif sebagaimana yang disangkakan. Sekiranya ia negatif, ia tidak akan dinamakan sebagai merubah oleh hadith tersebut.

Tanggungan yang berterusan bagi jiwa, perasaan dan hati semestinya pada suatu masa akan menghasilkan usaha yang positif. Kemungkinan ia akan menjadi satu revolusi umum ataupun letusan yang menghancurkan sekiranya tekanan berterusan. Tekanan yang berterusan akan mencetuskan
letupan yang merupakan satu sunnah Allah di kalangan makhluk-Nya.

Sekiranya hadith ini menamakan sikan ini sebagai ‘merubah dengan hati’, maka hadith Nabi s.a.w. yang lain telah menamakannya sebagai ‘jihad dengan hati’ yang merupakan darjat jihad yang paling rendah sebagaimana ia juga adalah darjat iman yang paling rendah. Muslim telah meriwayatkan daripada Ibn Mas’ud secara marfu’:
“Tidak ada seorang nabi pun yang diutuskan oleh Allah di kalangan umat sebelumku melainkan wujud daripada umatnya itu golongan Hawariyun (pembantu) dan para sahabat yang mengambil Sunnahnya dan mematuhi perintahnya. Kemudian dia meninggalkan selepas mereka para pengganti yang berkata apa yang tidak mereka lakukan dan melakukan apa yang tidak diperintahkan. Sesiapa yang berjihad menentang mereka dengan tangan maka dia adalah seorang Mukmin. Sesiapa yang berjihad menentang mereka dengan lidah maka dia adalah seorang Mukmin. Sesiapa yang menentang mereka dengan hati maka dia adalah seorang Mukmin dan tidak ada di sebalik itu iman walaupun sebesar biji sawi.”