PAUTAN TAMBAHAN

Jumaat, 18 Januari 2013

Kemungkaran Dalam Masjid


Akibat kejahilan hidup dalam kemungkaran

Ketahuilah bahawasanya kemungkaran itu terbahagi kepada hukum makruh dan hukum haram. Kiranya kita katakan: Ini adalah kemungkaran yang makruh, maka hukum mencegahnya menjadi sunnat yang dituntut, manakala berdiam diri di atas kemungkaran itu menjadi makruh pula hukumnya, dan bukan haram.

Tetapi jika kita katakan bahawa itu adalah kemungkaran yang haram, ataupun kita katakan kemungkaran saja tanpa menyebutkan sifatnya, maka yang dimaksudkan itu ialah kemungkaran yang haram, yang mana hukumnya menjadi haram pula jika kita mendiamkan diri, padahal kita berkuasa untuk mencegah.

Di antara kemungkaran-kemungkaran yang biasanya terlihat di dalam masjid-masjid ialah penunaian sembahyang secara tidak sempurna dengan meninggalkan tumakninah ketika beruku’ dan bersujud. Perkara ini adalah suatu kemungkaran yang membatalkan sembahyang menurut nas hadis, maka wajiblah ditegahnya. Sebab sesiapa yang melihat seseorang bersembahyang, sedangkan sembahyang tidak sempurna, kemudian dia mendiamkan diri tidak dibetulkannya, maka ia berkongsi dalam dosanya.

Kemungkaran yang lain yang selalu disaksikan di dalam masjid-masjid ialah membaca al-Quran dengan lahan; iaitu banyak salah-salahnya. Ini pun wajib ditegah oleh orang yang mengerti, lalu mengajarkannya bacaan yang betul. Orang yang terlalu banyak membuat kesalahan dalam bacaan al-Quran sedangkan ia mampu belajar, hendaklah ia berhenti membaca sebelum belajar, kerana membaca dengan banyak salah-salah adalah berdosa.

Kemungkaran yang lain lagi yang berlaku dalam masjid-masjid, ialah para muazzin yang sering melenggang-lenggokkan azan dan terlalu memanjangkan hujung-hujung kalimatnya. Yang demikian itu juga suatu kemungkaran, hukumnya makruh.

Kemungkaran yang lain lagi yang berlaku di dalam masjid-masjid ialah ucapan yang disampaikan oleh para pencerita dan jurunasihat yang mencampur adukkan wa’az-wa’az mereka dengan kata-kata dusta, khayalan dan khurafat. Orang-orang ini juga wajib diingkari dan tidak boleh menganggap sepi saja kepada mereka.

Kemungkaran yang lain berlaku di dalam masjid-masjid, ialah membuat halaqah-halaqah (perkumpulan) di hari Jum’at kerana menjual ubat dan makanan, menjual azimat-azimat ataupun meminta-minta dari orang ramai dengan berpura-pura membaca al-Quran atau melagukan syair atau yang seumpamanya. Semua ini adalah kemungkaran-kemungkaran yang wajib ditegah dan ditentang.
Kemungkaran yang lain yang berlaku di dalam masjid-masjid ialah bila orang yang menggunakannya untuk menjual ubat-ubatan dan buku. Begitu pula bila dijadikannya di situ tempat jahit menjahit.

Semua ini mestilah dilarang, kerana masjid-masjid itu bukanlah disediakan untuk urusan-urusan ini.
Adalah menjadi suatu kemungkaran juga, bila masjid-masjid itu dijadikan tempat keluar masuk orang-orang gila yang kini terkenal dengan nama majzub ataupun kanak-kanak dan pemabuk-pemabuk. Mereka ini sekalian mesti dijauhkan dari masjid-masjid.

Jika anda inginkan pembicaraan secara terperinci mengenai kemungkaran-kemungkaran yang dilakukan dalam masjid serta bid’ah-bid’ah yang diadakan di dalamnya dan adat-adatnya, maka silalah rujuk kitab ’Ihya ‘Ulumiddin’, jilid kedua, kitab amar ma’ruf nahi mungkar.