Memaparkan catatan dengan label Baitul Maqdis. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Baitul Maqdis. Papar semua catatan

Jumaat, 8 Disember 2017

PENGIKTIRAFAN DONALD TRUMP TERHADAP AL-QUDS SEBAGAI IBU NEGARA ISRAEL (SIRI 2)

Kenyataan Media Presiden PAS

Pengumuman Donald Trump terhadap Al-Quds sebagai ibu negara Israel merupakan suatu ujian ke atas orang-orang beriman. Namun sebaliknya, ia adalah ujian dan badai hebat bagi mereka yang lemah imannya, bahkan mereka akan tunduk menyerah.

Sebelum ini, mereka mengamalkan politik neutral terhadap negara rejim tersebut, malahan ada yang mengikut jejak langkah rejim sedikit demi sedikit. Tindakan itu diibaratkan jika rejim memasuki lubang biawak dhab, mereka juga akan turut sama memasukinya. Hakikatnya, kita sendiri menyedari siapakah yang rela mengikut telunjuk negara haram itu.

Kini sudah tiba masanya menghentikan tangan-tangan mereka yang tidak berperikemanusiaan, menzalimi anak-anak, para wanita dan fakir miskin di khemah-khemah daif. Mereka adalah golongan yang terpaksa berhadapan dengan rejim Zionis dan sekutunya. Bahkan kita melihat orang-orang yang mendiami istana-istana megah serta menara-menara pencakar langit tidak mampu menjadi pemimpin kepada ummah ini.

Justeru, mereka membawa ummah menuju azab dunia, seterusnya menuju azab neraka di akhirat nanti. Pada waktu itu, tiada gunanya penyesalan orang-orang yang berkata: "Wahai Tuhan kami, kami mentaati pemimpin kami lantas mereka menyesatkan kami."

Telah tiba masanya untuk merobohkan tembok 'keamanan' yang dicanang-canangkan, nama yang dipergunakan untuk menundukkan dunia terhadap kezaliman antarabangsa sehingga meletakkan keturunan rejim Zionis di negara haram Israel. Tetapi kita hidup dalam kalangan pemimpin Zionis jadian yang menzahirkan kebencian mereka terhadap perjuangan kononnya atas nama mempertahankan Islam. Bahkan seluruh mazhab dalam agama Islam berlepas diri dari mereka.

Mereka juga kononnya mahu menentang terorisme (keganasan) tetapi merekalah yang mencipta terorisme dan memberi bantuan kepada golongan pengganas dengan pelbagai senjata dan sokongan.

Pengiktirafan ini hakikatnya pukulan hebat yang mampu mengejutkan mereka yang tenggelam dalam tidur lena, sekalipun dalam diri mereka hanya mempunyai iman sebesar zarah yang menyebabkan mereka berdiam diri. Itulah perang dalam diri umat Islam meletus sebelum perang bersenjata yang akan menzahirkan siapakah penyokong-penyokong musuh ini.

Begitu juga, akan zahirlah sekolompok manusia yang berjuang demi kebenaran. Mereka tidak dikalahkan musuh dan pengkhianat sehingga Hari Kiamat. Mereka inilah penjaga-penjaga Baitul Maqdis dan disekitarnya. Bersama-sama mereka adalah saudara yang berganding bahu ibarat jasad yang satu dari Timur mahupun Barat, Utara dan juga Selatan.

Orang-orang zalim akan mengetahui bahawa barisan hadapan kita bermula di Baitul Maqdis dan akan berakhir di Jakarta, Kuala Lumpur, Algeria dan Casablanca. Allah berkuasa terhadap segala urusan-Nya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 19 Rabiul Awal 1439 / 8 Disember 2017
#istiqamah

Pengisytiharan Trump Sebagai satu petaka besar

Seruan kepada negara-negara Islam

Tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengisytiharkan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel adalah satu aksi perisytiharan perang (act of war) dengan seluruh dunia Islam.

Perisytiharan melulu oleh Trump sudah tentunya akan mencetuskan tindak balas seluruh dunia Islam dan  masyarakat antarabangsa yang mencintai keharmonian.

Umat Islam melihat pengisytiharan Trump ini sebagai satu petaka besar kepada umat ini, setelah Yahudi berjaya menjadikan kuasa besar sebagai alat bagi menghalalkan tindakan mereka ke atas Palestine dan negara Islam seluruhnya.

Apa yang membimbangkan ialah hakikat umum bahawa tindakan melampau hanya akan melahirkan golongan pelampau yang tiada siapa yang dapat mengawal kemunculannya.

Tindakan melampau Trump ini diharap membuka mata seluruh pemimpin dunia Islam untuk bersatu dan berhenti bertelingkah antara satu sama lain.

Pertelingkahan sesama negara Islam hanya menguntungkan musuh Islam malah membuka laluan untuk sesetengah negara Islam untuk menjadi tali barut AS dan digunakan AS untuk menjayakan taktik "menggunakan umat Islam untuk melawan umat Islam" dengan menjadi pembekal senjata kepada kedua-dua pihak yang bertelagah untuk saling membunuh sementara Israel terus dilindungi.

Hentilah pembunuhan sesama sendiri yang menguntungkan negara pembekal senjata. Kerana yang hancur ialah negara umat Islam, yang terkorban ialah umat Islam, yang menjadi pelarian juga umat Islam bahkan negara Islam juga yang terpaksa menerima pelarian.

Sedangkan yang mengaut keuntungan ialah negara Barat dan sekutu-sekutu Israel.

Sedarlah. Tidak mustahil tindakan melampau Presiden Amerika ini akan menjadi titik yang menyatukan seluruh umat Islam bagi membela dan membebaskan bumi Palestine dan Masjidil Aqsa dari cengkaman zionis laknatullah.

Oleh itu, PAS menyeru negara Islam yang sedang bersengketa sesama sendiri samada di Yaman, Saudi, Syria, Iraq kembali ke meja rundingan. Akui kelemahan sendiri adalah langkah pertama untuk menuju semula ke arah kebangkitan.

Umat Islam perlu bersatu dalam sikap dan tindakan ke atas rejim Yahudi dan AS khususnya. 

PAS menyeru seluruh ahli dan mereka yang cintakan keamanan, keharmonian dan cintakan kiblat pertama umat Islam untuk sama-sama hadir dalam Himpunan Aman menentang Peristiharan AS dan kezaliman zionis pada hari ini 8 Disember 2017 Jumaat ini sebagaimana arahan Tuan Guru Presiden.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS.
Madinah al Munawarrah
8 Disember 2017