Khamis, 5 Ogos 2021

Amalan Manusia Akan di Hisab dan di Balasi di Hari Akhirat

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Setiap amalan manusia samaada amalan yang kecil atau besar semuanya akan di hisab dan di tanya oleh Allah SWT di hari akhirat nanti. Termasuk setiap anggota manusia samaada mata. telinga, hidung, kaki, tangan, mulut, kepala, rambut dan kulit manusia akan di tanya satu persatu dan akan menjadi saksi . Anggota manusia tidak akan berbohong dan mereka akan berkata benar. Satu persatu mereka akan menjawab dan menjadi saksi di atas perbuatan manusia!

Jika manusia melakukan amal soleh, taat kepada semua perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya maka akan berbahagialah dia setelah melalui mizan dan mahkamah Allah SWT. Tetapi sebaliknya jika manusia hidup di dunia penuh maksiat dan dosa, hari-hari membuat fitnah, mengumpat, menzalimi orang lain, tinggalkan solat, merampas hak orang lain, menipu dalam mengejar kekuasaan dan harta dunia, awas!!! manusia akan hidup menderita berpanjangan. Keseronokan manusia bersama ketua dan kumpulan masing-masing dan berbangga dengan menghina kumpulan lain tidak bermakna langsung dan tidak membantu untuk menolak azab Allah SWT.atau dengan lain perkataan, "tak berbaloi langsung"

Mencegah Kemungkaran :

Pengertian Hadis :

عَنْ اَبِى سَعِيدِ الْخُدْرِي قَالَ سَمِعْتُ
رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرهُ بِيَدِهِ
فَاِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَاِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ
فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ اَضْعَفُ الاِيمَانِ

Daripada Abu Said al Khudri r.a. katanya :Aku mendengar Rasulullah SAW. bersabda :
"Sesiapa dikalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya sekiranya dia tidak mampu hendaklah dia menegah dengan lidahnya, sekiranya dia tidak mampu maka dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman (Hadis sahih riwayat Muslim)

Berdasarkah hadis di atas ada beberapa tingkat iman dan amalan seorang mukmin apabila dia melihat sesuatu kemungkaran iaitu terdapat tiga cara-cara mencegah kemungkaran:

1. Mengubah dengan tangan

2. Mengubah dengan lidah

3. Mengubah dengan Hati

Huraiannya :

1. Mengubah dengan tangan.

Mengubah dengan kuasa yang ada pada seseorang mengikut kemampuannya dan bidang kuasa masing-masing. Setiap orang hendahlah mencegah kemungkaran yang berlaku dikalangan ahli atau orang dibawah tanggungjawabnya.

Contoh :

a. Bapa cegah kemungkaran keluarganya

b. Guru cegah kemungkaran murid-muridnya

c. Ketua negara cegah kemungkaran rakyatnya

d. Rakyat menggunakan tangannya (mengundi) untuk memilih pemimpin melalui pilihanraya. Dengan ini tangannya akan menolak pemimpin yang zalim.

Nabi SAW bersabda :

...لُلُّلُمْ رَاعٍ وَلُلُّلُمْ مَسْئُوْلٌ عَنْ رَعِّيَّتِهِ ....

Maksudnya : "...Setiap orang daripada kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap orang yang di bawah pimpinannya...." (Hadis sahih riwayat Bukhari)

Ramai di kalangan umat Islam hari ini menganggap memangkah dan mengundi di dalam pilihanraya adalah perkara biasa dan tidak ada kaitan dengan dosa dan pahala atau tidak ada kaitan dengan keadilan di hari akhirat. Mereka membuat pilihan hanya berdasarkan emosi dan perasan. Mudah terpengaruh dengan ajakan kawan atau terpengaruh dengan imbuhan yang diberikannya. Ada pula yang beranggapan nak undi pun boleh tak undi pun tak apa. Ada pula yang keliru tidak memahai maqasid syar'iyah dengan mengatakan undi ini adalah haram.

Kalian perlu faham bahawa jika kalian memilik orang zalim, pemimpin rasuah, pemimpin yang merendahkan hukum-hukum Islam ini bermakna kalian telah bersubahat membuat kerosakan di muka bumi. Kalian akan mendapat saham dosa jika pemimpin yang kalian pilih tidak berlaku adil dan melanggar hukum-hukum Allah SWT. Tangan kalian itu akan menjadi saksi apa yang kalian lakukan. Berdasarkan hadis di atas kalian perlu mencegah kemungkaran dengan "tangan-tangan kalian", tolaklah pemimpin yang terang-terang tidak berakhlak Islam , tidak menutup aurat bagi wanita, meghina ulama dan sunah Nabi SAW, menggalakkan maksiat dan kemugkaran, suara rakyat di sekat, rakyat dihukum tanpa melalui perbicaraan yang adil, fitnah seks bermahalajalela dibiarkan berkembang dalam masyarakat, perasuah dibebaskan dan para pendakwah disekat untuk menyampaikan risalah Islam!

Di hari akhirat nanti pengikut (termasuk rakyat yang memberi mandat) dan pemimpin akan berbalah sesama mereka kerana mereka semua tidak dapat menyelamatkan diri masing-masing.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan mereka sekalian tetap akan berhimpun mengadap Allah (untuk dihisab pada hari kiamat); kemudian orang-orang yang lemah (yang menjadi pengikut) kepada orang-orang yang sombong takbur itu akan berkata kepada mereka (yang menjadi pemimpinnya): "Sesungguhnya kami telah menjadi pengikut kamu; maka adakah kamu dapat menolak daripada kami sedikit dari azab Allah? " Mereka menjawab: "Kalaulah Allah menunjukkan jalan selamat kepada kami, tentulah kami tunjukkan jalan itu kepada kamu. (Sekarang) sama sahaja kepada kita, sama ada kita menggelisah dan mengeluh atau kita bersabar, tiadalah sebarang jalan bagi kita untuk melepaskan diri (dari azab itu)". (Surah Ibrahim ayat 21)

2. Mengubah dengan lidah.

Mencegah dengan lidah bermaksud memberi nasihat dan bimbingan yang baik. Setiap orang hendahlah mencegah kemungkaran yang berlaku dikalangan ahli atau orang dibawah tanggungjawabnya .

Seruan Nabi SAW :

a. Kita disuruh menyeru manusia kepada melakukan kebaikan dan

b. mencegah manusia daripada melakukan kemungkaran

c. Jika kita meninggalkan kedua-duanya , maka Allah akan menjadikan orang-orang yang jahat sebagai pemimpin kita. Ketika itu juga doa-doa dikalangan kita juga tidak lagi mustajab.

3. Mengubah dengan hati.

Mencegah dengan hati bermaksud membenci kemungkaran dan menjauhkannya. Mencegah dengan hati adalah tanda selemah-lemah iman.

Kesannya :

a. Kemungkaran hanya tidak belaku pada dirinya sahaja.

b. Kemungkaran tidak akan hilang atau berkurangan.

Hayatilah maksud hadis di atas dan beramallah dengan baik dan betul. Janganlah kalian melakukan kesilapan untuk kali keduanya. Utamakanlah yang pertama iaitu cegah kemugkaran dengan tangan kalian barulah diikuti dengan peringkat lisan dan hati. Gunakanlah tangan kalian sebaik-baiknya untuk mengundi kerana jika kalian betul dalam pemilihan kebaikannya kalian sendiri akan menikmatinya begitu juga jika salah atau tersilap berat tanggungannya yang akan kalian terima. Pastikan kalian lakukan semata-mata kerana Allah SWT dan mencari keredaan-Nya.