Khamis, 25 Mac 2021

UJIAN ALLAH SEBAGAI PENGHAPUS DOSA

Rasulullah S.A.W bersabda:

“Tidak akan menimpa muslim SAKIT, KELETIHAN, KEBIMBANGAN, GANGGUAN, KESEDIHAN DAN DUKA hingga duri yang mengenai dirinya. Kecuali Allah S.W.T akan MENGHAPUSKAN DOSA-DOSANYA”

 UJIAN KESUSAHAN

1- KELETIHAN

Rasa keletihan sering dialami pada seseorang yang melakukan kerja tanpa rehat.

Acapkali bila keletihan, mulut kita akan merungut, hati mengeluh dan rasa putus asa timbul kerana dia tidak paham mengapa dia perlu bekerja. Bekerja kepada Allah, bekerja untuk keluarga dan bekerja untuk diri sendiri.

Dalam pandangan Islam, kerja adalah sebuah kehormatan. Sekecil apapun peranan anda dalam sebuah pekerjaan, bila dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas akan memberi nilai kepada diri anda sendiri.

Setiap keringat yang dikeluarkan akan dinilai sebagai ibadah kepada Allah S.W.T

Harus selalu ingat, bahawa bidang pekerjaan ini luas. Sesuatu pekerjaan tidak hanya dilihat pada yang bekerja makan gaji atau bekerja sendiri hatta seorang suri rumah dan sukarelawan juga dianggap sebagai salah satu pekerjaan.

Oleh itu, jangan cepat merasa lelah dengan tugas yang kamu lakukan, pandang pada kebaikan yang diam-diam Allah hantar kepada kamu sebagai penghapus dosa-dosa lalu. Maafkan kami Ya Allah.

 2- KESAKITAN

Rasa kesakitan datang dalam pelbagai bentuk dan tidak diduga.

Kalau dalam tempoh seminggu, 6 hari kita sihat Alhamdulillah dan 1 hari Allah uji dengan penyakit, kita tetap harus juga ucap Alhamdulillah. Bersyukur kerana itu adalah bukti kasih sayang Allah pada kita.

Antara ramai-ramai hambaNya, Allah memilih kita pada hari tersebut untuk memberi ujian dan membuka jalan bagi menghapuskan dosa-dosa yang dilakukan.

Allah S.W.T mengutus 4 malaikat untuk selalu menjaga kita dalam sakit

  1. Malaikat pertama untuk mengambil kekuatan kamu sehingga menjadi lemah.
  2. Malaikat kedua untuk mengambil rasa lazatnya makanan dari mulut kamu.
  3. Malaikat ketiga untuk mengambil cahaya terang di wajah kamu sehingga berubahlah wajah menjadi pucat lesi.
  4. Malaikat keempat untuk mengambil semua dosa kamu , maka berubahlah kamu menjadi suci dari dosa.

Kemudian Allah memberi kesembuhan kepada hambaNya dan memerintahkan kepada Malaikat 1, 2 dan 3 untuk mengembalikan semula kekuatan, rasa lazat dan cahaya di wajah hambaNya.

Namun untuk malaikat ke-4, Allah tidak memerintahkan untuk mengembalikan dosa-dosanya kepada hamba mukmin.

Maka bersujudlah para malaikat itu kepada Allah seraya berkata : “Ya Allah mengapa dosa-dosa ini tidak Engkau kembalikan?”
Allah menjawab: “Tidak baik bagi kemuliaanKu jika Aku mengembalikan dosa-dosanya setelah Aku menyulitkan keadaan dirinya ketika sakit. Pergilah dan buanglah dosa-dosa tersebut ke dalam laut.”

Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Setiap muslim yang terkena musibah penyakit atau yang lain, pasti akan hapuskan kesalahannya, sebagaimana pohon menggugurkan daun-daunnya”

(HR. Al-Bukhari & Muslim)

Oleh itu, berusahalah menjadi orang yang sabar ketika diuji penyakit. Jangan berhenti mengharap pertolongan Allah S.W.T. Dalam waktu yang sama ada juga usaha dari pihak kita untuk mencari jalan kesembuhan. Insha Allah.

 

3- KEBIMBANGAN

Rasa kebimbangan, khuatir dan was-was adalah muslihat syaitan untuk memperdayakan manusia supaya timbul keraguan dalam hati akan kekuasaan Allah S.W.T, jalan takdir yang telah ditetapkan oleh Dia untuk kita sebelum kita lahir lagi.

Allahumma Ya Baari, yang Maha Mengatur tiap satu perkara yang berlaku pada makhluk dan alam semesta.

Allahumma Ya ‘Alim, yang Maha Mengetahui rahsia masa kejayaan, kejatuhan, musibah dan kecelakaan yang berlaku.

Di dalam Musnad Imam Ahmad, terdapat sebuah hadits yang disahihkan oleh Ibnu Hibban, dari Abullah bin Mas’ud r.a bahawa Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:

Tidaklah seorang hamba ketika mengalami kegundahan atau kesedihan mengucapkan,

Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak dari hambaMu yang laki-laki dan anak dari hambaMu yang perempuan. Ubun-ubunkan ada di tanganMu. KetetapanMu telah berlalu padaku, ketentuanMu sudah adil pada diriku.

Aku memohon kepadaMu dengan seluruh nama yang Engkau namakan untuk diriMu, atau Engkau turunkan di dalam kitabMu, atau Engkau ajarkan kepada salah seorang dari makhlukMu, atau Engkau simpan dalam ilmu ghaib di sisiMu.

Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hatiku, cahaya di dadaku, pelenyap kesedihanku dan penghilang kegundahanku,” melainkan Allah ‘Azza wa Jalla pasti menghilangkan kegundahan hatinya dan menggantikan kesedihannya dengan kesenangan.

Para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, sudah seharusnya kami mempelajari kalimat-kalimat (doa) ini.” Rasulullah menjawab, “Tentu, sudah seharusnya bagi orang yang mendengarnya untuk mempelajarinya.”

Sebagai makhluk yang berakal, ikhtiar kita untuk keluar dari rasa kebimbangan ini adalah dengan berdoa dan bertawakal. Keputusannya, serahkan kepada Allah S.W.T. Dengan begitu, hati kita akan lebih tenang dan bahagia. Insha Allah.

 

4- GANGGUAN

Kadang-kadang, kita yakin dalam hati dan percaya pada diri sudah cukup kuat untuk bertahan jika ada badai yang mendatang.

Allah uji juga hambaNya. Dihadirkan gangguan dan kekacauan dari sekeliling. Boleh jadi gangguan dari masalah tempat kerja, anak jadi nakal, hutang, masalah pada pasangan atau pada diri sendiri.

Selain gangguan yang kita boleh nampak secara fizikal, ada juga bentuk gangguan yang kadang berlaku tanpa sedar.

Masa kita nak melakukan sesuatu perkara yang baik, tiba-tiba datang bisikan syaitan untuk menangguhkan dahulu niat baik tersebut dan ada kemungkinan juga untuk membuatkan kita terus terlupa.

Jadi, ketika kita sudah berniat untuk melakukan perkara baik, segera lakukan perkara tersebut dan mohon pertolongan Allah supaya memudahkan urusan kita untuk menyampaikan kebaikan. Bila boleh yakin dan bersabar, dosa-dosa kita akan gugur.

 

5- KESEDIHAN

Mustahil hidup kita sentiasa gembira, bahagia dan selalu berjaya. Sekali-sekala Allah uji dengan kesedihan, kekecewaan dan kekalahan supaya kita selalu ingat pada Allah, tidak riak dan tidak sombong. Selalu menunduk ke bawah, ucapkan syukur.

Besar atau kecil ujian kesedihan yang dihadapi oleh seseorang tidak bermakna kita boleh memandang ringan dan serong pada dia. Allah menguji hamba-hambaNya sesuai dengan kemampuan mereka untuk menghadapinya. Allah lebih tahu.

Masa sedang bersedih itulah tempoh terbaik untuk kita mengadu, berbicara dan memohon keampunan Allah atas dosa-dosa yang kerap kali dilakukan. Kerana pada waktu tersebut kita lebih ikhlas dan boleh berlaku jujur dengan Allah S.W.T.