Rabu, 5 Disember 2018

Akidah dan Perjuangan

Akidah merupakan suatu perkara yang paling penting dalam perjuangan Islam. Ia merupakan suatu kekuatan utama yang mesti dimiliki oleh seluruh pejuang Islam agar perjuangan yang didokongi tidak lari daripada matlamat asal serta tidak bercanggah daripada landasan yang telah digariskan oleh Islam. Menyedari betapa pentingnya kekuatan akidah ini kepada jatuh bangunnya perjuangan Islam telah menyebabkan musuh Islam dari dulu hingga kini sentiasa berusaha di dalam menjauhkan umat Islam daripada ajaran Islam yang sebenar melalui serangan pemikiran. Kesinambungan daripada itulah maka kita sebagai orang yang mengaku berjuang Islam mesti faham, mengguna serta mempertahankan kekuatan akidah ini daripada sebarang usaha musuh Islam untuk merobek dan menghancurkannya demi mencapai kejayaan dan kemuliaan hidup di dunia dan akhirat.

Dari segi bahasa akidah berasal daripada perkataan ‘aqada yang bermaksud ikatan atau simpulan yang kukuh. Menurut istilah syara’: Akidah ialah kepercayaan yang tersimpul kukuh dan teguh dalam jiwa sehingga tidak mungkin akan terurai oleh apa jua suasana dan keadaan. Akidah Islamiyyah ialah satu ikatan yang menghubungkan antara makhluk (yang dicipta) dengan Allah sebagai Khaliq (pencipta). Ia dibina di atas Rukun Iman.

فَمَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِن بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَىَ لاَ انفِصَامَ لَهَا وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

“Dan barangsiapa yang ingkar kepada taghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah memegang tali yang amat kuat dan tidak akan putus.” (Surah al-Baqarah, ayat 256)

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا

“Orang-orang Mukmin hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu.” (Surah al-Hujurat, ayat 15)

ذَلِكَ الْكِتَابُ لاَ رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ

“Kitab itu (al-Quran) tidak ada keraguan padanya, menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa.”(Surah al-Baqarah, ayat 2)

Tiga unsur utama akidah ialah;

Tidak mencari Tuhan selain AllahTidak mengambil pemimpin atau pelindung selain daripada Allah Tidak mencari hakim selain Allah

Sesungguhnya akidah ini wajib diperjuangkan. Perjuangannya ialah menegakkan kalimah Allah dan meruntuhkan segala kekufuran. Tidak sempurna iman bagi sesiapa yang hanya menumpukan amal untuk dirinya sendiri tanpa ada hubung kait dengan masyarakat. akidah ini bukan untuk dipegang oleh orang-orang tertentu sahaja. Ia juga bukan hanya perlu diperjuangkan oleh orang-orang tertentu sahaja. Bukan hanya diperjuangkan oleh para Nabi dan Rasul atau para ulama’, bahkan seluruh umat Islam. Sebagaimana Allahu Subhanahu Wa Ta’ala menyebut di dalam al-Quran dalam banyak ayat tentang akidah dan perjuangan. Disebut tentang kewajipan berada dalam perjuangan ini seiring dengan perintah beriman kepada-Nya. Dua perkara yang tidak dapat dipisahkan.

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَّسُولاً أَنِ اعْبُدُواْ اللَّهَ وَاجْتَنِبُواْ الطَّاغُوتَ

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan pada tiap-tiap umat akan Rasul (untuk menyerukan) sembahlah Allah sahaja dan jauhilah taghut.” (Surah al-Nahl, ayat 36)

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ

“Kamu adalah sebaik-baik ummah yang dikeluarkan untuk manusia, kamu menyuruh melakukan yang ma’ruf dan kamu melarang dari mengerjakan yang mungkar serta beriman kepada Allah.” (Surah Aali-Imran, ayat 110)

وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّى لاَ تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ كُلُّهُ لِلَّه

“Perangilah mereka (orang-orang kafir) sehingga tidak ada lagi fitnah dan agama semuanya hanyalah untuk Allah.” (Surah al-Anfal, ayat 39)

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أُوْلَئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ

“Orang-orang Mukmin hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta benda dan dirinya di jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar.” (Surah al-Hujurat, ayat 15)

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَى تِجَارَةٍ تُنجِيكُم مِّنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ. تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, mahukah Aku tunjukkan kepadamu suatu perniagaan yang akan melepaskan kamu dari azab yang pedih. (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjuang pada jalan Allah dengan harta dan dirimu. Itulah yang lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” (Surah al-Shaf, ayat 10-11)

Perjuangan ini adalah jihad. akidah dan jihad ibarat sebatang pokok yang mana akidah sebagai akarnya dan pucuknya adalah jihad.

Kecacatan Akidah Tanpa Perjuangan

Jika kita lihat masyarakat Islam pada hari ini dapat kita lihat betapa sedikitnya golongan yang memperjuangkan Islam. Agama dianggap hak individu. Padahal Islam bukan agama individu, tetapi agama jamaah. Pandangan sesetengah anggota masyarakat kita, “biarlah dia (orang yang melakukan kemungkaran). Kita jaga diri kita cukuplah”. Mereka kedekut untuk menyampaikan ajaran Islam kepada orang ramai. Ini sebenarnya akidah yang tidak jelas. Para penjajah pada era penjajahan dahulu, amat suka golongan macam ini. Walaupun ‘abid (orang yang kuat beribadat), tetapi tidak ambil kisah soal orang lain, soal negara dan sebagainya. Asalkan tidak mengganggu ibadat khususnya. Lebih malang apabila ada golongan yang hendak memperjuangkan undang-undang Islam, politik Islam, maka akan dianggap salah. Sedangkan kita sedia maklum tentang kewajipan amar ma’ruf dan nahi mungkar dan kewajipan beramal dengan seluruh ajaran Islam. Tidak ada seorang Rasul pun yang bersenang-lenang tanpa perjuangan menegakkan Islam. dan jika tidak kerana perjuangan orang-orang terdahulu menyebarkan Islam, mungkin Islam tidak akan sampai ke nusantara ini.

Setiap individu Muslim wajib berjuang menegakkan Islam. lebih-lebih lagi pada saat ini di mana tiadanya satu khilafah ataupun daulah yang melaksanakan seluruh ajaran Islam dan menggunakannya dengan adil. Malah, ummat Islam sebahagiannya dijajah oleh Barat dan Yahudi. Golongan yang tidak berjuang untuk Islam mereka juga tidak selamat. Allahu Subhanahu Wa Ta’ala mengingatkan kita akibat meninggalkan perjuangan menegakkan agama Allah dalam al-Quran dalam beberapa kisah. Di sini saya memetik peristiwa pada hari Sabtu kaum Nabi Musa alaihissalam.

وَاسْأَلْهُمْ عَنِ الْقَرْيَةِ الَّتِي كَانَتْ حَاضِرَةَ الْبَحْرِ إِذْ يَعْدُونَ فِي السَّبْتِ إِذْ تَأْتِيهِمْ حِيتَانُهُمْ يَوْمَ سَبْتِهِمْ شُرَّعاً وَيَوْمَ لاَ يَسْبِتُونَ لاَ تَأْتِيهِمْ كَذَلِكَ نَبْلُوهُم بِمَا كَانُوا يَفْسُقُونَ. وَإِذْ قَالَتْ أُمَّةٌ مِّنْهُمْ لِمَ تَعِظُونَ قَوْمًا اللَّهُ مُهْلِكُهُمْ أَوْ مُعَذِّبُهُمْ عَذَابًا شَدِيدًا قَالُواْ مَعْذِرَةً إِلَى رَبِّكُمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ. فَلَمَّا نَسُواْ مَا ذُكِّرُواْ بِهِ أَنجَيْنَا الَّذِينَ يَنْهَوْنَ عَنِ السُّوءِ وَأَخَذْنَا الَّذِينَ ظَلَمُواْ بِعَذَابٍ بَئِيسٍ بِمَا كَانُواْ يَفْسُقُونَ. فَلَمَّا عَتَوْا عَن مَّا نُهُواْ عَنْهُ قُلْنَا لَهُمْ كُونُواْ قِرَدَةً خَاسِئِينَ

“Tanyakanlah kepada mereka tentang negeri yang terletak berhampiran laut. Ketika mereka melanggar perintah Allah pada hari Sabtu, ketika ikan-ikan mereka datang terapung-apung (di muka air) pada hari Sabtu, sedangkan pada hari (yang lain) bukan hari Sabtu tiada datang kepada mereka. Demikianlah Kami menguji mereka disebabkan mereka orang-orang fasiq. Ketika segolongan di antara mereka itu berkata: Mengapa kamu menasihati kaum, sedang Allah akan membinasakan mereka itu atau menyiksanya dengan seksaan yang keras? Mereka menjawab: (kami nasihati mereka itu) untuk meminta uzur (setelah menunaikan tanggungjawab dakwah) kepada Tuhan-Mu dan mudah-mudahan mereka itu bertakwa. Tatkala mereka melupakan apa-apa yang diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang kejahatan dan Kami seksa orang-orang yang aniaya dengan ‘azab yang keras, disebabkan mereka fasiq. Setelah mereka sombong (melanggar) apa yang terlarang, Kami berfirman kepada mereka: Jadi keralah kamu serta terusir.” (Surah al-A’raaf, ayat 163-166)

Dalam ayat lain, Allahu Subhanahu Wa Ta’ala menyebut:

لُعِنَ الَّذِيْنَ كَفَرُوا مِنْ بَنِي إِسْرَائِيْلَ عَلَى لِسَانِ دَاوُدَ وَعِيْسَى ابْنِ مَرْيَمَ ذَلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُوْنَ. كَانُوا لاَ يَتَنَاهَوْنَ عَنْ مُنْكَرٍ فَعَلُوْهُ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُوْنَ

“Terlaknatlah orang-orang kafir dari golongan Bani Israel melalui lisan Nabi Allah Daud dan Isa bin Maryam, itu adalah disebabkan oleh derhaka mereka (terhadap Allah Ta’ala) dan mereka melampau, mereka tidak mencegah kemungkaran di kalangan mereka - itulah seburuk-buruk amalan mereka.” (Surah al-Maidah, ayat 78-79)

Dalam sebuah hadis diriwayatkan bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَا مِنْ نَبِىٍّ بَعَثَهُ اللَّهُ فِى أُمَّةٍ قَبْلِى إِلاَّ كَانَ لَهُ مِنْ أُمَّتِهِ حَوَارِيُّونَ وَأَصْحَابٌ يَأْخُذُونَ بِسُنَّتِهِ وَيَقْتَدُونَ بِأَمْرِهِ ثُمَّ إِنَّهَا تَخْلُفُ مِنْ بَعْدِهِمْ خُلُوفٌ يَقُولُونَ مَا لاَ يَفْعَلُونَ وَيَفْعَلُونَ مَا لاَ يُؤْمَرُونَ فَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِيَدِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِلِسَانِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِقَلْبِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ وَلَيْسَ وَرَاءَ ذَلِكَ مِنَ الإِيمَانِ حَبَّةُ خَرْدَلٍ

“Tidak ada dari Nabi yang diutus dalam ummat sebelumku, kecuali dari ummatnya terdapat orang-orang yang membelanya dan sahabat-sahabat yang melaksanakan sunnahnya dan meneladani perintahnya. Kemudian setelah itu akan datang orang-orang yang mengatakan apa yang tidak mereka lakukan dan melakukan apa yang tidak diperintahkan. Barangsiapa yang berjihad melawan mereka dengan tangannya, maka dia mukmin. Barangsiapa yang berjihad melawan mereka dengan lisannya, maka dia mukmin. Barangsiapa yang berjihad melawan mereka dengan hatinya, maka dia mukmin. Setelah itu tidak ada lagi iman walaupun sebesar biji jagung.” (Riwayat Muslim)

Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda lagi:

مَنْ لَمْ يَهْتَمَّ بِأَمْرِ الْمُسْلِمِينَ فَلَيْسَ مِنْهُمْ

“Barang siapa yang tidak mengambil tahu ataupun mengambil berat tentang urusan orang-orang Islam, maka dia bukanlah golongan mereka (orang-orang Islam).”

Kecacatan Perjuangan Tanpa Asas Akidah Yang Kukuh

Seorang Badwi bertanya kepada Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) tentang jihad:

 الرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِلْمَغْنَمِ وَالرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِيُذْكَرَ وَالرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِيُرَى مَكَانُهُ فَمَنْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ قَاتَلَ لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللَّهِ أَعْلَى فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

“Orang yang berjuang kerana mahukan harta rampasan, orang yang berperang kerana mahu namanya disebut, orang yang berperang kerana menunjuk-nunjuk kepada orang maka siapakah yang dikatakan berperang fi sabilillah?” Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) menjawab: “Orang yang berperang pada jalan Allah, ialah mereka yang berperang kerana menegakkan kalimah Allah yang Maha Suci.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan Ahmad)

Kepentingan akidah terhadap perjuangan Islam:

Supaya jelas matlamat perjuanganSupaya perjuangan benar-benar ikhlas kerana AllahSupaya dapat merasai kemanisan iman dalam perjuanganSupaya tidak mudah kecewa dan berputus asa dalam perjuanganSupaya tidak menjadikan perjuangan sebagai tempat mencari habuan duniaSupaya amanah (tidak khianat) dan bertanggungjawab dalam perjuanganSupaya tidak mudah goyah apabila diserang oleh pihak musuh IslamSupaya dapat lari daripada menjadi pengkhianat terhadap perjuangan IslamSupaya tahan dalam menerima ujian dan cabaranSupaya sentiasa muhasabah diri dalam perjuanganSentiasa berusaha mendekatkan diri kepada AllahSupaya tidak mencampur-adukkan antara Islam dan jahiliah, iman dan kufur, dosa dan pahala, ibadat dan maksiat dalam perjuangan

Pejuang Islam mesti tahu bahawa perjuangan yang sedang didokongi merupakan suatu tuntutan Allah di mana setiap gerak kerja yang dilakukan mestilah selari dengan apa yang telah digariskan oleh Islam. Bagaimana kita mahu berjuang sekiranya kita tidak tahu matlamat perjuangan Islam yang sebenarnya. Sebuah hadis daripada Abu Musa al-Asy’ari bahawasanya seorang Arab Badwi telah datang kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam lalu bertanya:

يارسول الله! الرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِلْمَغْنَمِ و الرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِيُذْكَرَ و الرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِيُرَى مَكَانُهُ؟ وفى رواية يُقَاتِلُ شَجَاعَةً و يُقَاتِلُ حَمِيَّةً، وفي رواية: يُقَاتِلُ غَضَبًا فَمَنْ فى سبيل الله؟ فقال رسول الله: مَنْ قَاتَلَ لِتَكُوْنَ كَلِمَةُ الله هِىَ العُلْيَا فَهُوَ فِى سَبِيْلِ الله

“Ya Rasulullah! Ada seseorang yang berperang dengan tujuan merebut harta rampasan, ada pula seseorang yang berperang dengan tujuan supaya disebut-sebut namanya dan ada pula seseorang yang berperang dengan tujuan untuk memperlihatkan betapa hebat peranannya”. Dan dalam riwayat lain “Ada seseorang yang berperang dengan tujuan menunjukkan keberaniannya dan ada pula seseorang yang berperang untuk membalas dendam keluarganya”. Dan riwayat yang lain pula disebutkan “Ada seseorang yang berperang kerana mahu melepaskan kemarahannya maka yang mana di antara semua ini yang dianggap orang yang berperang fisabilillah?” Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Sesiapa yang berperang dengan tujuan supaya kalimah Allah (Islam) menjadi tinggi maka orang itu sahajalah yang dikatakan berjihad fisabilillah.”

Terdapat dua kisah dalam peperangan Uhud, apabila seorang kafir yang bernama ‘Amru bin Thabit di mana sebelum ini dia telah diajak kepada Islam tetapi dia enggan. Tiba-tiba dalam peperangan ini dia telah dijumpai dalam keadaan nazak dan apabila ditanya tentang sebab dia turut berperang lalu dia menjawab bahawa dia telah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Apabila diberitahu kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam tetang perkara ini lalu bagnda menjawab: “Dia masuk syurga”. Satu lagi peristiwa iaitu yang berlaku kepada Qazman di mana dia berperang di pihak Islam dan berjaya membunuh tujuh atau lapan orang kafir. Dia dijumpai dalam keadaan luka parah kemudian dibawa pulang kerumahnya. Dia memberitahu bahawa dia berperang kerana mempertahankan kaum bangsanya. Oleh kerana dia tidak tertahan dengan kesakitan yang dihadapi lalu dia telah membunun diri. Apabila Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam diberitahu mengenai perkara ini lalu baginda bersabda: “Dia masuk neraka”

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Anas:

 ثَلاثٌ مَنْ كُنَّ فِيْهِ وَجَدَ ِبهِنَّ حَلاوَةَ الإْيمَان : أَنْ يَكُوْنَ اللهُ وَرَسُوْلُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ ِمَّما سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ المَرْءَ لايُحِبُّهَ إِلا ِللهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُوْدَ فِى الكُفْرِ بَعْدَ أَنْ أَنْقَذَهُ اللهُ مِنْهُ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِى النَّارِ

“Sesiapa yang memiliki tiga perkara ini nescaya dia akan dapat merasakan kemanisan iman iaitu dia mengasihi Allah dan Rasul-Nya lebih daripada yang lain dan dia mengasihi seseorang semata-mata kerana Allah serta dia benci untuk kembali kepada kekufuran selepas dia diselamatkan oleh Allah daripadanya sebagaimana dia benci dicampakkan ke dalam api neraka.”

Akidah sangat penting dalam perjuangan ini supaya kita tidak mudah kecewa dan berputus asa dalam perjuangan. Firman Allah dalam ayat 146 surah Ali ‘Imran:

كَأَيِّن مِّن نَّبِيٍّ قَاتَلَ مَعَهُ رِبِّيُّونَ كَثِيرٌ فَمَا وَهَنُواْ لِمَا أَصَابَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَمَا ضَعُفُواْ وَمَا اسْتَكَانُواْ وَاللَّهُ يُحِبُّ الصَّابِرِينَ

“Dan berapa ramai nabi yang berperang bersama-samanya sejumlah besar daripada pengikut setia yang bertaqwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah dan tidak lesu serta tidak pula menyerah kepada musuh. Sesungguhnya Allah menyukai mereka yang sabar.”

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan Ibnu Majah berkenaan tiga orang yang Allah tidak akan bercakap dengan mereka pada hari kiamat serta tidak disucikan mereka dan mendapat azab pedih ialah:

وَرَجُلٌ بَايَعَ إِمَامًا لايُبَايِعَهُ إِلا لِدُنْيَا. فَإِنْ أَعْطَاهُ مِنْهَا وَفَى لَهُ وَإِنْ لَمْ يُعْطِهِ مِنْهَا لَمْ يَفِ لَهُ

“Seorang lelaki yang taat setia kepada pemimpin di mana dia tidak taat kecuali kerana dunia. Jika pemimpin memberinya habuan maka dia tunaikan ketaatannya, tetapi jika pemimpin tidak memberinya habuan maka dia tidak mentaatinya.”

Pesan Sayyidina Umar al-Khattab radhiallahu anhu, “Kamu hendaklah takut kepada dosa kamu sendiri berbanding musuh. Jika kamu mati di tangan musuh maka hanya jasad bercerai daripada roh sedangkan jika kamu mati dengan dosa maka ia akan kamu bawa ke akhirat. Orang kafir itu dikalahkan disebabkan kederhakaan mereka terhadap Allah. Sekiranya kamu umat Islam pun turut derhaka maka kamu tidak akan dibantu oleh Allah.”

Perjuangan ini hendaklah didasari dengan akidah. Tanpa akidah maka perjuangan menjadi batil, sebagaimana orang-orang munafik yang ikut Rasulullah dalam peperangan, tetapi mereka tiada akidah Islamiyyah. Perjuangan sebegini tidak diterima oleh Allah. akidah yang lemah akan menyebabkan kita lemah dalam perjuangan. Kita akan mudah goyah dan juga akan mudah terpesong dengan kehendak-kehendak dunia yang sementara apabila akidah kita tidak kukuh.

Justeru, hendaklah kita sentiasa bermuhasabah diri sejauh manakah kedudukan iman dan akidah dalam perjuangan kita. Di samping kita beramal secara jama’ie dan amal ijtima’ie, jangan kita lupa untuk mendekatkan diri kepada Allah di malam hari dengan berqiamullail dan memperbanyakkan amalan-amalan sunat. Kita juga perlu menekankan amalan-amalan tazkiyatun nafs (mendidik jiwa), amalan-amalan fardi (individu) supaya kita benar-benar berjuang pada landasan akidah. Dalamilah ilmu akidah, ilmu tauhid, ilmu usuluddin, ilmu kalam. Biarlah hubungan kita rapat dengan Allah supaya perjuangan kita tidak terpesong dengan keinginan duniawi. Tidak disekutukan dengan sesuatu dan hanya bermatlamatkan Allah. Jangan kita terlalu asyik mengutamakan ilmu-ilmu haraki dan gerak kerja sedangkan ilmu-ilmu fardhu ‘ain, ilmu feqah, ilmu akidah kita tidak dalami, dan jangan pula kita asyik dengan amalan-amalan fardi (individu) sehingga melupakan tanggungjawab kita terhadap masyarakat. Marilah kita sama-sama mengikhlaskan diri dalam perjuangan ini hanya untuk Allahu Subhanahu Wa Ta’ala.

“Akidah mestilah diperjuangkan, dan perjuangan mestilah berteraskan akidah.”

Biodata Penulis

Artikel ini disunting daripada tulisan al-Marhum Dato' Ustaz Haji Fadzil bin Muhammad Noor.