Ahad, 13 Mei 2018

PAK LEBAI DAH PESAN BERKALI-KALI

Pak Lebai Tuan Guru Haji Hadi dah pesan dalam setiap siri jelajahnya ketika berkempen dalam PRU-14 lalu, mengapa PAS tidak boleh bersama dengan PH dan BN. Kerana matlamat mereka adalah sama, mahukan kuasa.

Bila kuasa dan pangkat menjadi matlamat, maka berlakulah apa yang berlaku hari ini. Drama lompat melompat, beli membeli, tawar menawar semata-mata untuk kekal berkuasa.

Rakyatlah yang menjadi mangsa. Pentadbiran tidak boleh dibentuk dan kebajikan rakyat diperjudikan.

Ramai orang kata Pak Lebai gila, macamana nak menang kalau hanya duduk bersendirian?

Tidak perlu pergi jauh, Terengganu dan Kelantan menjadi bukti dan hujah, bahawa kata-kata dan kajian yang dibuat sesetengah badan bahawa PAS akan kalah teruk dalam PRU-14 telah terjawab dengan sendirinya.

PAS berjaya mengekalkan Kelantan dan menawan kembali Terengganu, serta hampir menawan kembali Kedah. Malah berjaya mendapat 8 kerusi di Negeri Pahang.

InsyaAllah, kami ahli PAS redha dan sabar atas ketentuan Allah ini. Biarlah mereka berbalah sesama sendiri. PAS terselamat dan terhindar pergelutan ini.

Saya mengajak sahabat-sahabat Ahli dan Penyokong PAS. Jadikan tempoh pasca PRU ini untuk kita muhasabah dan bertenang. Tonjolkan akhlak dan peribadi kita selaku abnaul harakah (anak-anak gerakan Islam).

Jangan cepat melatah, biarkan ketetapan Allah ini berjalan seperti yang Allah kehendaki. Tugas kita terus bekerja untuk memenangkan Islam. Kemenangan tidak datang dengan akhlak yang buruk. Kitalah duta Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS).

Jangan kita pula yang menjadi asbab melambatkan kemenangan tersebut.

InsyaAllah, tunggu dan lihat hikmah disebalik kemenangan yang tertangguh ini. Sejahtera bersama Islam. Istiqamah.

Mohd Aizat