PAUTAN TAMBAHAN

Rabu, 24 Januari 2018

Soalan Yang Bermain Dalam Kalangan Kaum Tionghua

DR AZMAN IBRAHIM  22 JANUARY 2018

1. Adakah benar PAS mahu menyertai Umno?

     PAS adalah sebuah parti dan Umno pula ialah sebuah parti yang berbeza. Istilah PAS nak menyertai Umno agak pelik kerana ia bermakna parti PAS perlu dibubarkan dan semua ahli PAS masuk Umno. Ini tidak akan berlaku sama sekali. Adapun tuduhan kononnya PAS akan bersama Umno dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 adalah sangat mudah untuk dinafikan. Akan sampai masanya Parlimen wajib dibubarkan. Menyusul selepas pembubaran Parlimen ialah proses penamaan calon. Maka ketika itu nanti, tuduhan akan terjawab sendiri dan semua orang boleh tengok siapa lawan PAS dan PAS lawan parti mana. Fakta yang akan terbukti ialah PAS dan Umno akan berlawan antara satu sama lain dalam PRU 14 tanpa perlu dinafikan lagi dengan ucapan atau tulisan.

2. Kenapa Tuan Guru Haji Hadi mesra dengan Dato' Sri Najib Tun Razak dan tidak dengan pemimpin Pembangkang yang lain?

     Soalan yang sama boleh diajukan, kenapa Lim Guan Eng bersalaman mesra serta berpelukan dengan Dato' Seri Najib dan Dato' Seri Zahid Hamidi? Jawabnya kerana ada isu kepentingan rakyat yang perlu dibincangkan bersama seperti dalam peristiwa banjir di Pulau Pinang walaupun Lim Guan Eng dari parti DAP sementara Najib dan Zahid dari Umno. PAS tak mainkan isu ini kerana PAS dah cukup matang dalam berpolitik.

     Tuan Guru Haji Hadi atas kapasiti sebagai seorang pemimpin Kesatuan Ulama Islam Sedunia dan Presiden PAS sedia untuk duduk berbincang bersama dengan sesiapa sahaja demi kebaikan rakyat dan negara malah untuk kebaikan dunia sejagat. Tuan Guru Haji Hadi bukan hanya baik dengan Dato' Sri Najib, malah tak terkecuali bersama pemimpin BN dan pemimpin pembangkang yang lain. Cuma mungkin pertemuan mesra Tuan Guru Haji Hadi dan Dato' Sri Najib lebih diberikan liputan media menyebabkan ia nampak ketara.

     Mesranya pemimpin tertinggi PAS dengan pemimpin tertinggi negara dari Umno bukan cerita baru. Almarhum Dato' Fadhil Noor dan Almarhum Tok Guru Nik Aziz juga biasa duduk sepentas bersama Tun Mahathir. Berbeza pendirian politik bukan bermakna kita perlu berbeza dan bertegang dalam setiap perkara.  Berlawan dalam pilihan raya bukan bererti kita langsung tak boleh duduk semeja. Duduk sepentas antara Tuan Guru Haji Hadi dan Dato' Sri Najib tak akan menjadikan Tuan Guru sebagai seorang Umno atau Dato' Sri Najib sebagai PAS.

3. Adakah PAS akan memilih menyertai Umno-BN dan tidak PH selepas PRU 14 nanti dan membentuk kerajaan bersama?

     Apa yang akan berlaku selepas PRU14 masih merupakan kemungkinan atau andaian. Setiap perkara yang merupakan andaian tidak boleh dijadikan dalil. Perbincangan berdasarkan fakta andaian tak akan menghasilkan keputusan. Langkah ke seberang jambatan dulu baru kita bincang.

     Selepas keputusan PRU 14 diumumkan, baru ada dalil untuk dibincangkan apa langkah seterusnya. PAS ada pertimbangan yang sangat matang serta cukup kenal, siapa yang lebih berminat dengan Islam yang menjadi dasar perjuangan PAS. Tentunya kebaikan kepada rakyat dan negara adalah neraca utama yang menjadi ukuran PAS.

     Pertimbangan PAS ialah dosa pahala, perlaksanaan Islam dan adab-adab persahabatan apabila kita nak menjalinkan kerjasama dengan sesiapa pun.

4. Mengapa PAS bersungguh untuk meminda Akta 355 di Parlimen?

     Pindaan Akta 355 adalah untuk memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah. Bidang kuasa Mahkamah Syariah pula hanya untuk orang Islam sahaja serta sama sekali tak melibatkan orang bukan Islam. Kuasa hukuman yang dimiliki Mahkamah Syariah sekarang terlalu ringan dan tak mampu nak mencegah berlakunya jenayah. Sifat sesuatu undang-undang mesti mampu mencegah dan bukannya bermatlamat untuk menghukum sahaja. Bila berlaku perlanggaran barulah pesalah dihukum. Hukuman maksimum 3 tahun penjara, denda RM5 ribu dan 6 sebatan yang ditetapkan di  bawah Akta 355 sudah tidak relevan lagi dengan zaman.

      Sebagai perbandingan, seorang doktor palsu boleh didenda sehingga RM300 ribu mengikut Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998. Kesalahan memelihara burung murai batu tanpa lesen boleh didenda sehingga RM10 ribu mengikut Akta Perlindungan Hidupan Liar. Sementara kesalahan hubungan tanpa nikah hanya boleh didenda maksimun RM3 ribu sahaja! Antara hasilnya angkara 'burung liar' ini, maka lahirlah beratus ribu anak luar nikah setiap tahun di Malaysia.

5. Adakah PAS ingin melaksanakan Undang-undang Islam di Malaysia dan memaksa rakyat yang tidak beragama Islam mengikutinya?

     Undang-undang Islam bukan ciptaan PAS, tetapi ia adalah peraturan dari Allah yang menjadikan manusia dan seluruh alam ini. PAS hanyalah sebuah parti yang berjuang agar undang-undang Allah sebagai pencipta alam ini dapat dilaksanakan.

     Jelas termaktub dalam Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan sebagai model dan contoh Undang-Undang Islam ada di Malaysia, ia menetapkan perlaksanaannya hanya untuk orang Islam sahaja. Ini adalah fakta bahawa orang bukan Islam tak dilibatkan. Orang Cina tak perlu takut dan bimbang

6. Bagaimana jaminan PAS kepada rakyat yang tidak beragama islam dari sudut hak beragama, mengamalkan cara hidup mereka, berniaga dan lain lain?

Kelantan sudah diperintah oleh PAS selama 28 tahun. Di Kelantan ada Melayu, Cina, India, Siam dan lain-lain. Marilah ke Kota Bharu dan lihatlah sendiri bagaimana kehidupan seharian termasuk urusniaga antara pelbagai bangsa dan agama sedang berlaku di Kelantan dengan begitu baik sekali. Malah ada terdapat dalam satu kedai makan yang sama, orang Cina jual air, orang Melayu nasi. Di Kelantan ramai orang Melayu hantar anak belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

     Adakah ada berita yang menyiarkan bahawa premis perniagaan milik orang Cina diserang dan dirompak oleh orang Islam? Atau Kerajaan Negeri Kelantan merampas dan menutup kedai-kedai Cina? Di Kelantan juga ada rumah ibadat orang bukan Islam seperti gereja dan wat Siam. Sedikit pun tak diusik oleh Kerajaan PAS Kelantan dalam tempoh 28 tahun. Hebatnya agama Islam kerana Islam mengajar, semua manusia walau apa bangsa dan agama adalah hamba Allah. Rusuhan kaum 13 Mei 1969 tak berlaku di negeri majoriti orang Melayu yang kuat berpegang dengan Islam seperti Terengganu, Kelantan dan Kedah.

7. Adakah perlaksanaan Undang-undang Islam akhirnya akan diwajibkan juga ke atas Non Muslim sedikit demi sedikit jika PAS menjadi kerajaan?

     Undang-undang Islam hanya untuk orang Islam sahaja. Kes yang berlaku di Acheh Indonesia di mana seorang Cina bukan Islam telah disebat mengikut undang-undang Islam ialah kerana pesalah Cina itu sendiri yang memilih untuk dihukum mengikut cara Islam. Bukannya dia dipaksa untuk dihukum mengikut cara Islam lantaran dia melihat hukum Islam jauh lebih berperikemanusian berbanding hukuman di bawah Undang-undang Sivil.

8. Adakah benar PAS terima duit Umno sebanyak RM90 juta?

     Duit RM90 juta satu jumlah yang sangat banyak. Sehingga sekarang penuduh gagal menunjukkan sebarang bukti transaksi dan gagal mengemukakan nama pemimpin PAS yang dikatakan terima duit tersebut. PAS sebagai sebuah parti tak ada tangan nak terima duit. Yang terima mesti seseorang. Siapa orangnya? Penuduh tak berani nak sebut nama sebab dari segi undang-undang, bila disebut nama maka penama yang dituduh berhak mengemukakan saman dan mereka yang melemparkan fitnah sendiri tahu bahawa ia hanya tuduhan tanpa bukti. Sekadar tuduh PAS terima RM90 juta tanpa diketahui siapa orang yang menerimanya. Matlamat mereka yang menuduh hanyalah untuk mencipta persepsi buruk terhadap PAS tapi tak berani  untuk berhadapan secara gentleman.

DR AZMAN IBRAHIM

Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat

22 Januari 2018 - HARAKAHDAILY 22/1/2018

#http://www.harakahdaily.net/index.php/berita/15-tanah-air/4888-soalan-yang-bermain-dalam-kalangan-kaum-tionghua