*Soalan:*
Kita tengok sekarang ramai ahli PAS yang lebih suka hadir program-program kuliah, majlis ilmu, program berzikir atau berzanji. Mereka lebih suka menjemput dan mendengar kuliah-kuliah dari ustaz-ustaz yang tidak sama fikrah dengan perjuangan yang di bawa oleh PAS. Malangnya, ahli PAS ini sendiri GAGAL menghadirkan diri program-program dalaman parti PAS seperti usrah, liqa' fikri, ceramah dan juga program-program tarbiyah yang disusun khas untuk ahli PAS supaya berlaku kesamaan fikrah antara ahli. Apa pandangan ustaz berkenaan hal ini dan mengapa perkara ini boleh berlaku?
*Jawapan:*
Terima kasih pada yang memberikan komen, pandangan dan nasihat, berkait dengan kepentingan penglibatan kita dalam kegiatan politik khususnya di bawah badan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) itu sendiri.
Sebagaimana yang telah saya sebutkan tadi, agenda politik dalam perjuangan Islam ini satu agenda yang sangat mulia. Oleh kerana itulah dalam sirah Nabi S.A.W, kita lihat bagaimana Nabi sanggup berhijrah daripada Mekah pergi ke Madinah, kerana agenda politik.
Kalau kita lihat dalam perbahasan ulama’, di sana ada satu feqah di namakan sebagai Feqah Al-Muazanah dan Feqah Al-Aulawiyat. Kalau dua perkara, satu baik dan satu buruk, ini mudah untuk kita timbang. Ataupun, satu benda yang jelas, contohnya ialah kita balik ke rumah, anak kita lapar, ayam itik kita pun lapar jugak, kita nak bagi makan kepada anak kita dulu ke ataupun kita nak bagi makan kepada ayam itik kita? Tentulah Aulawiyatnya kepada anak kita dulu yang lapar.
Tapi jika sekiranya dua perkara semuanya baik, semuanya bagus, kadang-kadang kita payah untuk buat pertimbangan (Muazanah).
Di sinilah perlunya kepada alim ulama’ untuk melihat nas-nas syarak dan waqi’ semasa bagi membuat keputusan yang mana yang patut didahulukan, yang mana patut di kemudiankan.
Kalau kita lihat Sirah Nabi, Nabi tinggal Mekah pergi ke Madinah. Dari sudut feqah Muazanah dan juga feqah Aulawiyat, di sini berhukum dua perkara iaitu maslahah DAKWAH dan maslahah POLITIK. Kalau Nabi duduk di Mekah, ini maslahah DAKWAH. Nabi boleh dakwah Abu Jahal, boleh dakwah Abu Lahab, tiap-tiap hari Nabi boleh jumpa, tetapi kalau Nabi pergi ke Madinah, di sini ada maslahah POLITIK. Kerana di Madinah, penduduknya mengizinkan pada Nabi untuk dijadikan sebagai pengkalan, negara kerajaan Islam. Maka Nabi berhijrah dari Mekah ke Madinah. Nabi MENDAHULUKAN maslahah politik daripada maslahah dakwah. Kadang-kadang perkara ini mengelirukan kita.
Masa PAS duduk dalam Pakatan Rakyat dulu, kemudian Majlis Syura Ulama’ buat keputusan kita keluar, ada ahli-ahli PAS yang marah. Mereka kata, kenapa putus dengan Pakatan Rakyat? Bukan kita boleh dakwah DAP, dakwah PKR. Keputusan Majlis Syura Ulama’ kerana melihat maslahah politik lebih penting dari maslahah dakwah. Kalau PAS terus berada dalam PR, ya, kita boleh dakwah, boleh jumpa Lim Kit Siang tiap-tiap hari. Tetapi, dari segi politik, PAS rugi berada dalam PR. Politik yang dimaksudkan di sini adalah POLITIK ISLAM.
Tadi saya telah sebut, DAP letak syarat, kalau nak bersama PR, maka jangan bercakap soal negara Islam dan lain-lain. Maka di situlah kita lihat MSU buat keputusan bahawa PAS tidak ada hubungan dengan DAP, tidak ada hubungan dengan PKR. Kita sekarang mempunyai gagasan kita sendiri. Dan di sinilah penting program-program Tarbiyah, Usrah, Liqa’ Fikri dan lain-lain lagi untuk kita menguatkan iman, mengukuhkan Fikrah kita.
Betapa pentingnya agenda POLITIK kepada umat Islam yang hari ini sebahagian besar umat Islam menganggap agenda POLITIK ini adalah perkara sampingan. Buat pun takpe, tak buat pun takpe, ikutlah siapa nak memerintah. Ini sangat bahaya.
Termasuklah mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan agama yang dipandang tinggi oleh masyarakat kerana pegangan agama. Dia mengajar feqah, dia mengajar muamalat, dia mengajar apa sahaja, beri ilmu pada masyarakat, itu bagus, baik. Tetapi kita kena ajar kepada umat Islam betapa pentingnya agenda Politik.
100 Tahun umat Islam berada di zaman gelap ini, kerana apa? Kerana umat Islam menganggap agenda politik ini agenda sampingan menyebabkan musuh-musuh Islam menguasai dunia sehingga Palestin dirampas. Sampai hari ini negara-negara umat Islam menganggap bahawa agenda politik ini perkara sampingan, di sisi mereka politiknya mereka boleh guna kuasa. Negara Arab Saudi dimarah, mereka tak kira, Palestin duduk di tangan Yahudi sampai bila-bila pun, yang penting mereka boleh guna kuasa.
Maka di sini kita perlu, yang pertamanya ialah sentiasa memberikan kefahaman, memberikan nasihat kepada masyarakat supaya mereka mengutamakan agenda politik ini demi untuk memastikan Islam berkuasa. Dan sesama kita pun kita mestilah beringat, kadang-kadang kita pun terbabas jugak. Memang dah kadang-kadang kita mempunyai banyak tanggungjawab, banyak kewajipan. Pada keluarga ada kewajipan, pada tubuh badan ada kewajipan, dan kewajipan-kewajipan yang lain. Dalam perjuangan kita PAS ini kewajipan kita. Jadi kita nak pastikan semuanya ini dilaksanakan, ini memerlukan kepada kebijaksanaan kita mengurus.
Tetapi kita kena ingat agenda politik dalam Islam adalah agenda yang sangat mulia. Bila musuh-musuh Islam melihat gerakan Islam makin hari makin ke hadapan, mereka buat macam-macam perancangan.
Saya baca dalam laporan Rand Corporation (RC). Rand Corporation ini adalah satu institut yang ditubuhkan pada tahun 1948 di Amerika Syarikat. Institut ini laporannya diguna pakai laporannya oleh tentera udara Amerika Syarikat. Kemudian laporan ini akhirnya dikembang dan diguna kementerian pertahanan dan kementerian luar USA untuk merangka polisi-polisi.
Dalam beberapa tahun ini, laporan RC menyebut bahawa USA mesti memberi perhatian kepada gerakan-gerakan Islam. Maksudnya adalah gerakan politik.
Antara strategi yang di atur adalah menyokong, membantu mengembangkan individu dan kumpulan-kumpulan Islam yang tidak terlibat dengan politik. Kalau perlu beri dana, beri dana. Ini kita perlu beri perhatian. Minta maaf la kita sebut. Ini sebagai satu peringatan kepada kita.
Di sana terdapat individu, terdapat kumpulan-kumpulan yang mana mereka dapat dana, dapat duit untuk buat program ilmu sebagai contoh. Untuk buat program berzikir sebagai contoh. Supaya mereka lupa kepada agenda politik. Semua program-program ini bagus, baik, tetapi bila orang islam pergi, lalai lalu akhirnya mereka rasa syok, “owh, best duk dalam majlis ilmu. Dapat tambah ilmu”. Betul, bagus, baik. “owh, best duduk dalam majlis yang mendekatkan diri kepada Allah, sentiasa bertasbih, bertahmid. Kalu duk cara pasal politik ni payah, dok suka pada orang, benci pada orang”. Lalu akhirnya mereka makin hari makin jauh dari agenda politik dalam diri mereka. Ini kita kena beri perhatian.
Sebab itulah PAS sentiasa beri peringatan bahawa agenda politik ini adalah agenda yang sangat penting yang mesti diberikan perhatian oleh umat Islam. Dan kita selalu sebut dalam kuliah kita, dalam ceramah kita, dalam forum kita supaya orang Islam ini sentiasa ingat dan di tanam dalam hati dia penting agenda politik yang mesti dilakukan oleh mereka, yang mesti diteruskan oleh mereka, yang mesti ditanam dalam diri mereka.
Jadi walaupun bermacam-macam ujian dan cabaran sebagaimana saya sebutkan tadi, perkembangannya makin hari kebangkitan Islam dari segi politik ini makin memuncak, makin berkembang. Ini yang membimbangkan musuh Islam.
Tapi yang penting adalah kita Istiqomah.Tadi saya sebut dalam perjuangan kita ini, kita tak tahu bila menang, dan kita tak tahu macam mana. Tadi pun ada sebut, ada orang tak faham PAS ni nak pergi ke mana kerana zaman kita sekarang ini dah zaman bertahan. Bila kita menang dan macam mana kita menang, itu kita tak tahu. Tapi kita yakin janji Allah dan janji Nabi SAW. Nabi pernah sebut dalam satu hadis bahawa Islam ini akan menang balik. Selepas daripada zaman Mulkan Jabariyya, akan kembali kepada khilafah. Ini Nabi sebut. Dan ini janji Nabi dan ini yang kita kena yakini.
Sekarang ini kita kenalah jaga diri kita duduk dalam Jemaah Islam, Istiqomah dengannya kerana zaman sekarang ni adalah zaman bertahan bertembung dengan kebatilan-kebatilan yang ada.
Wallahualam
Jawapan dari *Ustaz Khalil Abdul Hadi*