Ucapan Perdana Menteri di Kelantan semasa lawatan seharinya ke negeri ini pada 28 Januari 2018 lalu merupakan satu catatan sejarah yang memalukan. Beliau antara lain menyebut bahawa Kelantan tidak akan dapat membayar gaji kakitangannya jika tanpa bantuan kerajaan Pusat menunjukkan bagaimana beliau gagal memahami konsep federalisme yang telah termaktub di dalam perlembagaan. Ia bagaikan seakan mengulangi cerita '7 Janji' yang dilontarkan beliau juga di Kelantan sebelum pilihanraya umum ke 13 yang lalu.
Adalah perlu untuk difahami bahawa kerajaan negeri dan pusat mempunyai bidang kuasa masing masing mengikut jadualnya yang tersendiri. Kerajaan pusat mempunyai bidang kuasa memerintah melalui Dewan Rakyat, manakala kerajaan negeri pula melalui Dewan Undangan Negeri. Di antara kuasa-kuasa yang ada pada kerajaan pusat adalah kewarganegaraan Persekutuan, hubungan luar, pertahanan, keselamatan dalam negeri, kewangan, pendidikan, perdagangan dan industri. Kuasa kerajaan negeri pula merangkumi undang-undang Islam, tanah, pertanian dan perhutanan, kerajaan tempatan, perkhidmatan tempatan dan jentera kerajaan negeri.
Ini merupakan asas dalam konsep federalisme. Mengungkit-ngungkit bahawa kerajaan Kelantan mampu membayar gaji hanya kerana mendapat bantuan kerajaan Pusat adalah satu perbuatan kebudak-budakan. Sebanyak manakah pula hasil mahsul yang diangkut dari bumi Kelantan untuk membiayai Putrajaya? Adakah boleh disebut bahawa tanpa minyak Kelantan, Perdana Menteri tidak akan mampu mengelilingi dunia bersama isterinya?
Terengganu negeri yang paling hampir dengan Kelantan pun menerima sekitar RM1.5 billion terimaan dari Pusat hasil royalti dan sebagainya seperti yang termaktub di dalam Bajet 2018 negeri tersebut. Barangkali tanpa bantuan pusat, bukan setakat gaji kakitangan, bahkan butir beras pun tidak mampu untuk dibeli!
Realitinya, ia tidak boleh disebut sebagai bantuan. Ia adalah kewajipan anda sebagai Kerajaan Pusat. Adakah ia tanda bahawa parti Dato Seri sudah jemu untuk mentadbir kerajaan Pusat?
Kita kesal dengan kegagalan Perdana Menteri memahami konsep ini. Harapnya ia hanyalah penyedap telinga kepada jentera UMNO Kelantan untuk meningkatkan usaha berdepan pilihanraya umum ke 14 bersama rakan baru di Kelantan seperti yang dinyatakan oleh YBM Tengku Razaleigh Hamzah beberapa hari lepas.
AHMAD FADHLI SHAARI
30 JANUARI 2018