Isnin, 27 November 2017
Perjuangan PAS adalah mencari redha Allah swt.
1. Fasal ke 5 Perlembagaan PAS di bawah tajuk Tujuan PAS dengan jelas menyebut bahawa tujuan PAS ditubuhkan adalah untuk memperjuangkan agar tegak di bumi tercinta ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana padanya nilai-nilai dan hukum hakam yang menuju keredhaan Allah swt.
2. Ertinya, matlamat akhir perjuangan PAS adalah mencari redha Allah swt. Tidak ada nilai perjuangan ini tanpa redha Allah swt. Kita tampal poster kerana mencari redha Allah swt. Kita naikkan bendera kerana mengharapkan redha Allah swt. Kita menyampaikan kuliah, ceramah dan sebagainya adalah kerana mendambakan redha Allah swt. Kita berdakwah, berpolitik dan menggerakkan aktiviti tarbiyah semuanya berpaksi kepada redha Allah swt.
3. Kita berjuang untuk menegakkan Islam. Rebah bangun menghadapi segala ancaman dan tentangan. Kita mahu Islam berdaulat. Kita mahu Islam berada ditempat yang sewajarnya. Kita mahu Islam tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya. Namun perjuangan ini ada kaedahnya, perjuangan ini ada syarat yang perlu dipatuhi agar mendapat redha Allah swt.
4. Segalanya akan menjadi sia-sia bagai debu berterbangan tanpa sebarang manafaat jika gerak juang kita tidak diredhai oleh Allah swt. Kita mahu kemenangan dalam redha Allah swt. Kita tidak mahu kemenangan yang terpisah dari redha Allah swt. Semoga kita termasuk dalam golongan pilihan Allah swt:
وَمِنَ النَّاسِ مَن يَشْرِي نَفْسَهُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ وَاللَّهُ رَءُوفٌ بِالْعِبَادِ
Dan di antara manusia, ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hambanya (yang berjuang dan berkorban hanya kerana mencari redha Allah swt). (Surah Al Baqarah: 207)
5. Slogan perjuangan kita yang selayaknya tersemat utuh di dalam dada kita ialah:
الله غايتنا
الرسول قدوتنا
القرآن دستورنا
الجهاد سبيلنا
الموت في سبيل الله أسمى أماننا
(Redha) Allah Matlamat akhir kita
Ar Rasul contoh tauladan kita
Al Quran perlembagaan hidup kita
Al Jihad adalah jalan kita
Mati di jalan Allah setinggi-tinggi cita-cita kita
6. Kita diajar oleh Islam agar memberi infak, menderma dan menyumbang adalah untuk mencari redha Allah swt:
وَمَثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ وَتَثْبِيتًا مِّنْ أَنفُسِهِمْ كَمَثَلِ جَنَّةٍ بِرَبْوَةٍ أَصَابَهَا وَابِلٌ فَآتَتْ أُكُلَهَا ضِعْفَيْنِ فَإِن لَّمْ يُصِبْهَا وَابِلٌ فَطَلٌّ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan. (Surah Al Baqarah: 265)
7. Segala amal kebaikan yang kita lakukan juga adalah selayaknya untuk mencari redha Allah swt. Hal demikian itu meletakkan kita berbakti bukan hanya di dunia tetapi juga di akhirat.
لَّا خَيْرَ فِي كَثِيرٍ مِّن نَّجْوَاهُمْ إِلَّا مَنْ أَمَرَ بِصَدَقَةٍ أَوْ مَعْرُوفٍ أَوْ إِصْلَاحٍ بَيْنَ النَّاسِ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا
Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar. (Surah An Nisa': 114)
8. Malangnya terdapat sebahagian dari kalangan umat Islam yang jahil dan naif, tanpa rasa bersalah dan segan malu mempersendakan ucapan dan pendirian kita apabila kita menegaskan bahawa perjuangan yang kita dukung ini adalah untuk "mencari redha Allah swt". Malah mereka mula panas belakang, apabila syarat yang kita letak dalam strategi, aktiviti, pendekatan dan gerak aksi kita adalah "mencari redha Allah". Mereka anggap syarat ini menyusahkan mereka dan melambatkan proses mencapai kemenangan.
9. Sebenarnya, redha Allah swt menjadi rahsia umum kenapa perjuangan ini mampu bertahan, meskipun dibelasah dan difitnah tanpa belas simpati oleh musuh Islam dan bonekanya yang tidak mahu melihat Islam berdaulat di bumi bertuah ini.
10. Inilah tunjang utama yang meletakkan kita mampu beristiqamah dengan perjuangan suci ini, biarpun tiada janji manis bersifat duniawi diberikan. Mereka yang memperkecilkan redha Allah swt pastinya mudah meninggalkan perjuangan, patah hati dan kecewa dalam perjuangan terutama apabila kemenangan yang mereka gilakan selama ini gagal dicapai sedang mereka tidak mengharapkan apa-apa dari Allah swt.
Penutup
إِنَّا نَخَافُ مِن رَّبِّنَا يَوْمًا عَبُوسًا قَمْطَرِيرًا
"Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Allah swt kenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah: masam berkerut-kerut". (Surah Al Insan: 10)
Sekian.
Beristiqamah Hingga Kemenangan
Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat