PAUTAN TAMBAHAN

Jumaat, 4 Ogos 2017

PERANAN ULAMAK

Ulama’ ialah ahli agama atau ilmuan yang menguasai beberapa cabang ilmu akidah, syariah dan akhlak. Ilmu ini adalah ilmu yang bermartabat tinggi kerana ia berkaitan dengan Allah, Rasulullah, Al-Quran, sistem kehidupan, politik, budaya, ekonomi dan perkara-perkara besar yang lain. Ilmu ini akan menentukan nasib baik seseorang atau sebaliknya di dunia dan di akhirat kelak. Ilmu inilah yang disebut sebagai Ad-din oleh Rasulullah s.a.w dengan sabdanya:

“Sesiapa yang Allah ingin memberikan kebaikan kepadanya, nescaya Allah memberi dia kefahaman yang baik tentang agama”. (Muttafaqun ‘Alaih dari Mu’awiyah r.a)

Ilmu ini juga disebut Al-Hikmah seperti firman Allah dalam surah Al- Baqarah ayat 269:

“Allah memberi Al-Hikmah kepada siapa yang dikehendaki-Nya; barangsiapa yang telah dianugerahkan dengan hikmah itu bermakna dia telah diberikan kebaikan yang banyak”.

Allah mengangkat martabat orang yang beriman dan berilmu pengetahuan dengan beberapa darjat. Allah berfirman dalam surah Al-Mujadalah ayat 11:

“Allah meninggikan darjat orang yang beriman di kalangan kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan (di kalangan kamu) beberapa darjat. (Ingatlah) Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan”.

Dalam hadith yang lain Rasulullah s.a.w. menegaskan:
"Sesungguhnya Allah meninggikan martabat sesuatu kaum dengan Al-Quran ini (yakni ilmu tentang Al-Quran) dan merendahkan martabat yang lain kerananya".

(Riwayat Muslim)
Ilmu inilah yang dinyatakan oleh Allah akan direnggut dan dicabut daripada sesuatu kaum dengan dimatikan golongan orang Alim dalam kalangan sesuatu kaum itu. Rasulullah s.a.w bersabda dengan maksud:

"Sesungguhnya Allah tidak akan mencabut ilmu (ilmu agama) daripada umat manusia dengan sekali renggut. Akan tetapi Dia mencabut ilmu dengan mewafatkan para ulama’. Sehingga apabila tiada lagi seorang Alim pun hidup maka orang ramai menjadikan orang-orang jahil sebagai pemimpin mereka.
Maka mereka (para pemimpin itu) ditanya, lalu mereka berfatwa tanpa ilmu.
Maka dengan demikian mereka menjadi sesat dan menyesatkan orang lain".
(Muttafaqun ‘Alaih)

Apakah peranan ulama’ di dunia ini sehingga martabat mereka begitu tinggi?
Peranan ulama’ antara lain ialah:

Pertama :Sebagai pewaris para Nabi atau penyebar ajaran yang dibawanya.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

”Sesungguhnya para ulama’ itu adalah pewaris para Nabi. Dan sesungguhnya para Nabi tidaklah mewariskan dinar mahupun dirham, tetapi mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa
yang mengambilnya (ilmu tersebut) bererti dia telah mengambil bahagian ilmu yang banyak”.
(Riwayat Abu Daud dan At-Tarmizi)

Menghina dan mengepikan ulama’ serta menghalang mereka daripada menyampaikan ilmu malah membunuh mereka adalah satu kejahatan dan perbuatan yang berdosa. Allah berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 21-22:

"Sesungguhnya orang yang mengingkari ayat-ayat keterangan Allah, membunuh Nabi-nabi tanpa alasan yang benar dan membunuh orang yang menyuruh berlaku adil di kalangan manusia, maka sampaikanlah (berita yang menggembirakan) kepada mereka akan adanya azab yang pedih. Mereka itulah orang yang telah terbatal amal perbuatannya di dunia dan di akhirat. Mereka tidak akan memperoleh sesiapa pun yang dapat memberi pertolongan".

Kedua :Ulama’ mengajar dan memperkukuh akidah, syariah dan akhlak Islam. Ulama’ yang tidak menyebarkan dakwah dan perjuangan Islam sepertimana yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w maka mereka bukan ulama’ yang sebenar.

Kefahaman hidup seperti budaya, politik, ekonomi dan lain-lain daripada perspektif Islam hendaklah menjadi butiran ilmu yang diajar oleh ulama’ kepada orang ramai. Mereka berperanan melurus dan menjernihkan umat daripada palitan dan saki-baki fahaman jahiliyyah, khurafat dan perkauman yang masih tebal yang boleh menghakis akidah Islam.

Ketiga :Ulama’ adalah contoh budaya takut kepada Allah dan menjadi model akhlak Islam. Sikap dan perilaku ulama’ adalah mempamerkan kelakuan dan akhlak Islam yang lengkap dalam memerintah, mentadbir, memimpin, menjadi pemimpin keluarga dan sebagainya.

Ulama’ bukan dari kalangan mereka yang melakukan perkaraperkara buruk seperti rasuah dan lain-lain lagi.

Keempat :Ulama’ adalah golongan yang prihatin dan mementingkan kerja membela penderitaan umat dan berusaha mereformasikan kehidupan sosiopolitik, budaya, ekonomi dan sebagainya. Mereka adalah golongan yang terlibat berjihad untuk menobatkan pemerintahan menurut lunas-lunas ajaran Islam. Mereka berusaha memartabatkan kedudukan umat dalam setiap lapangan agar menjadi khaira ummah demi menunaikan amanah dan tanggungjawab ilmu mereka.

Kelima :Ulama’ mestilah dijadikan sebagai tempat rujukan dan pembimbing umat daripada setiap kekalutan pemikiran dan kesesatan fahaman oleh simpang-siur ajaran dan ideologi ciptaan manusia. Sebab itu usaha menghalang ulama’ daripada menyampaikan ajaran agama adalah suatu kesalahan. Sebagai contoh, menyusahkan ulama’ menyampaikan ajaran Allah dengan memenjarakan atau
mengenepikan mereka daripada khalayak ramai adalah satu usaha memadamkan sinar agama Allah di mana jua pun. Usaha para ulama’ yang berani menyatakan kebenaran seperti yang diajarkan oleh Islam adalah lambang perjuangan dan jihad mereka menyampaikan Islam walaupun dimusuhi oleh mereka yang anti ulama’.

Keenam :Ulama’ sentiasa berperanan mencegah kemungkaran, kezaliman dan amalan yang menderhaka kepada ajaran Allah. Ini kerana Allah telah memerintahkan dalam surah Ali-Imran ayat 104:

”Hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam),  dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Mereka yang bersifat demikian itulah orang yang berjaya”.

Jelaslah kepada kita betapa pentingnya kedudukan para ulama’ dan peranan mereka dalam menyelamatkan umat daripada kejahilan dan kesesatan akidah. Sebab itu ulama’ dipandang serong oleh musuh Islam dan orang-orang yang sangat anti kepada perjuangan hidup Islam.

Kini terdapat usaha menjatuhkan Islam melalui tindakan memburukkan Al-Quran, nama baik Rasulullah s.a.w dan malah pewaris Baginda; iaitu para ulama’. Melalui tindakan jahat tersebut mereka mula membakar Al-Quran, melukis gambar-gambar kartun yang membayangkan Rasulullah s.a.w sebagai pengganas. Menjatuhkan martabat ulama’ dengan mengaitkan mereka dengan
kumpulan bersenjata dan pengganas yang hendak perangi dengan apa cara sekalipun.

Oleh kerana peranan dan kedudukan ulama’ penting dalam masyarakat, marilah kita menghormati dan menghargai ulama’ kita yang soleh dan bertaqwa.

Marilah mendekati dan mempelajari ilmu pengetahuan daripada ulama’. Ini tanda kita mengagungkan dan membesarkan Allah. Allah berfirman dalam surah Al-Hajj ayat 32:

“Demikianlah (ajaran Allah), sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan daripada sifat-sifat taqwa hati (orang yang beriman)”.

Marilah kita menyediakan prasarana pendidikan yang boleh melahirkan ramai ulama’ di kalangan anak-anak kita generasi baru, agar kesinambungan pengajaran Rasul itu dapat diteruskan. Marilah kita menyokong dan bekerjasama dengan ulama’ untuk menobatkan syiar Islam melalui dakwah dan perjuangan Islam.

Sesungguhnya ketinggian ulama’ adalah lambang ketinggian syiar Islam.

Rendah dan terpinggirnya ulama’ bermakna lemah dan terpinggirlah Islam.

Mereka pewaris Rasul untuk membimbing umat. Mereka menghidupkan sunnah Rasul yang sudah ditinggalkan. Kerana itulah Allah memerintahkan agar mereka dihormati, dimuliakan bahkan segenap ilmuan perlu dihargai peranan mereka.

Hasan Al-Basri menegaskan: Meninggalnya seorang Alim merupakan suatu kehilangan besar yang sukar dicari ganti sepanjang zaman. Bahkan ada hadith riwayat Ad-Darimi dan At-Tabrani menegaskan dengan maksudnya:

“Kematian seorang Alim itu merupakan musibah yang tidak dapat ditukar ganti serta lumpang yang sukar ditutup”. (Riwayat Ad-Darimi dan At-Tabrani)

Sebab itu martabat dan peranan ulama’ hendaklah dihormati dan dihargai.

Pertubuhan dan gerakan mereka wajib disokong sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa. Kegiatan mereka hendaklah dibantu dan diperkasa untuk kebaikan umat Islam dan manusia seluruhnya. Maruah dan nama baik mereka hendaklah dipertahankan kerana ia adalah tanggungjawab setiap umat yang cintakan Islam.

“Dan tidaklah sepatutnya bagi orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); mengapa tidak, sekelompok daripada tiap-tiap puak (kabilah) antara mereka memperdalami ilmu agama, dan supaya mereka dapat memberi peringatan kepada kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang itu kembali kepada mereka, mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (daripada melakukan larangan Allah) ”.  (Surah At-Taubat: 122)

DISAMPAIKAN OLEH : MUHAMMAD ZABAR MOHD AMIN