Selasa, 4 Julai 2017

KELONGGARAN SYARAT LULUS BM : PAS MEMBANTAH KEPUTUSAN KERAJAAN

Oleh : Nasrudin bin Hassan_
Ketua Penerangan PAS Pusat._

1. Susulan keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melonggarkan syarat kelayakan Bahasa Melayu (BM) peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi lantikan ke jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41, *PAS menggesa kerajaan supaya batalkan keputusan berkenaan.*

2. Isu ini perlu dilihat secara objektif. Malaysia memerlukan modal insan dalam institusi perubatan negara bagi menampung modal insan dalam kelestarian pembangunan menghadapi cabaran mendatang. Dalam masa yang sama, isu *lambakan doktor pelatih* seperti yang dibangkitkan sebelum ini juga wajar diberi perhatian segera oleh pihak bertanggungjawab.

3. Kita menerima jumlah graduan perubatan yang tinggi saban tahun. Pada 2015, jumlah graduan perubatan mencecah 4,140 orang dengan hanya kira-kira 20 peratus dikalangan graduan mengambil masa lebih 2 tahun untuk diserap ke 44 buah hospital yang menyediakan penempatan doktor pelatih.

4. Para graduan ini merangkumi graduan perubatan di luar negara, mereka yang menduduki peperiksaan O-level di sekolah antarabangsa perlu mendapatkan tempat di hospital tertentu bagi menjalani latihan siswazah selama 2 tahun dan khidmat wajib juga selama 2 tahun di Kementerian Kesihatan, sebelum dianugerahkan Sijil Pengamal Perubatan.

5. Tidak sesekali dinafikan kita wajar memastikan keseimbangan "demand-supply" serta para graduan tersebut perlu diberi tempat bagi menjalani latihan siswazah sebagai langkah awal profesion kedoktoran di negara ini. Namun, *kelonggaran syarat kelayakan BM tidak seharusnya dijadikan "korban" oleh pihak kementerian.*

6. Respon balas Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada 2 Julai yang lalu memproklamir bahawa kelonggaran itu "memudahkan perlantikan terutamanya bagi graduan perubatan yang tidak menduduki peperiksaan BM di peringkat SPM atas pelbagai sebab".

7. Sebaliknya pula PAS berpendirian *KKM seharusnya menilai opsyen-opsyen lain* bagi memastikan para graduan yang tidak menduduki SPM atas pelbagai sebab itu supaya *mereka diberi ruang dan kemudahan untuk menjalani peperiksaan SPM sebagai calon persendirian.*

8. "Kelonggaran" syarat kelayakan itu dibimbangi akan menyebabkan sikap "bermudah-mudah" dan *"menghakis" kepentingan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Rasmi Persekutuan* pada masa akan datang. Ini juga tidak boleh dipandang enteng oleh KKM.

9. Justeru, PAS memandang serius isu ini dan mengharapkan agar pihak bertanggungjawab *membatalkan keputusan tersebut* dengan buat kajian baru yang mendalam dan mencapai suatu keputusan yang lebih strategik dalam menangani hal ini.

Sejahtera Bersama Islam

Sekian.