Selasa, 20 Jun 2017

DAP anti Islam, Umno tak bersungguh dengan Islam.


DAP anti Islam, Umno tak bersungguh dengan Islam.

Ketika berucap dalam Majlis Berbuka Puasa di Jitra kelmarin 19 Jun, Perdana Menteri Dato' Seri Najib mendakwa sebab PAS telah meninggalkan pakatan pembangkang ialah kerana dibuli oleh DAP.

Suatu kenyataan yang bunyinya agak lucu dari seorang Presiden Umno yang gagal untuk memahami isu sebenar yang menyebabkan PAS membatalkan tahaluf dengan DAP.

Umum mengetahui PAS adalah sebuah parti yang telah begitu lama berjuang di persada politik tanahair. Kewujudannya telah menjangkau usia 66 tahun. Kematangan dan ketahanan PAS melalui jatuh bangun serta kalah menang dalam perjalanan yang panjang ini usah dipertikaikan lagi. Malah PAS adalah sebuah parti yang jauh lebih kukuh berbanding parti-parti lain dalam pakatan pembangkang dari segi aspek jentera parti, jumlah cawangan serta keahlian di peringkat akar umbi.

Selama 66 tahun PAS teguh mempertahankan prinsip perjuangan dengan meletakkan Islam sebagai dasar. Ketika berpakat atau berpisah dengan mana-mana parti lain, syarat utama PAS ialah Islam. Tidak ada kompromi dan tolak ansur dalam mempertahankan prinsip Islam walau dengan siapa sekalipun PAS membuat kerjasama.

DAP bukan setakat tidak mahu melaksanakan Islam malah memusuhi Islam. DAP adalah sebuah parti anti Islam walaupun di dalamnya ada beberapa orang pemimpin Melayu.

Ibarat seorang kawan yang naik satu kereta bermusafir bersama kita, bila masuk waktu solat, kalau pun mereka tak mahu solat, sekurang-kurangnya mereka bersetuju untuk berhenti dan tunggu sehingga kita selesai solat. Bukan kita nak paksa mereka solat. Tapi ternyata DAP bukan setakat tak mahu solat, malah mereka juga menentang keras untuk kita berhenti seketika bagi menunaikan solat. Maka DAP tak layak lagi dibuat kawan.

Orang yang tak faham Sirah Nabi akan mengatakan bahawa Rasulullah dan para Sahabat telah berhijrah meninggalkan Kota Mekah ke Madinah kerana ditindas, dizalimi dan disiksa oleh musyrikin Quraisy. Lalu Rasulullah berhijrah untuk menyelamatkan diri. Tetapi mereka yang faham akan mengerti bahawa sebab Rasulullah berhijrah dari Mekah ke Madinah adalah untuk berpindah dari satu tempat dimana Islam tak diizinkan berdiri sebagai satu sistem lengkap lalu berpindah ke satu tempat baru dimana Islam boleh berdiri sebagai sistem lengkap sehingga membentuk dan mentadbir sebuah negara. Perlaksanaan Islam yang menjadi sebab hijrah, bukannya kerana takut dan bukan juga kerana dibuli oleh musyrikin Quraisy.

Mereka yang tak faham akan mengatakan PAS telah meninggalkan pakatan pembangkang kerana dibuli, tapi mereka yang faham akan melihat dengan jelas bahawa halangan dan penentangan DAP terhadap Islam adalah punca PAS meninggalkan rakan tahaluf dalam pakatan pembangkang. Tahaluf bukannya dilaksanakan semata-mata kerana nak menang ke Putrajaya tanpa menghiraukan soal bagaimana dan dimana nanti syariat Allah mengambil peranan dalam mengisi kemenangan.

Kalau DAP menghalang dan menentang syariat Allah, kenapa PAS tak bersama Umno? Sebuah parti orang Melayu beragama Islam!

Jawabnya DAP menentang Islam manakala Umno pula tak bersungguh dan tak serius nak melaksanakan Islam. Islam bagi Umno cuma dizahirkan ketika terdesak dan terhimpit untuk meraih sokongan. Masa senang Umno lupa Islam, bila tersepit Umno ingat Islam. Pemimpin Umno bertakbir dalam Perhimpunan Agong Umno, dalam masa yang sama kerajaan Umno jugalah yang memberi lesen kepada pelbagai maksiat dan judi dihalalkan dalam negara.

Pemimpin Umno bercakap tentang Islam. Mereka jugalah juara penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa, kroni, nepotisme, salah tadbir urus, pembaziran harta negara serta kemewahan melampau pemimpin negara.

Islam dalam Umno hanyalah satu biro, bukannya dasar dan matlamat perjuangan.

Memang PAS dan Umno sama-sama orang Melayu, tetapi sangat berbeza kerana Melayu Umno berjuang atas dasar kebangsaan sementara Melayu PAS meletakkan Islam sebagai dasar.

Pemimpin Umno dan PAS sama-sama Islam. Tapi belum ada lagi pemimpin PAS yang ditahan dan dibicarakan kerana rasuah. Pemimpin Umno pula ramai yang merengkok dalam penjara kerana rasuah.

Pemisah antara PAS dan Umno ialah Islam! Terima Islam sebagai dasar perjuangan lalu berkerja untuk melaksanakan Islam, maka kita boleh bersama.

Dr Azman Ibrahim
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
20 Jun 2017