Khamis, 8 Disember 2016

Parti pembangkang menanti keputusan Pas


1. SEMUA parti pembangkang sedang memerhati dan menanti keputusan Pas. Sebahagiannya menyatakan sukar membaca strategi Pas. Mereka menaruh harapan agar Pas menyertai barisan yang mereka bentuk untuk menentang Umno dan BN dengan formula satu lawan satu.

2. Secara mikronya saya melihat mereka sedang mengalami gangguan delusi di pentas politik tanah air, barangkali kesan dari tindakan terburu-buru menubuhkan parti - parti baru yang kononnya akan membawa mereka menang cepat mengatasi Umno dan BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

3. Justeru itu tidak pelik apabila mereka menyerang Pas bertali arus dengan tujuan mahu melunturkan pengaruh dan sokongan Pas. Mereka hina dan perkecilkan Pas sebagai sebuah parti yang tidak boleh bersaing dan seiring dengan mereka untuk menuju garis kemenangan PRU14 kelak.

Hormati Islam dan tidak menentangnya

4. 1001 fitnah dan tohmahan telah dilontarkan kepada Pas. Kononnya Pas makan dedak Umno, mesra Umno, masuk perangkap Umno, ditipu oleh Umno dan sebagainya. Objektif mereka ialah memberi persepsi negatif kepada Pas. Namun realitinya, Pas tidak mudah untuk diperdaya oleh mana-mana pihak. Ia berjuang di atas paksinya yang teguh iaitu Manhaj Perjuangan Islam yang dianuti dan prinsip kebenaran yang didukung.

5. Sebetulnya, Pas sangat berlapang dada dan mudah berkira bicara dengan mana-mana pihak asal sahaja dasar dan prinsip perjuangan Islamnya dihormati dan tidak ditentang. Tiada yang lebih penting bagi Pas selain Islam. Pemimpin dan ahlinya yang Istiqamah hanya meletakkan Islam sebagai hadaf (matlamat semasa) dan reda ALLAH SWT sebagai ghayah (matlamat akhir).

Gerakan Perubahan

6. Perubahan adalah suatu yang wajib dilakukan bagi membebaskan tanah air tercinta dari kemungkaran politik, kefasadan ekonomi, kebejatan sosial dan kerakusan pemimpin yang tamak haloba. Namun perubahan yang dimaksudkan mestilah ke arah yang lebih baik dan tiada yang lebih baik selain Islam.

7. Perubahan yang mahu dilakukan juga adalah perubahan total dengan meruntuhkan jahiliah dan membina Islam serta keadilannya di atas runtuhan jahiliah. Kita tidak boleh melakukan perubahan hanya pada ranting tapi mengekalkan dahan yang reput. Kita tidak mahu meruntuhkan jahiliah kemudian membiarkan jahiliah baru terbina di atas runtuhan jahiliah lama.

Pas Memimpin Perubahan

8. Pas sudah berpengalaman menyertai pelbagai bentuk pakatan politik. Antaranya ialah Perikatan, APU, CCC, Barisan Alternatif, PR dan kini Gagasan. Mengolah segala pengalaman yang dimiliki, Pas menegaskan secara muktamad bahawa kini sudah sampai masanya Pas memimpin perubahan. Suatu perubahan yang menuju Kesejahteraan Rakyat, Kemakmuran Negara dan Keredaan ALLAH SWT.

9. Siapa pun boleh mengharapkan Pas sebagaimana mereka juga pada bila - bila masa boleh datang kepada Pas untuk menyertai gagasan memimpin perubahan ini. Syaratnya terlalu mudah malah senang untuk dihafal iaitu hormati prinsip perjuangan Pas dan tidak menentang Islam yang diperjuangkan oleh Pas.

DAP Menentang Islam

10. Realitinya, DAP masih tegar menentang Islam yang diperjuangkan oleh Pas. Maka polisi semasa Pas ialah menolak DAP dan mana-mana parti yang mendukung serta bekerjasama dengan DAP. Justeru itu, sifir mudah bagi mereka yang mahu bersama Pas ialah meninggalkan DAP dan datang kepada Pas dengan semangat setia kawan yang tinggi serta mematuhi syarat mudah iaitu menghormati prinsip perjuangan PAS dan tidak menentang Islam yang diperjuangkan oleh Pas.

*Inilah Penyelesaian Kita*

Sekian.

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan Pas