PAUTAN TAMBAHAN

Khamis, 5 Mei 2016

PENJELASAN ANAK SYEIKH RAMADAN AL-BUTI MENGENAI AYAHNYA DAN KRISIS SYRIA



*Nasihat ini telah lama diperkatakan, bahkan orang tidak mahu mendengar. Kesannya yang berpanjangan, Kita terpaksa terima. Apa yang terjadi di Syria sekarang ialah menggunakan nama Islam tetapi untuk ‘menyembelih’ agama ini.

Dr Taufiq Ramadan al-Buti yang merupakan anak ulama terkemuka Syria, As-Syahid Syeikh Ramadan al-Buti menceritakan detik-detik akhir kematian ayahnya di tangan puak radikal.

Pelbagai tuduhan serong ditujukan kepada As-Syahid sehingga beliau dibunuh dan buku-bukunya dibakar. Padahal menurut Taufiq, sikap ayahnya sangat neutral dalam konflik Syria. Tidak cenderung kepada mana-mana pihak lantaran krisis yang melanda Syria.

“Ada agenda besar tersembunyi di sebalik fitnah di Syria,” katanya.

Wartawan portal Indonesia Republika Online, Nashih Nashrullah, berkesempatan berbincang dengan Beliau, sewaktu kunjungannya ke Indonesia menghadiri International Conference of Islamic Scholars (ICIS). Berikut petikan temu bual tersebut:

1. Apakah sebenarnya yang terjadi pada detik-detik akhir menjelang kematian Syeikh Ramadan Al-Buti?

Pada 21 Mac 2013, selepas solat Maghrib, seorang pemuda lingkungan usia 18 tahun datang masuk ke Masjid al-Iman, Damsyik. Dia pada mulanya duduk di belakang dua minit, lalu beranjak mendekati posisi ayah yang sedang menyampaikan kajian tafsir. Jarak antara pemuda dengan posisi beliau duduk kira-kira 6 meter. Lalu pemuda itu meledakkan dirinya. 45 orang jemaah meninggal dunia di tempat kejadian.

Jumlah kematian sebenarnya 53 orang. Letupan itu tidak terlalu memberi kesan teruk kepada ayah, hanya luka ringan di bahagian bibir. Bahan letupan C-4 itu di dalamnya terdapat potongan-potongan material kecil. Letupan itu begitu dahsyat. Dalam keadaan penuh berdarah, Ahmad (anak saya) cuba membantu datuknya tetapi tidak berjaya. Ahmad terjatuh dan akhirnya syahid di hospital.

Melalui telefon, kami mendapat maklumat bahawa ayah hanya luka di bahagian kening dan kaki, tetapi Allah SWT mempunyai rancangannya. Ketika tiba di hospital, saya dimaklumkan bahawa beliau telah meninggal dunia. Saya akhirnya melihat jenazah, perasaan bercampur aduk, seolah tak percaya. Beliau seperti tertidur biasa. Mukanya putih, badannya masih panas, bibirnya merah, saya cium keningnya. Saya bertanya kepada doktor, bagaimana keadaan Ahmad, anak saya? Doktor menjawab dia sudah meninggal dunia.

2. Apakah ada apa-apa petunjuk sebelum peristiwa tragik ini terjadi?

Yang jelas, mereka menyedari Ramadan Al-Buti telah menyingkap keburukan di balik krisis Syria ini dan harus segera diselesaikan. Beberapa bulan sebelum ayah wafat, ketika berada dalam satu pertemuan bersama keluarga, beliau berkata,” Saya bermimpi, wallahu a’lam, apa maknanya, tapi saya berfirasat, ajal telah dekat.” Kejadian keganasan sebenarnya tidak membuatkan kami hairan, kami sudah menjangkakan ini semua bakal terjadi, kami risaukan ayah kami.

Maksud yang tersirat ialah mereka hendak menconteng wajah Islam menggunakan Ramadan Al-Buti. Kali pertama krisis Syria, ketika saya sedang berada di Brunei Darussalam, sebuah bom dijatuhkan di depan rumah kami, selepas itu, sebuah bom pernah dilempar nyaris terkena kereta saya. Jadi ini bukan kali pertama tetapi berulang kali.

Sudah beberapa kali ada pihak menulis ancaman-ancaman dengan kata-kata kasar, menjijikkan di tembok rumah kami. Begitulah mereka. Kerana itu, beliau menyarankan agar tidak pergi ke masjid, meski jarak rumah kami tak terlalu jauh kerana jalan menuju masjid tidak lagi selamat. Beberapa hari kemudian, ayah saya kembali mengumpulkan keluarga, termasuk anak-anak saya.

Beliau meminta agar anak lelakiku, Mahmud yang tengah sakit untuk tidak pergi merakam ceramah rutin beliau di Universiti al-Kuwait, dekat rumah. Namun, permintaan ini tidak didengarinya, Mahmud dan Ahmad tetap pergi merakam episod ke-17 ceramah bertajuk Fi Qadhaya as-Sa’ah ma’a Al-Buti (Isu Semasa Bersama Al-Buti) yang diajar oleh datuknya itu.

Selepas itu, Ahmad meminta izin untuk keluar daripada kesemua ahli keluarga, seakan hendak pergi jauh. Mendekati Maghrib, dia bergegas menuju rumah atukya seolah-olah ada janji. Keduanya lantas solat Maghrib di Masjid al-Iman. Sementara Mahmud tetap berada di rumah.

Selepas solat saya terkejut mendapat berita bahawa berlaku letupan besar di Masjid Al-Iman. Saya bergegas menuju masjid. Kami cuba untuk kekal tenang dan ingin mengetahui apa yang sedang berlaku, meskipun berita itu menggoncang perasaan kami. Kami kemudian bergerak menuju ke hospital bersama keluarga, termasuk isteri Ahmad.

3. Apakah sebenarnya pendirian Syeikh Ramadan dalam isu Syria?

Berkenaan krisis Syria, almarhum ayah memiliki sikap yang berlandaskan kaedah syarak. Bagaimanapun sikap itu tidak bermakna cenderung kepada hanya satu pihak, atau menyokong pihak lainnya, akan tetapi berpegang pada dua perkara :

Pertama - Hukum syariat menentang ulil amri (pemerintah) merujuk hadis dan pendapat ulama berkait dengan masalah ini.

Kedua - Fitnah ini adalah rancangan pihak luar terutama Zionis yang menginginkan pertumpahan darah di Syria dan juga kehancuran dan perpecahan negara ini.

Jelas di hadapan kami, agenda besar memecah-belahkan Syria berdasarkan mazhab dan puak-puak hingga menjadi negara-negara kecil yang saling berseteru. Kami mempunyai bukti. Keadaan ini membuatkan almarhum ayah saya sangat neutral, tidak memuji pemerintah dan tidak pula mencelanya, justeru menjelaskan hukum syaraknya dan memperingatkan kesan daripada fitnah ini.

Anda boleh semak sikap beliau dalam video dokumentari pendek di Youtube dari awal krisis ini bangkit hingga menjelang hari syahidnya dengan tajuk “Wathaiqi Haula Mauqif Al-Allamah Al-Buti min Al-Azmah As-Suriyah.”

Faktanya, ‘serangan’ bertubi-tubi ditujukan kepada beliau dari stesen tv yang berpihak kepada puak yang menyebarkan fitnah dan menggelarnya dengan bermacam-macam gelaran. Padahal begitu jelas, ayah saya tak pernah sehari pun memuji Basyar al-Asad. Tiap kali bertemu Asad, Ramadan Al-Buti menasihatinya secara langsung, tidak menyanjung. Berbeza dengan ulama lainnya yang bermulut manis di depan Asad, lalu mereka menyebarkan fitnah tatkala berada di belakang Presiden itu. Unsur penakutan dan ancaman yang ditujukan kepada ayah saya pun mula timbul.

4. Apakah sebenarnya yang berlaku di Syria?

Konflik di negara kami bukan konflik mazhab dan agama, antara Sunni dan Syiah, atau Muslim dan bukan Muslim.

Ada tiga sasaran utama daripada krisis yang melanda Syria sekarang :

Pertama - Menghancurkan Syria.

Kedua - Menghapuskan umat Islam di Eropah.

Ketiga - Memburukkan dan menconteng wajah Islam di mata dunia, sebagai agama yang menyeramkan sekaligus menakutkan agar mereka menjauhi risalah ini.

Kita ada bukti. Misalnya, perang Syria sekarang hakikatnya tidak melibatkan sesama warga Syria asal sama sekali. Tetapi, konflik ini direncanakan agar melibatkan warga sesama Syria. Kita lihat sekarang IS, tak semuanya orang Syria, begitu juga Jubha el-Nusra, mereka gabungan ‘mujahid’ dari pelbagai negara.

Apakah mereka datang hanya untuk Asad? Tidak.

Mudah saja, jika masalahnya adalah Asad, maka lihatlah apa yang terjadi di Libya. Adakah ketika Gaddafi berjaya digulingkan dan dibunuh, masalah selesai? Tidak! Jadi itulah puncanya. Selain itu, ketika Saddam Husein mati di tali gantung, adakah masalah Iraq selesai? Tidak. Mereka ingin Syria porak poranda kerana negara ini dianggap sukar untuk ditakluki. Syria hingga sekarang tidak mahu menyerahkan kedaulatannya kepada mereka.

5. Apakah ada bukti lain yang menunjukkan krisis Syria ini lebih besar daripada setakat isu dalaman negara?

Sekarang saya tunjukkan bukti lagi. Ramai para ‘mujahid’ yang berasal dari Perancis, Inggeris, ratusan hingga ribuan datang ke Syria bersama dengan isteri mereka bahkan melibatkan media dan beranggapan, bahawa pintu syurga terbuka melalui Syria. Mereka datang bukannya tanpa pengetahuan negara-negara Barat, jelas Barat tahu.

Mustahil pasukan penyiasat mereka tak mampu mengesan gerak-geri para ‘mujahid’ itu. Kita mempunyai rakaman bagaimana aktiviti mereka. Lihat saja, bagaimana seorang ‘mujahid’ membunuh tentera Syria, mengeluarkan jantung lalu memakannya. Apakah maksudnya? Tak lain tak bukan ingin menunjukkan kepada Barat, inilah imej buruk Islam jika kalian memeluk agama ini, pada penghujungnya akan jadi seperti ini. Jadi, apa yang terjadi di Syria sekarang, ialah menggunakan nama Islam tetapi untuk ‘menyembelih’ agama ini.

6. Tetapi mereka melandaskan doktrin mereka dengan agama?

Untuk perkara ini, saya meragui keIslaman mereka. Kalaupun Islam, mereka adalah kalangan yang tidak mengerti hukum-hukum syariat. Islam masuk ke Eropah hanya kulitnya, permukaan saja. Dalam keyakinan para ‘mujahid’ itu, pintu syurga terbuka luas di Syria. Memang tidak semua termakan dengan propaganda negatif Islam itu, 20 peratus mungkin bersikap bijak bahawa aksi teror di Syria ini bukan mewajahkan Islam, tapi 80 peratus tak banyak yang tahu.

Situasi ini jelas turut dimanfaatkan oleh Barat. Inilah tujuan daripada krisis Syria, iaitu menghapuskan umat Islam di Eropah. Biarkan Muslim Eropah berjihad ke Syria, ratusan bahkan ribuan, dan biar mereka meninggal di sana. Ini pula tujuan ketika Barat membiarkan Muslim Eropah berjihad ke Afghanistan dan Iraq. Kita sudah dalam tahap sasaran ini. Barat tak takut dengan Islam di timur, tetapi yang mereka takuti adalah kebangkitan Islam di Barat. Jika mereka takut Islam di Timur pasti mereka akan menghapuskan para ‘mujahid’ sejak diimigrasi.

7. Mengapa sekali lagi IS dan para ‘mujahid’ mendasari doktrin itu dengan agama?

Ideologi radikal dan ekstrem itu tidak berdiri sendiri. Ada senario besar di belakangnya. Saya tak perlu sebut, semua orang tahu. Anda boleh lihat sendiri, mengapakah IS tak memerangi Israel, tetapi berperang dengan saudara sesama Islam? Dan lihatlah bagaimana Jubha el-Nusra boleh mendapatkan logistik bahkan hingga peralatan perang dari Israel? Rudal Hawn berasal dari Israel. Luka el-Nusra juga ternyata diubati di Israel.

Saya rasa, para ‘mujahid’ itu tidak sepenuhnya menyedari senario besar ini. Pemahaman Islam mereka hanya di permukaan. Buktinya, fatwa-fatwa yang mereka keluarkan sangat dangkal dan jauh daripada prinsip Islam, seperti jihad nikah, atau penggunaan dadah. Mereka bersembunyi di balik ayat-ayat perang, padahal jelas Rasulullah SAW tidaklah diutus kecuali menjadi rahmat bagi alam semesta.

IS merosakkan fasiliti umum, memutuskan elektrik, menghancurkan stesen bahan bakar gas, mereka jual murah minyak mentah. Belum lagi cara mereka berselindung di balik masyarakat awam. Salah jika Syria dituding kerana yang menggunakan orang awam sebagai benteng hidup, adalah mereka. Tentera Syria kini mendekati mereka head to head. Inilah bukti bahawa radikalisme dan ekstremisme mereka diangkat daripada doktrin percakapan kosong.

8. Di tengah-tengah kehangatan konflik Syria ini, adakah anda yakin krisis ini akan berakhir?

Dalam konteks Syria, saya tidak melihat secara fizikal. Saya hanya melihat prinsip-prinsip ketuhanan yang agung. Rasulullah SAW dalam hadis sahihnya mengatakan, bahawa Allah SWT akan menjaga Syam dan penduduknya. Kita sangat yakin itu. Syria yang diramal jatuh dalam kiraan minggu atau beberapa bulan, ternyata Alhamdulillah, memasuki tahun kelima, Allah masih melindungi negara kami.

Meskipun demikian, kita tidak menafikan kesalahan adalah berpunca daripada sebahagian kita. Tetapi, yang kita bicarakan adalah persoalan politik dan dinamika yang berkembang. Saya kembalikan lagi kepada bimbingan Allah SWT dalam Al-Quran yang mengatakan “Dan apa saja bencana yang menimpamu, maka dari (kesalahan) dirimu sendiri.” (QS an-Nisaa 4: 79).

Saya yakin, krisis ini akan berakhir di bawah kemenangan Syria. Tetapi marilah kita berdoa agar orang yang melakukan dosa tidak menjadi penghalang kemenangan ini terwujud. Krisis ini adalah ujian dan pendidikan bagi kita.

*****Dr Said Ramadhan Al Buthi telah difitnah dan dicemuh oleh kebanyakan saudara kita yang tidak mendapat maklumat yang jelas mengenai beliau yang dikatakan bersetuju dengan Presiden Syria Assad Basyar.

Sebelum kita menghujum/melontarkan fitnah dan kebencian kepada ulamak. Marilah sama-sama kita menyelidikinya oleh pelajar yang berada di sana apa, dan mengapa di sebalik tindakan beliau. Aku tetap menghormati ijtihad beliau.

> Cuaca politik Syria adalah yang paling susah dalam sejarah kali ini kerana Syria dikuasai oleh golongan kecil syiah nusiriah yang melihat darah ahli sunnah suatu yang halal ditumpahkan.

> Maka Syaikh Said Ramadhan alBouti telah mengambil langkah politik pelik dari ulama lain dengan cara tahalluf siasi bersama syiah nusairiah yang diketuai keluarga al asad untuk menjaga kepentingan ahli sunnah wal jamaah setelah berlaku pembunuhan beramai-ramai di bandar Hamah.

> Dari usaha Syaikh Said Ramadhan al Bouti ini maka telah mencapai beberapa kejayaan di dalam menjaga kepentingan ahli sunnah wal jamaah.

> Di antaranya :

1. Ramai dari kalangan ulama yang dibebaskan dari penjara yang mana mereka adalah pejuang ikhwan dahulu.

2. Kepulangan para ulama yang lari keluar negara ke kampung halaman masing2 seperti Syaikh Abdul Fattah Abu Ghuddah.

3. Kemasukan ulama luar negara ke dalam Syria untuk menyampaikan dakwah seperti Syaikh Yusuf Qaradawi.

Jika seseorang tidak teliti dengan apa yang dilakukan Syaikh al Bouti maka dia akan mengatakan Syaikh alBouti seorang yang munafiq dan telah tersilap didalam melakukan apa yang dia (Dr Bouti) lakukan sekarang. Tapi hakikatnya beliau seorang yang mantiqi tinggi dan perkara yang beliau lakukan jumhur ulama syria menyokongnya.

> Kita tidak akan lihat seorang pun dari kalangan ulama syria (ikhwanji&bebas) mencemuh cara pembawakan beliau kerana mereka tahu peribadi Dr Bouti yg tidak menyalahi sunnah.

> Lihat penduduk kurdi kuat melawan kerajaan asad tetapi mereka tidak mencemuh Dr Bouti, bukan kerana dr Bouti seorang kurdi tapi kerana banyak cara beliau bawakan bersama kerajaan asad membantu kaum kurdi di syria.

> Aku nak bawa satu cerita bagaimana anak Dr. Bouti iaitu Dr taufiq pernah berpesan kepada salah seorang pelajar syria yang ingin pulang ke malaysia semasa revolusi di lakukan dengan berkata:

''APABILA KAMU PULANG KE MALAYSIA KAMU PERTAHANKANLAH BAPAKU KERANA SEBENARNYA DIA BUKAN INGIN BERSENGKOKOL DENGAN KERAJAAN ASAD TAPI INGIN BERJIHAD MEMBANTU AHLI SUNNAH SECARA YANG DIA MAMPU''