PAUTAN TAMBAHAN

Sabtu, 24 Januari 2015

Kuliah Jumaat Medan Ilmu 23 Januari 2015 - Disampai oleh Ustaz Ahmad Fadhli Shaari dan YB Ustaz Ahmad Marzuk Shaary.


Kuliah Jumaat sesi pertama hari ini disampaikan oleh Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan

Kuliah Jumaat sesi kedua hari ini disampaikan oleh YB Ustaz Ahmad Marzuk Shaary, Ahli Parlimen Bachok



Apabila insan ditimpa musibah, dia disuruh kembali memahami hakikat dunia ini. Allah berfirman (maksudnya):

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan dari harta benda, jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa musibah, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat hidayah” (Surah al-Baqarah 155-157).

Hapus Dosa
Banyak dosa yang terhapus, darjat di sisi Allah diangkat kerana derita yang menimpa jiwa. Nabi s.a.w bersabda:

“Tidak seorang muslim pun yang ditimpa keletihan, penyakit, susah hati, sedih, disakiti orang, derita, sehingga jika sebatang duri menikamnya, kecuali Allah memadamkan dengan itu semua dosa-dosanya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dengan derita juga insan insaf, membetulkan yang silap, meneruskan saki perjalanan yang ada. Betapa ramai yang menjadi soleh kerana derita yang dilaluinya. Maka, demikianlah Nabi s.a.w minta supaya kita membetulkan sikap dalam menghadapi kerenah hidup. Sabda Nabi s.a.w:

“Sungguh mengagumkan urusan seorang mukmin, setiap urusan mukmin adalah baik baginya, hal itu tidak dimiliki oleh siapapun, kecuali oleh seorang mukmin. Apabila mendapat kesenangan dia bersyukur, dan itu baik untuknya. Apabila mendapat kesusahan dia bersabar, dan itu baik untuknya” (Riwayat Muslim).