Ahad, 21 September 2014

PAS akan kehilangan peluang berdakwah di Selangor sekiranya kemelut politik di negeri itu berlarutan


BATU PAHAT: PAS akan kehilangan peluang berdakwah di Selangor sekiranya kemelut politik di negeri itu berlarutan sehingga membawa kepada pilihan raya negeri.

Naib Presiden PAS, Datuk Paduka Husam Musa berkata PAS mempunyai 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi sembilan daripadanya menang dengan majoriti tipis.

“Yang menjadi persoalan, 15 kerusi kita menang dengan undi yang tipis. Kita bimbang takut-takut kita hilang kerusi itu.

“Dan kalau kita kehilangan kerajaan negeri Selangor, kita kehilangan peluang dakwah, bukan kehilangan pangkat dan jawatan, yang telah dibukakan oleh Allah,” kata Husam.

Tambahnya, adalah penting untuk menjaga harapan dan kepercayaan pengundi bukan Islam yang telah memberikan kepercayaan kepada parti dan perlu didokong untuk jangka masa panjang.

Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man meminta ahli PAS agar lebih bijak dalam menyuarakan pendapat mereka dengan menggunakan saluran yang betul.

Tindakan itu bagi memelihara hubungan ukhwah sesama jemaah di dalam parti.

“Teguran kita mungkin niat baik. Kalau nak tegur Presiden tak apa, guna saluran yang ada supaya jemaah dapat pelihara.

“Tak banyak program yang bersifat informal (tidak formal), perlu ada hubungan yg informal, ukhwah akan terjalin,” kata Tuan Ibrahim.

Beliau berkata demikian pada penggulungan perbahasan ucapan dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS ke-60, di sini.