PAUTAN TAMBAHAN

Ahad, 21 September 2014

Jangan Sebar Suara Musuh Dalam Jamaah



BATU PAHAT: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan ahli-ahli parti supaya jangan menjadi penyebar suara musuh dalam jamaah.

Justeru, katanya setiap pendukung parti yang mahu menyebarkan tulisan melalui media baharu supaya mengambil kira adakah tindakan itu mendapat pahala atau dosa.

Tambah beliau, penyebar maklumat melalui media sosial juga perlu memikirkan sama ada yang dilakukan itu memberi manfaat atau sebaliknya kepada PAS.

"Kalau keliru, jangan sebar. Jadilah penyebar benda-benda yang baik." ujarnya ketika menyampaikan ucapan penggulungan ucapan dasar Presiden PAS pada Muktamar Tahunan PAS ke-60 di Parit Salleh Ros di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berharap ahli-ahli tidak menyalahgunakan media baharu untuk menyebarkan maklumat yang boleh membawa fitnah kepada parti.

"Walaupun betul tetapi ia boleh membawa fitnah, jangan sebar," tegasnya lagi.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh ahli supaya jangan sekali-kali menghalakan senjata kepada kawan sendiri sekalipun tanpa peluru.

"Halakan senjata kepada musuh, bukan kepada kawan-kawan," ujarnya

Tuan Ibrahim juga mengingatkan para pendukung parti agar tidak memikul beban yang sepatutnya ditanggung oleh orang lain.

"Saya jumpa seorang pakcik, dia kata pening dengan isu Menteri Besar Selangor. Saya kata jangan pening, nama pakcik tak ada dalam senarai (calon MB Selangor)," ujarnya dalam nada bersahaja disambut gelak ketawa para hadirin.

Begitu juga, katanya jika masalah itu sepatutnya dipikul oleh pemimpin, ahli-ahli tidak usahlah memikul bebanan itu.

"Senyumlah kepada masalah nanti masalah senyum kepada kamu," katanya lagi. -

HARAKAHDAILY 20/9/2014