Ahad, 9 Jun 2013

4,600 ahli UMNO sertai PKR, Sabah !!!


4,600 ahli UMNO sertai PKR, Sabah !!!

Gara-gara hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan UMNO Libaran, seramai 4,600 orang ahli daripada 38 buah cawangan telah keluar beramai-ramai meninggalkan parti itu menyertai PKR yang diketuai sendiri Mantan Calon Bebas Parlimen Libaran, Sahar Saka, petang kemarin.

Upacara kemasukan beramai-ramai ahli tersebut telah diadakan di Dewan Hakka, bersempena Program Himpunan Blackout Sabah dan penyerahan borang kemasukan tersebut telah diterima oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan disaksikan seramai lebih 2,000 para penyokong parti Pakatan Rakyat (PR) yang melibatkan PAS, PKR dan DAP.

Dalam ucapan ringkasnya, Sahar antara lain menjelaskan tujuan beliau dan para pengikutnya menyertai PKR kerana sudah hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan UMNO yang didakwanya terlalu banyak melakukan perkara songsang.

"Saya nyatakan dengan ikhlas yang tidak bermusuhan dengan Datuk Hj Juslie Ajirul dan saya juga tidak bermusuhan dengan Datuk Hj Zakaria Hj Edris. Walaupun saya sudah berpindah kapal, namun soal fahaman ideologi politik yang berbeza kita ketepikan dulu; yang penting kawan tetap kawan,” jelasnya.

Kata Sahar, terdapat beberapa pemimpin kanan UMNO Pusat yang menyelar beliau sebagai orang yang tidak pandai beruntung dan orang yang tidak pandai bersyukur dan berterima kasih serta tidak mengenang budi kepada UMNO kerana menyertai PKR.

"Saya bertanding atas tiket bebas. Saya tidak anti UMNO atau BN tetapi saya marah dengan Datuk Musa Aman yang langsung tidak memberi ruang dan peluang kepada saya untuk jadi calon di Libaran. Kemudian saya dipecat daripada UMNO untuk seumur hidup. Buat apa saya tunggu parti yang tidak telus perjuangannya?” ujarnya.