Rabu, 10 April 2013

PRU13: Dewan Ulamak PAS ingatkan ahli perbetul niat



KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengingatkan ahli dan jentera parti agar membetulkan niat perjuangan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).

Setiausaha DUPP, Dr. Khairuddin Aman Razali berkata, PAS memilih sistem demokrasi untuk menegakkan syiar Islam di Malaysia dan memerlukan jentera yang komited untuk mencapai matlamat ini.

"Pada saat suhu politik begitu membahang dan kita telah mengetahui tarikh pilihan raya yang menjadi pilihan PAS dalam menegakkan demokrasi amat wajar para amilin dan petugas pilihan raya membetulkan niat perjuangan untuk menegakkan syiar dan syariat Allah SWT di bumi Malaysia," kata beliau dalam satu kenyataan.




Beliau juga menegaskan, ahli dan jentera harus bersiap sedia dari semua aspek termasuk kebergantungan kepada Allah  bagi memenangi PRU 13.

Katanya, ketika PAS diuji dengan pelbagai pancaroba, mehnah dan tribulasi, seluruh jentera harus bersedia menyumbang tenaga sepanjang tempoh kempen PRU 13. 

"Ketahuilah saudara-saudaraku bahawa Islam tidak mungkin dapat ditegakkan jika kita tidak mempunyai kuasa memerintah. Justeru hendaklah sama-sama kita membetulkan niat kerana Allah SWT.

"Ayuh, marilah kita bersiap-siaga dengan merabitahkan (mengikat) hubungan hati sesama kita dan bertawakal (berserah diri) yang mutlak kepada yang Maha Esa setelah segala usahakan semaksimanya telah kita gembeleng. 

"Ramuan takwa yang disulami dengan amalan soleh dan usaha yang berterusan sudah pasti menatijahkan kejayaan kita dalam pilihan raya,"katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan tarikh bagi penamaan calon PRU13 adalah pada 20 April manakala hari mengundi pula pada 5 Mei depan.

Manakala tarikh pengundian awal pula ditetapkan pada 30 April ini.

Dr. Khairuddin difahamkan bertanding di salah satu Parlimen di Kuala Terengganu pada PRU13.

Harakahdaily,
10 Apr 2013


Mengundi adalah salah satu bentuk kesaksian.
“Dan janganlah kamu (para saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu. dan sesiapa Yang menyembunyikannya, maka Sesungguhnya ia adalah orang Yang berdosa hatinya.”
( Surah Al-Baqarah 2:283)