Ahad, 18 November 2012

Majlis Syura gesa PAS ‘diamkan’ pemimpin diperalat pihak luar - Harun Din


Haron Din menegaskan badan tertinggi parti itu perlu memainkan peranan tegas. — Gambar fail

Pergulungan Ucapan Dasar Presiden

TG Dato' Dr Harun Din
Putik, Kota Bharu
Kelantan
Video :
Streaming Download

KOTA BHARU, 17 Nov — Majlis Syura Ulama memandang berat kenyataan pimpinan PAS yang secara terbuka mengeluarkan kenyataan parti berlandaskan Islam itu tersasar daripada perjuangan sebenar mereka.

Timbalan Mursyidul Am Datuk Dr Haron Din menegaskan badan tertinggi parti itu perlu memainkan peranan tegas untuk ‘menutup mulut’ pemimpin berkenaan daripada terus menjadi alat kepada musuh politik mereka.

“Atas kesedaran itulah, Majlis Syura Ulama bersidang bagi memikirkan cara terbaik untuk diamkan orang ini daripada bercakap,” katanya pada sisi penggulungan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar PAS ke-58 di sini.

Haron bagaimanapun tidak mendedahkan nama pemimpin tersebut, sebaliknya hanya melabelkan kumpulan seperti ini sebagai “bukan calang-calang pemimpin”.
“Ada bekas ahli, ahli yang dipecat atau ahli dan pemimpin dari dalam PAS sendiri yang keluarkan komen tidak sedap didengar hingga menimbulkan kebimbangan.

“Kita memerhati perkara ini dengan penuh teliti, tetapi isu ini tetap dimainkan dan suara itu mengatakan bahawa PAS kena semak kembali (kerjasama politik dengan DAP dan PKR). Orang itu bukanlah calang-calang,” katanya lagi.

Bekas Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa, sebelum ini, telah mengeluarkan kenyataan mencetuskan kontroversi apabila mendakwa PAS sudah lari daripada matlamat asal perjuangannya.
Malah, Ahli Majlis Syura Ulama itu turut menggesa agar PAS mengkaji semula kerjasama mereka dalam Pakatan Rakyat (PR).

Majlis Syura Ulama sebelum itu menegaskan bahawa PAS masih lagi parti yang sama sejak ia ditubuhkan dan menepis dakwaan pihak tidak bertanggungjawab menuduh parti Islam itu tergelincir daripada perjuangan memartabatkan Islam mereka.

Menerusi mesyuarat badan itu pada Jumaat lalu, Majlis Syura Ulama menegaskan secara sebulat suara bahawa perjuangan PAS dan arah tuju parti itu masih sama.

“PAS masih utuh dan masih tetap atas perjuangan asalnya tanpa sedikitpun menyeleweng dari apa yang tercatat di dalam Perlembagaan PAS,” katanya./TheMalaysiaInsider