Rabu, 21 September 2011

Negara Berkebajikan: PAS kebah Umno demam

Negara Berkebajikan: PAS kebah Umno demam Muktamar PAS ke-57 lalu mencipta satu lembaran baru dengan warna yang terang dan ceria. Ia selari dengan keputusan pemilihan ‘saf pilihan raya’ yang agak sepadan (matching) dengan tema dan kandungan ucapan dasar presiden, Membangun Negara Berkebajikan.

Kandungan ucapan dasar itu dikira sebagai suntikan vaksin mujarab bagi PAS untuk lebih sihat dan bertenaga melangkah ke medan pilihan raya umum ke-13. Betapa misi dan aturan kerja parti PAS sudah jelas untuk menawan sokongan rakyat. Ini kerana program berkebajikan adalah hak dan keperluan majoriti rakyat masa kini.

Sekaligus, pihak pimpinan Umno kelihatan gelisah dan meracau di siang hari, apabila dikhabarkan program berkebajikan yang ditawarkan oleh PAS bersama Pakatan Rakyat. Maka logiknya Umno sudah mengalami suhu badan mencecah paras ‘demam panas’. Apa pun PAS tidak seharusnya setakat menjadi pelawat kepada pesakit demam panas. Apa yang diingini PAS sepatutunya sedia menjadi doktor terus memberitahu rakyat supaya tidak lagi menghampiri Umno yang sudah demam yang mengancam kesihatan awam. Sewajarkah rakyat membawa Umno ke ‘wad sakit’ dalam pilihan raya nanti?