Jumaat, 22 Julai 2011

TAJUK: LARANGAN MENGHINA SESAMA MANUSIA


TARIKH: 28 JANUARI 2000 (21 SYAWAL 1420)

Tajuk khutbah kita pada hari ini ialah " Larangan menghina sesama manusia "

Sidang jumaat yang berbahagia,

Islam adalah suatu agama atau cara hidup yang melengkapi dalam urusan dunia atau di akhirat. Ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. adalah berpandu kepada Al-Quran dan sunat Rasulullah. Islam agama yang diredhai Allah  untuk selama-lamanya. Firman Allah ta"ala dalam surah Al-Imran ayat 85

Maksudnya : " Dan siapa yang mencari agama selain daripada Islam maka Allah tidak akan menerimanya, dan pada hari akhirat kelak ia tergolong dikalangan orang-orang yang rugi "
Kaum muslimin yang berbahagia,
Islam mengharapkan supaya umatnya hidup bersatu padu dalam keadaan aman damai, bantu membantu, tolong-menolong, hormat menghormati antara satu sama lain dan Islam melarang umatnya daripada berpecah belah, bermusuh-musuhan, tuduh-menuduh, mencaci antara satu sama lain. Allah berfirman dalam surah Al-Maidah ayat 2
Maksudnya : "" Hendaklah kamu bantu membantu kepada kebaikan dan ketakwaan dan jangan kamu sekali-kali bantu membantu ke arah melakukan dosa dan permusuhan antara satu sama lain""
Sidang jumaat yang dimuliakan,
Semenjak akhir-akhir ini masyarakat Islam sedang dilanda satu perkara yang tidak sihat dikalangan masyarakat iaitu sifat suka menghina, memaki hamun sesama manusia umumnya dan Islam khasnya tanpa usul periksa, menggelar seseorang dengan gelaran yang buruk dan sebagainya. Sebenarnya budaya seperti ini adalah budaya jahiliah yang ditegah oleh Islam dan diharamkan oleh Allah.
Sidang jumaat yang berbahagia,
Di dalam Al-Quran ada menjelaskan beberapa perkara untuk panduan orang-orang mukmin, antaranya firman Allah :
Maksudnya : " Wahai orang-orang yang beriman, janganlah sesuatu puak mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, kerana harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan yang lain, kerana harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengahnya yang lain, dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk, amatlah buruknya sebutan nama fasiq sesudah ia beriman. Dan ingatlah, sesiapa yang tidak bertaubat daripada perbuatan fasiqnya maka merekalah orang-orang yang zalim "
Daripada ayat yang dibaca tadi terdapat tiga perkara pokok yang Allah ta"ala menjelaskan kepada orang mukmin.
Pertama : Allah subhanahua ta"ala memerintahkan supaya orang mukmin tidak menghina atau mencapai antara satu dengan yang lain sesama Islam, lelaki atau perempuan. Larangan Allah ini adalah disebabkan boleh jadi orang yang dihina itu, lebih baik daripada orang yang menghina. Islam mengharamkan seseorang itu menghina orang lain yang seagama dengannya disebabkan oleh kefakiran atau kerana dosa yang dilakukan dimasa lampau atau sebagainya. Satu kisah dizaman Rasulullah s.a.w., pada suatu hari semasa Umar Al-Khattab sedang merejam seorang perempuan yang berzina dengan batu, tiba-tiba darah perempuan tersebut terkena baju Saidina Umar Ibnu Al-Khattab lalu Umar pun mencaci dan menghina perempuan tersebut, lalu Rasulullah s.a.w. menegur Saidina Umar dengan bersabda," Wahai Umar, jangan kamu menghina dan mencacinya, sesungguhnya dia adalah dikalangan ahli syurga kerana taubatnya"        
Kedua : Allah melarang umat Islam daripada mencaci dan mengeji antara satu sama lain kerana itu adalah sifat yang buruk dan tidak sepatutnya bagi seorang yang menggelarkan dirinya mukmin. Firman Allah ta"ala yang bermaksud jangan kamu menyatakan keaiban setengah yang lain. Dalam ayat yang lain Allah telah berfirman :
Maksudnya : " Kecelakaan besar bagi orang yang mencaci dan pengkeji "
Larangan ini kerana umat Islam antara satu sama lain adalah seperti satu jasad apabila sakit satu anggota maka seluruh anggota akan terasa sakit seperti dalam sebuah hadis yang bermaksud : " Orang mukmin itu seperti satu jasad apabila salah satu anggota terasa sakit maka seluruh anggota akan terasa sakit dengan demam atau berjaga malam "
Sidang jumaat yang berbahagia,
Oleh kerana itu sifat suka mencaci dan menghina antara sesama manusia amnya dan Islam khasnya adalah dilarang dan ditegah oleh Islam. Oleh itu hendaklah kita menjauhinya kerana takut dan takwa kepada Allah.
Ketiga : Allah ta"ala melarang umat Islam daripada memanggil atau menggelar seseorang dengan gelaran yang buruk seperti dizaman jahiliah. Firman Allah dalam surah Al-Hujrat ayat 11 yang bermaksud : " Dan jangan kamu memanggil dengan panggilan yang buruk antara sesama kamu yang seagama seIslamnya, seperti panggilan ya fasiq, ya kafir, Firaun, Haman atau sebagainya ". Firman Allah lagi yang bermaksud : " Amat buruk panggilan nama fasiq kepada seseorang setelah dia beriman kepada Allah "
Kaum muslimin yang dimuliakan,
Allah ta"ala melarang umat Islam daripada melakukan semua perkara yang dijelaskan tadi kerana ia adalah antara dosa-dosa besar. Oleh yang demikian umat Islam harus menjauhi sifat suka menghina, mencaci, tuduh-menuduh sesama manusia umumnya dan Islam khasnya, serta memanggil dengan panggilan yang buruk. Jika kita masih meneruskannya nescaya mereka tergolong dalam orang-orang yang dimasukkan ke dalam neraka jahannam seperti mana maksud Al-Quran disurah Al-Hujrat ""Dan sesiapa yang tidak bertaubat yakni berhenti daripada melakukan perkara tersebut mereka itulah tergolong dikalangan orang yang menzalimi diri mereka sendiri " iaitu membenarkan diri mereka dibakar oleh api neraka jahannam kerana dosa yang mereka telah lakukan."
Sidang yang jumaat yang berbahagia,
Mimbar jumaat yang hari ini sekali lagi berpesan kepada jemaah sekalian supaya berhenti daripada melakukan perkara yang ditegah oleh agama Islam yang maha suci, kerana sifat yang disebut tadi boleh membawa kepada permusuhan antara satu sama lain, kerana umat Islam semuanya adalah bersaudara. Firman Allah dalam surah Al-Hujrat ayat 10
Maksudnya : " Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara maka hendaklah kamu berbaik-baik antara satu sama lain dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat daripada Allah " Dan janganlah kita meneruskan sifat-sifat buruk tersebut maka umat Islam akan berpecah dan bermusuhan antara satu sama lain dan ingatlah peringatan Allah dalam hal ini dalam firmannya :
Maksudnya : " ". Dan janganlah kamu berpecah belah atau bercakaran antara satu sama lain, kelak kamu akan lemah dan hancur dan dengan itu hilanglah kekuatan atau kekuasaan kamu""