Sabtu, 16 Julai 2011

Satu Tuhan Satu Kitab Satu Umat

Satu Tuhan Satu Kitab Satu Umat

Salam tuan,
Saya sudah baca sebahagian kecil artikel-artikel dalam e-bacaan, sangat menarik dan memberi kesedaran kepada saya. Alhamdulillah dan juga terima kasih kepada tuan. Saya ingin bertanya tentang slogan yang tuan gunakan dalam mukasurat permulaan setiap kali saya buka laman tuan iaitu "Satu Tuhan Satu Kitab Satu Umat" . Kita ada satu Tuhan, kita ada satu kitab dan saya yakin. Tetapi bagaimana dengan 'satu Umat'? Kalau kita ada ketiga-tiga elemen ini saya pasti kita jadi umat yang terbaik ( 3/110)
Salamun alaikum,

Terima kasih kerana sudi menulis kepada kami. Perkara yang dibangkitkan agak menarik, mengenai kurang keyakinan terhadap Satu Umat pada slogan e-bacaan.

Sebenarnya, al-Qur'anlah yang menyatakan manusia sebagai satu umat dan Pemeliharanya satu jugak, iaitu "Aku" yang harus disembah, dan ditakuti. Sila lihat dua firman berikut:

"Sesungguhnya umat kamu ini umat yang satu, dan Aku Pemelihara kamu; maka sembahlah Aku." (21:92)

"Sesungguhnya umat kamu ini umat yang satu, dan Aku Pemelihara kamu; maka takutilah Aku." (23:52)

Masalah timbul dalam menyembah dan menakuti-Nya setelah Dia menurunkan Kitab (satu) yang menjadikan umat tidak bersatu lagi. Firman Allah,

"Manusia adalah umat yang satu, kemudian Allah membangkitkan Nabi-Nabi sebagai pembawa berita gembira dan pemberi amaran, dan Dia menurunkan bersama mereka Kitab dengan yang benar untuk Dia menghakimkan antara manusia mengenai apa yang mereka memperselisihkan. Hanya orang-orang yang diberikannya berselisih, setelah bukti-bukti yang jelas datang kepada mereka, kerana keangkuhan antara mereka; kemudian Allah memberi petunjuk kepada orang-orang yang percaya pada yang benar mengenai apa yang dalamnya mereka memperselisihkan, dengan izin-Nya; dan Allah memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia mengkehendaki pada jalan lurus." (2:213)

Manusia berselisih kerana angkuh, lalu ada yang mendapat petunjuk dan yang lain tidak. Akan tetapi mereka masih menjadi satu umat.

"Manusia hanyalah satu umat, kemudian mereka berselisih. Jika tidak kerana satu kata yang terdahulu daripada Pemelihara kamu, pasti ia telah diputuskan antara mereka mengenai apa yang dalamnya mereka memperselisihkan." (10:19)

Justeru, sekiranya ingin meragukan tentang satu umat maka satu Tuhan dan satu Kitab juga boleh diragukan atas atas keangkuhan dan perselisihan umat.

Satu daripada maksud umat, di dalam al-Qur'an, ialah puak. Kalau ada dua belas puak maka terjadilah dua belas umat. Fahaman dipetik daripada ayat berbunyi,

"Dan Kami memotongkan mereka kepada dua belas puak, umat-umat." (7:160)

Selanjutnya dapat difahamkan iaitu pemotongan umat boleh juga berlaku apabila terdapat golongan yang salih dan golongan yang lain tidak salih. Firman-Nya,

"Dan Kami memotong mereka kepada umat-umat di bumi, antara mereka adalah salih (baik), dan antara mereka, tidak sedemikian; dan Kami menguji mereka dengan benda-benda yang baik, dan yang buruk, supaya mereka kembali." (7:168)

Satu persamaan boleh dibuat iaitu umat dengan orang Melayu. Antara kaum Melayu terdapat Melayu yang celik dan Melayu yang buta, atau, umat yang celik dan umat yang buta, atau puak yang celik dan puak yang buta. Tapi, walaupun celik atau buta, mereka tetapi Melatu. Ayat yang berkaitan berbunyi,

"Antara kaum Musa, ada umat yang memberi petunjuk dengan yang benar, dan dengannya mereka menjalankan keadilan." (7:159)

Selain disebut umat yang memberi petunjuk, umat-umat lain seperti di dalam senarai di bawah juga disebut di dalam al-Qur'an:

  • umat yang di tengah
  • umat yang menyeru kebaikan, menyuruh yang baik, melarang yang mungkar
  • umat yang terbaik dikeluarkan bagi manusia
  • sebahagian daripada ahli Kitab adalah satu umat yang tegak 
  • umat yang adil, dan
  • umat yang memberi petunjuk dengan yang benar (yang telah disebut)
Senarai yang meringkaskan itu diceduk daripada lima ayat, diturunkan di bawah ini:

"Demikianlah Kami membuat kamu satu umat yang di tengah, supaya kamu menjadi saksi-saksi ke atas manusia, dan supaya rasul menjadi saksi ke atas kamu;" (2:143)

"Hendaklah ada antara kamu satu umat yang menyeru akan kebaikan, dan menyuruh yang baik, dan melarang yang mungkar; mereka itulah orang-orang yang beruntung." (3:104)

"Kamu adalah umat yang terbaik dikeluarkan bagi manusia, dengan menyuruh yang baik, dan melarang yang mungkar, dan kamu mempercayai Allah. Sekiranya ahli Kitab percaya, tentulah itu yang lebih baik bagi mereka; antara mereka orang-orang mukmin, tetapi kebanyakan mereka adalah orang-orang fasiq." (3:110)

"Tidaklah mereka semua sama; sebahagian daripada ahli Kitab adalah satu umat yang tegak, yang membaca ayat-ayat Allah pada tengah malam, dan bersujud." (3:113)

"Sekiranya mereka melakukan Taurat dan Injil, dan apa yang diturunkan kepada mereka daripada Pemelihara mereka, tentu mereka akan makan apa yang di atas mereka, dan apa yang di bawah kaki mereka. Antara mereka adalah umat yang adil, tetapi kebanyakan antara mereka, adalah jahat apa yang mereka buat." (5:66)

Ayat-ayat di atas memberi antara maksud seruan supaya menjadi Satu Umat, dan mereka adalah perkara-perkara disenaraikan di bawah ini:

  • menyeru akan kebaikan, menyuruh yang baik, melarang yang mungkar,
  • menjadi tegak,
  • menjadi adil, dan tidak ketinggalan
  • memberi petunjuk dengan yang benar.
Seruan itu memang sukar dicapai dan boleh diragui, seperti juga seruan kepada menyembah satu Tuhan dan berpegang pada satu Kitab. Andaikata kesukaran ingin diutamakan maka tiadalah sesuatu yang diperoleh, seperti perubahan dan kesejahteraan.