Khamis, 21 Januari 2021

Menyusahkan Orang, Muflis Di Akhirat

eiyrajahari.blogspot.com: Dosa Sesama Manusia Lebih Berat

Lidah dan tangan seseorang Muslim banyak dikaitkan dengan iman.

Firman Allah SWT: “Sesiapa yang mengganggu dan menyakiti lelaki beriman serta wanita beriman tanpa apa-apa kesalahan yang mereka lakukan, maka sesungguhnya mereka memikul kesalahan (buhtan) dan berbuat dosa yang amat nyata.” (Al-Ahzab: 58)

Ayat al-Quran itu membuka bab Dosa Menyusahkan Orang Islam dalam kitab Muntakhab Ahadis susunan Sheikh Muhammad Yusuf Kandhalawi.

Kesan daripada perbuatan menyusahkan manusia dan masyarakat itu akan memberikan kesan kepada pelakunya di akhirat kelak hingga tidak mustahil bakal menjadi orang yang muflis.

Saidina Abu Hurairah RA meriwayatkan kisah manusia muflis di Hari Timbangan itu dalam hadis Sahih Muslim yang panjang apabila Rasulullah SAW menyoal sahabat Baginda mengenai orang muflis.

Sahabat RA menjawab berdasarkan pengetahuan mereka dalam konteks muflis di dunia, iaitu manusia yang tidak memiliki sebarang wang dan harta.

Bagaimanapun Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya orang muflis dalam kalangan umatku ialah orang yang datang ketika Kiamat dengan membawa pahala solat, puasa, zakat dan pelbagai ibadat tetapi dia juga pernah mencaci, memfitnah, mengambil harta tanpa hak, menumpahkan darah serta memukul orang lain.”

Setiap orang yang pernah dizalimi dan dianiaya itu akan menuntut hak masing-masing dan sebagai balasannya, mereka mendapat sebahagian pahala yang berkadaran dengan hak terbabit.

Pahalanya terus diberikan hinggalah semuanya habis, lalu pelaku kejahatan itu akan menanggung pula dosa orang yang masih menuntut hinggalah dia akhirnya dicampakkan ke neraka.

Betapa beratnya dosa menyusahkan orang lain itu, ia tidak akan hilang hanya dengan bertaubat kepada Allah SWT selagi tidak meminta maaf dan halal daripada mereka.

Malah, orang yang melakukan kesalahan hingga menzalimi saudaranya, perlu berasa khuatir dan bimbang kerana doa orang yang dizalimi tiada hijab dengan Allah SWT.

Kita juga tidak boleh meremehkan dosa lisan seperti mencaci dan memfitnah berbanding kezaliman membabitkan harta benda serta diri saudaranya kerana hukuman terhadap perkataan yang jahat itu sangat berat.

Keperluan memelihara lidah daripada menyakiti saudaranya juga sangat penting hingga Imam al-Ghazali memperuntukkan satu bab dalam kitabnya, Ihya’ Ulumuddin.