Rabu, 14 Februari 2018

MENGAPA RISAU AKAN NASIB PAS???

1. Hairan sungguh melihat gelagat pemimpin Pakatan Harapan yang begitu prihatin akan nasib masa depan PAS. Mereka bagaikan tok nujum meramalkan masa depan PAS akan musnah dan kelam kerana PAS tidak bersama gabungan PH.

2. Hari ini, Naib Presiden PPBM Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mencadangkan kepada PAS bekerjasama dengan UMNO dalam pilihan raya umum akan datang bagi mengelakkan PAS kalah teruk. Katanya lagi, "ikut pengalaman saya sebagai bekas pengerusi SPR, PAS hanya menang bila bekerjasama dengan parti lain. Kalau dia seorang kalah teruk."

3. Mengapa pemimpin PPBM risau PAS kalah teruk?? Bukankah sepatutnya mereka risau akan nasib parti mereka sendiri. PPBM belum pun mempunyai rekod bertanding pilihan raya sedangkan PAS bertanding seawal PRU Pertama Tanah Melayu pada tahun 1955, iaitu sebelum merdeka lagi. PAS melalui episod jatuh-bangun, pahit-manis di pentas demokrasi selama ini. PAS tetap istiqamah di atas landasan perjuangan dan tidak  berputus asa walau sering ditindas dengan pelbagai cara.

4. Tan Sri Abdul Rashid bercakap soal sejarah PAS. Kita pun boleh bercakap soal sejarah menunjukkan riwayat parti serpihan UMNO, iaitu Semangat 46 tidak pun mampu bertahan lama. Akhirnya, Team B UMNO pimpinan Ku Li yang membentuk  Semangat 46 kembali semula ke pangkuan UMNO pada tahun 1996.

Pengerusi PPBM, Tun Mahathir pun mempunyai rekod keluar UMNO sebanyak 3 kali iaitu pada tahun 1969, tahun 2008 dan tahun 2016. Tidaklah mustahil seandainya PPBM gagal beroleh kejayaan yang diimpi pada PRU 14 nanti, parti ini akan terkubur juga. Tun M pun kembali masuk UMNO.

5. Tan Sri Rashid bercakap soal PAS kalah.
Tahukah semua bahawa antara yang menjadi tok dalang yang berperanan besar bagi memastikan UMNO senantiasa menang ialah Tan Sri Rashid sendiri. Dia merupakan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya bermula 12 November 2000 sehingga 30 Disember 2008. Gabungan NGO BERSIH lahir pada zaman Tan Sri Rashid ini menjadi Pengerusi SPR.

Apa yang SPR buat ketika Persempadanan Kawasan Pilihan Raya pada tahun 2003.?
Apa yang SPR buat ketika Gelombang Biru BN dilancarkan pada PRU tahun 2004 bagi menumbangkan Kerajaan PAS Terengganu.
Cuba semak kembali apa yang Tan Sri Rashid tuduh kepada parti Pembangkang ketika dia bergelar Pengerusi SPR dahulu??

Sungguh angkuh kenyataannya tanpa mahu mengaku wujudnya ketidakadilan dan penipuan semasa proses pilihan raya.

6. Dahulu, ketika Tun M dan Tan Sri Rashid berkuasa pelbagai perkara mereka lakukan dengan sewenangnya walaupun bercanggah dengan sistem demokrasi yang adil dan telus.
Sekarang, apabila mereka bergelar pembangkang baru mereka tahu peritnya apabila dizalimi. Itulah yang PAS rasai selama ini, lebih awal daripada mereka yang baru setahun jagung bergelar Pembangkang. 

Adakah mereka menyangka PAS ini boleh diperguna menjadi anak tangga dipijak oleh mereka untuk naik menggapai impian kembali berkuasa??

Adakah mereka menyangka PAS takut dengan kekalahan??

Jikalaulah matlamat PAS hanya mahu merebut kuasa, pasti sudah lama parti ini terkubur.
Itulah silapnya mereka kerana mereka menyangka cara fikir dan matlamat perjuangan PAS sama seperti mereka.

Catatan oleh;
Syed Ahmad Fadhli
Pegawai Pusat Penyelidikan PAS
14 Februari 2018