Ahad, 27 Ogos 2017

Amanat Mursyidul Am Kepada Petugas PAS Hadapi PRU 14


Gombak 26 Ogos 17- Tuan Guru Ustaz Hashim Jasin menyampaikan beberapa amanat dan nasihat kepada ahli dan penyokong PAS bagi menghadapi PRU ke 14 akan datang pada pagi ini di Dewan Dato' Haji Fadhil Mohd Noor dalam Liqa Fikri PAS Pusat yang dianjurkan oleh Lajnah Tarbiyah Dan Perkaderan PAS Pusat.

Liqa Fikri kali ini bertajuk: PRU 14: Merealisasikan Makna Pengorbanan Dalam Perjuangan.

Dalam ucapan yang ringkas tetapi padat itu, Murshidul Am PAS menyebut beberapa perkara:

1. Hadis Nabi: 'Islam datang dalam keadaan dagang, Ia akan kembali dagang, maka beruntunglah orang yang dagang. Para Sahabat bertanya: Siapakah orang yang dagang itu? Nabi bersabda (lebih kurang maksudnya):
Mereka yang membaiki urusan manusia di saat rosaknya masyarakat.'

2. Islam datang ke tengah masyarakat jahiliah. Ada 38 orang Islam ketika itu, Abu Bakar minta berceramah. Nabi sebut: Kita sedikit. Abu Bakar minta juga, Nabi akhirnya benarkan. Abu Bakar terima kesan negatif dari perkara itu.

3. Ayat Quran yang menyebut tentang 'celaka dua tangan Abu Lahab' turun di awal Islam. Ayat 'Apabila datang pertolongan Allah' turun di Madinah, tetapi ayat dan surah dalam Al-Quran terletak berdekatan.
Apa hikmahnya?

4. Umat Islam sedikit, masyarakat jahiliah ramai. Kini, di akhir zaman, umat Islam sedikit dan jahiliah bertambah. Ia kembali seperti asal. Namun yang sedikiit inilah yang beruntung. Ini disebut supaya kita tidak rasa kecewa andainya kita tidak dapat kerusi dalam PRU 14.

5. Dalam hadis lain disebut 'ghuraba' ialah golongan yang soleh tetapi minoriti, berada di tengah majoriti yang tidak soleh. Orang yang menolak orang soleh ini lebih ramai dari yang mengikut orang soleh.

6. Saya bawa perkara ini di ambang PRU 14. Kita nak menang, tapi kalau tak menang? Maka hadis ini jadi panduan.

7. Allah boleh tolong kita dengan pelbagai cara. Antaranya orang yang kita tak pernah termimpi dia akan berubah, dia boleh berubah. Sebab itu, kita lihat dalam sirah Nabi ada beberapa tahap dakwah:
i. Asalnya dakwah rahsia, organisasi rahsia. Ia berlaku di rumah Al-Arqam bin Abi al-Arqam.
ii. dakwah terang, organisasi rahsia.
iii. Selepas hijrah, dakwah dan organisasi terbuka.

8. Sekarang, mungkin boleh dipraktikkan ketiga-tiga tahap ini menurut orang tertentu dan situasi tertentu.
Contohnya di Perlis, ada orang yang kuat lawan PAS tapi sekarang nampak dekat dengan kita. Justeru, tahap dakwah rahsia, organisasi rahsia ini boleh digunakan dalam situasi dan figur tertentu.

9. Saidina Umar asalnya keluar rumah untuk membunuh Nabi SAW tetapi apabila beliau mendengar awal ayat surah Taaha, dia akhirnya bersedia menerima Islam.
Umar kata Islam betul, Muhammad betul, sedangkan dia belum mengucap lagi. Inilah yang disebut Al-Iman al-aqli. Secara akal, dia boleh terima, cuma belum mengucap. Orang ini mudah mendapat iman zauqi iaitu iman yang dirasai dalam hati.
Perkara ini mesti diberi perhatian, dan ia termasuk dalam jihad.

10. Perkara yang kedua, jihad ada rukun.
Dimulakan dengan Al-uzlah iaitu asingkan diri dari tempat yang tidak membawa kita taat kepada Allah.
Kedua, assamtu, iaitu tidak bercakap banyak, terutama dalam perkara yang tidak perlu.
Ketiga, asahr, berjaga malam dengan qiamulail.
Keempat, alju'-berlapar.
Semua perkara ini dilihat secara zahir seperti negatif sahaja tetapi ia membawa kepada kesan yang positif.

11. PAS cantik, ramai orang nak pinang. Syarat yang kita letak ialah apa sahaja yang kita buat, mesti menguntungkan Islam. Kalau tidak untungkan Islam, kita tolak.

12. Kita putus tahaluf. Orang lihat seolah-olah kita tutup pintu kepada sesetengah parti. Kita tutup pintu, bukan selak. Ertinya ada ruang lain dalam persefahaman politik, dengan syarat menguntungkan Islam.

13. Sekarang bangkit kembali gerakan perselisihan mazhab. Ini mengganggu perjalanan menegakkan Islam. Belajarlah dari 2 ekor anjing yang berebut tulang. Bila datang serigala, anjing ini halau serigala dahulu.

Ini di antara beberapa perkara yang mesti diberi perhatian oleh petugas PAS bagi menghadapi PRU 14 akan datang.