PAUTAN TAMBAHAN

Jumaat, 1 Julai 2016

Hukum Sambut Raya 6 | Ziarah Kubur Masa Raya & Makan Atas Kubur - Ustaz ...



Suasana hari raya disambut meriah dengan adik-beradik, anak-anak, saudara-mara yang duduk jauh dapat berkumpul sekali. Justeru itu peluang berkumpul itu dimanfaatkan dengan menziarahi kubur untuk sama-sama bertahlil dan berdoa.

Kawasan perkuburan yang banyak diziarahi diberkati dengan doa, tahlil dan ucapan salam daripada pengunjung. Sehubungan dengan itu, ulamak Fiqh menyatakan sunat mengkebumikan jenazah orang Islam di tanah perkuburan yang banyak kubur dan ramai diziarahi orang bagi mendapat doa daripada mereka.

Ziarah kubur bertujuan mengingat mati supaya kita tidak leka dengan nikmat dunia. Firman Allah swt,

أَلْهَـٰــكُمُ التَّكَاثُرُ. حَتَّى زُرْتُمُ المَقَابِرَ

Yang bermaksud, Bermegah-megah telah melalaikan kamu. Sampai kamu masuk ke dalam kubur[1].
Mengingati mati juga adalah satu cara membersihkan hati, hadith Nabi saw,

قال رسول الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ القُلُوبَ تَصْدَأُ كَمَا يَصْدَأُ الحَدِيد. قِيْلَ : يَا رَسُولَ الله وَمَا جَلاَءُهَا؟ فَقَالَ : تِلاَوَة القُرآن وَذِكْر المَوْت. أخرجه البيهقى

Yang bermaksud, Sabda Rasulullah saw, sesungguhnya hati ini berkarat sepertimana besi yang berkarat. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah bagaimana untuk mengilatkannya? Baginda menjawab: Membaca al-Quran dan mengingati mati.

Ulama menyatakan ada tiga perkara untuk merawat hati:
1. Taat kepada Allah.
2. Memperbanyakkan mengingati mati.
3. Menziarahi kubur orang Islam.


Islam menggalakkan kita mengingati mati supaya kita sedar dan membuat persediaan untuk mati. Membuat persediaan untuk mati adalah sebahagian daripada Taqwa sebagaimana pentakrifan Taqwa oleh Saidina Ali Karamallahu Wajhah:

Taqwa ialah takut kepada Allah, beramal dengan al-Quran, redha dengan yang sedikit dan membuat persediaan untuk hari kematian[2].

Hukum menziarahi kubur adalah harus dengan dengan adab-adab yang digariskan oleh Syariat. Manakala menziarahi kubur kaum kerabat terutama ibu bapa adalah sunat Muakkad. Makin bertambah pahalanya jika kubur ibu bapa diziarahi pada tiap-tiap hari Jumaat atau hari raya[3] dan dibaca surah Yasin di sisinya. Hal ini berdasarkan hadith,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ زَارَ قَبْرَ أَبَوَيْهِ أَوْ إِحْدَاهُمَا فِي كُلِّ جُمْعَةٍ غُفِرَ لَهُ وَكُتِبَ بِرًّا. (رواه الطبرانى في الأوسط)

Yang bermaksud, Dari Abu Hurairah ra berkata: Sabda Nabi saw: Barang siapa menziarahi kubur kedua ibu bapanya atau salah seorang daripadanya, tiap-tiap hari Jumaat nescaya diampunkan baginya dan dicatit sebagai (anak) yang berbakti.

Begitu juga hadith,

عَن ابْن عمر رَضِي الله عَنهُ قَالَ مَنْ زَارَ قَبْر أَبَوَيْهِ أَوْ أَحَدهُمَا احتِسَابًا كَانَ كَعدْلِ حجَّة مَبْرُورَة وَمَنْ كَانَ زوارًا لَهُمَا زَارَت الْمَلَائِكَة قَبْره

Yang bermaksud, Daripada Ibn Umar ra berkata: Sesiapa menziarahi kubur kedua ibu bapanya atau salah seorang daripadanya dengan penuh keikhlasan ianya menyamai pahala haji yang mabrur dan sesiapa menziarahi kedua-duanya maka malaikat akan menziarahi kuburnya pula[4].

Kebiasaan pengunjung akan memberi salam dahulu kemudian berdoa semoga Allah memberikan rahmat dan maghfirahNya (keampunan) kepada simati.

Daripada Ibnu Mas‘ud, Rasulullah saw bersabda:

كُنْتُ نَهَيتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ القُبُورِ، فَزُورُوا القُبُور فَـإِنَّهَا تُزَهِّدُ فِى الدُّنْيَا وَتُذَكِّرُ الآخِرَة

Yang bermaksud, Aku melarang kamu menziarahi kubur maka ziarahlah kubur. Ini kerana dengan menziarahi kubur menjadikan kamu bersederhana dengan dunia dan mengingati akhirat.

Bertahlil atau berdoa adalah untuk menolong simati. Sabda Rasulullah saw, yang bermaksud:

Tiadalah orang yang mati di dalam kuburnya melainkan seperti orang yang tenggelam meminta pertolongan menanti doa yang ada perhubungannya daripada bapanya, atau saudaranya atau kawan temannya. Dan apabila dia mendapati orang mendoakannya adalah terlebih kasih baginya daripada dunia dan segala isinya. Riwayat al-Dailimi
Hadith tentang menghadiah pahala al-Quran kepada ahli kubur[5],

عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أنه قَالَ: مَنْ دَخَلَ المَقَابِر وَقَرَأَ قُلْ هُوَ اللهُ أَحَد عَشَر مَرَّات وَأَهْدَى ثَوابها لِلْمَوْتَى، غَفَرَ اللهُ لِلْمَوْتَى وَأَدْخل فِى قَبُورِهِمُ النُّور وَالسُّرُور، وَيَكْتُب اللهُ تَعَالَى لِلُقَارِئ بِكُلِّ مَيت مَاتَ مِنْ يَوْمٍ أَهْبَطَ الله آدَم إِلَى الأَرْضِ إِلَى يَوْمِ القِيَامَةِ عَشَر حَسَنَات.

Yang bermaksud, Daripada Nabi SAW bersabda: Sesiapa memasuki kawasan kubur dan membaca (قل هو الله أحد) sepuluh kali serta menghadiahkan pahala bacaan tersebut kepada si mati, maka Allah ampunkan si mati dan memasukkan cahaya dan kegembiraan ke dalam kubur mereka. Allah akan tulis pahala si pembaca dengan sepuluh kebajikan, mengikut bilangan mayat yang mati bermula dari hari Nabi Adam dicampakkan ke bumi hinggalah ke hari kiamat.

[1] (At-Takathur 001-002)
[2] Taqwa: Hakikat, Hukum-Hukum dan Kesan-Kesannya, Dr. Muhammad al-Zuhayli, terbitan Jabatan Mufti N.Sembilan, hlmn 2.
[3] Mastika Hadith Rasulullah SAW, Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, Jld 2 Hlmn 428.
[4] Nawadir al-Usul fi Ma’rifah Ahadith al-Rasul, al-Hakim al-Tirmizi, Sumber ke-15, bab fi Tahqiq al-Tahdid ‘Ala Zuwarat al-Qubur.
[5] Bustan al-Waizin wa Riyadh al-Sami’in, Imam Abi al-Farj Abdul Rahman bin Abi al-Hasan Ali bin Muhammad bin Ali bin al-Jauzi al-Qarasyi al-Tamimi al-Bakri al-Hanbali, Dar al-Kutub al-Arabi, 2001, halaman 293

Kesimpulan ; Usahlah kita bergaduh semata-mata nak kata orang sesat dan bid’ah dalam perkara furu’ ini. Belajarlah merai perbezaan.

Ziarah kubur hari raya tidak lah wajib tapi ia amalan yang baik terutama dalam mengingati mati. Cuma jagalah adab2 ketika menziarahi kubur. Bacalah doa utk penghuni kubur kerana nanti kita juga akan menyertai mereka.

Janganlah kerana amalan baik ini, golongan wahabi atau sefikrah dengannya menuduh orang awam itu bid’ah dan sesat dan janganlah juga orang awam mengasari semula dengan kata-kata kesat.
Railah perbezaan. Islam ini untuk dinikmati bukanlah dihukumi.