PAUTAN TAMBAHAN

Isnin, 21 Disember 2015

Mengenal dan mendekatkan diri kalian kepada Rasulullah ﷺ dan untuk mendapatkan cintanya,


Guru kami Al Habib Ali al Jufri mengatakan, ada 4 jenis ilmu yang dengannya hendaklah kalian mempelajarinya bagi mengenal dan mendekatkan diri kalian kepada Rasulullah ﷺ dan untuk mendapatkan cintanya,

1) Ilmu Syamail

Ilmu yang berkaitan peribadi Rasulullah ﷺ. Ilmu yang berkaitan akhlak dan juga adab, ciri-ciri rupa paras, fizikal Rasulullah ﷺ, bagaimana cara tidur Nabi ﷺ, cara makan dan minum, seluruh kelakuan dan perbuatan peribadi Rasulullah ﷺ.

2) Ilmu Sirah

Ilmu berkaitan kisah perjalanan kehidupan Rasulullah ﷺ. Sejak peristiwa sebelum kelahiran Baginda ﷺ, setelah lahir, ketika zaman kanak-kanak, kehidupan disaat remaja, menjadi Nabi dan Rasul, hingga kepada kehidupan dizaman tua dan kewafatan Rasulullah ﷺ.

3) Ilmu Khususiyah

Ilmu berkaitan keistimewaan Rasulullah ﷺ. Ilmu berkaitan pengkhususan-pengkhususan, mukjizat yang ALLAH Ta'ala berikan khusus kepada Baginda Nabi ﷺ. Sepertimana yang dikarang oleh al Hafiz al Imam Jalaluddin as Suyuti kitab الخصائص الكبرى

4) Ilmu Perihal Ahlul Bait Rasulullah ﷺ

Ilmu berkaitan perihal keturunan dan ahlul bait Rasulullah ﷺ. Ilmu perihal susur galur keluarga Baginda Nabi ﷺ. Kerana ahlul bait termasuk daripada 2 pusaka yang ditinggalkan (Al-Quran & Ahlul Bait) sepertimana hadis yang diriwayatkan didalam Sahih Muslim.

Seseorang yang melalui keempat-empat ilmu ini, dia akan mengenal keindahan Rasulullah ﷺ, akan mengenal kesempurnaan Rasulullah ﷺ, dan akan mengenal jasa, pengorbanan dan sumbangan Rasulullah ﷺ.

Al-Fadhil Ustaz Iqbal Zain al Jauhari حفظه الله

 اللهم صل على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وسلم