Jumaat, 3 Disember 2021

Kebaikan Membaca Al-Quran


Berikut adalah antara kelebihan dan kebaikan membaca Al-Quran berdasarkan hadis-hadis sahih.

1. Al-Quran akan menjadi syafaat di hari akhirat.

Daripada Abu Umamah r.a berkata : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

"Bacalah Al-Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya." (Hadis Riwayat Muslim)

2. Al-Quran sebagai pembela (mempertahankan) orang yang membacanya di hari akhirat.

Daripada Nawwas Bin Sam’an r.a. telah berkata :

Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : "Di hari akhirat kelak akan didatangkan Al-Quran dan orang yang membaca dan mengamalkan isi kandungannya, didahului dengan Surah Al Baqarah dan Surah Ali-Imraan, kedua-dua surah ini menghujah (mempertahankan) orang yang membaca dan mengamalkannya." (Hadis Riwayat Muslim)

3. Sebaik-baik amalan adalah orang yang belajar dan mengajarkan Al-Quran.

Daripada Osman Bin Affan r.a. telah berkata:

Rasulullah SAW bersabda : "Sebaik manusia di antara kamu orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain." (Hadis Riwayat Bukhari)

4. Membaca al-Quran dan susah menyebutnya mendapat dua pahala.

Daripada Aisyah r.a. telah berkata:

Bersabda Rasulullah SAW : "Orang yang membaca Al-Quran dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

5. Mukmin yang membaca Al-Quran umpama buah yang harum dan sedap rasanya.

Daripada Abu Musa Al Asy’ari r.a. telah berkata :

Rasulullah S.A.W. bersabda : "Umpama orang mukmin yang membaca al-Quran seperti buah Utrujjah (seperti limau besar) baunya wangi dan rasanya sedap. Umpama orang mukmin yang tidak membaca Al-Quran seperti buah tamar tidak ada bau dan rasanya manis, dan umpama orang munafik yang membaca Al- Quran seperti Raihanah (sejenis pokok) baunya wangi dan rasanya pahit dan umpama orang munafik yang tidak membaca Al-Quran seperti buah labu yang tiada bau dan rasanya pahit." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

6. Allah SWT mengangkat martabat golongan yang membaca al-Quran.

Daripada Omar Bin Al Khattab r.a. Bahawa Nabi Muhammad S.A.W. bersabda:

"Sesungguhnya Allah mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan sebab Al-Quran." (Hadis Riwayat Muslim)

7. Kefahaman yang sahih tentang Al-Quran akan menjadi contoh ikutan.

Daripada Ibnu Omar r.a. daripada Nabi Muhammad SAW telah bersabda:

"Tidak boleh berhasad dengki kecuali di dalam dua perkara : Lelaki yang dianugerahkan kefahaman yang sahih tentang Al-Quran, ia menunaikan ibadat siang dan malam, lelaki yang dianugerahkan kemewahan harta lalu dinafkahkannya siang dan malam." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

8. Membaca al-Quran akan mendapat ketenangan (sakinah)

Daripada Barra’ dan daripada ‘Azib r.a. telah berkata :

"Seorang lelaki membaca Surah Al Kahfi dan di sisinya seekor kuda yang diikat dengan dua tali, maka awan di langit mula melindunginya dan semakin hampir, dan kudanya mula menjauhinya.

Apabila menjelang pagi beliau pergi berjumpa Nabi Muhammad SAW dan menceritakan peristiwa tersebut maka baginda bersabda :

"Itulah (sakinah) ketenangan yang turun disebabkan bacaan Al-Quran." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

9. Sesiapa yang tidak mengingati ayat-ayat Al-Quran umpama rumah yang roboh.

Daripada Ibnu ‘Abbas r.a. beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda :

"Sesungguhnya orang yang tidak ada di dalam ingatannya sesuatu pun daripada ayat al-Quran seperti rumah yang roboh." (Hadis Riwayat Tarmizi dan beliau berkata: Hadis ini hasan sahih)

10. Membaca dan memperelokkan bacaan Al-Quran akan mendapat kebaikannya.

Daripada Abdullah Bin ‘Umru Bin Al ‘As r.a. Nabi Muhammad SAW bersabda :

"Satu masa nanti akan dikatakan kepada orang yang membaca Al-Quran: Bacalah, perbaikilah dan perelokkanlah bacaan Al-Quran sepertimana engkau memperelokkan urusan di dunia, sesungguhnya tempat engkau akan ditentukan di akhir ayat yang engkau bacakan." (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tarmizi dan beliau berkata : Hadis ini hasan sahih

11. Membaca beberapa ayat Al-Quran lebih baik daripada mendapat unta yang gemuk.

Daripada ‘Uqbah Bin ‘Amir r.a. menceritakan : Rasulullah SAW keluar dan kami berada di tempat duduk masjid yang beratap. Maka beliau bersabda:

"Siapakah di antara kamu yang suka keluar di pagi hari pada setiap hari menuju ke Buthan atau ‘Atiq, dan dia mengambil darinya dua ekor unta yang gemuk dalam keadaan dia tidak melakukan dosa dan tidak putus hubungan silaturrahim."

Kami menjawab: "Kami suka demikian itu.

Sabda Rasulullah SAW : "Kenapakah kamu tidak pergi ke masjid belajar atau membaca dua ayat Al Quran lebih baik dari dua ekor unta, tiga ayat lebih baik dari tiga ekor, empat ayat lebih baik dari empat ekor unta demikianlah seterusnya mengikut bilangan ayatnya." (Hadis Riwayat Muslim)

12. Sesiapa yang lebih fasih membaca Al-Quran lebih layak menjadi imam solat berjemaah.

Daripada Ibnu Mas’ud r.a bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda :

"Orang yang paling layak mengimami kaum di dalam sembahyang ialah mereka yang terfasih membaca Al-Quran." (Hadis Riwayat Muslim )

13. Nabi SAW mengutamakan sahabat yang paling kuat berpegang teguh kepada Al-Quran untuk dikebumikan jenazah mereka.

Daripada Jabir Bin Abdullah r.a. bahawa Nabi Muhammad SAW menghimpun antara dua lelaki yang terbunuh di peperangan Uhud kemudian baginda bersabda :

"Yang mana satukah antara keduanya yang paling kuat berpegang teguh dengan Al-Quran maka apabila aku tunjukkan kepada salah seorang daripada keduanya maka dialah orang yang pertama masuk ke liang lahad." (Hadis Riwayat Bukhari, Tarmizi, Nasa’ie dan Ibnu Majah)

14. Kelebihan berdoa selepas membaca Al-Quran.

Daripada ‘Imran Bin Husain Bahawa beliau lalu di hadapan qari yang sedang membaca Al-Quran kemudian dia berdoa kepada Allah kemudian ia kembali membaca kemudian ia berkata aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :

"Barangsiapa yang membaca Al-Quran maka berdoalah kepada Allah dengan Al-Quran maka sesungguhnya akan datang beberapa kaum yang membaca Al-Quran dan mereka berdoa dengannya." (Hadis Riwayat Tarmizi, beliau berkata : Hadis ini hasan)

15. Setiap satu huruf membaca Al-Quran akan mendapat sepuluh ganjaran pahala.

Daripada Ibnu Mas’ud r.a. ia berkata : "Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada Al- Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan sepuluh pahala, aku tidak bermaksud : Alif , Lam , Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf." (Hadis Riwayat Ad Darimi Tarmizi, beliau berkata hadis ini hasan sahih)

Wahai semua sahabat-sahabat dan saudara-saudari yang dimuliakan, marilah kita bersama-sama menjadikan ayat suci Al-Quran sebagai pedoman hidup kita hari ini dan sampai bila-bila.

Apabila kita sentiasa menjadikan Al-Quran sebagai panduan dan peraturan dalam kehidupan kita, pasti kita tidak akan tersesat dan sentiasa mendapat pimpinan daripada Allah SWT.

Dan Al-Quran juga adalah merupakan satu senjata yang paling berkesan untuk membersihkan jiwa dan meneranginya serta turut menyinarkannya.

Baca : Doa Sebelum dan Selepas Membaca Al-Quran

Malahan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda : Daripada Ibnu Umar r.a berkata :

"Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya : "Hati manusia akan berkarat seperti besi yang dikaratkan oleh air."

Apakah cara untukk menjadikan hati itu bersinar kembali? Kata Baginda lagi, "Dengan memperbanyakkan mengingati mati serta membaca Al-Quran Nur Karim."


Wahai Dzat yang Maha pembuka, dan Maha mengetahui bukakanlah pintu kami dengan Al-Quran al-adhim, Ya Allah, dengan kitabMu, berikanlah cahaya kepada penglihatanku, lancarkanlah lisanku, lapangkanlah dadaku, dan gunakanlah jasadku dengan daya dan kekuatanMu Ya Allah, kerana sesungguhnya tidak ada daya dan kekuatan kecuali dariMu, Ya Allah, Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.

Ya Allah, kurniakanlah kepada kami, pemahaman para Nabi, hafalan para Rasul, dan ilham para Malaikat yang senantiasa dekat kepadaMu, dengan rahmatMu wahai Dzat yang Maha penyayang.

Semoga perkongsian kelebihan dan kebaikan membaca Al-Quran ini akan menambahkan lagi pengetahuan kita semua selain dapat membantu kita semua mendekatkan lagi dengan kitab suci Al-Quran ini. Insya Allah.