Rabu, 28 Oktober 2020

Rahsia Khasiat Cuka Kurma Untuk Kesihatan

 Tiada penerangan foto disediakan.

 KHAL adalah nama dalam bahasa Arab bermaksud suatu bahan daripada buah-buahan seperti tamar (kurma), epal, anggur, dan tin (fig) yang disimpan atau diperam dalam jangka masa tertentu, bertukar dari jus buah menjadi alkohol, seterusnya menjadi yis, bertukar menjadi asid asetat dan akhirnya menjadi KHAL, juga dipanggil vinegar.

Cuka kurma yang diperbuat daripada kurma, juga dapat membuang lemak, kolestrol, asid-asid dan garam berlebihan dalam badan yang membawa pelbagai penyakit berbahaya.

Antara bahan kandungan cuka kurma adalah:
  • Vitamin C
  • Vitamin E
  • Vitamin B1
  • Vitamin B6
  • Beta-karotena
  • Bioflavonoid
  • Potassium
  • Serat

Cuka kurma juga dapat membuang lemak, kolestrol, asid-asid dan garam berlebihan di dalam badan (yang membawa pelbagai penyakit berbahaya).

KHASIAT CUKA KURMA MENURUT PERUBATAN ISLAM

Ibnu Sina dalam kitab beliau Al-Qanun Fi Al-Tib menyatakan bahawa, “Cuka kurma dapat mencegah sebarang pembengkakan di badan (bisul, kanser), menyucikan darah, membaiki masalah pencernaan di perut, masalah usus, kerongkong, kahak, batuk yang berpanjangan, menjaga kulit dari kepanasan matahari, mengatasi masalah lemak-lemak di badan (kolesterol), menstabilkan asid dan garam di badan, membuang keracunan badan (toksik), masalah rahim, menguatkan gigi, mata, telinga serta mengembalikan tenaga lelaki dan perempuan.” Darul Fikri, Bairut Tahun 1414H, m.s 908 - 909.

Menerusi kitab Al-Qanun Fi Al-Tib (Ibnu Sina) & Al-Tib Al-Nabawi (Ibnu Qaiyyim), cuka kurma:-

  • Dapat mencegah berlakunya pembengkakan pada badan seperti bisul dan kanser.
  • Membuang darah kotor dan melancarkan aliran darah.
  • Mengatasi masalah proses pencernaan makanan dalam perut.
  • Melancarkan pergerakan usus.
  • Merawat masalah kerongkong, kahak dan batuk yang berpanjangan.
  • Memelihara kulit dari kesan kepanasan matahari.
  • Menurunkan tahap kolesterol.
  • Mengimbang tahap asid-alkali dalam badan dan mengeluarkan lebihan garam.
  • Membakar kalori dengan cepat.
  • Membuang toksin.
  • Merawat masalah rahim, menguatkan gigi, deria mata dan telinga.
  • Penyerapan kalsium lebih sempurna dan menguatkan tulang.
  • Mengubati masalah gastrik akibat asid berlebihan dalam perut.
  • Merawat masalah hempedu (membersih hempedu dari lemak yang membentuk batu karang).
  • Mencegah berlakunya keracunan akibat penggunaan ubat-ubatan yang pelbagai.
  • Melancarkan pengeluaran susu ibu.
  • Melancarkan perjalanan darah yang berketul dalam perut (masalah gangguan haid).
  • Memperbaiki fungsi limpa.
  • Menghilang masalah dahaga dan mengurangkan panas badan.

BERIKUT ADALAH BEBERAPA KHASIAT SECARA KHUSUS CUKA KURMA:

1. Mengatasi Gastrik Dan Penyakit Perut

Ibnu Qaiyyim dalam kitab beliau Al-Tib Al-Nabawi menyatakan cuka kurma bermanfaat untuk mengatasi masalah gastrik di perut, masalah hempedu (membersih hempedu dari lemak yang membentuk batu), mencegah terhadap bahayanya ubat-ubatan (kesan sampingan dari ubat yang pelbagai) yang boleh membawa kepada kematian.

"Cuka kurma bermanfaat mengatasi masalah limpa, membersihkan usus (membuang toksik di perut), menguatkan sistem perut (masalah buasir), menghilangkan masalah dahaga (panas badan), mencegah sebarang pembengkakan yang akan terjadi di tubuh manusia (seperti kanser, bisul dan sebagainya), membantu sistem penghadaman makanan yang kasar dan membersihkan darah manusia (darah yang beracun)." Darul Kitab Al-Arabi, Bairut 1410 H, m.s 233.

Sebenarnya ia bukanlah cuka biasa yang dibuat masakan makanan tetapi KHAL adalah bersifat asidik pada rasa tetapi tidak membahayakan tubuh badan.

KHAL adalah minuman kesihatan beralkali yang dapat mengimbangi kandungan asid dalam badan manusia serta mengendalikan keseimbangan pH, mengurangkan kadar toksik dalam badan dengan menukarkannya kepada kompaun asetat yang kurang bertoksik.

KHAL bukan menyebabkan gastrik atau penyakit usus kerana KHAL adalah ejen pembersih organ badan kerana proses fermentasi KHAL daripada jus buah kurma menjadi alkohol kemudian menjadi asid asetat seterusnya menjadi KHAL yang sememangnya rasanya masam seperti cuka.

2. Melancarkan Susu Ibu

Cuka kurma juga dapat melancarkan susu ibu dan melancarkan perjalanan darah yang berketul dalam perut (masalah gangguan haid).

3. Menurunkan Berat Badan

Dengan mengamalkan pemakanan cuka kurma, ia boleh mengurangkan rasa lapar dan anda akan berasa kenyang. Hal ini tidak mustahil kerana cuka kurma mengandungi potassium yang tinggi.

4. Mengatasi Lemah Jantung

Pengamalan cuka kurma sangat sesuai kepada orang yang lemah jantung kerana serat yang terkandung di dalam cuka kurma boleh mengurangkan kadar kolestrol di dalam badan.

Sebaik-baiknya, ambil cuka kurma sebanyak 25-30 gram setiap hari dan pada masa yang sama, dapatkan serat dari sayur-sayuran dan buah-buahan juga.

Selain daripada itu, pengambilan suplemen amat digalakkan.

Cuka kurma boleh mengurangkan kolestrol LDL (buruk) dan pada masa yang sama meningkatkan kolestrol HDL (baik).

5. Mencegah Kanser

Sepertimana memakan buah kurma atau biji aprikot, pengambilan cuka kurma yang berkala boleh mengurangkan risiko kanser perut.

Hal ini kerana cuka kurma mengandungi banyak kandungan vitamin C, B6 dan potassium.

Vitamin C merupakan bahan antioksida yang memainkan peranan penting dalam menangani radikal bebas (salah satu penyebab kanser) di dalam badan.

6. Menguatkan Sistem Imun Badan

Pengambilan cuka kurma boleh mengeluarkan bahan-bahan toksin dari badan, secara tidak langsung boleh menguatkan sistem imun badan dan pada masa yang sama, ia juga boleh mencegah anda daripada sakit perut dan sembelit.

Cuka kurma mengandungi Vitamin A, yang mana salah satu vitamin yang memainkan peranan yang penting dalam sistem imun badan.

Pada masa yang sama, Vitamin B6 yang terkandung di dalam cuka kurma turut memainkan peranan di dalam tindak balas imun badan. Jika badan tidak mempunyai vitamin B6 yang mencukupi, ia boleh melemahkan sistem pertahanan badan.

Selain itu, vitamin C dan vitamin A juga boleh membantu sistem pertahanan badan anda, walaupun bukanlah secara langsung.

7. Sesuai Untuk Pesakit Anemia

Memandangkan cuka kurma mengandungi zat besi yang mencukupi, ia boleh membantu pesakit anemia.

Hemoglobin adalah bahagian sel darah merah yang paling penting, ia memainkan peranan untuk mengangkut oksigen ke seluruh sel badan kita. Sekiranya tidak berfungsi dengan baik, maka sel badan tidak mendapat oksigen yang mencukupi.

Tetapi jangan abaikan ubat dan nasihat daripada doktor, anggaplah cuka kurma ini sebagai makanan tambahan sahaja, bukannya penyembuh yang sempurna.

8. Mengurangkan Gangguan Haid

Kerapkan pengambilan cuka kurma atau buah kurma itu sendiri boleh membantu anda (perempuan) mengurangkan gangguan haid.

Hal ini kerana cuka kurma mengandungi Vitamin B dan E, iaitu vitamin yang memainkan peranan penting di dalam proses kitaran haid yang baik dan sihat.

Vitamin B dan Vitamin E boleh mengurangkan rasa sakit semasa haid, manakala magnesium boleh mengurangkan ketegangan otot pada rahim.

9. Melegakan Batuk

Cuka kurma dipercayai boleh melegakan sakit batuk dan meghilangkan kahak jika diambil secara berterusan.

Hal ini logik kerana cuka kurma mengandungi vitamin C, iaitu salah satu nutrisi yang penting di dalam sistem imun badan untuk melawan sebarang jangkitan dan penyakit.

10. Memudahkan Bersalin

Jika anda kerap minum cuka kurma, ia boleh memudahkan proses bersalin.

Satu kajian yang diterbitkan oleh Journal of Obstetrics and Gynaecology mendapati bahawa pengambilan 6 biji kurma setiap hari untuk 4 minggu sebelum bersalin, boleh memudahkan proses melahirkan anak dan mengurangkan rasa sakit.

Hal ini kerana cuka kurma mengandungi hormon yang boleh menguatkan uterus, membantu penghasilan susu badan dan mengurangkan risiko keguguran.

11. Mengatasi Masalah Lemah Badan

Cuka kurma mengandungi kadar karbohidrat yang tinggi, ia boleh membekalkan tenaga kepada badan anda.

Pada masa yang sama, vitamin B yang terdapat di dalam cuka ini boleh membantu badan menukarkan makanan kepada bentuk tenaga untuk kegunaan harian.

CARA PENGAMBILAN CUKA KURMA

Cuka kurma mempunyai rasa seperti buah kurma. Ia biasanya berwarna coklat gelap dan untuk menikmati cuka kurma, berikut adalah serba sedikit cadangan hidangan:

1. Minum: Ambil 1-2 sudu teh cuka kurma, sebaiknya dicampurkan dengan segelas air masak. Minumnya pada sebelah pagi dan malam. Anda boleh menambah madu untuk meningkatkan rasa manis.

2. Salad dressing: Anda sukakan salad, apa kata cuba masukkan cuka kurma pula ke dalam salad anda.

3. Masakan: Anda memasak dan perlukan cuka? Apa kata mulai hari ini anda bertukar kepada cuka kurma.

4. Jeruk: Seperti penggunaan cuka biasa dalam proses penjerukan, kali ini gantikannya dengan cuka kurma.

APA BEZA CUKA KURMA dengan BUAH KURMA?

Walaupun berasal daripada bahan yang sama tapi kedua-duanya melalui proses yang berbeza.

Macam CUKA KURMA ini, ianya akan melalui proses fermentasi sehingga 8 bulan. Bukan itu saja, udara, air, dan juga suhu sekeliling semasa proses penapaian itu turut dijaga dan dikawal. Ini bagi memastikan kualiti dan khasiat cuka kurma yang dihasilkan terjaga.

Buah kurma pula hanya diambil daripada pokok kurma sahaja.

Kenapa perlu fermentasi sampai 8 bulan?

Sebab, proses fermentasi akan menggandakan khasiat dalam kurma sehingga lebih dari 4 kali ganda.

Buah kurma itu sendiri sudah banyak khasiatnya, bayangkan pula kurma yang sudah melalui proses fermentasi sehingga 8 bulan. Pasti berkali ganda khasiatnya.

Fermentasi bertindak dengan cara memecahkan molekul-molekul kurma, secara nanoteknologi dan dengan itu, khasiatnya lebih mudah diserap.

Bila dibuat sebagai cuka, manis gula dari kurma hilang, jadi ianya sesuai diminum oleh penghidap diabetes.

Manis kurma itu hilang kerana bakteria baik yang ada di dalam cuka kurma telah 'memakan' gula tersebut.

Semoga memberi manfaat.

Rujukan:

Rahsia Khasiat Cuka Kurma Untuk Kesihatan

Isnin, 19 Oktober 2020

Perbezaan Politikus dan Pejuang Islam

 

Sang politikus atau pemain politik mempunyai padang dan pentasnya yang tersendiri. Gerak tari politiknya licik dan seni bicaranya menawan. Kadangkala memukau dan mampu menawan minda awam. Fokus dan capaian mereka ialah cita-cita politik. Mereka sanggup merempuh sempadan hukum dan tembok syariat demi menggapai objektif dan matlamat politik mereka. Mereka juga tergamak melacurkan prinsip perjuangan, asal sahaja mereka bebas melunas kemahuan dan melampias keinginan. Politik mereka tiada sempadan dan pedoman syara’. Sandaran mereka ialah ideologi Machiavelli, kiblat mereka ialah kepuasan dan prinsip mereka ialah matlamat menghalalkan cara. Firman Allah s.w.t;

 وَإِذَا رَأَيْتَهُمْ تُعْجِبُكَ أَجْسَامُهُمْ وَإِن يَقُولُوا تَسْمَعْ لِقَوْلِهِمْ كَأَنَّهُمْ خُشُبٌ مُّسَنَّدَةٌ يَحْسَبُونَ كُلَّ صَيْحَةٍ عَلَيْهِمْ هُمُ الْعَدُوُّ فَاحْذَرْهُمْ قَاتَلَهُمُ اللَّهُ أَنَّى يُؤْفَكُونَ

  “Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati kepada tubuh badan mereka (gerak lakunya); dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan fasih, dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tiada padanya kekuatan yang dikehendaki). Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah membahayakan mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmat-Nya. (Pelik sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya dari kebenaran).” - al-Quran, surah al-Munaafiqun ayat 4

 Sangat ketara perbezaan bagi seorang Pejuang Islam. Matlamat mereka adalah mencari keredhaan Allah. Lapangan dan pentas mereka tersangat luas sementara aksi politik adalah sebahagian daripada kewajipan yang mesti ditunai dengan penuh kebijaksanaan.

Politik mereka dihiasi akhlak dan komitmen yang tinggi terhadap sumber syara’ iaitu Al Quran dan As Sunnah. Politik menjadi wadah dan wasilah untuk mendekatkan diri kepada Allah swt serta menjadi alat untuk mendaulatkan syariat dan meninggikan syiar agama Allah swt. Firman Allah :

 الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

 “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menguatkuasakan al-Maaruf (penegakan syariah ) serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” - al-Quran, surah al-Hajj ayat 41

Kesimpulannya, pejuang Islam juga adalah seorang ahli politik sementara politikus tidak semestinya seorang pejuang Islam. Politikus hanya merencana strategi mereka untuk berkuasa dan berpengaruh di dunia ini, lalu dosa pahala tiada dalam kamus politik mereka sementara Pejuang Islam mengatur langkah menguasai dunia untuk kejayaan dan kemenangan di akhirat.

 Al-Quran dan al-Sunnah menjadi jarum kompas yang memandu arah politik seorang Pejuang Islam. Mereka meyakini bahawa matlamat akhir perjuangannya ialah keredhaan Allah swt, maka mereka sentiasa optimis terhadap kemenangan Islam sekalipun kehilangan sokongan daripada makhluk yang dicipta Tuhan. Hal ini ini tidaklah memeranjatkan PAS yang menyambung Risalah al-Nabawiyyah di zaman ini, lantaran ia pernah dihadapi oleh Rasulullah saw malah turut dihadapi oleh pejuang-pejuang Islam di sepanjang zaman. Inilah yang dilafazkan oleh orang-orang Quraish tatkala Nabi Muhammad menyampaikan dakwahnya, “Apa yang engkau (Muhammad) sampaikan kepada kami ini adalah suatu yang dibenci oleh pemerintah.” (Tarikh Madinah Dimasyq, 17/ 299)

 Kegagalan memahami hal ini memungkinkan kita berjuang tanpa sebarang nilai dan pencapaian di sisi Allah Taala. Penyertaan PAS dalam medan siasah (politik) adalah sebahagian dari tanggungjawab perjuangannya untuk mendaulatkan syariat Allah Taala di atas muka bumi ini. Firman Allah;

 ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَى شَرِيعَةٍ مِّنَ الأَمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلا تَتَّبِعْ أَهْوَاء الَّذِينَ لا يَعْلَمُونَ “

Kemudian kami telah meletakkan engkau di atas syariat (peraturan agama), maka ikutlah peraturannya dan janganlah engkau mengikut nafsu mereka yang tidak mengerti.” - al-Quran, surah al-Jaatsiyah, ayat: 18

Tugas dan tanggungjawab PAS jauh lebih besar dari hanya sekadar berpolitik. Tanpa mengabaikan tanggungjawab politik yang dilunas mengikut prinsip amal Islami, PAS juga mempunyai tanggungjawab besar untuk turun berdakwah dan memimpin fikrah (pemikiran), syakhsiah (peribadi) dan ruhiyyah (spiritual) masyarakat. Justeru itu, kurangkanlah politiking sesama sendiri yang hanya mengheret kita bersengketa dan membuang masa dalam perkara yang tidak mendatangkan keuntungan kepada perjuangan sebaliknya menjadikan kita retak dan pecah. Berikan tumpuan kepada usaha pengukuhan gerak kerja dan mempelbagaikan aktiviti ke arah memahamkan masyarakat terhadap Islam yang kita perjuangkan. Tidak hanya menumpukan isu-isu politik sehingga memperlahankan tempo dalam gerak kerja dan aktiviti amal Islami yang lain seperti pemantapan aqidah dan fikrah. 

 Jangan biarkan sebarang kemelut melintasi ruang jamaah kita sehingga ia merosakkan penumpuan dan keikhlasan kita terhadap amanah perjuangan. Keasyikan berpolitik dan keghairahan bersaing di dunia politik kini kelihatan banyak melahirkan pemimpin dan anggota parti yang tidak lagi menumpukan tanggungjawab asas sebagai seorang pejuang Islam. Telah ramai pemimpin dan anggota jamaah yang mengabaikan solat berjamaah, menjauhkan diri dari majlis-majlis ilmu, tidak lagi melazimi usrah. Ucapannya pula tiada lagi hikmah, sebaliknya kasar dan keras. Tindakannya gelojoh, egonya tinggi dan hanya merasa diri sahaja yang bijak dan pandai. Gemar bertelingkah dan suka memfitnah. Melakukan dosa tanpa sedar ia berdepan murka dan kutukan Allah Taala.

Saban waktu dan ketika, fikiran aktivis-aktivis gerakan hanya disibukkan merancang “Bagaimana nak jatuhkan si anu dan si anu (saingan politiknya)”, kerana ia tidak sama pendapat. Atau ada juga yang memurnikan sedikit alasannya yang berbunyi, “Demi kebaikan jamaah...”, “Demi masa depan jamaah...” sebagai melindungi perkataan sebenar, “Demi kebaikan aku...” atau “Demi masa depan politik aku...”. Segalanya kerana pengaruh politik tanpa agama dan akhlak. 

 Hitungan seharian dalam dunia politik ialah bagaimana mahu menang! Bagaimana mahu dapat undi Melayu dan non-Malay! Tetapi malang, sebahagiannya tidak memasukkan dalam hitungan mereka, bagaimana hendak mempertahankan Islam dan memenangkan Islam. Malah ada yang berani mengatakan jangan bercakap deras tentang hukum Islam, kerana nanti kita kurang popular dan non-Muslim menjauhi kita.

Sebagai anggota gerakan Islam, pejuang Islam, kita tidak seharusnya prejudis terhadap Islam. Perjuangkan Islam nescaya Islam akan menambat hati nurani seluruh umat tanpa mengira bangsa, justeru Islam adalah agama wahyu untuk seluruh manusia. Keadilan Islam dan akhlaknya akan meruntun hati manusia walau pada mulanya mereka membenci Islam. Pentingnya kita mesti tegas bersama Islam. Usahlah fahaman “matlamat menghalalkan cara” menjadi matlamat politik kita, kerana pejuang Islam sebenar sanggup mati kerana taat kepada kehendak Allah berbanding hidup menderhakai-Nya sebagai azimah perjuangan. Demikianlah sabda Rasulullah saw;

 موت في طاعة اللّه عز وجل خير من حياة في معصية اللّه 

“Menempa maut kerana menjalani perintah Allah lebih mulia daripada hidup melakukan maksiat kepada-Nya.” (riwayat al-Tabarani fi al-Mu’jaam al-Kabir)

Biodata Penulis :

Ustaz Nasrudin bin Hasan Tantawi merupakan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM). Beliau pernah mendapat pendidikan di Maahad Fathul Islami Damascus, Syria dan Universiti al-Azhar, Tanta, Mesir. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia. Antara tokoh ulama yang beliau kagumi adalah Syeikh Dr.Yusuf al-Qaradawi dan Syeikh Muhammad al-Ghazali.

Sabtu, 17 Oktober 2020

Kijang sama kijang berlaga, singa juga yang kenyang - Oleh Dr Muslim

 Imej mungkin mengandungi: 1 orang, berdiri dan teks

Ketiadaan akta anti-lompat parti politik telah memburukkan suasana politik di Malaysia hari ini. 

Pemerintahan hari ini bukan lagi ditentukan oleh rakyat yang mengundi tetapi oleh ahli-ahli parlimen yang lupa diri, dan yang sanggup dijual-beli.

Tidak dipanggil politik kalau tidak ada kontroversi. Perbezaan pendapat itu lumrah, perselisihan itu biasa, pertikaian itu adat berpolitik, tetapi janganlah sampai hilang pertimbangan diri.

Jangan sampai kita tidak boleh mengambil satu langkah kebelakang untuk membetulkan sepuluh langkah kehadapan.

Jangan sampai kita tidak ada masa untuk bermuhasabah diri dan menginsafi akan akibat buruk yang boleh terjadi.

Jangan sampai kita tidak ada masa untuk menilai kembali niat dan tujuan sebenar kita berpolitik.

Jangan sampai kita tidak boleh mengutamakan kepentingan ugama, bangsa dan masyarakat daripada kepentingan diri.

Pergeseran UMNO dan PPBM ini hanyalah konflik kecil dan boleh diatasi seperti yang diberitahu dalam Quran: 𝐒𝐞𝐛𝐞𝐧𝐚𝐫𝐧𝐲𝐚 𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠-𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐛𝐞𝐫𝐢𝐦𝐚𝐧 𝐢𝐭𝐮 𝐛𝐞𝐫𝐬𝐚𝐮𝐝𝐚𝐫𝐚. 𝐌𝐚𝐤𝐚 𝐝𝐚𝐦𝐚𝐢𝐤𝐚𝐧𝐥𝐚𝐡 𝐝𝐢𝐚𝐧𝐭𝐚𝐫𝐚 𝐝𝐮𝐚 𝐬𝐚𝐮𝐝𝐚𝐫𝐚 𝐤𝐚𝐦𝐮 (𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐛𝐞𝐫𝐭𝐞𝐥𝐢𝐧𝐠𝐤𝐚𝐡) 𝐢𝐭𝐮. 𝐃𝐚𝐧 𝐛𝐞𝐫𝐭𝐚𝐤𝐰𝐚𝐥𝐚𝐡 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐀𝐥𝐥𝐚𝐡 𝐬𝐮𝐩𝐚𝐲𝐚 𝐤𝐚𝐦𝐮 𝐩𝐞𝐫𝐨𝐥𝐞𝐡𝐢 𝐫𝐚𝐡𝐦𝐚𝐭. (𝐀𝐥-𝐇𝐮𝐣𝐮𝐫𝐚𝐭: 𝟏𝟎).

Kita boleh ibaratkan pergeseran diantara UMNO dan PPBM ini sebagai perlumbaan Mercedes dan BMW di lebuhraya Utara-Selatan. Jika tidak disekat, ia boleh membawa kepada kemalangan yang boleh membahayakan mereka dan pengguna-pengguna lain.

Jadi, untuk kebaikan semua pihak,𝗣𝗔𝗦 𝗵𝗮𝗿𝘂𝘀𝗹𝗮𝗵 𝗯𝗲𝗿𝘁𝗶𝗻𝗱𝗮𝗸 𝘀𝗲𝗯𝗮𝗴𝗮𝗶 𝗽𝗲𝗿𝗼𝗻𝗱𝗮 𝗹𝗲𝗯𝘂𝗵𝗿𝗮𝘆𝗮 dan perlu menahan Mercedes UMNO dan BMW Bersatu dari terus beradu kelajuan yang membahayakan. PAS perlu membawa UMNO dan Bersatu masuk “R and R” untuk “Rest and Reconcile” dan mendamaikan mereka serta mengambil langkah-langkah yang sesuai untuk menghalang kemalangan yang boleh menyebab kerugian kepada kedua belah pihak. Dan mereka perlu disedarkan bahawa pihak yang untung daripada perlumbaan mereka itu ialah syarikat "tow truck" dan bengkel kereta.

Kita juga tahu memang ada sindiket "tow truck" yang sengaja mahukan kemalangan dengan mencurah minyak hitam keatas jalan raya supaya kereta yang berlanggaran itu memanggil mereka.

Sama jugalah dengan sindiket batu api politik yang akan mencurah apa sahaja seperti fitnah, makian, kebencian, duit, tohmahan, penipuan, kepura-puraan supaya kesatuan Melayu Islam dapat dipecahkan agar majikan mereka mendapat keuntungan akibat daripada pepecahan itu. Jadi awasilah batu-api Dunhill, batu-api RBA, dan juga batu-api barat atau Yahudi. Tugas mereka ialah mencetus huru-hara dan perbalahan agar kesatuan Melayu Islam berpecah belah supaya majikan mereka atau parti-parti sokongan mereka boleh "divide and rule" atau pecah dan perintah seperti yang berlaku pada PRU 14.

Sekiranya UMNO dan PAS bergabung pada PRU 14, merekalah yang sepatutnya memerintah. Tetapi sayang, apabila orang Islam Melayu bergaduh dan berpecah maka orang lainlah yang akan menang.

Kalau bergaduh sekali pun janganlah sampai jong pecah, nanti yu juga yang kenyang.

Kalau berlaga sekali pun, jangankah ikut tabiat kijang, kijang sama kijang berlaga sampai tanduk terlekat, nanti singa juga yang kenyang.

Peribahasa Melayu ada menyebut: Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati ditengah-tengah yang bererti kalau orang-orang atas bergaduh, orang bawahanlah yang mendapat susah Peribahasa Barat pun ada juga menyebut: "Where two fight, the third wins" iaitu apabila dua orang bergaduh, orang ketiga akan menang.

Membawa mesej yang sama, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang juga menyarankan agar jangan menjadi laksana lesung dan alu yang berlaga, nanti ayam pula yang kenyang.

Kesimpulannya, marilah kita sama-sama mengambil keinsafan dari surah Al-Hujurat dan pengajaran daripada PRU 14 untuk kita mempertahankan perpaduan Melayu Islam, kerana kalau Mad dan Din bertumbuk, klinik Dr Lim juga yang untung.

Dr Muslim
Kuantan
16 Oktober 2020



Isnin, 12 Oktober 2020

WABAK ISLAMOFOBIA MENJANGKITI PEMIMPIN BARAT

 


 Pepatah Melayu menegaskan: 

 “Kuman di seberang lautan tampak, gajah di pelupuk mata tiada tampak.” Inilah perumpamaan yang tepat terhadap peristiwa tergempar yang berlaku di Perancis, apabila berlaku tindakan oleh orang Islam terhadap akhbar mingguan Perancis, Charlie Hebdo yang menghina Rasulullah SAW dengan gambaran yang tidak sopan. Sedangkan orang Islam wajib beriman dengan semua Rasul AS, bahkan dilarang memaki tuhan-tuhan lain yang bukan disembah.

Allah SWT berfirman:

“Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan mereka kembali, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan.” (Surah al-An’am: 108)

Selepas itu, Emmanuel Macron, Presiden Perancis melalui kenyataannya menjadikan Islam dan penganutnya sebagai sasaran dengan melemparkan celaan kepada Islam.

Dia sedikit tersasar dalam melepaskan geram terhadap Islam, sehingga lupa diri bahawa Perancis dan negara sekutunya pernah datang merompak di negara lain.

Mereka memaksa penduduk di negara tersebut menjadi hamba untuk diperas dan diperah habis-habisan segala hasil buminya. Segala rompakan di setiap daerah dan pelosok dunia dihalalkan dan diperlakukan apa sahaja terhadap penduduk dan hasil negara lain. Sebenarnya mereka pencipta masalah dalam dunia Islam, bukannya Islam dan penganutnya.

Umat Islam yang tidak pelupa, tetap mengingati sejarah yang terpahat ketika jutaan rakyat di Algeria, Maghribi, Mauritania, Senegal dan negara lain yang dibunuh oleh penjajah Perancis, bukan sekadar satu dua orang sahaja dibunuh. Tindakan zalim itu semata-mata mahu menakluk negara secara paksa kononnya atas nama peperangan suci. Malah rakyat yang mempertahankan diri dan tanah air sendiri pula dinamakan sebagai lanun, perompak dan penderhaka.

Nun di seberang lautan, Benua Amerika Utara dan Amerika Selatan entah berapa juta penduduk asal seperti kaum ‘Red Indian’ dan suku lain yang dibunuh atas nama penerokaan wilayah. Kononnya untuk kebebasan atas nama hak asasi manusia. Seolah-olah bangsa mereka sahaja yang mempunyai hak asasi manusia, bangsa lain pula bukan manusia.

Seluruh dunia mengetahui betapa penempatan orang Eropah di benua Australia mengakibatkan penduduk asalnya ditembak laksana binatang buruan. Mereka datang kononnya untuk meneroka dunia baru, seolah-olah bumi Allah SWT ini hanya untuk mereka sahaja.

Bacalah al-Quran yang mengajar adab berperang yang diwajibkan untuk mempertahankan agama, diri dan tanah air dengan berpandukan Kitab Suci al-Quran, firman Allah:

“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-Baqarah: 190) Firman Allah:

“Oleh sebab itu barangsiapa yang menceroboh kamu, maka balaslah kepadanya, seimbang dengan serangannya terhadapmu.

Bertaqwalah kepada Allah dan ketahuilah, bahawa Allah bersama orang-orang yang bertaqwa.” (Surah al-Baqarah: 194) Islam mengharamkan sikap melampau walaupun dalam keadaan wajib mempertahankan diri. Agama Islam mengajar bahawa golongan wanita, kanak-kanak, orang tua, para paderi di gereja dan semua orang awam haram dibunuh sekalipun ketika berperang dalam mempertahankan diri. Hukum mereka yang melakukannya adalah berdosa, bukan sekadar mengikut undang-undang ciptaan manusia yang ‘double standard’, terpilih untuk orang lain sahaja, bukan untuk diri sendiri.

Maka umat Islam daripada semua mazhab termasuk Syiah di Iran turut mengharamkan penggunaan senjata pemusnah. Sekiranya tiada undang-undang antarabangsa, mereka tetap patuh kepada undang-undang Allah SWT. Jika dilanggar sempadan hukum Islam, kelak dihukum pada hari akhirat, kerana akan ada perhitungan dosa dan pahala.

Peristiwa pengeboman atom di Hiroshima dan Nagasaki yang mengerikan, sedikitpun tidak menjadi pengajaran kepada masyarakat Barat. Bahkan mereka terus mencipta senjata yang lebih memusnahkan dunia, manusia dan alam sekitar.

Bukankah negara Perancis sendiri termasuk dalam negara-negara yang pernah mengadakan ujian senjata pemusnah di kawasan Pasifik pada abad yang lalu?

Mereka juga masih berpegang kepada hukum halal senjata pemusnah untuk kegunaan mereka dan negara haram Israel. Adapun negara lain diharamkan segala bentuk kemajuan nuklear walaupun hanya bertujuan untuk menghasilkan tenaga, bukan kerana peperangan.

Agama Islam telah mengharamkan bagi penganutnya melakukan sebarang kerosakan sebelum wujud undang-undang antarabangsa ciptaan mereka yang sangat rapuh.

Kami umat Islam tidak pernah buta mata akal seperti kamu, apabila menyaksikan pelbagai kezaliman di Palestin, Rohingya, Uighur, dan terkini melihat betapa melentingnya Negara Perancis terhadap Azerbaijan yang membebaskan tanah air yang telah dirampas oleh Armenia sewaktu umat Islam dalam keadaan lemah pada era Komunis. Puak Armenia diletakkan di tengah Azerbaijan yang dinamakan sebagai Karabakh, lalu mengaku tanah airnya di celah tanah air Azerbaijan.

Perancis juga paling bersemangat menyokong Greece yang berpunca daripada krisis sempadan antara Turki dan Greece. Sehingga diletakkan sempadan pulau yang jaraknya hanyalah dua kilometer sahaja daripada pesisir pantai Turki berbanding 500 kilometer daripada Greece, tetapi dikatakan kepunyaan dan hak milik Greece. Apakah jenis keadilan dan hak asasi manusia yang diperjuangkan oleh negara itu terhadap Islam dan penganutnya?

Bandingkan pula dengan kedatangan Islam di Sepanyol, Selatan Eropah yang membawa tamadun Islam ke negara Barat. Berbeza dengan kedatangan tentera Amerika di Afghanistan, Iraq dan negara lain yang membunuh penduduknya tanpa sebarang belas kasihan.

Sekiranya mahu bermusuh terhadap Islam sekalipun biarlah berasaskan hujah yang boleh diterima oleh akal yang sihat. Hanya akal yang tidak sihat sahaja boleh memejamkan mata terhadap sikap yang melampau ini. Kemungkinan juga mereka terkena wabak Islamofobia yang sedang melanda negara Eropah sebelum berlakunya COVID-19.

Lebih malang lagi, ada pemimpin sebuah negara yang dikatakan paling besar dan maju dalam kalangan mereka, menganggap wabak ini tidak berbahaya sehingga mencabar pakar perubatan atas nama kebebasan yang sudah terbabas.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Bertarikh: 24 Safar 1442 / 12 Oktober 2020

Khamis, 8 Oktober 2020

Umat Islam ditegah menghina ciptaan Ilahi

Sedetik rasa bersama Dr Azlan Shaiful Baharum

SALAH satu perkara negatif di media sosial adalah ia alat yang digunakan untuk memudahkan seseorang merendahkan, menghina serta mencaci orang lain.

Semua perbuatan itu belum tentu berani dilakukan seseorang di alam nyata. Di dunia maya, seseorang boleh menyamar di sebalik nama gelarannya.

Salah satu yang banyak dilakukan segelintir warganet yang tidak berakhlak baik ialah menghina fizikal seseorang sama ada kekurangan atau kecacatan tubuh seseorang yang disebut body shaming.

Kadang-kadang mereka melakukan perbuatan mengejek fizikal seseorang itu tanpa sedar.

Ia mungkin ungkapan yang dikeluarkan secara tidak sengaja bagi menceriakan suasana atau ada kalanya bergurau melampaui batas serta memang bertujuan menghina kenalan atau rakan sekerja.

Sesetengah orang melakukan body shaming tanpa sedar kerana memang sudah kebiasaan menjadi tabiat buruk mereka.

Tentunya orang yang menjadi sasarannya berasa tidak selesa. Perbuatan body shaming itu hakikatnya jelas haram dan ditegah oleh Islam.

Semua ciptaan Allah ada kelebihan serta hikmahnya. Ia tidak sepatutnya dicela dan dihina sedemikian rupa.

Allah SWT berfirman dalam Surah at-Tin, ayat 4 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami menciptakan manusia itu sebaik-baik kejadian.”

Pada zaman Rasulullah SAW, ada seorang sahabat bernama Abdullah bin Mas’ud RA.

Beliau memiliki betis yang kecil. Ketika beliau mengambil ranting untuk dijadikan siwak, angin berhembus dan menyingkap betisnya yang kecil itu lalu sahabat Nabi tertawa kerana melihat betis Ibnu Mas’ud yang kecil itu.

Maka Baginda menegur perbuatan sahabat dengan bersabda yang bermaksud: “Apa yang membuat kalian ketawa?”

Mereka berkata, “Wahai Nabi Allah kerana kedua-dua betisnya yang kurus.”

Maka Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Demi Dzat yang jiwaku berada di tangannya sungguh kedua-dua betis itu lebih berat di timbangan daripada Gunung Uhud.”

Hadis itu menunjukkan, menghina fizikal seseorang adalah haram. Jika kita perhatikan, sahabat tidak mengeluarkan kata-kata hinaan namun hanya ketawa saja. Ia adalah haram dan mereka ditegur oleh Rasulullah SAW.

Allah SWT melarang kita merendah-rendahkan serta menghina orang lain.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum menghina kaum yang lain, (kerana) boleh jadi mereka (yang dihina itu) lebih baik daripada mereka (yang menghina), dan jangan pula wanita-wanita (merendah-rendahkan) wanita lain (kerana) boleh jadi wanita-wanita (yang dihina itu) lebih baik daripada wanita (yang menghina) dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil- memanggil dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) yang buruk sesudah beriman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Hujurat, ayat 11)

Sehubungan itu, peliharalah tutur kata kita kerana apa sahaja yang dituturkan akan memperlihatkan sahsiah orang yang bercakap.

Penulis Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni Fakulti Pengajian Bahasa Utama, USIM