Sang politikus atau pemain politik mempunyai padang dan pentasnya yang tersendiri. Gerak tari politiknya licik dan seni bicaranya menawan. Kadangkala memukau dan mampu menawan minda awam. Fokus dan capaian mereka ialah cita-cita politik. Mereka sanggup merempuh sempadan hukum dan tembok syariat demi menggapai objektif dan matlamat politik mereka. Mereka juga tergamak melacurkan prinsip perjuangan, asal sahaja mereka bebas melunas kemahuan dan melampias keinginan. Politik mereka tiada sempadan dan pedoman syara’. Sandaran mereka ialah ideologi Machiavelli, kiblat mereka ialah kepuasan dan prinsip mereka ialah matlamat menghalalkan cara. Firman Allah s.w.t;
وَإِذَا رَأَيْتَهُمْ تُعْجِبُكَ أَجْسَامُهُمْ وَإِن يَقُولُوا تَسْمَعْ لِقَوْلِهِمْ كَأَنَّهُمْ خُشُبٌ مُّسَنَّدَةٌ يَحْسَبُونَ كُلَّ صَيْحَةٍ عَلَيْهِمْ هُمُ الْعَدُوُّ فَاحْذَرْهُمْ قَاتَلَهُمُ اللَّهُ أَنَّى يُؤْفَكُونَ
“Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati kepada tubuh badan mereka (gerak lakunya); dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan fasih, dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tiada padanya kekuatan yang dikehendaki). Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah membahayakan mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmat-Nya. (Pelik sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya dari kebenaran).” - al-Quran, surah al-Munaafiqun ayat 4
Sangat ketara perbezaan bagi seorang Pejuang Islam. Matlamat mereka adalah mencari keredhaan Allah. Lapangan dan pentas mereka tersangat luas sementara aksi politik adalah sebahagian daripada kewajipan yang mesti ditunai dengan penuh kebijaksanaan.
Politik mereka dihiasi akhlak dan komitmen yang tinggi terhadap sumber syara’ iaitu Al Quran dan As Sunnah. Politik menjadi wadah dan wasilah untuk mendekatkan diri kepada Allah swt serta menjadi alat untuk mendaulatkan syariat dan meninggikan syiar agama Allah swt. Firman Allah :الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ
“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menguatkuasakan al-Maaruf (penegakan syariah ) serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” - al-Quran, surah al-Hajj ayat 41
Kesimpulannya, pejuang Islam juga adalah seorang ahli politik sementara politikus tidak semestinya seorang pejuang Islam. Politikus hanya merencana strategi mereka untuk berkuasa dan berpengaruh di dunia ini, lalu dosa pahala tiada dalam kamus politik mereka sementara Pejuang Islam mengatur langkah menguasai dunia untuk kejayaan dan kemenangan di akhirat.Al-Quran dan al-Sunnah menjadi jarum kompas yang memandu arah politik seorang Pejuang Islam. Mereka meyakini bahawa matlamat akhir perjuangannya ialah keredhaan Allah swt, maka mereka sentiasa optimis terhadap kemenangan Islam sekalipun kehilangan sokongan daripada makhluk yang dicipta Tuhan. Hal ini ini tidaklah memeranjatkan PAS yang menyambung Risalah al-Nabawiyyah di zaman ini, lantaran ia pernah dihadapi oleh Rasulullah saw malah turut dihadapi oleh pejuang-pejuang Islam di sepanjang zaman. Inilah yang dilafazkan oleh orang-orang Quraish tatkala Nabi Muhammad menyampaikan dakwahnya, “Apa yang engkau (Muhammad) sampaikan kepada kami ini adalah suatu yang dibenci oleh pemerintah.” (Tarikh Madinah Dimasyq, 17/ 299)
Kegagalan memahami hal ini memungkinkan kita berjuang tanpa sebarang nilai dan pencapaian di sisi Allah Taala. Penyertaan PAS dalam medan siasah (politik) adalah sebahagian dari tanggungjawab perjuangannya untuk mendaulatkan syariat Allah Taala di atas muka bumi ini. Firman Allah;
ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَى شَرِيعَةٍ مِّنَ الأَمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلا تَتَّبِعْ أَهْوَاء الَّذِينَ لا يَعْلَمُونَ “
Kemudian kami telah meletakkan engkau di atas syariat (peraturan agama), maka ikutlah peraturannya dan janganlah engkau mengikut nafsu mereka yang tidak mengerti.” - al-Quran, surah al-Jaatsiyah, ayat: 18
Tugas dan tanggungjawab PAS jauh lebih besar dari hanya sekadar berpolitik. Tanpa mengabaikan tanggungjawab politik yang dilunas mengikut prinsip amal Islami, PAS juga mempunyai tanggungjawab besar untuk turun berdakwah dan memimpin fikrah (pemikiran), syakhsiah (peribadi) dan ruhiyyah (spiritual) masyarakat. Justeru itu, kurangkanlah politiking sesama sendiri yang hanya mengheret kita bersengketa dan membuang masa dalam perkara yang tidak mendatangkan keuntungan kepada perjuangan sebaliknya menjadikan kita retak dan pecah. Berikan tumpuan kepada usaha pengukuhan gerak kerja dan mempelbagaikan aktiviti ke arah memahamkan masyarakat terhadap Islam yang kita perjuangkan. Tidak hanya menumpukan isu-isu politik sehingga memperlahankan tempo dalam gerak kerja dan aktiviti amal Islami yang lain seperti pemantapan aqidah dan fikrah.
Jangan biarkan sebarang kemelut melintasi ruang jamaah kita sehingga ia merosakkan penumpuan dan keikhlasan kita terhadap amanah perjuangan. Keasyikan berpolitik dan keghairahan bersaing di dunia politik kini kelihatan banyak melahirkan pemimpin dan anggota parti yang tidak lagi menumpukan tanggungjawab asas sebagai seorang pejuang Islam. Telah ramai pemimpin dan anggota jamaah yang mengabaikan solat berjamaah, menjauhkan diri dari majlis-majlis ilmu, tidak lagi melazimi usrah. Ucapannya pula tiada lagi hikmah, sebaliknya kasar dan keras. Tindakannya gelojoh, egonya tinggi dan hanya merasa diri sahaja yang bijak dan pandai. Gemar bertelingkah dan suka memfitnah. Melakukan dosa tanpa sedar ia berdepan murka dan kutukan Allah Taala.
Saban waktu dan ketika, fikiran aktivis-aktivis gerakan hanya disibukkan merancang “Bagaimana nak jatuhkan si anu dan si anu (saingan politiknya)”, kerana ia tidak sama pendapat. Atau ada juga yang memurnikan sedikit alasannya yang berbunyi, “Demi kebaikan jamaah...”, “Demi masa depan jamaah...” sebagai melindungi perkataan sebenar, “Demi kebaikan aku...” atau “Demi masa depan politik aku...”. Segalanya kerana pengaruh politik tanpa agama dan akhlak.
Hitungan seharian dalam dunia politik ialah bagaimana mahu menang! Bagaimana mahu dapat undi Melayu dan non-Malay! Tetapi malang, sebahagiannya tidak memasukkan dalam hitungan mereka, bagaimana hendak mempertahankan Islam dan memenangkan Islam. Malah ada yang berani mengatakan jangan bercakap deras tentang hukum Islam, kerana nanti kita kurang popular dan non-Muslim menjauhi kita.
Sebagai anggota gerakan Islam, pejuang Islam, kita tidak seharusnya prejudis terhadap Islam. Perjuangkan Islam nescaya Islam akan menambat hati nurani seluruh umat tanpa mengira bangsa, justeru Islam adalah agama wahyu untuk seluruh manusia. Keadilan Islam dan akhlaknya akan meruntun hati manusia walau pada mulanya mereka membenci Islam. Pentingnya kita mesti tegas bersama Islam. Usahlah fahaman “matlamat menghalalkan cara” menjadi matlamat politik kita, kerana pejuang Islam sebenar sanggup mati kerana taat kepada kehendak Allah berbanding hidup menderhakai-Nya sebagai azimah perjuangan. Demikianlah sabda Rasulullah saw;
موت في طاعة اللّه عز وجل خير من حياة في معصية اللّه
“Menempa maut kerana menjalani perintah Allah lebih mulia daripada hidup melakukan maksiat kepada-Nya.” (riwayat al-Tabarani fi al-Mu’jaam al-Kabir)
Biodata Penulis :
Ustaz Nasrudin bin Hasan Tantawi merupakan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM). Beliau pernah mendapat pendidikan di Maahad Fathul Islami Damascus, Syria dan Universiti al-Azhar, Tanta, Mesir. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia. Antara tokoh ulama yang beliau kagumi adalah Syeikh Dr.Yusuf al-Qaradawi dan Syeikh Muhammad al-Ghazali.