Pepatah Melayu menegaskan:
“Kuman di seberang lautan tampak, gajah di pelupuk mata tiada tampak.” Inilah perumpamaan yang tepat terhadap peristiwa tergempar yang berlaku di Perancis, apabila berlaku tindakan oleh orang Islam terhadap akhbar mingguan Perancis, Charlie Hebdo yang menghina Rasulullah SAW dengan gambaran yang tidak sopan. Sedangkan orang Islam wajib beriman dengan semua Rasul AS, bahkan dilarang memaki tuhan-tuhan lain yang bukan disembah.
Allah SWT berfirman:
“Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan mereka kembali, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan.” (Surah al-An’am: 108)
Selepas itu, Emmanuel Macron, Presiden Perancis melalui kenyataannya menjadikan Islam dan penganutnya sebagai sasaran dengan melemparkan celaan kepada Islam.
Dia sedikit tersasar dalam melepaskan geram terhadap Islam, sehingga lupa diri bahawa Perancis dan negara sekutunya pernah datang merompak di negara lain.
Mereka memaksa penduduk di negara tersebut menjadi hamba untuk diperas dan diperah habis-habisan segala hasil buminya. Segala rompakan di setiap daerah dan pelosok dunia dihalalkan dan diperlakukan apa sahaja terhadap penduduk dan hasil negara lain. Sebenarnya mereka pencipta masalah dalam dunia Islam, bukannya Islam dan penganutnya.
Umat Islam yang tidak pelupa, tetap mengingati sejarah yang terpahat ketika jutaan rakyat di Algeria, Maghribi, Mauritania, Senegal dan negara lain yang dibunuh oleh penjajah Perancis, bukan sekadar satu dua orang sahaja dibunuh. Tindakan zalim itu semata-mata mahu menakluk negara secara paksa kononnya atas nama peperangan suci. Malah rakyat yang mempertahankan diri dan tanah air sendiri pula dinamakan sebagai lanun, perompak dan penderhaka.
Nun di seberang lautan, Benua Amerika Utara dan Amerika Selatan entah berapa juta penduduk asal seperti kaum ‘Red Indian’ dan suku lain yang dibunuh atas nama penerokaan wilayah. Kononnya untuk kebebasan atas nama hak asasi manusia. Seolah-olah bangsa mereka sahaja yang mempunyai hak asasi manusia, bangsa lain pula bukan manusia.
Seluruh dunia mengetahui betapa penempatan orang Eropah di benua Australia mengakibatkan penduduk asalnya ditembak laksana binatang buruan. Mereka datang kononnya untuk meneroka dunia baru, seolah-olah bumi Allah SWT ini hanya untuk mereka sahaja.
Bacalah al-Quran yang mengajar adab berperang yang diwajibkan untuk mempertahankan agama, diri dan tanah air dengan berpandukan Kitab Suci al-Quran, firman Allah:
“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-Baqarah: 190) Firman Allah:
“Oleh sebab itu barangsiapa yang menceroboh kamu, maka balaslah kepadanya, seimbang dengan serangannya terhadapmu.
Bertaqwalah kepada Allah dan ketahuilah, bahawa Allah bersama orang-orang yang bertaqwa.” (Surah al-Baqarah: 194) Islam mengharamkan sikap melampau walaupun dalam keadaan wajib mempertahankan diri. Agama Islam mengajar bahawa golongan wanita, kanak-kanak, orang tua, para paderi di gereja dan semua orang awam haram dibunuh sekalipun ketika berperang dalam mempertahankan diri. Hukum mereka yang melakukannya adalah berdosa, bukan sekadar mengikut undang-undang ciptaan manusia yang ‘double standard’, terpilih untuk orang lain sahaja, bukan untuk diri sendiri.
Maka umat Islam daripada semua mazhab termasuk Syiah di Iran turut mengharamkan penggunaan senjata pemusnah. Sekiranya tiada undang-undang antarabangsa, mereka tetap patuh kepada undang-undang Allah SWT. Jika dilanggar sempadan hukum Islam, kelak dihukum pada hari akhirat, kerana akan ada perhitungan dosa dan pahala.
Peristiwa pengeboman atom di Hiroshima dan Nagasaki yang mengerikan, sedikitpun tidak menjadi pengajaran kepada masyarakat Barat. Bahkan mereka terus mencipta senjata yang lebih memusnahkan dunia, manusia dan alam sekitar.
Bukankah negara Perancis sendiri termasuk dalam negara-negara yang pernah mengadakan ujian senjata pemusnah di kawasan Pasifik pada abad yang lalu?
Mereka juga masih berpegang kepada hukum halal senjata pemusnah untuk kegunaan mereka dan negara haram Israel. Adapun negara lain diharamkan segala bentuk kemajuan nuklear walaupun hanya bertujuan untuk menghasilkan tenaga, bukan kerana peperangan.
Agama Islam telah mengharamkan bagi penganutnya melakukan sebarang kerosakan sebelum wujud undang-undang antarabangsa ciptaan mereka yang sangat rapuh.
Kami umat Islam tidak pernah buta mata akal seperti kamu, apabila menyaksikan pelbagai kezaliman di Palestin, Rohingya, Uighur, dan terkini melihat betapa melentingnya Negara Perancis terhadap Azerbaijan yang membebaskan tanah air yang telah dirampas oleh Armenia sewaktu umat Islam dalam keadaan lemah pada era Komunis. Puak Armenia diletakkan di tengah Azerbaijan yang dinamakan sebagai Karabakh, lalu mengaku tanah airnya di celah tanah air Azerbaijan.
Perancis juga paling bersemangat menyokong Greece yang berpunca daripada krisis sempadan antara Turki dan Greece. Sehingga diletakkan sempadan pulau yang jaraknya hanyalah dua kilometer sahaja daripada pesisir pantai Turki berbanding 500 kilometer daripada Greece, tetapi dikatakan kepunyaan dan hak milik Greece. Apakah jenis keadilan dan hak asasi manusia yang diperjuangkan oleh negara itu terhadap Islam dan penganutnya?
Bandingkan pula dengan kedatangan Islam di Sepanyol, Selatan Eropah yang membawa tamadun Islam ke negara Barat. Berbeza dengan kedatangan tentera Amerika di Afghanistan, Iraq dan negara lain yang membunuh penduduknya tanpa sebarang belas kasihan.
Sekiranya mahu bermusuh terhadap Islam sekalipun biarlah berasaskan hujah yang boleh diterima oleh akal yang sihat. Hanya akal yang tidak sihat sahaja boleh memejamkan mata terhadap sikap yang melampau ini. Kemungkinan juga mereka terkena wabak Islamofobia yang sedang melanda negara Eropah sebelum berlakunya COVID-19.
Lebih malang lagi, ada pemimpin sebuah negara yang dikatakan paling besar dan maju dalam kalangan mereka, menganggap wabak ini tidak berbahaya sehingga mencabar pakar perubatan atas nama kebebasan yang sudah terbabas.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 24 Safar 1442 / 12 Oktober 2020