Ahad, 21 Oktober 2018

Dosa Peribadi Dan Tuntutan Mencegah Kemungkaran

Isu serbuan khalwat menarik perhatian umum setelah Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan pendiriannya berhubung isu serbuan khalwat yang dilihatnya sebagai menceroboh kehidupan peribadi demi mencari kesalahan. Menurutnya, tindakan seperti ini tidak diajar dalam Islam [Utusan Malaysia, 6/10/2018]. Respons tersebut dibuat rentetan kenyataan terdahulu yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) dalam sebuah temuramah bersama akhbar tempatan. Justeru timbul persoalan, adakah Negara tidak berhak campur tangan terhadap kesalahan yang dilakukan dalam ruang peribadi? SN kali ini bertujuan menjawab polemik berkaitan isu ini.

Mencegah Kemungkaran Adalah Tuntutan Syarak

Apa sahaja bentuk kemungkaran terhadap perintah dan larangan Allah adalah termasuk dalam kategori dosa. Manakala mencegah kemungkaran merupakan sebahagian daripada tuntutan syariat sehingga menjadi sebuah kewajipan bagi umat Islam seperti mana yang dijelaskan melalui sebuah hadis yang bermaksud:

“Daripada Abu Said al-Khudri RA, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubah dengan tangan, sekiranya dia tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan lidah, sekiranya tidak mampu mengubah dengan lidah hendaklah dia mengubah dengan hati, dan mengubah dengan hati adalah selemah-lemah iman” [HR Muslim].

Tuntutan mencegah maksiat tidak terhad hanya kepada kemungkaran yang dilakukan secara terbuka atau terang-terangan seperti mengambil riba, merompak, meminum arak dan berjudi secara terbuka. Kemungkaran yang dilakukan secara tertutup juga merupakan aspek yang wajib dicegah sekiranya memenuhi tatacara yang menepati syarak. Adapun begitu, hal ini sering menjadi polemik dan senjata di kalangan kelompok yang membawa agenda liberal dengan menggunakan hujah atas keharaman tajassus (mengintip) di sisi Islam sepertimana yang dijelaskan dalam hadis berikut:

Abdul Rahman bin Auf berkata, pernah satu malam aku bersama Umar bin al Khattab membuat rondaan di kota Madinah kemudian kami mendapati sebuah rumah adanya pelita yang dipasang dan terdengar suara yang kuat dari dalamnya. Maka Umar berkata; “Ini adalah rumah Rabiah bin Umayyah bin Khalaf, mereka sekarang sedang minum arak, apa pendapatmu,” Aku menjawab, aku berpendapat kita sebenarnya telah datang apa yang Allah larang daripadanya iaitu jangan mengintip sedangkan kita mengintip, lantas Umar berpaling dan pergi meninggalkan rumah itu” [HR al Tabarani, al Hakim dan al Baihaqi].

Di samping itu, Allah SWT juga telah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain (tajassus)..” [TMQ al-Hujurat (49): 12].

Secara umumnya tajassus adalah perbuatan yang dilarang dalam sebuah Negara Islam (Khilafah) khususnya terhadap warganegara di kalangan Muslim mahupun Kafir Zimmi. Namun larangan tajassus bukan bersifat mutlak sebaliknya bergantung kepada konteks. Hal ini seperti mana yang telah dijelaskan oleh Sheikh Taqiyuddin An-Nabhani di dalam kitabnya Ajhizah Daulah Al-Khilafah bahawa dibolehankan tajassus terhadap kafir harbi – pihak kafir yang menentang umat Islam secara de facto (muhâriban fi’lan) mahupun secara de jure (muhâriban hukman) – menjadi kewajipan bagi khalifah. Tajassus juga diperbolehkan terhadap ahlul ar-riyab – mereka yang dikhawatirkan dapat menimbulkan kemudaratan (dharar) dan bahaya terhadap institusi negara, jamaah atau bahkan individu sekalipun – jika wujud ghalabatu az-zhan (berat sangkaannya) terhadapnya.

Di samping itu, sebahagian besar ulama terdahulu telahpun membahaskan keharusan tajassus terhadap perbuatan maksiat yang dilakukan di sebalik pintu (private sphere) jika didasari ghalabatu az-zhan bahawa berlaku maksiat dengan qarinah (bukti) yang jelas seperti perkhabaran dari seorang lelaki yang terpercaya. Hal ini telah dijelaskan antaranya oleh al-Imam Ibn Hajar (Fath al-Bari, 10/482) dan al-Imam Nawawi (Syarh al-Nawawi, 2/26). Bahkan menurut Al-Imam al-Ramli, menjadi wajib untuk melakukan tajassus sekiranya seseorang Muslim khuatir perkara tersebut terlepas dari pemerhatiannya seperti berlakunya pembunuhan dan perbuatan zina [Nihayah al-Muhtaj (4/47-49)]. Al-Imam Mawardi juga menukilkan dalam karyanya, bahawa seorang muhtasib (penguatkuasa hisbah) tatkala menerima sesuatu aduan daripada orang yang dipercayai (thiqah) dan membawa kepada petunjuk ghalabatu az-zhan, maka ia adalah sesuatu yang diharuskan bagi mencegah kemungkaran. Beliau memetik sebuah kisah di zaman Khalifah Umar RA:

“Dikisahkan, bahawa ketika di Basrah, Mughirah bin Syu’bah seringkali dikunjungi seorang wanita dari Bani Hilal bernama Ummu Jamil binti Mahjam bin Al-Afqam yang bersuamikan seorang dari Bani Tsaqif bernama Al- Hajjaj bin Ubaid. Hal ini diketahui oleh Abu Bakrah bin Masruh, Sahl bin Ma’bad, Nafi’ bin Al-Harits, dan Zayyad bin Ubaid, kemudian mereka mengintip al-Muqhirah bin Syu’bah. Ketika Ummu Jamil masuk ke rumah Al-Mughirah, mereka serentak menangkap kedua-duanya. Kemudian mereka memberi kesaksian kepada Umar RA. Umar RA tidak melarang penangkapan tersebut, meskipun dia berhak menjatuhkan hudud kepada mereka jika kesaksian mereka tidak memenuhi syarat” [Al-Ahkam As-Sulthaniyyah].

Tindakan mencegah kemungkaran hendaklah menepati garis panduan syarak, yang bermula dengan siasatan berasaskan ghalabatu az-zhan yang disandarkan kepada petunjuk-petunjuk atau laporan daripada individu yang dipercayai. Dalam masa yang sama, penguatkuasa seharusnya memelihara aib dan kehormatan di sepanjang aktiviti pencegahan dijalankan. Manakala aktiviti pencegahan yang berdasarkan tajassus secara rambang pula tidak dibenarkan syarak, selari dengan dalil-dalil yang telah dibentangkan. Yang jelas adalah bahawa dalil-dalil tersebut bukanlah sandaran untuk menolak sepenuhnya tindakan pencegahan maksiat seperti yang dicanangkan oleh sebahagian pihak.

Dosa Peribadi Dan Agenda Liberalisme

Konsep ‘dosa peribadi’ tidak pernah dikenali dalam khazanah pemikiran Islam. Menurut perspektif Islam, tatkala seseorang Muslim meninggalkan fardhu ain maka dosa tersebut adalah untuk dirinya sahaja, manakala ketika sejumlah umat Islam meninggalkan fardhu kifayah maka mereka semuanya bertanggungjawab atas dosa tersebut. Begitu juga halnya balasan dosa kepada mereka yang melakukan kemungkaran disisi Allah SWT.

Konsep dosa peribadi ini tidak lain bertujuan untuk dijadikan justifikasi terhadap ‘hak’ para pesalah atas nama kebebasan peribadi dalam bertingkah laku yang dilaungkan di dunia Barat pasca revolusi Eropah (Renaissance). Ia adalah buah fahaman liberalisme yang terus subur melebarkan agenda mereka dengan doktrin-doktrin yang mengelirukan umat Islam. Gerakan ini juga menentang sebarang bentuk ‘moral policing’ kerana menganggap ia bertentangan dengan idea kebebasan yang dijunjung. Mereka turut menuntut perubahan yang lebih drastik terhadap dasar-dasar kerajaan dalam era Malaysia baharu demi memperkukuh agenda sekularisme di negara ini. Gerakan-gerakan liberal di Malaysia sudah semestinya menentang perlaksanaan Islam sebagai sebuah mabda’ (cara hidup). Mereka menolak konsep amal makruf nahi mungkar yang dituntut dalam syariat Islam khususnya yang melibatkan dosa-dosa yang dilakukan dalam ‘private sphere’ sekalipun Islam telah menetapkan kriteria tertentu seperti operasi hanya boleh dilakukan apabila wujud ghalabatu az-zhan, kewajipan untuk memelihara kehormatan dan memelihara aib pesalah serta hukuman ke atas pesalah adalah bergantung pada bukti yang jelas dan menepati syarak.

Dalam Islam, kebebasan individu itu tidak mutlak. Sebagai hamba Allah, kita wajib mentaati perintah dan larangan Allah SWT. Bahkan Rasulullah SAW mengingatkan bahawa mereka yang tidak mencegah kemungkaran sedangkan ia mampu, maka dibimbangi Allah akan menimpakan azab ke atas semua, bukan hanya kepada pesalah. Sabda Rasulullah SAW: “Tiada satu kaum yang melakukan maksiat, sedangkan ada dikalangan mereka yang mampu mencegahnya, melainkan akan dibimbangi keseluruhan mereka akan ditimpa azab ke atas kesemuanya” [HR Abu Daud]. Ketika banyak perkara maksiat – judi, arak, pusat hiburan, dll.— banyak dihalalkan atas nama lesen, adalah suatu yang menghairankan apabila pihak kerajaan lebih berminat untuk memfokuskan kepada isu serbuan khalwat. Sebagai pemerintah yang mempunyai kuasa, kerajaan seharusnya mendidik rakyatnya agar sentiasa terikat dengan hukum Islam dan membenci setiap perkara maksiat. Malangnya, perkara maksiat terus subur di bumi Malaysia ini. Sesungguhnya, umat hari ini dahagakan para ulama dan pendakwah yang mukhlis memimpin masyarakat melakukanmakruf nahi mungkar dan menyeru pemerintah untuk menerapkan Islam ketika kita terus diasak dengan pelbagai agenda liberalisme yang menyesatkan.

Sumber: Hizbut Tahrir Malaysia

Khamis, 18 Oktober 2018

APAKAH ADA AJARAN POLITIK DI DALAM AL-QURAN DAN AS-SUNNAH?

(Pertama) kerana kitab al-Quran adalah kitab yang syumul. Firman Allah;

‎وَيَوْمَ نَبْعَثُ فِي كُلِّ أُمَّةٍ شَهِيدًا عَلَيْهِمْ مِنْ أَنْفُسِهِمْ ۖ وَجِئْنَا بِكَ شَهِيدًا عَلَىٰ هَٰؤُلَاءِ ۚ
‎وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَانًا لِكُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً وَبُشْرَىٰ لِلْمُسْلِمِينَ  ﴿٨٩﴾؅

89. Dan (ingatkanlah tentang) hari Kami bangkitkan dalam kalangan tiap-tiap umat, seorang saksi terhadap mereka, dari golongan mereka sendiri; dan Kami datangkanmu (wahai Muhammad) untuk menjadi saksi terhadap mereka ini (umatmu); dan Kami turunkan kepadamu al-Quran sebagai penjelasan bagi segala perkara dan memberi petunjuk rahmat dan berita gembira bagi org Islam .
(Surah an-Nahl,  ayat 89).

Maksud syumul ialah lengkap, menyeluruh dan sempurna. Jika kita beriktiqad bahawa tidak ada politik di dalam al-Quran, maka kita telah menafikan kesyumulan al-Quran dan iktiqad ini bertentangan dengan ayat tersebut.

(Kedua) Jika kita membuka al-Quran, kita akan berjumpa dengan ayat-ayat Allah yang mewajibkan kita melaksanakan Syari’at Allah sepenuhnya, menjauhi kezaliman, menegakkan keadilan, melaksanakan hukum-hukum Jenayah Islam (hudud), membenteras riba, judi, arak dan maksiat, mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran di mana semua tuntutan ini tidak akan dapat dilaksanakan tanpa kuasa politik atau pemerintahan.

(Ketiga) Berpolitik adalah sunnah Nabi s.a.w.. Nabi Muhammad s.a.w. telah menjadi Ketua Negara selama 11 tahun di Madinah. Sepanjang 11 tahun tersebut, Baginda saw tidak memerintah rakyatnya melainkan dengan al-Quran dan as-Sunnah. Selepas kewafatannya, kepimpinan baginda diganti pula oleh Khulafak Rasyidin. Mereka mengganti Baginda saw sebagai Ketua Negara, bukan sebagai Ketua Agama. Jika politik bukan dari agama, sudah tentu Nabi Muhammad s.a.w. dan Khulafak Rasyidin tidak akan melibatkan diri dengan politik, sebaliknya menumpukan hal-hal agama dan kerohanian sahaja.

APA HUKUM ORANG YANG BERKATA; ”POLITIK LAIN, AGAMA LAIN”?

Ucapan tersebut bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah. Ucapan itu cuba menafikan kesyumulan ajaran Islam yang meliputi segenap aspek kehidupan manusia termasuklah aspek politik. Ia juga bercanggah dengan Sunnah Nabi s.a.w. yang berpolitik semasa hayatnya. Orang yang mengeluarkan ucapan tersebut adalah jelas berfahaman Sekular.

ADAKAH POLITIK SATU IBADAH?

politik akan menjadi sebahagian dari ibadah jika cara kita berpolitik adalah mengikut manhaj al-Quran dan as-Sunnah. Jika tidak ,maka politik kita tidak akan menjadi ibadah, malah berdosa kerana kita mengenepikan Syariat Allah.

Menurut jumhur ulamak; setiap perbuatan kita akan menjadi ibadah jika memenuhi dua syarat;

(pertama) dilakukan kerana Allah,

(kedua) mengikut Syari’at Allah (yakni al-Quran dan as-Sunnah).

Jika kita berpolitik kerana Allah dan semasa berpolitik kita mematuhi Syariat Allah (antaranya tidak memberi dan menerima rasuah politik ), maka politik kita adalah ibadah dan mendapat pahala.

BERPOLITIK MENGIKUT MANHAJ AS-SUNNAH?

1. tujuan dan matlamat kita berpolitik, hendaklah selari dengan arahan al-Quran dan as-Sunnah.

2.hendaklah kita melantik pemimpin yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh al-Quran dan as-Sunnah.

3.pemimpin wajiblah ia memimpin rakyatnya berpandukan al-Quran dan as-Sunnah.

4.Rakyat hendaklah sentiasa memuhasabah pemimpinnya dengan menilainya berpandukan kehendak al-Quran dan as-Sunnah.

5.Kedua-dua pemimpin dan rakyat hendaklah menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan.

MATLAMAT BERPOLITIK MENGIKUT MANHAJ AL-QURAN DAN AS-SUNNAH?

Iaitu untuk menegakkan Syari’at Allah (yakni peraturan dan hukum-hakam Allah) di dalam negara dan memimpin rakyat berdasarkan Syari’at tersebut.

Yakni menegakkan sebuah kerajaan yang melaksanakan Syari’at Islam.

Matlamat ini menepati tugas Khalifah (penguasa) yang ditegaskan Allah kepada Nabi Daud di dalam al-Quran;

‎يَا دَاوُودُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الْأَرْضِ فَاحْكُمْ بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ الْهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَضِلُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا نَسُوا يَوْمَ الْحِسَابِ  ﴿٢٦﴾؅

“Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah (penguasa) di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum Syari’at) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah kamu menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah”.
(Shad; 26)

MELAKSANAKAN SYARIAT ALLAH AMAT PENTING DI DALAM NEGARA?

Agar negara kita sentiasa dijaga oleh dilimpahi barakah oleh Allah. Negara yang diberkati Allah ialah negara yang penduduknya bertakwa yakni mematuhi perintah Allah (yakni Syari’atNya) dan menjauhi maksiat serta mungkar. Firman Allah;

‎وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ  ﴿٩٦﴾؅

”Sekiranya penduduk suatu negeri atau negara itu, mereka beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu kurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi, akan tetapi mereka mendustakan (ajaran Rasul kami), maka Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”.
(al-A’raf; 96)

Pengabaian Syari’at Allah yang berterusan menyebabkan kita berdosa kepada Allah. Di dalam al-Quran, Allah telah memperingatkan kita bahawa kehancuran umat-umat terdahulu adalah kerana dosa-dosa yang mereka lakukan walaupun negara mereka makmur dan mewah. Firman Allah;

‎أَلَمْ يَرَوْا كَمْ أَهْلَكْنَا مِنْ قَبْلِهِمْ مِنْ قَرْنٍ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ مَا لَمْ نُمَكِّنْ لَكُمْ وَأَرْسَلْنَا السَّمَاءَ عَلَيْهِمْ مِدْرَارًا وَجَعَلْنَا الْأَنْهَارَ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهِمْ فَأَهْلَكْنَاهُمْ بِذُنُوبِهِمْ وَأَنْشَأْنَا مِنْ بَعْدِهِمْ قَرْنًا آخَرِينَ  ﴿٦﴾؅

“Apakah mereka tidak memperhatikan berapa banyaknya generasi-generasi yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (generasi itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, iaitu keteguhan yang belum pernah Kami berikan kepadamu, dan Kami curahkan hujan yang lebat atas mereka dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka karena dosa mereka sendiri, dan kami ciptakan sesudah mereka generasi yang lain”.
(al-An’am; 6)

Kebinasaan dari Allah tidak semestinya dalam bentuk gempa bumi, ribut taufan, penyakit dan sebagainya. Ia boleh berlaku dalam bentuk keruntuhan akhlak, peningkatan jenayah, tekanan hidup yang melampau, porak-perandanya institusi keluarga dan pelbagai lagi musibah maknawi yang merosakkan ketenteraman hidup walaupun kita selesa dan mewah dari sudut kebendaan.

Hari ini kita sedang berhadapan dengan bibit-bibit kebinasaan dalam bentuk yang kedua tersebut. Jika kita lambat menyedari kesilapan kita dan lambat kembali kepada Allah, tidak mustahil kita akan melihat kebinasaan yang lebih teruk dalam masyarakat kita.

Lihat apa yg berlaku kpd beberapa tempat mutakhir ini , kita dengar ada pesta dipantai diperkuburan Syah Kuala Acheh dan pesta minum2 dan sex sebelum terjadinya Gempa dan Tsunami 26 Disember 2004! Lebih 200k nyawa terkorban . 16 Negara terlibat kesan Tsunami termasuk negara kita di Kuala Muda.

Begitu juga kita dengar ada Pesta Pantai yg mencabar aqidah di Kota Palu Sumatera sebelum Kejadian gempa dan Tsunami  pada hari Jumaat 28/9/2018, yg juga terkenal dengan kota yg hebat dengan aktiviti LGBT.

152K mangsa masih tertimbus.
65733 kediaman musnah .
Ritual Nomoni, sembelih kerbau dicampak kelaut dan tarian khusus utk pantai. Setengah jam sebelum ritual ini, datang tsunami.

Syari’at Islam bukan sahaja menyentuh hal-ehwal peribadi dan rohani (seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya), tetapi juga menyentuh hal-ehwal masyarakat, kerajaan dan negara seperti membenteras kezaliman dan penindasan terhadap rakyat, pengharaman riba, arak, judi, penzinaan, perlaksanaan hukuman bagi pencuri, penzina, perompak yang disebut khusus di dalam al-Quran dan sebagainya) dan mencegah maksiat dan kemungkaran yang amat dititik-beratkan oleh al-Quran dan as-Sunnah.

13 Oktober 2018 Wine Fiesta akan diadakan di Bangsar , KL. Apakah mereka ini nak mengundang bala Allah.  Dulu terkenal dengan Oktober fest.

Hukum-hakam yang menyentuh hal-ehwal masyarakat, kerajaan dan negara di atas mustahil dapat dilaksanakan tanpa kuasa politik.

Hari ini kita melihat dalam negara kita maksiat dan mungkar berleluasa (ada di antaranya diluluskan oleh undang-undang), tv dan media masa tidak terkawal mengikut Syariat Islam, perlembagaan negara tidak mengikut prinsip al-Quran, undang-undang negara juga tidak berdasarkan Syari’at Islam dan pemimpin-pemimpin juga tidak mengikut akhlak Islam (rasuah, pecah amanah, hidup bermewah-mewah, membazir, tapi bila kuasa ditangan, kes selesai.

Kenapa hal ini berlaku?

Jawapannya kerana pemerintahan negara kita hari ini tidak tertegak atas dasar politik Islam, iaitu politik yang bermatlamatkan untuk menegakkan Syari’at Allah dan tuntutan agama Islam.

BENARKAH ALLAH MEMERINTAHKAN NABI MUHAMMAD S..A.W. SUPAYA BERDOA MEMOHON KUASA POLITIK?

Ya. Kerana pentingnya kuasa politik untuk melaksanakan Syari’at Allah dan tuntutan agama Islam, maka Allah memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w. agar berdoa memohon diberikan kuasa. Allah berfirman;

‎وَقُلْ رَبِّ أَدْخِلْنِي مُدْخَلَ صِدْقٍ وَأَخْرِجْنِي مُخْرَجَ صِدْقٍ وَاجْعَلْ لِي مِنْ لَدُنْكَ سُلْطَانًا نَصِيرًا  ﴿٨٠﴾؅

“Dan pohonkanlah (wahai Muhammad dengan berdoa): wahai Tuhanku! Masukkanlah aku ke tempat masuk yang benar dan keluarkan (pula) aku ke tempat keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi-Mu kekuasaan yang dapat menolongku”.
(al-Isra’; 80)

Menurut ulamak-ulamak Tafsir (antaranya Imam Qatadah, Ibnu Jarir dan Ibnu Katsir), Allah menyuruh Nabi Muhammad memohon kekuasaan kerana hanya dengan kekuasaan baginda akan dapat melaksanakan Kitab Allah, had hadNya, perkara-perkara yang difardhukanNya dan membantu menegakkan agama Allah. (Lihat; Tafsir Ibnu Kathir, surah al-Isra’, ayat 80)

Selasa, 9 Oktober 2018

BALA ALLAH TERTAHAN KERANA DAKWAH

PETIKAN KULIAH JUMAAT AYAH CHIK

Sabda Rasulullah SAW

يكون في آخر هذه الأمة خسف ومسخ وقذف، قالت: قلت: يا رسول الله أنهلك وفينا الصالحون؟ قال: نعم إذا ظهر الخبث

Akan terjadi pada akhir umat ini ditelan bumi, dihapuskan begitu sahaja atau ditimpa gempa bumi.

Siti Aisyah berkata: "Wahai Rasulullah, adakah kita semua akan binasa walaupun terdapat orang soleh?"

Jawab baginda:

"Ya, apabila kerosakan telah zahir"
[HR Tirmizi]

Akan berlaku di akhir zaman bala daripada Allah yang menelan umat manusia. Bumi merekah dan manusia jatuh ke dalamnya. Ia juga boleh berlaku dengan penghapusan begitu sahaja, samada dibawa lari oleh banjir, atau datang ribut taufan, atau apa sahaja. Gempa bumi juga boleh berlaku.

Ini semua akibat daripada kerosakan yang terlalu banyak. Suara-suara orang yang mencegah kemungkaran itu pula tidak lagi kedengaran.

Kerana itu Nabi SAW bersabda:

"   لتأمرن بالمعروف ولتنهون عن المنكر أو ليوشكن الله عز وجل أن يبعث عليكم عذابا من عنده  "

Samada kamu menyuruh kepada kebaikan dan  mencegah kemungkaran, ataupun Allah akan utuskan kepada kamu azab daripadanya.
[HR Tirmizi]

Di sinilah hikmahnya kita terus berjuang menegakkan kebenaran. Jangan peduli walau kalah sekalipun. Sekurang-kurangnya kita menahan bala Allah daripada menimpa semua.

Masjid Rusila

Isnin, 8 Oktober 2018

POLITIK ALA KEBINATANGAN (POLITICAL ANIMAL)

Minda Presiden PAS

Inilah hasil falsafah politik Niccolò Machiavelli (1469-1527), seorang tokoh ilmuan Itali yang membawa teori yang terkenal di Barat dengan ungkapannya: “The ends justify the means” (matlamat menghalalkan cara) yang disebut oleh para ulama’ Islam (الغاية تبرر الوسيلة).

Kita sedang menyaksikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson yang diadakan kerana mahu mencalonkan seorang yang dikatakan untuk menjadi Perdana Menteri dan telah mendapat pengampunan mengikut proses undang-undang yang menjadi pertikaian dan perbincangan hangat hari ini.

Saya terpaksa menulis dengan bahasa-bahasa sebegini kerana ingin menjaga maruah negara tercinta, kerana sangat menyentuh maruah Institusi Raja-raja, Badan Kehakiman dan sistem demokrasi yang wajib dimurnikan secara bermoral dan bermaruah.

Pertama: Konsep pengampunan. Seseorang yang membuat permohonan maaf, adatnya dia mengaku bersalah atas dosa dirinya. Kalau adab bertaubat kepada Allah Yang Maha Besar sekalipun, mestilah bersyarat mengaku berdosa, menyesal dan berazam tidak mengulangi dosanya.

Kedua: Kalau Badan Kehakiman yang salah, maka sepatutnya Badan Kehakiman yang wajib memohon pengampunan, termasuk segala cabangnya iaitu para hakim, Peguam Negara, pendakwa dan polis yang menyiasat.

Persoalannya, kita tidak tahu siapa yang dihinakan dalam kemalangan ini?

Selain itu, sistem demokrasi sangat sinonim dengan dasar dan konsep politik Islam, sekiranya dijaga adab dan akhlaknya. Barat juga ada akhlak dalam demokrasinya sehingga seburuk-buruk akhlak. Mereka juga mahukan orang yang bermoral tinggi atau lulus integritinya.

Saya melihat amalan demokrasi di Port Dickson menunjukkan beberapa kepincangan berlaku;

Pertama: Rakyat diberi hak memilih wakil mengikut parlimen dan dun masing-masing. Adapun Perdana Menteri dipilih untuk menjadi Ketua Kerajaan kepada semua rakyat di seluruh negara, bukan untuk satu kawasan parlimen sahaja.

Maka, sepatutnya pemilihan PM melalui proses yang sama secara serentak dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang diadakan dan diberikan kepercayaan melalui cara dia memimpin parti atau gabungannya itu dalam PRU. Bahkan, ada negara yang mengadakan pilihan raya seluruh negara untuk memilih seorang pemimpin terbesar bagi negaranya.

Kedua: PRK tidak wajar diadakan kecuali ada sebab yang munasabah berlaku selepas PRU, kerana keuzuran yang syar'ie yang memestikannya dilantik menjadi PM baru daripada kalangan yang telah dipilih dalam PRU, bukannya dengan cara memotong di tengah jalan atau dicantas di tengah dahan.

Apakah jenis demokrasi kita ini? Barat pun tidak, Timur pun tidak.

Tidakkah memalukan? Kerana catatan dalam Perlembagaan bahawa Islam adalah Agama Negara.

Islam meletakkan kewajipan memimpin negara adalah satu amanah yang sangat besar daripada perkara amanah yang sangat banyak bahagian dan cabangnya, sehingga disebut secara khusus melalui firman Allah:

۞ إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا (58) يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا (59) ]سورة النساء: 58-59[

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya). Dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.  (58); Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil Amri (para ulama’ yang memahami Islam dan para pemimpin yang berkuasa) daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (sunnah kebijaksanaan) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Demikian itu adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya”. (59) (Surah An-Nisa': 58-59)

Dalam ayat ini, dinyatakan secara khusus berkenaan urusan memerintah dan melaksanakan hukum adalah amanah terbesar supaya berlaku adil terhadap semua manusia. Ketaatan mutlak hanyalah kepada Allah dan Rasul, ketaatan bersyarat terhadap para ulama’ dan pemimpin. Dikaitkan pula dengan beriman kepada Allah dan Hari Akhirat yang membezakan Islam dengan demokrasi barat dan teokrasi.

Demokrasi barat menjadikan suara rakyat suara keramat seperti firman Tuhan, walaupun rakyat telah ditipu atau jahil dan miskin terdesak. Adapun teokrasi pula memberi kuasa mutlak kepada agamawan, walaupun ada yang menyalahgunakan agama.

Dalam hal ini, Islam menerima demokrasi kerana rakyat juga ada hak, tetapi hendaklah dipelihara dengan adab dan akhlak, serta roh agama yang ada perhitungan dosa dan pahala. Begitu juga kalangan agamawan juga wajib beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.

Maka langkah murni demokrasi itu akan berlaku sekiranya berpandukan Islam, bukan berpandukan teori pemisahan politik daripada agama (sekularisme) atau teori matlamat menghalalkan apa sahaja caranya.

Apabila perkara memimpin negara adalah amanah yang terbesar. Maka, Rasulullah S.A.W. mentafsirkannya kepada umat Islam bahawa jangan memilih pemimpin yang gelojoh dan mahukan jawatan atau yang fasiq seperti berbohong dan lain-lain.

Allah berfirman:

وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا (74) [سورة الفرقان: 74]

“Dan juga mereka (yang diredhai dan dirahmati Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami pemimpin ikutan bagi orang-orang yang bertaqwa”. (Surah Al-Furqan: 74)

Rasulullah S.A.W. juga menolak orang yang gelojoh mahu menjadi pemimpin. Sabdanya:

إنا والله لا نولي على هذا العمل أحدا سأله ولا أحدا حرص عليه (متفق عليه)

“Demi Allah aku tidak melantik tugas ini kepada seorang yang meminta atau seorang yang terlalu rakus mahukan jawatan ini”. (Muttafaq ‘Alaih)

Sabda Rasulullah S.A.W. kepada sahabatnya Abdul Rahman bin Samurah R.A.:

يا عبدَ الرحمن بنَ سمرة، لا تسأل الإمارة؛ فإنكَ إنْ أُوتِيتَهَا عن مسألة وُكِلْتَ إليها، وإنْ أوتيتَها من غير مسألة أُعِنْتَ عليها. (متفق عليه)

“Wahai Abdul Rahman bin Samurah! Janganlah meminta jawatan untuk menjadi pemimpin. Sesungguhnya jika kamu dilantik dengan sebab memintanya, nescaya dibebankan kepadamu (tanpa pertolongan Allah). Jika dilantik bukan dengan sebab kamu memintanya, nescaya diberi pertolongan (Allah) kepada kamu”. (Muttafaq ‘Alaih)

Terdapat banyak nas secara berulang kali yang melarang kita mengikuti atau memilih pemimpin yang fasiq. Di antara tanda fasiq itu ialah perangai berbohong dan perkara-perkara lain yang menunjukkan tiada maruah atau jati diri. Dimanakah kita dalam meletakkan pesanan Rasulullah S.A.W.?

Seluruh dunia kini sedang menyaksikan kesilapan rakyat Amerika yang dianggap paling maju demokrasinya, menyebabkan mereka terpaksa merasa malu terhadap seluruh dunia. Sehingga sudah ramai pula yang meletak jawatan.

Buah salak buah kedondong,
Dipungut diletak ke dalam baldi,
Bukan salah ibu mengandung,
Tetapi salah memangkah undi.

Janganlah kita menjadi sebab berlakunya Hari Kiamat kerana salah memilih pemimpin.

Saksikan Ya Allah! Bahawa saya telah menyampaikan. 

“Islam Memimpin”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS  

Bertarikh: 8 Oktober 2018 / 28 Muharam 1440

Selasa, 2 Oktober 2018

KALAM BUKAN SEBARANG KALAM, KALAM ULAMAK BERPANDU HIKMAH

Sekalian juak PH seakan-akan dirasuk jin, terutama pentaksub Anwar Ibrahim.....melenting tak ketahuan, serata media sosial meratib wirid menghina TGHH apabila TGHH dengan tegas menyatakan pendiriannya tentang kedudukan Tun M sebagai Perdana Menteri ketika ini.

TGHH berpandangan sebarang usaha termasuk tindakan DSAi selaku Ketua Umum PKR mahu mengambil alih kerusi Perdana Menteri daripada Tun M tidak sepatutnya berlaku kerana ia jelas melanggar moral politik. Sewajarnya semua pihak harus menghormati suara rakyat yang telah diputuskan melalui PRU-14 yang lalu dan mengekalkan kepimpinan sedia ada sehingga habis penggal. Tambahan pula, Tun M sendiri pernah menyatakan bahawa beliau ingin kembali menjadi PM kerana ingin memperbetulkan semula kesilapan yang telah beliau lakukan dahulu. Analisis data dan statistik PRU-14 juga telah menunjukkan bahawa peratus undi popular kepada BN pada PRU-13 menurun sebanyak 12% dalam PRU-14 dan ini juga merupakan satu signal yang jelas bahawa peningkatan sokongan kepada pihak PH sebanyak lebih daripada 12% dalam PRU-14 yang lalu adalah kerana faktor sokongan rakyat terhadap Tun M untuk kembali menjadi PM. Maka, pandangan yang disuarakan oleh TGHH adalah sebenarnya selari dengan kehendak majoriti rakyat.

Barangkali juak-juak PKR dan PH pro anwar yang tidak senang dengan pandangan TGHH kerana masih dihantui igauan ngeri akan firasat daripada seorang alim. mereka mungkin gusar pandangan TGHH itu akan membawa kepada keruntuhan Pakatan harapan yang memang telah sedia berantakan sekian lama dari dalam, retak hanya menunggu belah.

Ini adalah bersandarkan kepada tindakan TGHH menolak pelawaan Tun M untuk bekerjasama menjatuhkan DSN pada tahun 2016 yang lalu (Rujuk : https://m.malaysiakini.com/news/345023 ). Dek kerana ketegasan TGHH inilah akhirnya UMNO berpecah dan melahirkan Bersatu, seterusnya mencetuskan gelombang penolakan rakyat terhadap BN dan ahli UMNO sendiri menolak DSN. Sehingga sekarang ini juga, kemelut dalaman UMNO belum pulih sepenuhnya, sementara sebahagian besar pimpinan UMNO yang ada palitan isu korupsi dan salah guna kuasa sedang menyucikan diri mereka dengan keluar dari UMNO untuk bersama PH.

Maka, apabila TGHH mengeluarkan kata-kata "Kekalkan Tun M sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal", juak-juak PH dan pentaksub anwar menjadi tidak keruan kerana bimbang sejarah kejatuhan UMNOBN akan berlaku kepada mereka pula. Mungkin benar kata orang-orang lama, firasat dan gerak hati orang alim ini bukan sebarangan. 

Firman ALLAH:

إن في ذلك لآيات للمتوسمين

“ Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat tanda- tanda bagi orang – orang yang “ Al Mutawassimin “
(Surah Al Hijr: 75).

Al Mutawasimin menurut pengertian ulama adalah orang-orang yang mempunyai firasat, yaitu mereka yang mampu mengetahui suatu hal dengan mempelajari tanda-tandanya.

Sebagaimana firman ALLAH:

ولو نشاء لأريناكهم فلعرفتهم بسيماهم
“Sekiranya Kami kehendaki, nescaya Kami tunjukkan mereka kepadamu, sehingga kamu benar- benar mengetahui mereka dengan tanda- tandanya.“
(Surah Muhammad: 30).

Dalam bidang keilmuan, keimanan seseorang mempunyai peranan yang sangat penting. Masalah keilmuan ini ada kaitannya dengan masalah firasat, yang merupakan renungan kita kali ini. ALLAH berfirman :

واتقوا الله ويعلمكم الله
“ Dan bertaqwalah kamu kepada ALLAH, dan ALLAH memberi tunjuk ajar kepadamu“
(Surah Al Baqarah: 282).

Ayat di atas menunjukan bahawa barang siapa yang bertaqwa kepada ALLAH, nescaya ALLAH akan mengajarinya (memberikan ilmu kepadanya ). Kalau orang – orang awam sekarang, mereka menyebutnya dengan nama “ Ilmu Laduni “, iaitu ilmu yang diberikan ALLAH kepada seseorang tanpa melalui proses belajar, yang wajar dilakukan kebiasaan orang.

Seorang sahabat Rasulullah s.a.w dikisahkan pernah berkata :

“ Seorang yang alim melihat fitnah (kerosakan, huru-hara dll) sebelum datang, sedang orang yang jahil melihat fitnah setelah terjadi “ .

Maksudnya, bahawa orang yang alim (disertai dengan keimanan dan ketaqwaan kepada ALLAH) mempunyai firasat atau pengetahuan akan sesuatu yang akan terjadi, sedang orang yang bodoh dan tidak bertaqwa kepada ALLAH, tidak mengetahuinya kecuali setelah peristiwa tersebut terjadi.

Wallahua'lam

Tinta Marhaen
Seremban, NSDK
2 Oktober 2018
#SejahteraBersamaIslam
#MAMPUCentre

Isnin, 1 Oktober 2018

KEPUTUSAN PAS TANDING PRK-PD MENGEJUTKAN DAN BERANI

Keputusan PAS meletakkan calon di Pilihanraya Kecil (PRK) Port Dickson mengejutkan ramai pihak sama ada ahli PAS mahupun masyarakat yang menyokong PAS. Sekiranya merujuk kepada keputusan PRU14 dan beberapa PRU sebelum PRU14, Port Dickson bukanlah tempat mudah menang bagi PAS. Malah komposisi kaum pengundinya pun lebih memihak kepada pengundi bukan Melayu dan Islam iaitu 57% berbanding dengan pengundi Melayu iaitu sebanyak 43%.

Hal ini disebabkan trend pengundi bukan Melayu setakat ini secara jelas tidak memihak kepada PAS, malah daripada PRU14 yang lepas ada peti undi solid pengundi bukan Islam menyokong PKR atau PH kerana PAS dianggap parti radikalisme Islam dan parti menongkat BN yang hampir lemas.

Tambahan pula, Anwar adalah calon boleh menang apabila melihat kepada peratusan yang menyokong Anwar tidak kira di PRK Permatang Pauh atau di tempat yang lain. Anwar mempunyai karismatiknya tersendiri. Pidatonya mampu mempengaruhi ramai orang. Untuk mencari calon yang layak bertanding sesuai dengan karismatik Anwar sangat sukar. Maka, PAS dianggap parti underdog dalam PRK-PD kali ini.

Ia memang keputusan agak mengejut kerana pada awalnya PAS membuat keputusan tidak masuk bertanding melalui keputusan mesyuarat yang dikeluarkan secara rasmi melalui surat dari Pejabat Agung PAS oleh Setiausaha Agung PAS Dato’ Takiyuddin Hassan pada 13 September 2018.

Dalam pada itu, masih ada kira-kira lagi keputusan mesyuarat tersebut kerana ada jawapan in-advance oleh Tuan Guru Presiden PAS sebelum berlakunya mesyuarat PAS semalam iaitu pada 26 September 2018 telah memberi gambaran bahawa PAS akan masuk bertanding jika UMNO tidak letak calon. Hal ini dilihat berasaskan semangat demokrasi iaitu tidak membiarkan kerusi tanpa pertandingan. PAS berpegang kepada tiga asas pergerakan parti iaitu damai, demokratik dan berperundangan seperti yang disebut ketika ucapan Dato’ Takiyudin Hassan dalam muktamar PAS ke-64.

Kemungkinan lain kenapa PAS meletakkan calon ialah kerana ingin menegaskan bahawa PAS sebuah parti yang boleh membuat keputusan tanpa berbataskan pengaruh mana-mana pihak. Bila UMNO boikot PRK-PD, ini tidak bermakna PAS juga akan boikot. Maka jelas tiada sebarang kerjasama dengan UMNO dalam PRK ini.

Dari sudut yang lain, PAS memandang dengan adanya pertandingan dalam PRK ini membolehkan penduduk PD mendapat peluang untuk dianugerahkan pelbagai peruntukan dari kerajaan pusat seperti memperbaiki infrastruktur di tempat-tempat yang agak dho’if dan sebagainya. Manfaatnya akan dapat kepada pengundi PD.

Bagi saya, apa pun keputusan PAS, sebenarnya yang paling utama ialah PAS sebagai sebuah parti politik dakwah sepatutnya tidak berlepas tangan dari kebergantungan kepada Allah SWT. Ahlinya juga bila faham prinsip ini, mereka tidak akan terlalu terkejut kerana keputusan yang dibuat ini bukan dibuat secara individu tetapi ia dibuat secara kolektif dalam mesyuarat (syura). Setiap keputusan mesyuarat adalah ketetapan Allah SWT melalui saluran mulut pimpinan PAS.

Jika benar prinsip yang dipegang ini, maka secara betulnya PAS masuk bertanding ini bukan kerana memenuhi tuntutan demokrasi (tidak mahu rakyat tiada peluang memilih) atau pun kerana untuk melihat kelicikan dan kesetiaan UMNO kepada PAS atau ingin melihat ahli melakukan kerja, tetapi yang sebenarnya dan yang sepatutnya ialah semua gerak kerja PRK ini adalah kerana untuk memenuhi tuntutan dakwah Islam.

Apabila PAS masuk PRK kalah menang bukan ketentuan manusia, tetapi ketentuan Allah SWT. Yang penting ialah masuk PRK membuatkan dakwah Islam makin tersebar luas. Dalam setiap ruang penjuru dan pelusuk PD boleh diterokai oleh PAS untuk sebarkan Islam. Dengan ini, masyarakat makin faham dan lebih jelas kehendak PAS untuk memperjuangkan Islam. Apabila jelas prinsip ini, maka makin jelas kemenangan buat PAS.

Wassalam,
Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi
Pensyarah Kanan Ekonomi Politik Islam,
ISDEV, USM.

#PRKPD
#PortDickson
#PrinsipPolitikDakwah