Isu serbuan khalwat menarik perhatian umum setelah Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan pendiriannya berhubung isu serbuan khalwat yang dilihatnya sebagai menceroboh kehidupan peribadi demi mencari kesalahan. Menurutnya, tindakan seperti ini tidak diajar dalam Islam [Utusan Malaysia, 6/10/2018]. Respons tersebut dibuat rentetan kenyataan terdahulu yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) dalam sebuah temuramah bersama akhbar tempatan. Justeru timbul persoalan, adakah Negara tidak berhak campur tangan terhadap kesalahan yang dilakukan dalam ruang peribadi? SN kali ini bertujuan menjawab polemik berkaitan isu ini.
Mencegah Kemungkaran Adalah Tuntutan Syarak
Apa sahaja bentuk kemungkaran terhadap perintah dan larangan Allah adalah termasuk dalam kategori dosa. Manakala mencegah kemungkaran merupakan sebahagian daripada tuntutan syariat sehingga menjadi sebuah kewajipan bagi umat Islam seperti mana yang dijelaskan melalui sebuah hadis yang bermaksud:
“Daripada Abu Said al-Khudri RA, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubah dengan tangan, sekiranya dia tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan lidah, sekiranya tidak mampu mengubah dengan lidah hendaklah dia mengubah dengan hati, dan mengubah dengan hati adalah selemah-lemah iman” [HR Muslim].
Tuntutan mencegah maksiat tidak terhad hanya kepada kemungkaran yang dilakukan secara terbuka atau terang-terangan seperti mengambil riba, merompak, meminum arak dan berjudi secara terbuka. Kemungkaran yang dilakukan secara tertutup juga merupakan aspek yang wajib dicegah sekiranya memenuhi tatacara yang menepati syarak. Adapun begitu, hal ini sering menjadi polemik dan senjata di kalangan kelompok yang membawa agenda liberal dengan menggunakan hujah atas keharaman tajassus (mengintip) di sisi Islam sepertimana yang dijelaskan dalam hadis berikut:
Abdul Rahman bin Auf berkata, pernah satu malam aku bersama Umar bin al Khattab membuat rondaan di kota Madinah kemudian kami mendapati sebuah rumah adanya pelita yang dipasang dan terdengar suara yang kuat dari dalamnya. Maka Umar berkata; “Ini adalah rumah Rabiah bin Umayyah bin Khalaf, mereka sekarang sedang minum arak, apa pendapatmu,” Aku menjawab, aku berpendapat kita sebenarnya telah datang apa yang Allah larang daripadanya iaitu jangan mengintip sedangkan kita mengintip, lantas Umar berpaling dan pergi meninggalkan rumah itu” [HR al Tabarani, al Hakim dan al Baihaqi].
Di samping itu, Allah SWT juga telah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain (tajassus)..” [TMQ al-Hujurat (49): 12].
Secara umumnya tajassus adalah perbuatan yang dilarang dalam sebuah Negara Islam (Khilafah) khususnya terhadap warganegara di kalangan Muslim mahupun Kafir Zimmi. Namun larangan tajassus bukan bersifat mutlak sebaliknya bergantung kepada konteks. Hal ini seperti mana yang telah dijelaskan oleh Sheikh Taqiyuddin An-Nabhani di dalam kitabnya Ajhizah Daulah Al-Khilafah bahawa dibolehankan tajassus terhadap kafir harbi – pihak kafir yang menentang umat Islam secara de facto (muhâriban fi’lan) mahupun secara de jure (muhâriban hukman) – menjadi kewajipan bagi khalifah. Tajassus juga diperbolehkan terhadap ahlul ar-riyab – mereka yang dikhawatirkan dapat menimbulkan kemudaratan (dharar) dan bahaya terhadap institusi negara, jamaah atau bahkan individu sekalipun – jika wujud ghalabatu az-zhan (berat sangkaannya) terhadapnya.
Di samping itu, sebahagian besar ulama terdahulu telahpun membahaskan keharusan tajassus terhadap perbuatan maksiat yang dilakukan di sebalik pintu (private sphere) jika didasari ghalabatu az-zhan bahawa berlaku maksiat dengan qarinah (bukti) yang jelas seperti perkhabaran dari seorang lelaki yang terpercaya. Hal ini telah dijelaskan antaranya oleh al-Imam Ibn Hajar (Fath al-Bari, 10/482) dan al-Imam Nawawi (Syarh al-Nawawi, 2/26). Bahkan menurut Al-Imam al-Ramli, menjadi wajib untuk melakukan tajassus sekiranya seseorang Muslim khuatir perkara tersebut terlepas dari pemerhatiannya seperti berlakunya pembunuhan dan perbuatan zina [Nihayah al-Muhtaj (4/47-49)]. Al-Imam Mawardi juga menukilkan dalam karyanya, bahawa seorang muhtasib (penguatkuasa hisbah) tatkala menerima sesuatu aduan daripada orang yang dipercayai (thiqah) dan membawa kepada petunjuk ghalabatu az-zhan, maka ia adalah sesuatu yang diharuskan bagi mencegah kemungkaran. Beliau memetik sebuah kisah di zaman Khalifah Umar RA:
“Dikisahkan, bahawa ketika di Basrah, Mughirah bin Syu’bah seringkali dikunjungi seorang wanita dari Bani Hilal bernama Ummu Jamil binti Mahjam bin Al-Afqam yang bersuamikan seorang dari Bani Tsaqif bernama Al- Hajjaj bin Ubaid. Hal ini diketahui oleh Abu Bakrah bin Masruh, Sahl bin Ma’bad, Nafi’ bin Al-Harits, dan Zayyad bin Ubaid, kemudian mereka mengintip al-Muqhirah bin Syu’bah. Ketika Ummu Jamil masuk ke rumah Al-Mughirah, mereka serentak menangkap kedua-duanya. Kemudian mereka memberi kesaksian kepada Umar RA. Umar RA tidak melarang penangkapan tersebut, meskipun dia berhak menjatuhkan hudud kepada mereka jika kesaksian mereka tidak memenuhi syarat” [Al-Ahkam As-Sulthaniyyah].
Tindakan mencegah kemungkaran hendaklah menepati garis panduan syarak, yang bermula dengan siasatan berasaskan ghalabatu az-zhan yang disandarkan kepada petunjuk-petunjuk atau laporan daripada individu yang dipercayai. Dalam masa yang sama, penguatkuasa seharusnya memelihara aib dan kehormatan di sepanjang aktiviti pencegahan dijalankan. Manakala aktiviti pencegahan yang berdasarkan tajassus secara rambang pula tidak dibenarkan syarak, selari dengan dalil-dalil yang telah dibentangkan. Yang jelas adalah bahawa dalil-dalil tersebut bukanlah sandaran untuk menolak sepenuhnya tindakan pencegahan maksiat seperti yang dicanangkan oleh sebahagian pihak.
Dosa Peribadi Dan Agenda Liberalisme
Konsep ‘dosa peribadi’ tidak pernah dikenali dalam khazanah pemikiran Islam. Menurut perspektif Islam, tatkala seseorang Muslim meninggalkan fardhu ain maka dosa tersebut adalah untuk dirinya sahaja, manakala ketika sejumlah umat Islam meninggalkan fardhu kifayah maka mereka semuanya bertanggungjawab atas dosa tersebut. Begitu juga halnya balasan dosa kepada mereka yang melakukan kemungkaran disisi Allah SWT.
Konsep dosa peribadi ini tidak lain bertujuan untuk dijadikan justifikasi terhadap ‘hak’ para pesalah atas nama kebebasan peribadi dalam bertingkah laku yang dilaungkan di dunia Barat pasca revolusi Eropah (Renaissance). Ia adalah buah fahaman liberalisme yang terus subur melebarkan agenda mereka dengan doktrin-doktrin yang mengelirukan umat Islam. Gerakan ini juga menentang sebarang bentuk ‘moral policing’ kerana menganggap ia bertentangan dengan idea kebebasan yang dijunjung. Mereka turut menuntut perubahan yang lebih drastik terhadap dasar-dasar kerajaan dalam era Malaysia baharu demi memperkukuh agenda sekularisme di negara ini. Gerakan-gerakan liberal di Malaysia sudah semestinya menentang perlaksanaan Islam sebagai sebuah mabda’ (cara hidup). Mereka menolak konsep amal makruf nahi mungkar yang dituntut dalam syariat Islam khususnya yang melibatkan dosa-dosa yang dilakukan dalam ‘private sphere’ sekalipun Islam telah menetapkan kriteria tertentu seperti operasi hanya boleh dilakukan apabila wujud ghalabatu az-zhan, kewajipan untuk memelihara kehormatan dan memelihara aib pesalah serta hukuman ke atas pesalah adalah bergantung pada bukti yang jelas dan menepati syarak.
Dalam Islam, kebebasan individu itu tidak mutlak. Sebagai hamba Allah, kita wajib mentaati perintah dan larangan Allah SWT. Bahkan Rasulullah SAW mengingatkan bahawa mereka yang tidak mencegah kemungkaran sedangkan ia mampu, maka dibimbangi Allah akan menimpakan azab ke atas semua, bukan hanya kepada pesalah. Sabda Rasulullah SAW: “Tiada satu kaum yang melakukan maksiat, sedangkan ada dikalangan mereka yang mampu mencegahnya, melainkan akan dibimbangi keseluruhan mereka akan ditimpa azab ke atas kesemuanya” [HR Abu Daud]. Ketika banyak perkara maksiat – judi, arak, pusat hiburan, dll.— banyak dihalalkan atas nama lesen, adalah suatu yang menghairankan apabila pihak kerajaan lebih berminat untuk memfokuskan kepada isu serbuan khalwat. Sebagai pemerintah yang mempunyai kuasa, kerajaan seharusnya mendidik rakyatnya agar sentiasa terikat dengan hukum Islam dan membenci setiap perkara maksiat. Malangnya, perkara maksiat terus subur di bumi Malaysia ini. Sesungguhnya, umat hari ini dahagakan para ulama dan pendakwah yang mukhlis memimpin masyarakat melakukanmakruf nahi mungkar dan menyeru pemerintah untuk menerapkan Islam ketika kita terus diasak dengan pelbagai agenda liberalisme yang menyesatkan.
Sumber: Hizbut Tahrir Malaysia