Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!” (Surah Yasin, ayat 60)
Hakikat syaitan sebagai musuh manusia diulangi oleh Allah SWT beberapa kali di dalam Al-Qur’an. Antara peringatan Allah SWT kita tentang musuh yang nyata ini ialah, “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam dengan selengkapnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” (Surah Al-Baqarah, ayat 208)
Permusuhan syaitan kepada kita, manusia, bukanlah sesuatu yang berlaku secara sekali sekala tetapi ia adalah sesuatu yang berterusan. Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya syaitan hadir di sisi seseorang kalian pada setiap sesuatu yang kalian lakukan." Daripada Anas r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya syaitan berjalan dalam tubuh manusia melalui aliran darah." (Hadis sahih riwayat Muslim)
Maka permusuhan syaitan ditujukan kepada kita dalam semua suasana dan perbuatan seperti tidur, mandi, makan, perbualan, pemandangan, pendengaran, pekerjaan, gerak hati, pemikiran, wudhu’, solat, puasa, haji dan pelbagai lagi.
Pengodaan syaitan juga berterusan, selagi nyawa manusia itu dikandung badan. Ini jelas diceritakan dalam hadis berikut. Dari Aisyah r.a. isteri Rasulullah SAW dia menceritakan bahawa pada suatu malam Rasulullah SAW pergi dari rumahnya (dari rumah Aisyah). Kata Aisyah, "Kerana itu aku cemburu kepada baginda. Setelah baginda kembali dia memerhatikan tingkah laku ku lalu baginda bertanya, "Mengapa engkau hai Aisyah, cemburukah?" Jawabku, "Bagaimanakah wanita seperti aku tidak akan cemburu terhadap lelaki seperti kamu?" Tanya baginda, "Apakah syaitanmu telah datang pula menggodamu?" Jawab Aisyah, "Ya Rasulullah, apakah aku bersama syaitan?" Jawab baginda , "Ya!" Tanyaku, "Apakah setiap orang begitu?" Jawab, "Ya! Tetapi aku dilindungi Tuhanku sehingga aku selamat." (Hadis sahih riwayat Muslim)
Antara tugas-tugas syaitan:
1. Menghasut manusia untuk melakukan kejahatan. Sebab itu Allah mengingati manusia supaya berwaspada dengan hasutan terbabit. Bagi orang yang memiliki pemikiran yang cemerlang, syaitan menghiasi mereka dengan teori-teori yang canggih. Orang-orang seperti ini banyak kita temui sekarang ini dimana mereka bercakap dengan nada Islam tetapi dengan isi kandungan yang menafikan ketuhanan (ateis), kemusyrikan dan kekufuran.
"Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara yang keji, dan menyuruh kamu berkata dusta terhadap Allah, apa yang kamu tidak ketahui." (Surah Al-Baqarah, ayat 168-169)
2. Menakut-nakutkan manusia. Syaitan juga bekerja menakutkan dan membimbangkan manusia, terutama berdepan persoalan rezeki, dengan hidup miskin dan susah. Bagi orang yang memiliki pemikiran yang sederhana, syaitan menakut-nakutkan mereka agar tidak berganjak dari pandangan agama yang dipegang sejak turun temurun. Maka sumber agama berubah dari al-Qur’an dan al-Sunnah kepada yang lazim dan tradisi. Apabila ditegur atau dipaparkan sesuatu yang baru, mereka menolak dengan alasan-alasan yang tidak ilmiah.
"Syaitan itu menjanjikan kamu dengan kemiskinan dan kepapaan, dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji; sedangkan Allah menjanjikan kamu keampunan daripada-Nya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi Maha Mengetahui." (Surah Al-Baqarah, ayat 268)
3. Menyesatkan manusia. Bagi orang yang berpendidikan tinggi, syaitan menakut-nakutkan mereka agar tidak mendalami ilmu-ilmu agama. Ini juga amat lazim berlaku sekarang ini di mana ramai umat Islam yang telah mencapai tahap pendidikan yang amat tinggi tetapi dalam bab agama ilmu mereka masih sekadar apa yang dipelajari di bangku sekolah. Dalam kerjaya, mereka berpegang teguh kepada disiplin dalil dan hujah (proof and argument) akan tetapi disiplin yang sama tidak mereka terapkan dalam agama.
"Tidakkah engkau melihat orang yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya ingkar kepada taghut itu. Dan syaitan hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya." (Surah An-Nisaa', ayat 60)
4. Disebabkan tidak senang dengan ketenangan manusia, syaitan mengada-adakan pelbagai onar, termasuk membisikkan sesuatu ke telinga dan hati manusia. Bagi orang yang berpendidikan rendah, syaitan membangkitkan teori-teori kosong kepada mereka agar kelihatan bijak. Maka lahirlah dari mereka pelbagai “petua ini dan amalan itu” yang tidak berasal dari Allah dan Rasul-Nya, tetapi berasal dari syaitan dan kuncu-kuncunya. Semua petua dan amalan tersebut diikuti secara membuta oleh orang-orang yang berpendidikan tinggi kerana syaitan telah menakutkan mereka daripada mengkaji dalil dan mencari hujah.
"Dari kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tenggelam. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. Dari kalangan jin dan manusia." (Surah An-Nas, ayat 4-6)
5. Menimbulkan permusuhan sesama manusia. Cara syaitan ialah menimbulkan syak wasangka, hasad dengki dan kebencian.
"Sesungguhnya syaitan itu berkehendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan arak dan judi..." (Surah Al-Maidah, ayat 91)
6. Melalaikan dan menghalang manusia daripada mengingati Allah. Bagi orang yang rajin beribadah, syaitan menipunya dengan suruhan beribadah sahaja sehingga dia melalaikan tugas di pejabat. Bagi orang yang rajin di pejabat, syaitan menipunya dengan suruhan kerja sahaja sehingga dia melalaikan agamanya. Bentuk pertama dan kedua ini amat ketara berlaku pada masa kini sehingga sukar hendak ditemui seorang yang profesional dari sudut kerjaya dan agama.
"...dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat. Oleh itu, mahukah kamu berhenti?" (Surah Al-Maidah, ayat 91)
7. Mencari calon penghuni neraka. Syaitan sentiasa mendendami manusia. Setiap saat memerangi manusia dengan membisikkan hasutan, godaan dan tipu dayanya. Manusia yang mengerjakan ibadat kepada Allah paling dimusuhinya. Seberapa daya, dicubanya menahan manusia daripada mendekati Allah. Allah berfirman, mafhumnya,
"Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagimu, maka jadikanlah dia musuh; sebenarnya dia hanya menyeru golongannya supaya menjadi penduduk Neraka." (Surah Fathir, ayat 6)
8. Berusaha merayu manusia supaya mencintai dan memujanya. Bagi orang yang memiliki semangat tinggi memperjuangkan Islam, syaitan memberi janji kosong kepada mereka bahawa dengan melakukan sekian-sekian cara dan manhaj, perjuangan mereka akan memperoleh kejayaan. Padahal sama-sama diketahui bahawa tidak ada kejayaan dalam perjuangan melainkan dengan mengikuti cara dan manhaj Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.
"Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata bagimu!" (Surah Yasin, ayat 60)
Memerangi tipu daya syaitan
Menurut Yahya ibni Mu'adz al-Razi, "Syaitan itu tidak bekerja, sedangkan kamu sibuk dengan pekerjaan dan pelbagai urusan. Syaitan sentiasa melihat kamu, sedangkan kamu tidak dapat melihatnya. Kamu selalu saja lalai dan melupakan jerat yang dipasangnya, tetapi ia tidak melupakan kamu."
Para ulama mencadangkan pelbagai langkah untuk memerangi syaitan. Menurut Imam al-Ghazali, kita hendaklah sentiasa memohon perlindungan daripada Allah SWT. Sekurang-kurangnya, dengan mengucapkan A'uzu billahi min al- syaithan il-rajim. Jika serangan syaitan datang juga bertalu-talu dengan hebatnya, kita mestilah bersabar dan menyedari, bahawa Allah Taala hendak menguji keteguhan sabar kita, hendak melihat ketulenan jihad kita. Ketahuilah, perang dengan syaitan itu lebih hebat daripada perang sabil. Ada tiga cara yang dicadangkan untuk memerangi atau menghadapi serangannya syaitan:
- Mempelajari tektik tipu daya syaitan atau strategi serangannya.
- Tidak memberi perhatian atau layanan kepada hasutan syaitan. Anggapkan hasutan dan seruan syaitan itu seperti salakan anjing. Anjing kian garang dan galak menyalak apabila ia diberi perhatian atau respons. Sebaliknya, ia akan lebih cepat memberhentikan salakan, apabila kita tidak mengiraukannya.
- Lidah dan hati senantiasa menyebut Allah (zikrullah).
Untuk mempelajari tektik tipu daya syaitan (cara yang pertama), kita hendaklah memahami dan mengenalpasti perbezaan antara was was, ilham, bisikan hati (rohani), dan seruan nafsu daripada tabi'i kejadian kita manusia. Was-was merupakan anak panah yang dilepaskan oleh syaitan ke hati manusia lalu bersarang di hati (mafhum daripada firman Allah Taala - surah "an-Nas"). Was-was juga mampu menguasai bisikan hati nurani atau lintasan fikiran manusia (Khatir atau khawatir). Bisikan hati nurani juga boleh dipengaruhi oleh ilham. Ilham ialah lintasan fikiran yang lebih khusus, iaitu menyeru ke arah kebaikan, datangnya daripada Allah melalui malaikat. Manakala was-was ialah bisikan hati yang menyeru kepada kejahatan, datangnya daripada syaitan.
Terdapat riwayat dalam Hadis, mafhumnya, “Apabila dilahirkan anak Adam ke dunia, lalu disertakan bersama-nya oleh Allah Taala malaikat dan syaitan. Malaikat berdiri di telinga kanan anak Adam itu dan syaitan berdiri di telinga kirinya.” Seruan syaitan (was-was) itu penuh dengan tipu daya. Kadang-kadang menyeru kepada kebaikan sebagai umpan untuk memerangkap manusia. Sebagai contoh, syaitan akan cuba mempengaruhi manusia supaya mengerjakan ibadat yang sunat dan meninggalkan kerja ibadat yang wajib. Kadang-kadang diserunya manusia berbuat kebajikan yang afdal dan juga yang wajib, tetapi dengan cara yang halus dihelanya manusia ke lembah dosa besar iaitu dengan menyemaikan bibit riak, ujub, takabur dan sebagainya.
Setengah ulama’ membahagikan lintasan fikiran manusia itu kepada empat: Pertama, suara hati yang kadang-kadang seruannya baik dan kadang-kadang jahat untuk menguji keimanan dan kesabaran. Kedua, ilham yang menyeru kepada kebaikan semata-mata. Ketiga, waswas atau seruan syaitan kepada kejahatan, penelewengan dan kesesatan semata-mata. Keempat, hawa nafsu daripada tabi'i manusia yang menyeru kepada kejahatan (nafsu ammarah). Tabi'i kejadian manusia itu cenderung kepada syahwat dan keinginan kepada kelazatan dan keseronokan tanpa mempertimbangkannya sama ada baik atau jahat. Inilah hawa nafsu yang mengheret manusia kepada kesirnaan. Kadang-kadang seruan tabi'i menyeru kepada kebajikan dengan tujuan bekerjasama dengan syaitan untuk memperdayakan manusia.
Menurut Imam al-Ghazali, bahawa lintasan was was itu datangnya daripada syaitan yang menyeru mansia kepada kejahatan. Tetapi ilham turun daripada Allah Taala atau daripada malaikat (dengan izin Allah) yang menyeru manusia kepada kebaikan dan kebajikan. Untuk mengenal pastinya, ilham boleh ditilik dalam tiga keadaan (wajah):
- Jika datangnya daripada Allah Taala, keadaannya tegas, keras dan kuat, merupakan perintah, petunjuk, galakan, keinsafan, amaran dan sebagainya; manakala ilham daripada malaikat adalah keadaannya timbul tenggelam dan lebih merupakan nasihat dan rangsangan kepada kebajikan.
- Ilham daripada Allah diringi oleh jihad dan taat daripada manusia yang terlibat. Jika jihad mandahului ilham, maka ilham itu ghalibnya datang daripada malaikat.
- Ilham daripada Allah adalah berkaitan dengan usul agama (ushul ul-din) dan amalan batin, manakala ilham daripada malaikat berkaitan dengan furu' atau hukum syara' dan amalan zahir.
Sudah sampai masanya, dalam hati setiap muslim dan muslimat, hendaklah bersemangat untuk menjadikan syaitan sebagai musuh kita, agar tidak terjerumus dan terseret dalam pujuk-rayuan dan tipu-helahnya. Dan dengan kurnia Allah SWT, kita boleh terhindar dari pujuk-rayuan dan tipu-helah syaitan la’natullah, sebagaimana yang difirmankan-Nya, yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Barang siapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan yang mungkar. Sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, niscaya tidak seorangpun dari kamu bersih (dari perbuatan-perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah An-Nuur, ayat 21)
Dan di ayat yang lain, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud, “Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, iaitu Al Kitab (Al Qur'an) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-‘Ankabuut, ayat 45)
Allah amat menyintakan dan menyayangi hamba-hamba-Nya. Dia telah memberi peringatan demi peringatan dan kita diberikan petunjuk untuk mengharungi dunia ini. Diutuskan-Nya Rasul untuk dijadikan contoh teladan yang terbaik untuk kita. Dikurniakan-Nya nikmat yang tidak dapat kita hitung banyaknya.
Ingatlah, sejengkal kita dekat kepada Allah.. Allah dekat sehasta dengan kita.. sehasta kita datang padaNya.. Dia datang sedepa kepada kita.. kita datang padaNya dengan berjalan.. Dia datang kepada kita dengan berlari, subhanallah.... Sayangnya Allah kepada kita! Namun pernahkah kita terfikir semua ini? Mengapakah diberikan segala kenikmatan kepada kita sedangkan Dia boleh menghancurkan semuanya sekelip mata? Sayangnya Allah kepada kita, diberikan segala macam panduan untuk kita jadi insan yang berjaya. Tetapi, adakah kita memanfaatkan kurniaan Allah SWT? Adakah kita berterima kasih kepada pencipta kita? Adakah semakin dekat kita kepada-Nya?
Renung-renungkanlah firman Allah ini... “Dan (ingatlah) tatkala Tuhanmu memaklumkan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7)
dan janganlah kita bersahabat dengan syaitan... “…. Barangsiapa yang menjadikan syaitan itu sebagai temannya, maka (ketahuilah) dia (syaitan itu) adalah teman yang seburuk-buruknya (sangat jahat).” (Surah An-Nisaa’, ayat 38)
Dan di antara isi kandungan penting yang dipetik dari khutbah terakhir Rasulullah s.a.w. yang disampaikan pada 9 Zulhijjah tahun 10 Hijrah di lembah Uranah, Gunung Arafah... “Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutnya dalam perkara-perkara kecil.”
Semoga memberi manafaat dan dapat dijadikan peringatan kita sentiasa.