Khamis, 2 Jun 2016
INILAH PENYELESAIAN KITA
UCAPAN DASAR
PRESIDEN PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS)
Muktamar Agung Tahunan PAS ke - 62
Kota Bharu, 2016
INILAH PENYELESAIAN KITA
الحمد لله الذي أكرمنا بنعمة الإسلام , وفضلنا على كثير من الأمم. والصلاة والسلام على سيدنا محمد نبي الرحمات, وعلى آله وأصحابه أفضل الصلوات وأزكى التسليمات.
Mukaddimah Yang dihormati Pengerusi Tetap, Yang Berbahagia Sohibul Fadhilah Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din Mursyidul ‘Am Parti Islam SeMalaysia (PAS), Yang Berbahagia Dato Ahmad Yakob Timbalan Mursyidul ‘Am PAS (merangkap YAB Menteri Besar Kelantan Darul Naim), Ashab al Fadhilah Ahli Majlis Syura Ulama, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Dato’ Setiausaha AgungKetua-Ketua Dewan Ulama – Pemuda - Muslimat dan Dewan Himpunan Penyokong PAS, seluruh Anggota Dewan Harian, Ahli-ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Pesuruhjaya-Pesuruhjaya PAS Negeri dan Wilayah Persekutuan, Pengarah Muktamar dan ahli Jawatan kuasanya, tetamu jemputan, pimpinan NGO, Wakil-wakil Kedutaan Asing, para perwakilan, muslimin dan muslimat yang dikasihi sekalian.
Parti Islam SeMalaysia (PAS) dengan penuh rasa ukhuwwah ingin mengucapkan Ahlan wa sahlan wa Marhaban bikum kepada semua hadirin dan hadirat yang datang dari berbagai pelusuk, termasuklah para pemerhati yang sudi bertandang ke Muktamar Agung Tahunan PAS kali ke 62 ini. Dari Kuala Selangor ke Kota Bharu
Pergi mencari acara parti
Selamat datang ke Kota Bharu
Moga menjadi amal diberkati
Marilah dikesempatan ini kita mengucapkan puji dan syukur ke hadrat Allah SWT yang telah mengurniakan kepada kita anugerah Islam yang sempurna yang akan menjadi penyelamat kita untuk bertemu Tuhan Rabbul Jalil di hari yang tidak ada naungan melainkan naungan rahmat Allah SWT.
Marilah kita menginsafi kebesaran kuasa Allah Yang Maha Gagah, Maha Besar, dengan kita menghayati firman Allah SWT :
تَبَٰرَكَ ٱلَّذِي بِيَدِهِ ٱلۡمُلۡكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ ١ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ ٢
Maksudnya :
(1) Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat) dan memanglah Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu; (2) Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat); [al-Mulk : 1-2]
Hadirin-hadirat sekalian,
ISLAM DIJADIKAN TEMPELAN
Pada saat ini juga kita sedang sama-sama menyaksikan kegagalan penyelesaian di atas nama agama dan ideologi ciptaan manusia terhadap masalah manusia sama ada secara menyeluruh atau hanya dalam aspek tertentu sahaja.
Keadaan yang sama di alami oleh kalangan Islam yang menumpang kepada yang lain daripada Islam kerana terpengaruh dengan negara besar yang pernah menjajahnya. Islam hanya dijadikan agama tempelan bukannya Al-Din yang menjadi hidayah daripada Allah, yang memimpin dan memandu dalam perkara prinsip, konsep, pendekatan dam wawasan.
Kegagalan kerajaan yang memerintah disemua negeri Islam selepas meneruskan pendekatan warisan penjajah menjadi bukti yang nyata sama ada dari kalangan yang menganut dan mempertahankan ideologi asing secara menyeluruh atau menegakkan Islam secara tumpangan kepada ideologi tersebut tanpa kuasa yang sebenar, menjadikan Islam tidak memerintah tetapi diperintah. Islam tidak dijadikan petunjuk Allah kepada segala urusan yang wajib diimani tetapi menjadikannya hanya agama yang ditunjuk dan mengikut telunjuk.
POLITIK YANG BERPISAH DENGAN AGAMA
Dalam aspek politik, dunia tanpa Islam hanya mengenali konsep demokrasi Barat yang memberi hak kepada rakyat tanpa hidayah kerana terpisah daripada agama. Ada pula yang berpandukan Teokrasi yang meletak kuasa hanya kepada kalangan agamawan yang menyalahgunakan agama, selain dari kewujudan diktator yang memberi kuasa mutlak kepada individu atau kelompok, lalu menyalahgunakan kuasa. Mereka semua jahil bahawa adanya penyelesaian Islam yang berbeza dengan semua.
Walaupun demokrasi adalah paling dekat kepada Islam kerana memberi hak kepada rakyat, bahkan pembaharuannya hasil daripada kajian Orientalis daripada penulisan para fuqaha’ dalam aspek politik Islam, tetapi mengambilnya secara teori tanpa aqidah, syariat dan akhlak kerana memisahkan politik daripada agama Islam, menjadikannya laksana jasad tanpa roh dan akal. Maka, ketika menghadapi masalah makhluk manusia yang tetap mengalami kelemahannya, menyebabkan demokrasi yang diamalkan menjadi tempang dan bertukar wajahnya yang sebenar. Rakyatnya ditipu dan pemimpinnya pula menipu sehingga menjadikan negara hanyut apabila amanah dijadikan kesempatan yang salah. Harta negara menjadi milik mutlak di tangan sesiapa sahaja yang berkuasa.
Negara menghadapi krisis kepercayaan walaupun kerajaannya dipilih rakyat secara demokrasi yang dikira paling hampir kepada Islam kerana hak rakyat yang sepatutnya tidak boleh diperhambakan dan ditipu atau dibeli dan dibuli. Proses demokrasi pilihanraya masih dihantui daftar pengundi yang dipertikai bersihnya, aktiviti kempen pilihanraya yang bebas kepada parti pemerintah tetapi disekat degan berbagai cara kepada parti lawan, rasuah projek segera dan sebagainya. Apabila dipisahkan daripada Islam, maka jadilah ianya hanyut bersama demokrasi Barat yang diresapi penipuan dan salah laku tersebut kerana tiada perhitungan halal dan haram atau dosa dan pahala dalam amalannya.
Inilah akibat dipisahkan politik dari panduan agama. Hadis Rasulullah S.A.W. menyatakan sebab berlakunya kiamat yang menjadi bencana seluruh dunia:
عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ بَيْنَمَا النَّبِىُّ - صلى الله عليه وسلم - فِى مَجْلِسٍ يُحَدِّثُ الْقَوْمَ جَاءَهُ أَعْرَابِىٌّ فَقَالَ مَتَى السَّاعَةُ فَمَضَى رَسُولُ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم - يُحَدِّثُ ، فَقَالَ بَعْضُ الْقَوْمِ سَمِعَ مَا قَالَ ، فَكَرِهَ مَا قَالَ ، وَقَالَ بَعْضُهُمْ بَلْ لَمْ يَسْمَعْ ، حَتَّى إِذَا قَضَى حَدِيثَهُ قَالَ « أَيْنَ - أُرَاهُ - السَّائِلُ عَنِ السَّاعَةِ » . قَالَ هَا أَنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ . قَالَ « فَإِذَا ضُيِّعَتِ الأَمَانَةُ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ » . قَالَ كَيْفَ إِضَاعَتُهَا قَالَ « إِذَا وُسِّدَ الأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ » صحيح البخارى (1/ 114، بترقيم الشاملة آليا).
Ianya menunjukkan kesilapan pemisahan politik daripada Islam, sehingga menjadikan rakyat dan pemimpin semuanya tidak beramanah dalam kedudukan masing-masing.
Inilah sebenarnya punca masalah kita alami pada hari ini. Ianya bermula sejak merdeka sehingga kini kerana kita tidak mampu membebaskan diri, kerajaan dan rakyat daripada kepompong pengaruh penjajah asing. Walaupun penjajah itu sudah keluar daripada tanah air, namun sengaja meninggalkan masalahnya kerana menerima pusaka ajarannya yang salah.
KEGAGALAN IDEOLOGI CIPTAAN MANUSIA
Di abad yang lalu seluruh dunia menyaksikan kerakusan penganut idelogi ciptaan manusia di Timur dan Barat yang disebarkan secara penjajahan bangsa yang lemah sehingga memperhambakan sesama manusia. Selepasnya berlaku kemusnahan sehingga ke peringkat negara besar. Bemula dengan berpecahnya negara kesatuan besar Soviet yang menganut Sosialisma paling melampau sehingga mengharamkan agama, negara pecahan selepasnya itu menuju ke arah ekonomi Kapitalis yang bebas ala barat, seterusnya diikuti oleh semua negara Komunis yang lain seperti China, Vietnam dan Cuba. Negara Sosialis sederhana seperti bekas Yugoslavia dan Sosialis Arab yang meninggalkan Islamnya juga mengikut jejak langkah yang sama.
Ketika kita berpijak di atas kegagalan ideologi ciptaan manusia yang sangat asing bagi kita ini, maka apakah sebenarnya pilihan yang ada di tangan kita ? Mampukah kita membawa Islam yang tulin sebagai penyelesai kepada masalah dunia yang ada ?
EKONOMI TANPA PANDUAN AGAMA
Dalam hubungan masyarakat majmuk pula, para pemimpin gagal memanfaatkan masyarakat majmuk menjadi tenaga manusia secara masyarakat madani. Pengurusan ekonomi bergerak tanpa mengira halal-haram, sehingga akhirnya berlaku kegagalan mengurus, ketirisan dana negara, kehilangan punca dalam isu 1MDB, dan pengagihan kekayaan negara yang melimpah ruah tidak berlaku secara adil. Firman Allah :
أَهُمۡ يَقۡسِمُونَ رَحۡمَتَ رَبِّكَۚ نَحۡنُ قَسَمۡنَا بَيۡنَهُم مَّعِيشَتَهُمۡ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۚ وَرَفَعۡنَا بَعۡضَهُمۡ فَوۡقَ بَعۡضٖ دَرَجَٰتٖ لِّيَتَّخِذَ بَعۡضُهُم بَعۡضٗا سُخۡرِيّٗاۗ وَرَحۡمَتُ رَبِّكَ خَيۡرٞ مِّمَّا يَجۡمَعُونَ ٣٢
Maksudnya :
(32) (Mengapa pemberian Kami itu mereka ingkarkan?) Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad, seolah-olah Kami hanya berkuasa dalam perkara kebendaan dan keduniaan sahaja? Mereka tidak ingkarkan): Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita) dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan. [az- Zukhuf : 32]
Manusia tanpa Islam dalam aspek ekonomi pula, hanya mengetahui pendekatan yang juga berpisah daripada agama dan akhlak sama ada melalui pendekatan Liberal Kapitalisma yang bersifat kebebasan individu dalam aspek muamalat tanpa batas halal dan haram dan tanpa akhlak bermasyarakat madani, tidak cakna hak individu dan masyarakat yang menjadi fitrah. Ataupun pendekatan Sosialisma yang bersifat membela masyarakat tanpa kuasa agama dan dikatakan membatasi kebebasan individu yang menjadi fitrah manusia juga. Atau pendekatan Pragmatik yang mencampur aduk semuanya tanpa kaitan dengan agama yang menjadi aspek rohani yang juga menjadi fitrah manusia, menjadikannya tidak saksama dalam fitrah individu dan masyarakat.
Kini kita sama-sama melihat betapa negara bekas penjajah yang mencipta semua ideologi tersebut gagal melaksanakan agenda ekonomi yang adil terhadap semua di negara masing-masing. Mereka juga gagal memberi hak saksama kepada semua lapisan rakyat kerana tidak dapat menyempurnakan keperluan manusia mengikut fitrahnya dalam semua aspek di peringkat negara dan antarabangsa, maka negara umat Islam yang mengimport ideologi itu ditimpa bencana yang sama.
Semuanya berakhir dengan pemimipin yang mendokong Liberal Kapitalis menjadi pencuri dan perompak besar dan para pemimpin yang mendokong Sosialis pula menjadi kepala Kapitalis yang lebih besar juga menjadi pencuri dengan kuasa negara yang disalahgunakan. Perubahan kepada Pragmatik tanpa hidayah menjadikannya tidak istiqamah dalam aspek ekonomi akan menerima nasib yang sama.
Kini terserlah pula masalah ekonomi di negara Liberal Kapitalis termasuk Amerika yang paling besar dan kaya. Masalah semakin sarat dan menuju ke tanda-tanda kemusnahannya bersama moral yang semakin runtuh. Namun dilakukan pula usaha menyelamatkan diri kepada pragmatik dan membentuk kelompok untuk menjana ekonominya bersama negara kuasa besar sekutunya dengan mengkhadamkan negara kecil dalam gagasan seperti TPPA di rantau Pasifik dan jenama yang lain di rantau masing-masing. Semua blok ekonomi ini akan bertukar menjadi penjajah baru dalam dunia terkini.
Pada masa yang sama kita berdepan dengan masalah pengangguran, termasuklah di kalangan professional yang dibuang kerja dari bidang-bidang pembuatan, industri minyak dan gas. Merujuk kepada indeks pengangguran negara, jelasnya menunjukkan peningkatan daripada 3.1% pada Januari 2015 kepada 3.4% pada Januari 2016. Laporan dari Jabatan Statistik Malaysia menunjukkan bahawa kini terdapat 14.6 Juta tenaga kerja dalam negara dengan 501 ribu lagi masih tiada pekerjaan. Pada ketika ramai yang masih mengganggur, siri pembuangan pekerja juga turut bertambah dengan drastik apabila kelembapan ekonomi berlaku menyebabkan banyak syarikat menyelaraskan semula operasi bagi menyelesaikan masalah kewangan. Adakah betul penyelesaiannya dengan menjemput pekerja asing dan menggunakan penasihat asing ?. Tentu sahaja PAS tidak akan hanya berdiam diri membiarkan perkara ini dari terus berpanjangan. Menerusi model politik baru PAS, kita tentunya akan mencadangkan beberapa langkah penyelesaian terhadap masalah ini untuk dinilai oleh rakyat.
Negara Islam termasuk Malaysia yang sembahyangnya berkiblat ke arah Rumah Allah (Kaabah) di Makkah tetapi politik dan ekonomi ke arah Rumah Putih (White House) di Washington atau mana-mana kuasa besar menumpang ideologinya sedang menerima padah termasuk negara Arab yang kaya raya dibanjiri sumber ekonomi yang melimpah ruah daripada perut buminya tidak boleh berbuat apa-apa bersama politik dan ekonomi yang sesat. Kita memerlukan langkah perancangan jangka pendek dan panjang, sebagai menyediakan Malaysia dari kebergantungan kepada hasil bumi semata-mata dan kepakaran asing.
ILMU DAN PENDIDIKAN YANG BERSIMPANG SIUR
Pendidikan yang disediakan oleh pihak kerajaan, dan pihak swasta dalam negara kita ini perlu juga mempunyai nilaian fizikal dan roh nya yang jelas. Kesilapan yang besar ialah apabila pembangunan insan tidak mengikut acuan Allah sama ada konsep pendidikannya tidak lengkap sifat fitrahnya fizikal dan roh, dan di masa yang sama meninggalkan bahasa ibunda kurniaan Allah.
Menyentuh isu Dual Language Programme (DLP) yang menjadi bahan yang dipertikaikan pada ketika ini, pendirian PAS adalah jelas sebagaimana yang saya pernah bangkitan beberapa kali dalam Dewan Rakyat. Kita tidak menolak kepentingan Bahasa Inggeris, atau pun Bahasa Mandarin, Bahasa Perancis, Bahasa Jepun dan sebagainya, tetapi prinsip utama ialah pembelajaran matapelajaran Sains, Matematik, Teknologi Rekabentuk dan ICT mestilah dilaksanakan dalam bahasa ibunda masing-masing, sesuai dengan kajian dari pihak United Nations itu sendiri. Kita bercakap mengenai pelaksanaan terpilih di sekolah kebangsaan yang sedang mewujudkan dua segmen pelajar, dan akhirnya dua kelompok tenaga manusia masa depan dalam negara kita yang akan melebar jurangnya. Allah berfirman :
وَمَآ أَرۡسَلۡنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوۡمِهِۦ
Maksudnya :
Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya [Ibrahim : 4].
Pendidikan juga adalah aspek pembangunan insan. Acuannya hendaklah memenuhi sifat kejadian manusia dan peranannya dalam kehidupan dunia untuk beribadah, menjadi khalifah dan menunaikan amanah Allah penciptanya. Apabila pendidikan yang menjadi acuan pembangunan insan tidak mengikut ciri-ciri kejadian dan peranannya, nescaya melahirkan manusia yang tidak mengikut petunjuk Allah dalam melaksanakan cara hidup sama ada bersendiri dan bermasyarakat yang melibatkan politik, ekonomi dan lain-lain dalam aspek kemanusiaan dan masyarakat madaninya.
Konsep Islam tidak menolak semua ciptaan manusia dan mengikut kebijaksanaan fitrahnya yang istiqamah. Mana yang baik dipungut dan mana yang buruk ditolak buang. Firman Allah:
وَٱلَّذِينَ ٱجۡتَنَبُواْ ٱلطَّٰغُوتَ أَن يَعۡبُدُوهَا وَأَنَابُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ لَهُمُ ٱلۡبُشۡرَىٰۚ فَبَشِّرۡ عِبَادِ ١٧ ٱلَّذِينَ يَسۡتَمِعُونَ ٱلۡقَوۡلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحۡسَنَهُۥٓۚ أُوْلَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ هَدَىٰهُمُ ٱللَّهُۖ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمۡ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَٰبِ ١٨ الزمر.
Maksudnya :
(17) Dan orang-orang yang menjauhi dirinya dari menyembah atau memuja taghut serta mereka rujuk kembali taat bulat-bulat kepada Allah, mereka akan beroleh berita yang menggembirakan (sebaik-baik sahaja mereka mulai meninggal dunia); oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu, (18) Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayat petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.
[az-Zumar : 17-18]
Digabungkan pula dengan Sabda Rasulullah S.A.W.
الْحِكْمَةُ ضَالَّةُ الْمُؤْمِنِ حَيْثُمَا وَجَدَهَا فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا . (سنن ابن ماجه (12/ 358، بترقيم الشاملة آليا)
Umat Islam selepasnya pula leka dengan kemajuan kebendaan sehingga meninggalkan Islam dan tidak menghayati perkembangan ilmu duniawi yang sentiasa berubah mengikut perkembangan zaman telah menjadikan mereka ketinggalan dan lemah sehingga dijajah.
Pihak lain yang membina tamadun baru sehingga kini, hasil daripada mengambil ilmu duniawi daripada umat Islam pula berjaya mengambil alih kuasa besar dunia sehingga menjajah selepas kejatuhan umat Islam disebabkan tidak beristiqamah bersama Islam.
Tahap kemajuan Tamadun Barat terkini dalam aspek politik, ekonomi sehinggalah sains dan teknologinya sedang memusnahkan diri sendiri kerana tidak mencapai matlamat kejadian manusia kerana pengisian ilmu dan pendidikannya tidak memenuhi segala sifat fitrah manusia. Allah S.W.T berfirman:
أَفَمَن يَمۡشِي مُكِبًّا عَلَىٰ وَجۡهِهِۦٓ أَهۡدَىٰٓ أَمَّن يَمۡشِي سَوِيًّا عَلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٖ ٢٢ قُلۡ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَنشَأَكُمۡ وَجَعَلَ لَكُمُ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡأَبۡصَٰرَ وَٱلۡأَفِۡٔدَةَۚ قَلِيلٗا مَّا تَشۡكُرُونَ ٢٣ قُلۡ هُوَ ٱلَّذِي ذَرَأَكُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ وَإِلَيۡهِ تُحۡشَرُونَ ٢٤ وَيَقُولُونَ مَتَىٰ هَٰذَا ٱلۡوَعۡدُ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ ٢٥ قُلۡ إِنَّمَا ٱلۡعِلۡمُ عِندَ ٱللَّهِ وَإِنَّمَآ أَنَا۠ نَذِيرٞ مُّبِينٞ ٢٦ الملك
Maksudnya :
(22) Maka adakah orang yang berjalan (melalui jalan yang tidak betul, yang menyebabkan dia selalu jatuh) tersungkur di atas mukanya: Boleh mendapat hidayat atau orang yang berjalan tegak betul, melalui jalan yang lurus rata?. (23) Katakanlah (wahai Muhammad): Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur. (24) Katakanlah lagi: Dialah yang mengembangkan kamu di bumi dan kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan. (25) Dan mereka (yang ingkar) berkata: Bilakah datangnya (hari kiamat) yang dijanjikan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar?. (26) Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya ilmu pengetahuan (tentang masa kedatangannya) hanya ada pada sisi Allah dan sesungguhnya aku hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran yang terang nyata. [al-Mulk : 22-26]
MUKTAMAR KE 62 : INILAH PENYELESAIAN KITA
Islam yang diturunkan kepada manusia adalah hidayah Allah, Pencipta Alam Yang Maha Mengetahui, Bijaksana, Adil, Rahmat dan segala sifat kepujian-Nya yang Maha Suci daripada segala kekurangan dan kelemahan. Bukan sahaja mencipta makhluknya termasuk manusia, bahkan Allah juga mengurniakan hidayah kepada manusia yang diletakkan dalam kehidupan dunia dengan tujuan dan hikmatnya yang tersendiri.
Kita wajib beriman kepada konsep Islam adalah Al-Din yang sempurna. Tidak wujud sama sekali konsep pemisahan politik, ekonomi dan setiap urusan duniawi kerana inilah petunjuk Al-Quran yang dilaksanakan oleh Rasulullah S.A.W. yang menjadi ikutan kita.
Di atas konsep terus beristiqamah dengan Islam yang sempurna, kita wajib beriman hanya Islam mampu menyelesaikan semua masalah, sejak dahulu sehinggalah terkini dan akan datang, yang gagal ditangani oleh semua ajaran yang lain sama ada yang bersifat agama atau ideologi atau teori, sama ada penyelesaian aspek tertentu sahaja atau secara menyeluruh.
Kenyataan sejarah keemasan umat Islam di zaman awal yang memerintah sebahagian daripada tiga benua besar dunia, membina tamadun Islam dan masyarakatnya yang majmuk adalah hasil beristiqamah bersama Islam. Ada pun kelemahan umat Islam dan kejatuhan negaranya di zaman mutakhir, apabila tidak beristiqamah bersama Islam. Inilah maksud kenyataan daripada firman Allah :
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِي ٱلسِّلۡمِ كَآفَّةٗ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ ٢٠٨ فَإِن زَلَلۡتُم مِّنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡكُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ فَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ ٢٠٩ البقرة.
Maksudnya :
(208) Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah setan. Sesungguhnya setan itu musuh yang nyata bagimu. (209) Tetapi jika kamu menyimpang (dari jalan Allah) sesudah datang kepadamu bukti-bukti kebenaran, maka ketahuilah, bahwasanya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. [al-Baqarah : 208-209]
Allah juga memberi peringatan kepada golongan ahli kitab terdahulu untuk menjadi iktibar :
أَفَتُؤۡمِنُونَ بِبَعۡضِ ٱلۡكِتَٰبِ وَتَكۡفُرُونَ بِبَعۡضٖۚ فَمَا جَزَآءُ مَن يَفۡعَلُ ذَٰلِكَ مِنكُمۡ إِلَّا خِزۡيٞ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۖ وَيَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ يُرَدُّونَ إِلَىٰٓ أَشَدِّ ٱلۡعَذَابِۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَٰفِلٍ عَمَّا تَعۡمَلُونَ ٨٥ أُوْلَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ ٱشۡتَرَوُاْ ٱلۡحَيَوٰةَ ٱلدُّنۡيَا بِٱلۡأٓخِرَةِۖ فَلَا يُخَفَّفُ عَنۡهُمُ ٱلۡعَذَابُ وَلَا هُمۡ يُنصَرُونَ ٨٦ البقرة
Maksudnya :
Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al Kitab (Taurat) dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian dari padamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat. Allah tidak lengah dari apa yang kamu perbuat. (86) Itulah orang-orang yang membeli kehidupan dunia dengan (kehidupan) akhirat, maka tidak akan diringankan siksa mereka dan mereka tidak akan ditolong. [al-Baqarah : 85-86]
Perlu disedari bahawa barat yang menciplak Islam dalam perubahan demokrasinya telah memisahkan aspek aqidah, syariat dan akhlak yang sebenar, lalu menjadikan politiknya tidak sempurna kerana dipinda sehingga berbeza dengan prinsip dan konsep Islam yang asal.
Ada pun politik Islam itu berkait dengan keimanan kepada Allah dan Hari Pembalasan di Akhirat yang ada perkiraan menerima balasan Syurga dan Neraka. Maka Islam menjadikan politiknya adalah amanah besar daripada Allah, bukan sahaja rakyat yang memilih pemimpin adalah amanah, tidak boleh menjadi sasaran sehingga diperlakukan sewenang-wenangnya dan hilang amanahnya.
Pemimpin juga memikul amanah yang besar kerana Islam menjadikan segala urusan dunia berwawasan yang luas daripada dunia dan akhirat. Politiknya tidak boleh dijadikan peluang dan kesempatan untuk diri dan kelompoknya. Firman Allah :
Firman Allah :
۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩ النساء
Maksudnya :
(58) Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. (59) Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya. [an-Nisa’ : 58-59]
Islam mensyaratkan politik berkepimpinan jati diri insan dengan aqidah, akhlak dan ilmu, selamat daripada menyalahgunakan kesempatan berkuasa tanpa batas dan mengekalkanya walaupun hilang kelayakan, merosakkan diri dan rakyat yang menjadi mangsanya sehinggalah apabila berkuasa berlaku salah laku disetiap kedudukan masing-masing, berakhir dengan salah laku seperti zalim dan rasuah yang merebak disetiap kedudukan tinggi dan rendah.
Keyakinan kita berpijak di atas kesempurnaan Islam daripada Allah, Pencipta Alam Yang Maha Mengetahui, Bijaksana, Rahmat dan Adil. Allah yang bernama dengan semua nama-nama paling indah (الأسماء الحسنى ( dan bersifat dengan semua sifat-sifat kepujian dan kesempurnaan, Yang Maha Suci daripada segala kekurangan. Keyakinan yang ditegaskan dengan pujian pada tiap-tiap rakaat solat (الحمد لله رب العالمين (.
Maka, hanya Islam daripada Allah juga adalah penyelesaian kepada krisis politik, ekonomi dan nilai kemanusiaan yang hangat diperkatakan kini diseluruh dunia. Ianya merupakan peranan aspek ibadah, khalifah dan amanah yang dinyatakan oleh Al-Quran apabila Allah menegaskan mengapa manusia diletakkan di alam dunia ini. Firman Allah:
وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ١٥٣ الأنعام
Maksudnya :
(153) Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa. [al-An’am : 153]
Ketahuilah bahawa Allah pencipta alam termasuk makhluk manusia yang dipilih berada di atas muka bumi ini. Allah Maha Mengetahui apakah petunjuk bagi makhluk manusia yang tidak seperti para malaikat yang mulia dan suci tetapi tanpa jasad. Tidak seperti binatang pula berjasad tanpa akal. Tidak seperti batu dan kayu di bukit bukau dan gunung-ganang tanpa bergerak dengan akal, nyawa dan pancaindera.
Peranan manusia bukan sekadar makhluk yang diwajibkan beribadat kepada Allah penciptanya. Allah juga mewajibkannya berkhilafah dengan bermasyarakat, politik, ekonomi dan lain-lain dengan ilmu wahyu dan akal termasuk cara kehidupan dan teknologinya yang menggunakan apa yang ada kaitan dengan kehidupan dibumi yang dijadikan jambatan menuju alam akhirat.
Perjuangan Islam hendaklah menegakkan negara yang bercirikan :
Masyarakat majmuk tanpa paksaan.
Negara berkebajikan dengan maksud yang luas mengikut Islam yang sempurna
Politik ibadah.
Ekonomi yang adil.
Kehebatan undang-undang
Berwawasan dunia sehingga akhirat
PEMBANGUNAN INSAN
Islam telah menetapkan acuan pembangunan Islam dengan ilmu secara jelas melalui ayat yang pertama diwahyukan kepada Rasulullah S.A.W. Firman Allah :
ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِي خَلَقَ ١ خَلَقَ ٱلۡإِنسَٰنَ مِنۡ عَلَقٍ ٢ ٱقۡرَأۡ وَرَبُّكَ ٱلۡأَكۡرَمُ ٣ ٱلَّذِي عَلَّمَ بِٱلۡقَلَمِ ٤ عَلَّمَ ٱلۡإِنسَٰنَ مَا لَمۡ يَعۡلَمۡ ٥ العلق
Maksudnya :
(1) Bukankah Allah (yang demikian kekuasaanNya) seadil-adil Hakim?. (2) Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), (3) Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; (4) Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah; (5) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan;[al-‘Alaq : 1-5]
Peranan ilmu adalah berkonsepkan Rabbani (Ketuhanan) dan alatnya melalui membaca dan penulisan. Di sini al-Quran mengiktiraf peranan bahasa kaum ibunda masing-masing dalam dunia ilmu. Allah berfirman :
وَمَآ أَرۡسَلۡنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوۡمِهِۦ لِيُبَيِّنَ لَهُمۡۖ فَيُضِلُّ ٱللَّهُ مَن يَشَآءُ وَيَهۡدِي مَن يَشَآءُۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ٤ إبراهيم
Maksudnya :
(4) Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya dia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka. Maka Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), juga memberi hidayat petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. [Ibrahim : 4]
Pendidikannya tanpa ilmu Fardu ‘Ain bagi setiap manusia yang wajib membina jatidiri berlandaskan Iman, Islam dan Ihsan (Aqidah, Syariat dan Akhlak). Selepasnya ilmu yang khusus bagi peranan masing-masing dalam urusan agama dan dunia yang disenaraikan dalam urusan Fardu Kifayah merangkumi hubungan manusia dengan Tuhan Penciptanya, diri sendiri, keluarga, masyarakat dan hubungannya dengan alam sekeliling di bumi dan angkasa lepas, nyata dan ghaib serta berwawasan jauh daripada dunia sehingga akhirat.
Al-Quran adalah mukjizat segala ilmu. Al-Quran menyediakan prinsip asas dengan menejelaskan ilmu yang memberi manfaat dan mendatangkan mudarat kepada manusia dan alam sekelilingnya. Sungguh menakjubkan apabila manusia yang membawa Islam di akhir zaman dimulakan kemunculannya daripada bumi yang kering kontang tanpa asas tamadun kebendaan sama ada sumber bumi atau ilmu sains dan teknologi.
Sebaik sahaja bergerak daripada ilmu wahyu yang pertama dan setelah jati dirinya dibentuk oleh Islam dengan pembangunan insan mengikut acuan Allah yang memenuhi fitrah dan keperluannya dalam beribadat dan memakmurkan bumi, mereka dapat mengalahkan negara besar dan kecil yang mengepungnya termasuk kuasa besar yang dikira paling bertamadun dari segi kebendaan dan kaya dengan sumber alam tetapi tanpa jati diri insan yang mempedulikan nilai keadilan atau kezaliman kerana jahiliyahnya dengan meninggalkan petunjuk para Rasul sebelumnya.
Tiba-tiba umat Islam yang ditarbiyah oleh Rasul Akhir Zaman S.A.W. mengambil alih kuasa besar dunia tersebut bersama Al-Quran yang menjadi petujuk dan Rasulullah S.A.W. yang melaksanakan petunjuk pelaksanaannya walaupun sudah wafat meninggal dunia. Di mana kewafatan baginda selepas Al-Quran disempurnakan, menjadikan umat pengikutnya yang setia berpegang teguh dengan ajarannya, membina tamadun baru (Hadarah Islamiyyah) selepas diruntuhkan tamadun jahiliyah yang ditegakkan bersama kezaliman ke atas rakyat yang diperhambakan kerana meninggalkan petunjuk Allah.
TUGAS KITA SEBAGAI ANGGOTA HARAKATUL ISLAMIYAH
Inilah sebenarnya cabaran yang sangat hebat dan berat bagi kita anggota harakahtul Islamiyah PAS yang mengambil jalan tarbiyah, dakwah dan siyasah dalam gerakerjanya. Segala khazanah ilmu Islam, dengan dipandu oleh al-Quran dan as-Sunnah, Ijma’ Ulama, Qiyas dan bidang siyasah syar’iyyah, fiqh aulawiyah yang tulin, maqasid syariah yang menepati kaedah hukum Islam, semuanya wajar digali kaji oleh semua kita dalam Parti Islam SeMalaysia (PAS) untuk membawa penyelesaian Islam di zaman yang serba moden ini.
Kita ingin menguruskan negara Malaysia ini, bersama negeri-negeri yang ada di dalamnya dengan masyarakat majmuk berbagai bangsa dan agama. Soal bagaimana rupa bentuk negara dan negeri yang ingin kita bina, wajah hubungan kaum dan urusan pentadbiran kerajaan yang menjadi impian kita, dasar-dasar yang ingin dilaksanakan, semuanya adalah gambaran kefahaman kita terhadap panduan al-Quran dan as-Sunnah. Kitalah yang wajib menterjemahkan Islam sebagai penyelesai kepada masalah kehidupan manusia dan masalah kenegaraan yang kompleks ini.
Jangan pula kita menjadi keliru dan terpesona dengan hujah sebilangan kecil pihak yang berselindung disebalik khazanah ilmu Islam ini. Kita meletakkan siyasah syar’iyyah, maqasid syariah dan fiqh aulawiyat adalah untuk mencari kaedah melaksanakan Islam, dan bukannya menggunakan kaedah-kaedah ini bagi mencari jalan untuk menyampingkan ke tepi hukum agama yang menjadi perintah Allah. Kita ingin membawa Islam yang menjadi rahmat ke seluruh alam (rahmatan lil ‘alamin) dengan membawa Islam yang tulin, bukannya menjadikan Islam menjadi pak turut dalam negara seperti Malaysia ini.
Bagi menggalas tanggungjawab sebagai kerajaan menanti, PAS selayaknya mempersiapkan diri untuk berperanan sebagai pemerintah. Justeru itu, orientasi PAS kini berbeza. Bukan lagi membangkang sekadar membangkang tetapi mengemukakan penyelesaian berasaskan cara dan kaedah penyelesaian Islam terhadap kepincangan yang berlaku samada dalam urusan ekonomi mahupun politik dan sosial.
Jauhilah penampilan retorik tanpa membawa pelan penyelesaian, gagasan, cadangan atau langkah bertindak mengatasi sesuatu isu atau perkara yang kita angkat samada di peringkat local atau nasional. Laungan kasar dan menghukum tanpa fakta yang sahih sehingga bertentangan dengan hati-budi psikologi masyarakat Malaysia mestilah dihindarkan. Hayatilah firman Allah :
ٱذۡهَبَآ إِلَىٰ فِرۡعَوۡنَ إِنَّهُۥ طَغَىٰ ٤٣ فَقُولَا لَهُۥ قَوۡلٗا لَّيِّنٗا لَّعَلَّهُۥ يَتَذَكَّرُ أَوۡ يَخۡشَىٰ ٤٤
Maksudnya :
(43) Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas dalam kekufurannya. (44) Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga dia beringat atau takut.[Taha : 43-44]
Imej ini mesti dibawa dan ditampilkan dalam semua keadaan oleh pimpinan PAS di semua peringkat. Ceramah, kuliah, tulisan, sidang media, ucapan di Parlimen, ucapan di DUN dan lainnya. Tindakan berpaksikan ilmu dan olahan bertindak juga berlandaskan ilmu. Peringkat ini, kita sedaya upaya menolak beberapa pendekatan negatif dan tidak membangunkan minda apatah lagi orientasi berteraskan kebencian dan provokasi.
PAS MENTERJEMAH BUDAYA POLITIK MATANG DAN SEJAHTERA
Budaya politik yang diamalkan sekarang adalah budaya politik tinggalan penjajah Barat di mana kuasa kewangan, manipulasi media, perang persepsi, permusuhan, perebutan kuasa dan matlamat yang menghalalkan cara. Ianya jauh dari prinsip berasaskan kebenaran dan ilmu, halal – haram, apatah lagi seolahnya amalan terbaik (best practices) politik adalah tiada kaitan dengan dosa – pahala.
Malang sekali, di tanah air kita yang tercinta ini, sejak sebelum merdeka hingga sekarang, budaya berpolitik negatif ini diteruskan oleh keseluruhan parti parti politik yang tidak berteraskan perjuangan Islam. Rakyat dan negara ini (mahupun dunia) memerlukan kepada budaya politik baru yang membawa keseluruhan rakyat bersama membangunkan negara dan berharmoni. Penyelesaian nya ialah Politik Islam yang bersifat bijaksana, matang, dan bermatlamatkan kesejahteraan rakyat.
PAS mewarnai perjuangannya melalui wadah politik dengan mengambil Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan wajibnya, yang sudah tentu berbeda pendekatan politiknya daripada budaya politik konvensional liberal - pragmatik. PAS sebagai sebuah parti Islam, bersedia untuk membawa pendekatan politik positif ini ke pentas utama dalam budaya berpolitik negara di bawah jenama Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS). BPMS menuntut sikap dan tindakan PAS yang sentiasa disertakan dengan penjelasan yang rasional, berdasarkan prinsip yang jelas. Pandangan dan tindakan yang diambil mestilah berdasarkan maklumat yang betul, kebenaran mengatasi populis, dengan pertimbangan akal dan syarak, dan bukannya berasaskan emosi kebencian politik kepartian. BPMS juga menekankan perbuatan dan tindakan mengikut saluran yang benar dengan akhlak Islamiyah. Marilah kita menghayati firman Allah :
فَبِمَا رَحۡمَةٖ مِّنَ ٱللَّهِ لِنتَ لَهُمۡۖ وَلَوۡ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ ٱلۡقَلۡبِ لَٱنفَضُّواْ مِنۡ حَوۡلِكَۖ فَٱعۡفُ عَنۡهُمۡ وَٱسۡتَغۡفِرۡ لَهُمۡ وَشَاوِرۡهُمۡ فِي ٱلۡأَمۡرِۖ فَإِذَا عَزَمۡتَ فَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُتَوَكِّلِينَ ١٥٩
Maksudnya :
(159) Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. [Ali – Imran : 159] BPMS juga bukan hanya menjadi pendekatan untuk dilaksanakan oleh PAS sahaja, tetapi ianya disasarkan supaya diamalkan sebagai budaya rakyat Malaysia berpolitik. Ianya mampu merubah lanskap politik negara secara menyeluruh, dengan harapan diamalkan oleh kesemua pihak, termasuk pihak parti yang menjadi kerajaan dan parti yang menjadi pembangkang dalam kerajaan; di mana rakyat menjadi pendesak utamanya. Politik berdasarkan fakta yang benar bagi melahirkan tindakan yang tepat bagi mengelak unsur penipuan, kezaliman, penindasan terhadap pihak-pihak tertentu. Memanfaatkan persepsi yang diharuskan oleh syara’ dalam perkara yang tidak bercanggah dengan dasar Islam.
BPMS menggariskan tujuh ciri utamanya yang perlu dihayati oleh keseluruhan pimpinan dan ahli PAS, menggerakkan PAS sebagai model pendekatan politik matang dan sejahtera dalam negara kita ini. Tujuh ciri tersebut ialah :
Pertama : Politik Bertunjangkan Prinsip
Kedua : Politik Dakwah dan Amar Makruf Nahi Mungkar
Ketiga : Politik Penyelesaian Berasaskan Islam
Keempat : Politik Utamakan Rakyat
Kelima : Politik Damai dan Diplomasi
Keenam : Politik Kebenaran bukan Persepsi
Ketujuh : Politik Rasional dan Profesional
BLOK POLITIK : TA’AWUN DALAM KEBAIKAN DAN MENOLAK KEJAHATAN
Blok politik yang ada pada waktu sebelum ini kebanyakannya diwarnai oleh dua warna hitam-putih sahaja iaitu : samada “Kerajaan” atau “Pembangkang” dengan budaya politik masing-masing. “Kerajaan” yang ada ini pula sifatnya senantiasa mempertahankan tindakan mereka, menolak peranan pembangkang dan kadangkala dengan kekerasan dan paksaan ke atas rakyat. Manakala blok “pembangkang” pula sentiasa membangkang apa sahaja agenda kerajaan yang memerintah, walau kadangkala di sana ada yang baik dilaksanakan. Politiking yang melampau dan kasar ini kadangkala menyebabkan rakyat awam tersepit, sehingga tidak lagi mempercayai janji politik samada dari pihak kerajaan atau pembangkang.
Kita ingin keluar dari politik cara lama dan keterlaluan ini yang menyusahkan rakyat. Majlis Syura Ulama (MSU) PAS telah pun mendepani prinsip dan dasar yang jelas dalam hubungan antara PAS dan pihak-pihak lain dengan membawa agenda tarbiyah – dakwah – siyasah oleh kepimpinan PAS. Sehingga kini, MSU memperakukan prinsip berikut :
“bersetuju untuk meneruskan agenda kerjasama dengan mana-mana pihak dalam perkara kebaikan dan ketakwaan demi untuk memperkukuhkan Islam dan perjuangannya,
Dengan merujuk kepada panduan dari al-Quran menerusi firman Allah :
وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٢
Maksudnya :
dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya). [ al-Ma idah : 2]
Maka dalam masa yang sama PAS akan terus menentang segala kemungkaran dan permusuhan, salah guna kuasa, rasuah dan sebagainya dengan cara yang sesuai merujuk kepada prinsip BPMS yang dibentangkan tadi.
Dengan itu PAS juga menganjak posisinya pada kedudukan sebagai pembangkang yang konstruktif, sementara ia adalah persiapan dan persediaan sebelum diberi mandat memimpin serta memerintah sebagai sebuah kerajaan.
PAS melebarkan sempadan dan capaian gerakkerja amal Islaminya melepasi garis politik. Kini PAS tidak hanya bergantung kepada gerakan dan aktiviti politik semata - mata. Sebaliknya turut bersama dengan kebangkitan third force dan membina hubungan langsung bersama badan - badan bukan kerajaan, tokoh masyarakat, pegawai tinggi kerajaan dan swasta, aktivis sosial dan sebagainya.
Sebagai contohnya, inilah yang kita lihat apabila PAS menunjukkan iltizam parti kepada kumpulan minoriti rakyat yang dijelmakan melalui Unit Kumpulan Rentan (Vulnerable Group). Kecaknaan khusus parti kepada komuniti orang kurang upaya diperhebat melalui wadah Sekretariat Prihatin OKU Malaysia yang juga diterajui oleh OKU sendiri. Sehingga kini mungkin hanya PAS satu-satunya parti politik di Asia Tenggara yang melibatkan OKU di dalam organisasi parti.
Di kesempatan lain juga, PAS memperjuangkan isu alam sekitar yang antara lainnya merangkumi isu pencemaran sumber air dari perlombongan bauksit dan bijih besi, pencemaran udara akibat jerebu, pembakaran terbuka yang berleluasa, pelepasan sisa gas, cecair dan pepejal yang tidak terkawal dari premis kilang, penerokaan hutan serta pembalakan yang keterlaluan, tambakan laut yang membunuh serta merubah eko-sistem hidupan laut, dan masalah pelupusan sampah dari rumah kediaman dan industri yang semakin tinggi jumlahnya.
PAS juga menunjukkan kebersamaan dengan rakan-rakan NGO dan individu menerusi Kongres Rakyat, bagi memperjuangkan serta menangani isu utama secara khusus termasuk isu perlaksanaan cukai yang menindas masyarakat miskin GST, perjanjian yang boleh memberi kesan yang negatif kepada kos sara hidup TPPA, isu DLP dan sebagainya.
Usaha melebar sempadan ini memerlukan pimpinan PAS dan anggotanya membiasakan diri untuk tampil dengan kesesuaian suasana, aktiviti, audien dan sebagainya. Penampilan dan pendekatan semestinya berbeza dan anjal (fleksibel)dan pastinya keadaan begini memerlukan kita banyak melihat dan berfikir dari luar kotak.
Oleh itu, prinsip PAS berasaskan kepada suasana berikut :
Berani berkata benar pada yang benar dan sebaliknya tegas untuk kata salah pada yang salah.
Tidak keterlaluan sehingga membangkang apa sahaja yang datang dari pihak lain khasnya dari pihak lawan politik namun tidak juga terlalu longgar sehingga tidak mempunyai prinsip dan jati diri.
Tidak terhenti sekadar membangkang sesuatu perkara namun turut mengemukakan solusi atau penyelesaian tuntas berasaskan petunjuk Islam.
Lapang dada dan bersikap terbuka untuk duduk semeja dengan semua pihak bagi membincangkan isu sejagat yang melibatkan kepentingan umat Islam, rakyat keseluruhan dan negara tercinta.
Bersedia mengambil kebaikan dan menerimanya dengan baik meskipun ia datang dari pihak pemerintah serta bersiap sebagai government in waiting. Berlaku adil terhadap semua meskipun terhadap lawan politik.
Teguh dan beristiqamah kepada perjuangan Allah dan Rasul Nya. Perjuangan bukan kerana pangkat, jawatan, harta mahu pun kedudukan di mata manusia di dunia ini.
CABARAN DUNIA
Kehidupan dunia sangat mencabar kerana adanya pertembungan di antara benar dan salah dalam segala aspek dan lapangan. Ini menjadikan makhluk manusia ini diuji oleh Allah. Ada yang menerima Islam daripada Allah secara istiqamah dan ada yang tidak istiqamah bersama Islam dan ada yang menolaknya secara menyeluruh lalu mencipta agama, ideologi dan teori masing-masing. Maka berlaku Sunnatullah (ketetapan Allah) apabila berlakunya perjuangan menentang kezaliman dan penyelewengan dengan pendekatan yang wajib beristiqamah di atasnya. Firman Allah :
ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠ ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١ الحج
Maksudnya :
(40) Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: Tuhan kami ialah Allah dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani) dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa; (41) Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. [al-Haj : 40-41]
PAS sedar bahawa hubungan dan kerjasama antara negara dari blok mana sekalipun adalah sangat perlu kerana itulah kunci perdagangan antarabangsa. Walaupun begitu, kita mempunyai tanggungjawab besar untuk memperkukuhkan hubungan dan peranan di kalangan negara umat Islam dan komuniti ASEAN terlebih dahulu dari negara yang jauh kedudukannya.
Isu keselamatan sempadan negara dan isu serantau seperti ancaman di perairan antarabangsa, Laut China Selatan, perlulah diambil tindakan yang serius oleh pihak berkuasa kerajaan Malaysia. Di zaman langit terbuka ini, pihak kerajaan tidak boleh bersikap menyembunyikan maklumat yang perlu diketahui oleh rakyat, kerana apabila rakyat mendapat maklumat dari sumber-sumber yang tidak benar maka kerosakan yang akan timbul adalah sangat membahayakan negara kita sendiri.
Camputrangan asing melalui Kuasa Barat – Zionis Israel – Russia – China dalam isu Asia Barat, seperti yang sedang berlangsung di Syria – Iraq – Palestin juga mestilah dihentikan, kerana inilah punca konflik yang menjadi perang berdarah terhadap kalangan umat Islam di negara berkenaan.
Anasir tasyaddud yang ada di kalangan umat Islam yang jahil tanpa mengetahui bahawa tindakan mereka secara ekstrim mengebom pusat – pusat awam dan orang ramai adalah tindakan yang tidak berasal dari ilmu Islam, bahkan berpunca dari kejahilan semata mata.