Ahad, 29 Mei 2016

Penyakit Umat-umat Terdahulu Berjangkit Kepada Umat Islam Sekarang



عَنْ اَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ يَقُوْلُ: سمَعِْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ: سَيُصِيْبُ أُمَّتِي دَاءُ اْلأُمَمِ فَقَالُوْا : يَا رَسُوْلَ اللهِ وَمَا دَاءُ اْلأُمَمِ قَالَ : اَلْأَشَروَاْلبَطَرُ وَالتَّكَاثُرُ وَالتَّنَاجُشُ فِي الدُّنْيَا وَالتَّبَاغُضُ وَالتَّحَاسُدُ حَتَّى يَكُوْنَ اْلبَغْىُ
 (رواه الحاكم)

Maksud:
Diriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiyallahu 'anhu berkata: "Aku pernah mendengar Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu. Sahabat bertanya, “ Apakah penyakit-penyakit umat–umat terdahulu itu? Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam menjawab : “Penyakit-penyakit itu adalah terlalu banyak berseronok, terlalu bermewah, menghimpunkan harta sebanyak mungkin, tipu menipu dalam usaha merebut harta benda dunia, saling memarahi, hasut menghasut sehingga menjadi zalim menzalimi antara satu sama lain”. ( Hadith riwayat al-Hakim )

Penyakit-penyakit yang disebutkan oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam di dalam hadith tersebut bukanlah satu perkara yang baru kerana telah banyak kita lihat berlaku di kalangan kaum Muslimin pada hari ini. Bahangnya telah mula dirasai sejak zaman dahulu lagi. Ini jelas kita dapati, di sana sini penyakit ini sudah mula merebak dan menjalar dalam masyarakat Islam dengan begitu parah sekali. Inilah antara kelebihan dan keistimewaan yang dikurniakan Allah kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam yang dapat mengetahui peristiwa  yang akan berlaku pada masa akan datang ke atas umatnya. Apabila manusia menolak sistem hidup yang disyariatkan dalam Islam, lantas mengambil dan memilih sistem cara hidup rekaan manusia maka inilah padahnya.

Dunia umat Islam pada hari ini terus-menerus dilanda krisis demi krisis sama ada dalam semua segi baik dari aspek politik, ekonomi, pendidikan, sosial kemasyarakatan yang sangat kritikal dan meruncing. Umat Islam diserang dari semua segi. Dengan kata lain, penyakit yang berlaku di kalangan umat Islam pada hari ini diibaratkan seperti sejenis penyakit barah yang tidak mampu dirawat oleh doktor pakar. Semua penyakit kronik yang berlaku kepada umat Islam pada hari ini hanya dapat dipulihkan dengan satu kaedah rawatan sahaja ternyata dapat memberi jaminan sebagai penawar yang mujarab kepada penyakit-penyakit tersebut iaitu penyelesaian dengan hanya tidak dapat tidak mesti kembali mengambil Islam sebagai satu cara hidup yang sempurna dan menyeluruh.

Umat  Islam pada hari ini tidak ada pilihan lain melainkan dengan hanya kembali mengambil Islam sebagai satu cara hidup yang syamil dan kamil. Ini kerana umat Islam yang ada pada hari ini hanya ada Islam pada nama sahaja. Mereka mengambil Islam hanya dengan membasahi bibir mengucap dua kalimah syahadah, berzikir, beribadat di atas tikar sejadah di dalam masjid, berpuasa pada bulan Ramadhan dan pergi menunaikan haji sahaja. Bagi mereka sudah memadai Islam yang mereka fahami dengan hanya melakukan ibadat-ibadat tersebut. Di dalam kamus pemikiran mereka tidak ada istilah untuk beribadah kepada Allah setelah melangkah keluar dari masjid, setelah bulan Ramadhan berlalu dan setelah pulang dari mengerjakan ibadah haji.

Malang, begitu sempitnya fahaman mereka mengenai cara hidup Islam yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam yang sudah lama disarankan kepada kita. Ini kerana sikap merendah diri, bersyukur kepada Allah yang semakin terhakis dalam diri manusia semakin menjadi-jadi. Tidak kurang juga sifat ego manusia pada hari ini mengatasi segala-galanya. Inilah natijahnya apabila menolak apa yang disyariatkan oleh Allah dan berbangga dengan sistem rekaan manusia. Justeru tidak hairanlah fenomena yang Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam gambarkan kepada kita telah banyak berlaku seperti manusia yang terlalu banyak berseronok, terlalu bermewah-mewahan, berlumba-lumba menghimpunkan harta sebanyak mungkin, tipu menipu dalam usaha merebut harta benda dunia, sikap saling memarahi, umpat-mengumpat, hasut menghasut sudah menjadi amalan sehingga sikap  zalim menzalimi antara satu sama lain dan amalan rasuah, pecah amanah  sudah menjadi kebiasaan dalam kehidupan mereka”.

Sepatutnya bagi mereka yang faham Islam sebagai satu cara hidup hendaklah kembali untuk mengambil Islam dalam setiap aspek kehidupannya bukan hanya di tempat-tempat atau pada masa-masa tertentu. Kita hendaklah mengamalkan cara hidup Islam yang disarankan oleh Nabi Muhammad  Sallallahu 'alaihi wasallam dalam setiap aspek kehidupan iaitu melakukan sesuatu niat ikhlas kerana Allah semata-mata dan hendaklah kita menghubungkan diri kepada Allah di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa sahaja, sama ada ketika duduk, berdiri dan sebagainya. Dengan erti kata lain, setiap amalan dan perbuatan kita hanya dikira sebagai satu ibadah sekiranya niat kita ikhlas kerana Allah. Sebenarnya dalam Islam setiap perbuatan dan amalan kita seperti makan minum, tidur, sebagainya semuanya adalah merupakan satu ibadah kepada Allah.

Kita perlu berhati-hati dengan musuh-musuh Islam yang tidak jemu-jemu berusaha untuk menghancurkan umat Islam. Sejarah telah merakamkan, mereka sudah lama merancang untuk menghapuskan umat Islam dengan cara mengasingkan Islam dalam kehidupan umat Islam, memisahkan Islam dengan politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Ia juga berpunca dari salah faham di kalangan orang Islam terhadap Islam sendiri dan meluapnya sentimen politik  yang saling bertentangan. Selain itu, rasa tidak puas hati ini mengheret sebilangan kaum yang bertelingkah ke dalam kancah pertikaian dan prasangka yang akhirnya membawa kepada perselisihan pendapat umat Islam.
Bagi kita yang kasih dan sayang kepada Nabi Muhammad  Sallallahu 'alaihi wasallam tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh mengamalkan apa yang disarankan oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam. Di tengah–tengah kebangkitan semula Islam pada abad yang ke-20  ini umat Islam terus diuji dengan pelbagai cubaan dan perbuatan yang menggugat kesucian Islam. Gejala ini muncul akibat dari ketidaksefahaman umat Islam sendiri dalam fahaman tentang Islam  serta momokan idea dari musuh Islam yang sentiasa mencari peluang untuk menghancurkan Islam. Justeru menjadi kewajipan kita mempertahankan kesucian Islam daripada dicerobohi oleh musuh-musuh Islam.