Selasa, 20 Disember 2011

ZALIM ADA TIGA JENIS


Oleh : Abdullah Yasin

قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : الظُّلْمُ ثَلاثَةٌ ، فَظُلْمٌ لا يَغْفِرُهُ اللهُ، وَظُلْمٌ يَغْفِرُهُ، وَظُلْمٌ لا يَتْرُكُهُ، فَأَمَّا الظُّلْمُ الَّذِي لَا يَغْفِرُهُ الله فَالشِّرْكُ، قَالَ الله: {إنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ} وَأَمَّا الظُّلْمُ الَّذِي يَغْفِرُهُ فَظُلْمُ العِباَدِ أَنْفُسَهُمْ فِيمَا بَيْنَهُمْ وَبَيْنَ رَبِّهِمْ وَأَمَّا الظُّلْمُ الَّذِي لَا يَتْرُكُهُ اللهُ فَظُلْمُ الْعِبَادِ بَعْضِهِمْ بَعْضًا حَتَّى يَقُصُّ بَعْضُهُمْ مِنْ بَعْضٍ .

Rasulullah SAW bersabda : Zalim ada tiga jenis : Zalim yang Allah tidak akan ampunkan ; Zalim yang Allah akan ampunkan ; Zalim yang Allah tidak akan tinggalkan. Adapun zalim yang Allah tidak akan ampunkan adalah syirik. Allah berfirman : Sesungguhnya syirik adalah zalim yang amat besar (Luqman : 13) ; Adapun zalim yang Allah akan ampunkan ialah kezaliman manusia terhadap dirinya sendiri dengan melakukan dosa-dosa antara dia dengan Tuhannya ; Adapun zalim yang Allah tidak akan meninggalkannya adalah zalim insan kepada sesama insan sehingga mereka diadili kelak (di akhirat) – ( HR Al-Taualisiy dan Abu Na’im dari Anas Bin Malik – Menurut Syeikh Nasiruddin Albaniy – Hadis Hasan - Lihat Sahih Al-Jaami’ – No 3961 )


Pengajaran Hadis :

1. Berdasarkan hadis sahih di atas bahawa zalim yang dilakukan oleh manusia ada tiga jenis. Ada zalim yang Allah SWT enggan mengampuninya iaitu dosa syirik. Adapun zalim yang Allah bersedia mengampuninya ialah perbuatan dosa-dosa besar kepada Allah selain syirik. Kedua-dua jenis zalim ini termaktub di dalam firman Allah : Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. ( Al-Nisa’/ 4 : 48 )


2. Yang dimaksudkan bahawa dosa syirik tidak akan diampuni Allah ialah jika seseorang mati dalam keadaan syirik, sedangkan dia tidak sempat memohon ampunan atau bertaubat kepada Allah sebelum kematiannya. Orang ini di akhirat kelak tidak akan mendapat ampunan Allah. Berbeza halnya dengan dosa-dosanya kepada Allah selain syirik, seperti minum arak, berjudi, berzina, liwat, semuanya boleh diampuni oleh Allah jika Allah SWT berkehendak, walaupun sebelum mati dia tidak sempat bertaubat kepada Allah. Orang seperti ini menurut Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah dinamakan sebagai “ ‘Ala MasyiatilLaah “ yakni terserah nasibnya kepada Allah. Maksudnya : Terhadap dosa-dosa tersebut kita serahkan kepada Allah, sama ada Allah akan menyiksanya atau sebaliknya mengampuninya. Itu semua urusan Allah, bukan urusan manusia untuk menilai atau menentukannya.

3. Adapun zalim jenis ketiga iaitu kezaliman yang manusia lakukan terhadap sesama manusia, seperti : menuduh orang yang baik-baik melakukan zina tanpa mendatangkan empat orang saksi, memfitnah, mencuri harta orang lain, rasywah, menghukum seseorang secara tidak adil, mendedahkan ke‘aiban seseorang dikhalayak ramai dan lain-lain, sesungguhnya Allah SWT akan meninggalkannya yakni Allah enggan masuk campur dalam zalim jenis ini, dan Allah enggan mengampuni dosanya, sebab zalim jenis ini berlaku antara insan dengan sesama insan. Orang yang melakukan zalim jenis ini perlu memohon ampunan kepada orang yang dizalimi, bukan memohon ampunan kepada Allah.


4. Itulah sebabnya, syarat taubat terhadap dosa-dosa kepada Allah, hatta dosa yang paling besar seperti syirik dan dosa-dosa besar lainnya seperti berzina dan liwat, cukuplah dengan memenuhi tiga syarat saja, iaitu : 1. Meninggalkan dosa tersebut serta-merta ; 2. Menyesali dosa tersebut ; 3. Ber’azam (bercita-cita kuat) tidak akan melakukannya lagi pada masa hadapan. Tetapi jika zalim jenis ketiga dilakukan, iaitu : zalim manusia kepada manusia lain, maka syaratnya ada empat, selain tiga syarat di atas, juga ditambah satu lagi syarat yang keempat, iaitu : 4. Mesti mengembalikan hak orang dizalimi atau paling kurang mohon kemaafan kepada orang yang dizalimi.


5. Jika ditinjau dari satu sudut, zalim jenis ketiga adalah lebih berbahaya dari dua jenis zalim terdahulu hatta terhadap dosa syirik. Sebab kedua-dua jenis zalim tersebut kita boleh berhubungan langsung dengan SWT. Allah SWT bersedia mengampuni segala jenis dosa walaupun dosa syirik. Allah SWT berfirman : Katakanlah : " Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. ( Al-Zumar : 53 ). Tetapi lain halnya dengan zalim jenis ketiga. Orang yang zalim mesti memohon kemaafan kepada orang yang dizaliminya. Bagaimana jika orang yang zalim ini enggan memohon kemaafan kepada orang yang dizaliminya hingga mati ?


6. Untuk menjawap soalan ini, sila renung hadis sahih berikut : Rasulullah SAW bertanya kepada para sahabat : Siapakah muflis yang hakiki ? Para sahabat menjawap : Muflis dikalangan kami ialah orang yang tidak memiliki dirham dan tidak memilki harta. Rasul SAW bersabda : Sesungguhnya muflis di kalangan umatku pada Hari Kiamat, ialah orang yang banyak melakukan solat, puasa, zakat tetapi dia (semasa di dunia) suka mencaci, suka qazf (menuduh orang baik-baik berzina tanpa empat saksi), suka makan harta milik orang lain, membunuh, dan memukul ; Lalu Allah SWT akan ambil (pada hari berhisab nanti) kebaikan-kebaikannya itu lalu diagih-agihkan kepada orang yang dia zalimi. Jika tiada lagi baki kebaikannya, lalu Allah SWT akan pindahkan dosa-doa orang yang dizaliminya itu ke atasnya dan selanjutnya dia dilemparkan ke dalam api neraka. ( HR Imam Muslim daripada Abu Hurairah ).


7. Berdasarkan hadis di atas jelaslah bahawa muflis yang paling ditakuti adalah muflis di akhirat nanti, bukan muflis sebagaimana istilah manusia hari ini yang diisytiharkan oleh bank-bank tertentu kerana banyak hutang. Semua amalan kebaikannya akan dibagi-bagi oleh Allah kepada orang yang dia pernah zalimi – itupun jika dia orang yang banyak beramal saleh ? – Oleh itu, harapan kita kepada saudara kita yang sedang dizalimi : Bersabarlah ! Allah bersama orang-orang yang sabar ( Al-Baqarah : 153 ) ; Jangan bimbang, Allah Yang Maha Adil akan membuat anda gembira kelak di akhirat nanti dengan mengambil amal soleh orang yang menzalimimu. Dan anda akan bergembira melihat musuhmu didunia dulu yang kerjanya suka menzalimimu dihumban ke dalam api neraka Jahannam dalam keadaan yang sangat mengerikan.


8. Bagaimana sikap kita sebagai rakyat biasa bila menghetahui kezaliman jenis ketiga ini benar-benar berlaku ? Apakah kita semua membisu ? Ataukan mesti bangkit membantu ? Dan siapakah yang patut dibantu ? Jawapannya : Kita wajib membantu orang yang menzalimi dan orang yang dizalimi ! Bagaimana caranya ? Sebagai jawapannya, sila renung hadis sahih berikut : Rasulullah SAW bersabda : Tolonglah saudaramu yang menzalimi dan yang sedang dizalimi. Lalu seorang sahabat bertanya : Aku akan menolong orang yang dizalimi, bagaimana pula aku menolong orang yang menzalimi ? Jawap Nabi SAW : Engkau halang dia atau engkau cegah dia daripada terus menzalimi, itulah cara untuk menolongnya. ( HR Bukhari dan Ahmad dan Tarmidzi daripada Anas Bin Malik. )


9. Saya ucapkan tahniah kepada semua pihak yang dengan berani menegor kepincangan yang berlaku di dalam masyarat hari ini. Sama ada mereka dari barisan Umara’ ataupun Ulama’. Akhir-akhir ini beberapa orang Mufti telah menyatakan pendirian mereka bahawa pertuduhan zina ke atas seseorang hanya melalui tayangan video lucah sebagai karakter insan yang rendah akhlak dan menjijikkan. Demikian juga beberapa politikus terkemuka dengan lantang menyatakan pendiriannya bahawa itu budayab insane yang tidak bertamaddun. Syabas kepada semua ! Kita sebagai rakyat biasa masih menunggu-nunggu tegoran terbuka lebih ramai lagi daripada para Umara’ dan Ulama’. Ikutilah kehendak hadis di atas. Kita wajib menolong mereka, bukan sahaja orang yang sedang dizalimi, tetapi kita juga disuruh menolong saudara kita yang sedang giat merangcang untuk menzalimi orang lain. Bagaimana cara menolong mereka ? Saya yakin anda semua lebih mengetahui bagaimana caranya yang terbaik, Wallahu ‘Alam.

http://www.facebook.com/notes/abdullah-yasin/zalim-ada-tiga-jenis-016/162669400456152