Isnin, 29 Ogos 2011

HARI RAYA - JADIKAN AMALAN KITA SEBAGAI IBADAH BUKAN SEBAGAI ADAT

ASAL-USUL HARI RAYA

Diriwayatkan di dalam beberapa kitab hadith dan sejarah diwaktu Rasulullah SAW berhijrah dan menetap selama kira-kira dua tahun di Madinah, didapati masyarakat Madinah samada yang telah beragama Islam atau sebaliknya masing-masing mengadakan perayaan pada tiap-tiap tahun yang dikenali sebagai hari "Nairuz' dan 'Mahrajan'. Kedua-dua hari perayan itu diwarisi daripada tradisi bangsa Parsi.

Rasulullah SAW pun bertanyakan perkara ini kepada kaum muslimin "Perayaan apakah ini? Mereka menjawab " Hari Raya kami yang kami warisi sejak zaman jahiliah lagi, pada hari itu kami bersuka-ria."

Mendengar jawapan itu, Rasulullah SAW pun bersabda :"Sesungguhnya ALLAH SWT telah menggantikan dua perayaan itu dengan yang lebih baik daripada kedua-duanya iaitu dengan Hari Raya Idul-fitri dan Hari Raya Idul-adha."

Lalu ditetapkanlah dua musim perayaan itu iaitu pada tanggal 1 Syawal selepas puasa Ramadhan dan pada 10 Zulhijjah pada musim haji.

Hukum Solat Sunat 'Idul-fitri'

Sunat Muakkad (amat dituntut) kerana Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya sejak disyariatkan pada tahun 2H sehingga baginda wafat. Ia dituntut oleh semua mukallaf lelaki dan wanita, bermukim dan musafir, merdeka dan hamba. Dituntut dilakukan secara berjemaah tetapi sah dilakukan bersendirian.

Waktu Solat Sunat 'Idul-fitri'

Waktu bermula dari terbit matahari sehingga tergelincir matahari. Waktu yang paling afdal ialah ketika matahari naik kadar tinggi segalah kerana itulah waktu yang selalu didirikan oleh Rasulullah SAW.

Persiapan Hari Raya

1. Bangun awal pagi dan mandi sunat hari raya.

2. Memakai pakaian yang terbaik, cantik dan baharu.

3. Mengenakan harum-haruman dan bau-bauan.

4. Disunatkan makan terlebih dahulu sebelum pergi solat sunat hari raya (bagi yang raya 'idul-fitri sahaja)

5. Sunat pergi awal-awal ke tempat melakukan solat sunat hari raya keculai imam/khatib yang bertugas pada hari itu.

6. Sunat pergi berjalan kaki (kalau tiada kesukaran). Pergi melalaui jalan yang dekat dan pulang melalui jalan lain yang jauh sedikit.

7. Disunatkan seluruh umat Islan samada tua atau muda, lelaki dan perempuan termasuk yang dalam haid untuk menghadiri perhimpunan solat sunat Hari Raya.
Ummu 'Athiyah R.A berkata :- "Kami disuruh membawa gadis-gadis kecil dan wanita-wanita yang haid pada dua hari raya ('Idul-fitri dan 'Idul-Adha) agar mereka menyaksikan kebajikan dan doa kaum muslimin, tetapi wanita-wanita yang sedang haid itu terpisah dari tempat solat."
[Hadith Riwayat : Muttafaq'alaih]

8. Menunaikan solat sunat Hari Raya dan mendengar khutbah.

9. Sunat memperbanyakkan takbir dan tahmid. Takbir raya terbahagi kepada dua iaitu takbir mutlaq dan takbir muqayyad.

10. Sunat beribadah pada malam hari raya antaranya solat sunat, bacaan Al-Quran, berzikir, bertakbir dan seumpamanya. Sabda Rasulullah SAW :- "Barang siapa menghidupkan dua malam Hari Raya ('Idul-fitri dan 'Idul-Adha), ALLAH SWT akan menghidupkan hatinya di hari matinya hati-hati manusia."

11. Bermaaf-maafan.

12. Ziarah-menziarahi bagi tujuan mengeratkan hubungan kekerabatan (silaturrahim). Sabda Rasulullah SAW :- "Hubungan silaturrahim adalah jalinan dengan arasy. DIA (ALLAH SWT) berfirman : Sesiapa yang menyambungKU, ALLAH SWT juga akan berhubung dengannya dan siapa yang memutuskanku, ALLAH SWT memutuskan hubungan dengannya."
[Hadits Riwayat : Muslim]

13. Bersikap sederhana dalam menyambut Hari Raya. Jangan melakukan pembaziran dan keterlaluan dalam berbelanja.

14. membataskan pergaulan dalam sambutan. Jangan berlaku pergaulan yang terlalu bebas dan melanggar hukum yang ditetapkan syara'.

15. Memelihara seluruh ibadah dalam menyambut Hari Raya khususnya solat samada solat qasar, jama' atau solat tamam (sempurna).

Ucapan Ketika Bertemu Pada Hari Raya

Berjabat tangan antara satu sama lain sambil mengucapkan :-

"Semoga sepanjang tahun anda berada di dalam keadaan baik"

atau

" Semoga anda kembali dalam kesucian dan kejayaan"

atau

"Semoga ALLAH SWT menerima amalan kami dan kamu" Jawablah "Terimalah Ya ALLAH SWT yang maha pemurah"